Tanggungjawab
Ada pelbagai bentuk kasih sayang Tuhan, tanggungjawab salah satu bentuk kasih sayang itu.
3 bentuk tanggungjawab:
1. yang kita sendiri pilih untuk menanggungnya
2. yang diberikan kepada kita
3. atas dasar ilmu
Yang Pertama - yang kita pilih
Tidak susah untuk memahami yang ini, kerana sebelum memutuskan untuk menerima kita telah dihadapkan dengan masa yang cukup untuk berfikir dan menimbang. Dalam keadaan cukup sedar kita menerima. Apa pun yang berlaku selepas itu tidak susah untuk kita hadapi sebab itu memang telah dijangka. Biasanya, ia sesuatu yang kita suka. sesuatu yang telah diimpikan sejak lama. Atau perkara fitrah yang menjadi tuntutan dalam hidup.
Yang Kedua - yang diberikan
Biasanya tanggungjawab jenis ini adalah bukan dalam permintaan. Tetapi datang kerana mungkin atas sebab kita adalah ahli dalam bidang. Mungkin pakar. Tetapi ada juga jenis tanggungjawab ini datang kerana tiba-tiba datang. Bukan sebab kita pakar atau ahli, tetapi takdir yang menemukan kita dengan tanggungjawab ini. Ada banyak cara orang memandang. Mungkin ada jenis yang menolak, tetapi adalah lebih baik kita bersikap lapang dada. Kerana apa-apa sahaja yang ditentukan Tuhan, ada hikmah indah, aneh, lagi baik untuk diri. Walaupun pada awalnya sukar untuk faham, tetapi sekiranya kita menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan, jalan akan terbentang dan kemudian kita tahu kenapa kitalah yang patut menerima tanggungjawab ini.
Yang ketiga - atas dasar ilmu
Ini satu bentuk tanggungjawab yang sukar. Ilmu akan membawa kita kepada kebenaran, walau kebenaran itu sesuatu yang pahit untuk kita telan. Untuk kita menerima tanggungjawab menegakkan kebenaran ini amat sukar, kerana kita akan diminta untuk merendahkan ego. Melihat sesuatu dalam kaca mata yang lain, dan selalu akan diminta untuk kita menjadi seseorang yang berbeza. Menjadi berbeza itu sukar kerana orang selalu salah ertikan.
Apa-apa pun, tanggungjawab itu memang sesuatu yang berat. Ada benda yang kita perlu tanggung, kerana menanggung itu menyebabkan kita perlu menjawab. Mungkin di sini sudah ditanya, kemudian kita harus menjawab. Mungkin pertanyaan itu ditangguh, di 'sana'lah yang kita perlu menjawab.
Menerima tanggungjawab itu bagi saya adalah satu sunnah. Tuntutan berada dalamnya menjadikan kita makhluk sentiasa dalam keadaan sedar diri diuji. Ujian adalah satu bentuk perhatian dan kasih sayang. Ujian akan selalu menjadikan kita beringat.
Beringat itu untuk saya adalah taqwa. Kerana taqwa itu sendiri maksudnya God weary, sentiasa sedar diri dalam permerhatian dan pandangan Tuhan.
Di mana-mana ada Dia, dan Dia ada dalam diri kita.
Comments