Getting Old Gracefully

Dahlia semakin menyukai rutin bulanan membawa Mak ke rumah sanak saudara sebelah arwah Ayah. Dari segi talian, sepatutnya sudah jauh. Memandangkan sejak kecil Dahlia tidak berapa rapat dengan keluarga sebelah Ayah disebabkan jarak umur dan juga budaya yang diamalkan. Mereka lebih berpendidikan jadinya cara bergaul itu agak formal dan bersopan.

Dahlia cuba memadamkan konflik apabila berkunjung di rumah Pak Usu. Konflik tentang keteguhan memegang kepada agama dalam bentuk masyarakat terima. Seperti, ketika kita sudah mencapai umur senja, setiap dari kita mesti menunjukkan ciri-ciri alim dan tunduk. Mungkin kalau nak dimudahkan bahasa, mesti memakai kopiah putih dan tunduk elok tertutup. Pak Usu dan Mak Usu jauh dari ciri-ciri tipikal seperti itu. Untuk orang yang sudah melepasi umur 70, mereka masih kelihatan ranggi dan bergaya. 

Pak Usu dan Mak Usu sejak dari muda-muda dahulu sudah pun mengubah cara hidup dan menerima dengan terbuka budaya luar. Pak Usu terdidik di negeri orang putih. Mereka sekeluarga membesar di luar. Kerana Pak Usu sendiri bekerja di pejabat Diplomat, kebanyakkan masa dihabiskan di linkungan bukan dalam budaya Melayu.

Dahlia semakin suka berkunjung kerana, di sebalik fungsinya sebagai pemandu untuk membawa Mak merapatkan tali persaudaraan dengan saudara sebelah arwah Ayah, Pak Usu dan Mak Usu tidak pernah meninggalkan dirinya untuk menjadi sebagai salah seorang dari lawan bicara. Mereka tetap menunggu butir bicara yang mahal keluar dari mulut Dahlia, sebagai tanda hormat kepada dirinya yang hadir dalam majlis tersebut. Walau jarak umur begitu jauh, lebih dari 40-50 tahun berbeza dari diri Dahlia.

Ada sesuatu yang indah dalam diri Pak Usu dan Mak Usu. Walaupun sekiranya Pak Usu berkunjung ke rumah Dahlia beliau tidak akan memberi ucapan salam, sebaliknya "Hello." Walaupun ketika bertahlil, Mak Usu tidak pernah dilihat akan memberi tumpuan dan mulut terkumat kamit membacakan bacaan-bacaan tertentu, di mata Dahlia, mereka ialah warga emas yang luar biasa. Yang tidak terlihat tua, tetapi terlihat bertenaga. Tidak terlihat layu, tetapi setiap hari mengecapi kehidupan dengan semangat yang menyala-nyala. Mereka sudah tua, tetapi tetap nyala dan ceria.

"Mak Usu rasa mahu tutup sahaja sekolah, rasa sudah tidak larat." Begitu mulanya bicara Mak Usu tentang sekolah yang dibuat dirumah yang dua tingkat itu. Di kawasan elit orang-orang ada ada di Ampang Jaya, Dahlia terkejut. Dahlia tidak pernah tahu bahawa Mak Usu secara tidak formal membuka rumah untuk pendidikan awal kanak-kanak.

"Ada dua kelas di sini. Bilik bawah ni, untuk anak-anak umur 3 dan 4 tahun. Di bilik atas, untuk anak-anak 5 dan 6 tahun. Setiap dua minggu Mak Usu akan mengajarkan mereka untuk kemahiran memasak. Ada banyak resepi yang telah mereka siapkan. Ada minggu yang masak muffin, kek, biskut dan masakan ringkas yang lain. Sekarang ni, anak-anak ini sudah tahu banyak jenis masakan dan mereka gembira untuk aktiviti, kelas yang mereka tunggu-tunggu setiap dua minggu."

Makcik Dahlia yang lain bertanya untuk tahu, "macamana mereka buat kerja? Bila bancuh tepung, pukul telur, campurkan gula dan sebagainya?"

Mak Usu menjawab, "kita sebagai Cikgu kena banyak-banyak bersabar. Awal-awal kelas memang menguji kesabaran bila melihat mereka terkial-kial untuk menimbang. Terkial-kial pecahkan telur masuk dalam mangkuk. Bilik bawah ni bila aktiviti memasak memang bersepah. Hati kita sebagai Cikgu akan rasa terusik untuk menolong supaya tugas dapat diselesaikan dengan baik, tetapi sebagai Cikgu kita perlu tahu bila kita perlu bantu dan bila perlu kita biarkan mereka. Memang kena keraskan hati untuk lihat sahaja apa yang mereka buat supaya mereka boleh belajar dari pengalaman." Mak Usu menceritakan panjang lebar kepada kami. 

Dahlia memasukkan setiap patah perkataan dalam kotak kepala. Isu tentang pendidikan awal kanak-kanak memang menarik minat Dahlia sepanjang masa. Dahlia selalu berharap waktu kecilnya dia dihantar di sekolah yang sangat bagus supaya kemahiran asas yang diperlukan untuk kerja dan kehidupan masuk dalam diri sejak awal. Bukan bila sudah bekerja baru hendak belajar semua. Sangat memenatkan.

"Kita kena biarkan mereka, sebab mereka perlu belajar untuk menggerakkan tangan," kata Mak Usu lagi.

"Oh begitu rupanya cara untuk kita mengasah kemahiran psikomotor anak-anak," Dahlia menambah.

"Ya betul. Memang membantu mereka menggerakkan tangan dan kawalan terhadap anggota badan. Sekarang ini sudah tidak susah, sebab anak-anak sudah mahir. Mereka semua memang seronok diberi tugas dan menyelesaikan sampai siap." Mak Usu membalas sambil memandang tepat ke wajah Dahlia.

Mak Usu betul-betul seorang guru awal kanak-kanak yang faham dengan tugasnya.

"Ada yang masuk sini umur 3 tahun, 4 tahun, sepatah perkataan Bahasa Inggeris pun mereka tidak tahu. Tetapi selepas 6 bulan hadir ke kelas, cakap Bahasa Inggeris mereka sudah sangat fasih dan berabuk." Mak Usu memberi penerangan lagi. 

Dahlia kagum dalam diam. Impian Dahlia untuk membuka sekolah seperti itu bagai dinyalakan semula. Tapi dalam hati dan fikiran Dahlia bukan untuk orang ada ada sahaja, tetapi untuk anak-anak miskin dan yatim yang tidak mendapat peluang belajar dengan kemewahan ilmu dan pengalaman. Lebih penting dari itu, kasih sayang seorang guru untuk memberi nyala kepada anak-anak didikan.

"Berapa orang anak-anak yang belajar di sini?" tanya Dahlia betul-betul ingin tahu.

"Mak Usu ambil 10 orang sahaja. 5 di kelas bilik bawah, 5 lagi di kelas bilik atas. Mereka belajar pun tidak lama, dari jam 9 sehingga jam 12."

Baru Dahlia faham sekolah yang diwujudkan itu adalah sekolah berbentuk Playschool. Lebih kepada menyediakan persekitaran bermain untuk anak-anak tetapi pada masa yang sama memasukkan elemen pembelajaran dalam keadaan anak-anak gembira dan suka untuk belajar. Satu pelaburan yang sangat menguntungkan. 

Mak Usu itu, yang masih tersisa kecantikan ditambah kecergasan dalam melakukan kerja-kerja dapur begitu menambat hati Dahlia. Mak Usu yang telah lama merantau di negeri orang, sekarang pulang untuk menikmati umur tua. Tetapi tidak mahu menjalani dengan keadaan rutin yang biasa. Mak Usu seolah-olahnya menjejaki tua, tetapi dalam keadaan bergaya dan bertenaga. Getting old gracefully seperti kata-kata orang.

Mak Usu yang dalam umur tuanya masih tidak mahu bersenang-senang. Boleh jadi Mak Usu memilih untuk berada dalam ketenangan, menjaga pokok dan tanaman di sekitar rumah, menjaga kucing yang comel. Tetapi Mak Usu memilih untuk mengajar anak-anak kecil generasi dengan kepakaran ilmu awal kanak-kanak yang dimiliki.

Dahlia memikirkan, sekalipun Mak Usu dan Pak Usu tidak dikurniakan cucu untuk diajak bermain dan berkongsi, mereka tetap sahaja tidak mengeluh dengan ketentuan takdir. Mereka memilih untuk menikmati hari tua, dengan anak-anak lain yang mereka asuh dengan kasih sayang dan pelajaran. Hidup yang terisi mungkin untuk 4-5 tahun lagi. Selagi diri masih bertenaga, selagi kasih sayang ada dalam diri mereka.



Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK