Erti Hidup Pada Memberi? - 1

Erti hidup pada memberi adalah tagline yang tidak asing lagi di web Ustaz Hasrizal atau SaifulIslam. Saya cuba bertanya diri adakah ia juga memberi makna kepada saya.

Minggu lepas selepas melawat pelajar-pelajar latihan ilmiah Darul Quran, saya dihantui satu persoalan. Adik-adik rumah anak yatim yang ada di sana berkongsi perasaan yang begitu janggal didengar di telinga saya. Ketika berkongsi, pelajar DQ menceritakan, ada adik yang tidak pernah peduli tentang kasih sayang. Kata dia, "buat apa saya nak beri kasih sayang kepada orang lain, sedangkan saya sendiri tidak pernah merasa kasih sayang."

Pelajar DQ memberi jawapan, "tapi kamu ada kakak-kakak sukarelawan yang menyayangi kamu."

Jawab adik itu yang mengejutkan, "tapi saya tetap tidak dapat merasa kasih sayang seorang Ayah!"

Persoalan itu yang membawa saya bertanya kembali kepada persoalan erti hidup pada memberi. Lama saya berfikir, tetapi semakin berfikir saya tidak dapat melihat relevan kepada diri sendiri, mungkin juga tidak relevan kepada adik yang tidak mendapat kasih sayang Ayah itu. 

Sehingga saya disedarkan dengan pengalaman dan bual bicara yang panjang dengan kawan lama. Erti hidup untuk saya ialah pada merasa.

Adalah agak sukar untuk seseorang itu menjadi pemberi, jika dia tidak dulu menjadi perasa. 

Terdekat yang boleh saya fikirkan adalah Rasulullah. Karakter dan peribadi Baginda adalah dalam kategori mulia yang luar biasa. Akhlak yang tidak ada dua dengan mana-mana manusia tokoh yang pernah hidup dalam zaman, waktu dan ruang ini. Bagaimana baginda boleh menjadi seorang pemaaf, penyantun, guru yang sabar, pejuang keadilan, penebar kemanusiaan, seorang yang paling mengasihi anak yatim, orang yang paling menyayangi.

Untuk manusia biasa, mempunyai karakter seperti itu tidak asing sekiranya yang kita kongsikan dengan orang berkepentingan. Dengan keluarga misal kata. Ibu, ayah, suami, isteri, anak, saudara mara. Juga teman-teman rapat, dan juga kenalan-kenalan yang berkepentingan.

Tetapi tidak Nabi, yang mempunyai segala kemurahan sifat tidak bersyarat (unconditional) untuk diberikan kepada semua umat, muslim atau tidak, melintasi zaman melintasi waktu. Keperwiraan yang tidak mengenal sempadan, dan segala tindak tanduk kebaikkan dan kemuliaan yang sungguh luar biasa!

Saya mencari formula, dan kalau pun ada, tetap tempang dan minta dibetulkan.

Bukan main-main bila Rasulullah menyarankan kita untuk menyayangi dan pelindung anak yatim. Memerhatikan mereka sepenuhnya, menjadi penjaga yang amanah kepada pembentukkan diri sebagai anggota masyarakat. Bukan main-main. Kerana Nabi dulu pernah merasa bagaimana menjadi seorang yatim, tanpa ayah kemudian tanpa ibu. Kemudian tanpa Datuk. Dan kemudian tanpa Pakcik. Baginda pernah.

Apabila Rasulullah sendiri menjadi seorang yang paling tegar untuk menegakkan keadilan. Baik untuk orang muslim dan bukan muslim di bawah jajahannya, Baginda juga pernah menjadi orang yang paling ditekan dan dihinakan ketika 10 tahun pertama Baginda mengajak seluruh ummat di Makkah. Penghinaan apa yang tidak Baginda lalui. Keterasingan 3 tahun dalam sekatan ekonomi yang mencekik dan terasing, seperti mereka tidak wujud walaupun untuk memenuhi keperluan asas. Itu juga Baginda dan keluarganya sudah rasai. 

Tidak hairan mereka bangkit sebagai pembela tegar kemanusiaan dan keadilan.

Banyak lagi. Tidak dapat saya ceritakan.

Merasa itu tidak dapat kita benar-benar rasakan dengan pembacaan. Merasa itu perlu dengan pengalaman. Merasa itu adalah peristiwa dan sejarah. Sejarah yang bukan sekadar mencatat tarikh-tarikh penting dan fakta, tetapi sejarah yang mengajarkan kita ibrah (pedoman / pengajaran). 

Saya jadi terfikir, sekiranya tidak ada syariat berpuasa, adakah saya akan faham derita orang yang gelandangan dan mangsa perang yang tidak ada punya makanan? Sekiranya tidak ada syariat zakat dan galakan bersedekah, adakah saya akan jadi manusia yang sanggup berbagi?

Penyataan adik di rumah anak yatim tidak keluar dari kepala, "kenapa perlu saya berikan kasih sayang sedangkan saya sendiri tidak merasa kasih sayang." Pada masa yang sama, saya juga bertanya diri, apakah sebenarnya peranan kita hidup di muka bumi ini? Adakah dua benda ini berkaitan?

Kata agamawan dan ramai orang, hidup kita ini peranannya adalah untuk kita diuji. 

Dan ada juga menerangkan, hidup ini adalah untuk kita merasai kasih sayang Tuhan yang tidak terbatas. Tugas sebenar kita adalah sebagai seorang steward (penjaga) atau bahasa lain adalah sebagai seorang Khalifah. Khalifah bukan bermaksud Ketua, tetapi wakil. 

Yang kedua itu lebih saya sukai. Untuk menjadi makhluk Tuhan yang merasa segenap kasih sayangNya. Dan kemudian menjadi wakil untuk menebarkan kasih sayang sebanyak-banyaknya.

Satu soalan yang saya tanyakan, kenapa tokoh-tokoh ulung zaman moden seperti Martin Luther King, Mahatma Gandhi, Mother Theresa, Malcolm X, menyanggupi apa yang mereka lakukan sehingga dikenal sejarah. Rupanya King begitu diinspirasikan dengan gerakan passive resistance Gandhi, sanggup datang ke India untuk belajar tentangnya. Sedang Mahatma Gandhi sejak berada di Selatan Afrika sudah pun menjadi pejuang hak-hak awam. Merasa dikriminasi coloured people (diskriminasi berdasarkan warna kulit). Merasa menjadi watak-watak yang ditindas, dan mempelajari pejuangan untuk memperjuang golongan tertindas.

Adalah menjadi satu ironi untuk seorang itu bangkit menjadi patriot yang paling hebat, sekiranya dia tidak pernah merasa bagaimana sakitnya menjadi orang yang tertindas. Sekurang-kurangnya dia mengambil bahagian untuk merasa. Tetapi untuk pejuang-pejuang ini bukan setakat mengambil bahagian, tetapi merekalah golongan yang ditindas itu. Mereka percaya bangkit adalah satu-satunya cara untuk menyatakan tidak bersetujunya kita kepada ketidakadilan yang ditimpakan (impose) oleh penguasa dan Kapitalis. Sedangkan diam itu tanda rela dan bersetuju. 

Sukar untuk saya mempercayai orang yang berasal dari golongan berada, akan menjadi pendahulu kepada mereka yang bangkit melawan ketidakadilan. Melainkan mereka menanggalkan jubah kebesaran dan kemudian menyarung kain kasar rakyat bawahan. Seperti Gandhi yang menenun kain sendiri. Seperti Gandhi yang selesai memakai pakaian yang seolah kain kafan di badannya.

Erti hidup itu pada merasa.

Tuhan jadikan kita sebagai satu-satu makhluk istimewa yang diciptakan untuk dapat merasa. Merasa apa yang ada dalam Namanya Yang Mulia (Asmaul Husna). Kemudian dengan rasa itu, kita menjadi wakilNya untuk dikongsikan kepada yang lain. Baik pada sesama manusia, mahupun kepada haiwan dan alam. 

Kenapa kita belum menjadi pemberi? Kerana jelas sekali kita belum pernah merasa. Kita tidak perlu melaluinya untuk merasa, tetapi cukuplah menjadi pendengar, pemerhati kemudian menghayati derita yang sedang menjadi pakaian mereka. Sehingga kita merasa, baharulah kita tidak akan ragu-ragu untuk menjadi pemberi, dan menjadi pemberi yang sebanyak-banyaknya.

Kenapa ada orang yang bangkit menentang kezaliman? Sedangkan mereka boleh hidup senang lenang sebagai pegawai kerajaan yang disenangi pemerintah. Seperti pemuda gua dalam Surah Al Kahfi? Kerana dipaksakan tunduk selain dari Tuhan Yang Maha Besar adalah kezaliman. Pemuda gua merasa penindasan itu cukup menekan sehingga mendesak mereka untuk mengasingkan diri untuk memelihara iman. Sekiranya mereka tidak merasa beban ditindas untuk tunduk kepada selain dari Tuhan Yang Selayaknya disembah, mereka tidak akan sampai lari dari kemewahan. Mereka merasa, kerana itu mereka bertindak.

Kenapa Rasulullah tetap kekal menjadi seorang pemurah, sedang Baginda sendiri menahan lapar? Kerana Baginda tahu lebih faham erti lapar, dan kerana kasih sayang Baginda tidak sanggup melihat yang meminta-minta turut berlapar.

Untuk peristiwa-peristiwa inilah buat saya faham, kenapa ada rakan sanggup berhabis duit untuk memberi makan gelandangan. Ada juga rakan yang sanggup berhabis untuk memberi makan kucing liar dan terbiar. Ada yang meluangkan masa selepas waktu pejabat untuk memastikan makhluk Tuhan yang kerdil itu tidak terus lapar. Membeli ikan di pasar, merebusnya, menggaul dengan nasi, kemudian keluar rumah di malam hari (walau seharian penat bekerja) untuk memberi makan.

Dan rakan-rakan saya yang diluar sana, memecut dan meredah jem selepas waktu pejabat hampir setiap hari, hanya semata mahu meluangkan masa membantu anak-anak di rumah anak yatim untuk menyiapkan kerja sekolah. Iaitu anak-anak di antara mereka ini yang menuturkan, "kenapa perlu saya berikan kasih sayang, sedangkan saya sendiri tidak merasa kasih sayang!" Sedang jam 8.30 pagi esok hari, mereka tetap perlu hadir di pejabat untuk bekerja.

Hidup ini kita perlu menjadi seperti air. Air yang mengalir. Air yang bila berada di tempat tinggi, akan mengalir ke tempat rendah. Air yang menempati ruang. Air yang membersihkan. Air yang menghilangkan dahaga. Air yang menampung kehidupan. Seperti air yang mengalir, yang bersih, yang menyuburkan.

Sekiranya kita benar mengaku peranan kita hidup dalam dunia ini adalah menjadi wakil kepada Asma'Nya yang mulia, sebagai steward, maka tebarkanlah refleksi itu kepada mereka yang meminta dan tidak meminta. Kepada mereka yang memerlukan. Kerana asal kejadian kita, telah Tuhan bekalkan dengan potensi kemanusiaan yang begitu menakjubkan. Jadilah sang pengasih, penyayang, pemurah, adil, memelihara, pemaaf, penebar keamanan, sang penuh cinta. Rasailah kasih sayangNya, dan kemudian jadilah pemberi, sebanyak-banyaknya.

Seperti Nabi, seperti mereka yang terpilih.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK