Hanya di Jengka

Kawan saya yang ahli hikmah itu mencabar pelajar untuk membuat satu public speaking dengan syarat yang ketat; bukan topik klise dan mesti menarik audien. Dia memberi contoh, Jengka.



Haha, apa ada di Jengka untuk diceritakan melainkan saujana kelapa sawit dan pokok getah yang tersusun? Jalan raya yang menjadi laluan utama penjanaan ekonomi agrikultur yang sentiasa berlopak-lopak dan beralun-alun macam naik roller coaster (padahal membawa komoditi utama negara)?



Kata beliau, pernahkah terfikir, jika tiada Jengka kita mungkin tidak dapat menikmati makanan? Bagaimana anda memasak kalau tidak dari minyak kelapa sawit? Dan tayar Mercedes boleh jadi datangnya dari susu pokok dari ladang getah Jengka. Siapa tahu?



Begitulah dia mencabar. Kata saya, itu cabaran kreativiti. Saya sendiri jika diberi tugasan seperti itu perlu renungan cukup lama. Tapi jika tidak dipecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya?


Lama saya berfikir kemudian baharu dapat bersetuju dengan rakan ahli hikmah. Ya, Jengka luar biasa. Suatu hari ketika menunggu khidmat kaunter, saya sempat beramah mesra dengan makcik berusia emas. Dengan ramah tamah yang demikian singkat itu pun, saya tahu yang makcik itu banyak duit. Sawitnya sangat menjadi. Apatah lagi dia juga mengambil upah menoreh. Entah apa ada di muka saya yang buat dia percaya. Bukankah bahaya kalau dia mendedah cerita dia menyimpan wang di bank-bank yang berbeza pada orang asing?



Tapi itu bukanlah yang menjentik minat saya pun. Kata makcik dia takut melihat orang membawa senjata api. Dia takut bunyi letupan dan kalau-kalau tertembak kaki.


Saya tanya kenapa takut sangat.



Suatu hari makcik ditahan polis kerana memandu motor. Saya tidak ingat, mungkin salahnya tidak memakai topi keledar. Tetapi yang menjadikan makcik begitu takut adalah kerana dia tidak mempunyai lesen. Tanya saya bagaimana bawa motor kalau tiada lesen. Makcik kata bukan tidak ada, tetapi lesennya sudah dimakan lembu.



Oleh kerana saya berpegang kepada tawaduk yang telah dipertingkatkan, saya menahan tawa. Mujur tidak berguling sahaja di tempat ramai orang.



Saya memanis bahasa. Bagaimana jadinya?



Kata makcik satu hari pakcik berkebun. Entah macamana lembu makan baju pakcik. Dalam poket ada lesen. Tarik macamana pun tak jadi, akhirnya lesen jadi roti kirai. Sebab itu makcik takut anggota keselamatan. Dia tiada lesen jadi dia takut ditahan.



Saya berfikir, adakah itu alasan yang valid?



Ya, sudah tentu jika anda berada di kawasan kampung. Dalam kampung juga banyak cerita. Bukan di bandar sahaja menyimpan kisah. Tetapi saya rasa itu alasan yang valid. Suatu hari ketika saya bercuti di KL dan kemudian melawat rakan yang mengusaha penternakan kambing Boer. Saya melawat kambing-kambing Boer yang sihat dan comel dalam kandang, tiba-tiba baju saya ditarik-tarik. Betul, kambing sedang makan baju saya. Macamana kalau waktu itu lesen memandu ada dalam poket? Di KL, bolehkah polis percaya alasan seperti itu?



Hampir mustahil, lembu yang ada hanyalah di dalam peti ais, Red Bull. Atau dalam rumah orang kaya yang ada Lamborghini. Lembu-lembu itu tidak makan rumput, apatah lagi lesen memandu. Lembu-lembu itu makan duit orang sahaja, terutama Lamborghini pintu gunting.



Saya tidak sempat sembang panjang lagi bila nombor makcik di panggil. Saya rasa kalau semua duit makcik dan pakcik dikeluarkan dia boleh beli Lamboghini dengan tunai!



Jika saya buat public speaking dengan tajuk Lesen Memandu dan yang di atas akan jadi kandungan cerita saya di hadapan audien, agak-agak boleh tidak saya dapat A?



Haha, susah susah. Baru saya tahu sekarang, kreativiti itu suatu proses. Ia tidak di bina semalaman. Ia akan terbit dari banyak membaca, diskusi, kritik dan jalan mudah pengalaman. Soalnya, kita tidak selalu melibatkan diri kerana suka berada dalam zon aman dan selamat.



Pengalaman itu perlu untuk menambah nilai. Dan untuk mempersembah apa yang kita rasa. Tapi zaman ini orang muda menimba pengalaman depan skrin. Belajar untuk UPSR, PMR dan SPM dengan Astro. Menjayakan pertandingan bola dengan membeli players dari English Premier League (EPL) yang mahal-mahal dan memerhati dengan mengunakan Local Area Network (LAN). Bersenam dan berolahraga dengan menggunakan Kinnect XBox 360. Mereka disatukan dalam maya. Adakah talian yang wujud juga maya?



Kata orang bersorak menonton siaran secara langsung bola sepak di stadium itu lebih nikmat pengalamannya. Seperti mana mereka yang merasai juang di jalanan dengan asap pemedih mata di ruang udara. Juga berlari mengelak trak FRU.



Kata rakan, Life is about life.



Kata saya, it is not just about life. It is about to feel it in your vein dan kemudian masuk meresap sukma.



Makcik selesai berurusan. Dia kembali ke kerusi saya. Menghulur tangan dan saya sambut. Saya rasa kedut tua di tapak tangan yang gigih menoreh dan berladang sawit. Dia memadang tepat dan mengucap salam sejahtera untuk kehidupan saya. Saya mendoakan yang sama walau saya masih belum tahu lesen makcik sudah berganti atau tidak.



Life begins when you have touch people’s heart and grow when they trust you.



You…have always been my life.



p/s: If I get this assignment, I will talk about ‘Gold and The Friends of the Cave’ (Emas dan Ashabul Kahfi, how about that, interesting?)







Comments

Ayat akhir tu menarik. Judulnya memikat. Saya nantikan public speech ini :-)

Tapi cerita lesen ini membuatkan saya berguling-guling ketawa. Beguling-guling yang hanya wujud dalam imaginasi. (Bikin malu saja berguling dalam pejabat)
Kamisah Ariffin said…
Ya, tajuk itu memungkinkan A. Tapi untuk saya berikan A, perlu lebih daripada sebuah tajuk... Mungkin kena tunjuk gaya lembu mengunyah lesen...bak kata orang putih..seeing is believing ..:)
Cikli said…
jika alasan lesen dimakan lembu didengari polis semasa pemeriksaan. saya agak kebarangkalian makcik tu disaman amatlah besar.
kerana pastinya polis rasa mereka dipermainkan dan diperbodohkan. sedangkan mereka selalu bersekongkol membodohkan orang ramai dengan media-media dan pemegang kuasa.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK