Friday, April 18, 2014

Erti Hidup Pada Memberi? - 2

Bila disebut erti hidup pada merasa, kelihatannya sangat mementingkan diri sendiri. Dengan meletak syarat, ktia perlu merasa terlebih dahulu, sebelum menjadi seorang pemberi, akan menyebabkan orang mempunyai alasan untuk tidak bergerak dan bertindak.

Merasa itu ada banyak makna. Merasa itu boleh jadi kita menjadi penerima, kemudian kita akan merasa. Seperti pantun Melayu yang masih saya ingat.

Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa.

Sesuatu mesti diserahkan terlebih dahulu. Maksud, mesti ada seorang pemberi. Kemudian kita yang menjadi penerima akan menjadi seorang yang merasa pemberian, kemurahan hati, kebaikkan dan ingatan dari dia. Ini satu.

Merasa juga boleh juga bukan menerima dari sesiapa, tetapi kita terkesan. Sesuatu yang dirasakan dalam hati, menyebabkan hati tergoncang, dan melahirkan perasaan aneh-aneh yang sukar untuk diterangkan kepada sesiapa pun (macam jatuh cinta?). Perkara ini boleh berlaku mungkin kerana satu-satu peristiwa besar, seperti tsunami di Acheh dan Jepun, peristiwa gerhana berdarah 2014, kehilangan MH370, perarakan tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh Mahatma Gandhi, peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Ini dua.

Merasa juga boleh juga kerana kita melalui sesuatu proses atau pengalaman peribadi. Seperti berpuasa di bulan Ramadhan. Kerana itu kita dapat merasa bagaimana perasaan lapar dan dahaga. Kita dapat merasa bagaimana untuk menahan diri dari membuat perbuatan yang tercela dan bercakap perkara sia-sia. Kita merasa berada dalam struggle (menahan diri) untuk satu yang begitu abstrak. Tiada siapa yang akan merotan pun jika kita makan dan minum senyap-senyap dalam bilik waktu tidak ada orang melihat. Kita juga tidak akan disambar petir sekiranya kita membuat maksiat ketika bulan Ramadhan. 

Begitu juga ketika kita mengasingkan sebahagian dari perolehan (gaji, keuntungan perniagaan, bonus pelaburan) untuk diserahkan kepada badan-badan kebajikan. Kita merasa bagaimana untuk berpisah dari apa yang memberi keuntungan, untuk orang lain yang tidak ada kena mengena secara darah dan pertalian; kecuali ada kena mengena dari sudut hubungan kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Semua ini nilai merasa setelah kita melalui proses dan pengalaman peribadi. Ini tiga.

Erti hidup itu pada merasa.

Baru-baru ini disedarkan, bahawa bukan saja-saja Tuhan mensyariatkan kita untuk melakukan sesuatu yang dilihat merugikan diri sendiri. Seperti puasa dan zakat/sedekah. Apatah lagi untuk pergi Haji. Kita perlu melakukan satu pengorbanan yang besar. Seperti menahan diri dari lapar dan dahaga, walhal tiada orang yang boleh menghalang pun. Seperti untuk meletakkan sebahagian dari apa yang kita dapat dari kerja seharian (gaji), untuk orang lain. Juga melalui perjalanan yang susah payah dan tidak selesa, seperti menunaikan Haji. Malah perlu menabung duit dengan jumlah yang sangat besar.

Tuhan mahu mengajar kita ia bukan syariat yang sia-sia. 

Semua itu dimestikan untuk kita, bagi manusia hamba ini merasa. Merasa dari proses dan pengalaman peribadi. Merasa dari struggle yang kelihatannya merugikan diri, tetapi manfaat besar untuk orang yang tertindas, fakir dan miskin. Merasa untuk sedar bahawa lapar dan dahaga selama sebulan itu adalah satu perasaan yang sukar digambarkan, tetapi untuk yang lain, mereka mungkin lapar dan dahaga untuk seluruh kehidupan dan umur mereka.

Seperti Tuhan menahan hujan, untuk kita merasa betapa susahnya di musim kemarau. Betapa susahnya ketika empangan kering. Betapa susahnya untuk tidak merasa air yang melimpah ruah keluar dari paip besi. 

Hanya dengan itu, kita dapat menghargai, segayung air itu sudah cukup untuk mengambil wuduk. Setengah baldi air itu sudah cukup untuk membersihkan diri. Dan baharu kita menyedari, bahawa dengan lebihan, lebih baiklah kita berjimat dan lebih baik dari itu, berkongsi dan saling berbagi.

Tidak salah rasanya untuk kita merasa rugi bila jadi orang yang memberi. Kerana sesuatu akan hilang dari kita. Akan kurang dari kita. Bukankah yang kurang dan hilang itu bentuk kerugian?

Tetapi tidak pernahkah sekalipun kita meletakkan diri dalam keadaan berfikir yang panjang, sejak dari mula kejadian kita dalam rahim ibu, kita sudah pun menjadi penerima? Menerima makanan dari ibu dengan perantara tali pusat. Menerima bentuk perlindungan yang aman dan selamat, dalam rahim ibu dengan dipenuhi air yang mendamaikan. Menerima nyawa dari Tuhan selepas beberapa waktu dari pembentukan. 

Kemudian kita dilahirkan, dan kita mula menjadi penerima kepada nikmat-nikmat yang begitu menggunung banyaknya yang tidak boleh dihitungkan? Kita menerima organ tubuh badan yang sempurna untuk membolehkan bernafas, jantung berdenyut, darah di sirkulasi dengan baik untuk menerima oksigen, organ perkumuhan yang baik untuk menstabilkan kandungan toksin dalam badan, dan lagi dan lagi dan lagi. 

Menjadi penerima pacaindera yang begitu hebat sekali penciptaannya, untuk membolehkan kita merasa. Mata untuk merasa nikmatnya melihat. Telinga untuk merasa nikmatnya mendengar. Hidung, untuk merasa nikmatnya menghidu bau-bauan. Lidah, untuk merasa begitu enaknya makanan dan minuman. Telinga untuk merasa bagaimana merdunya bunyi-bunyi. Kulit, untuk merasa betapa sensasinya sentuhan. Hati, untuk merasa betapa indahnya perasaan.

Anehnya, yang kita tidak buat itu ialah, merelakan diri sepenuh sedar untuk merasa segala nikmat Tuhan yang tidak dapat didustakan.

Kita tidak sepenuh sedar untuk merasa. Kerana itu kita belum menjadi seorang yang memberi.

Bukan anak-anak gelandangan, manusia gelandangan itu meminta dari kita. Tetapi Tuhanlah yang meminta kita untuk memberi segala kelebihan dan nikmat yang diberikan, untuk dikongsikan kepada orang.

Bukan anak-anak tanpa ibu/bapa/penjaga yang meminta kasih sayang, tetapi kitalah yang diberikan segenap kasih sayang Tuhan dituntut untuk mengasihi yang lain. Mengasihi anak manusia semuanya. Mengasihi alam sekitar.  

Satu hari saya jadi terfikir, kenapa ada manusia yang secara konsisten diuji? Bila diuji, manusia itu akan berada dalam keadaan paling progresif dan aktif. Ada kuasa dan motivasi yang mendorong dia untuk bergerak. Untuk menjadi orang yang bergerak itu bukan benda negatif. Malah perkara yang sangat positif.

Diuji itu bermaksud kita sedang menerima, kita sedang merasa. Dan dari pengalaman merasa itulah kita akan menjadi lebih matang, dan akhirnya menjadi hamba Tuhan yang paling gembira untuk berkongsi.

Erti hidup pada merasa. 


No comments: