Dia dan Aku
Dia memandang hujung bajuku yang di selotape. Tergunting ketika aku merapikan baju yang sudah berbulu-bulu. Entah dia jelek atau hairan, aku tidak tahu. Tapi dia kawan baik yang boleh sahaja aku jadi apa sahaja dan dia tidak akan menghakimi, apa pun dan kapan pun.
"Kau masih ingat Prof Harun?" tanyaku bernostalgik.
"Arwah? Yang legend itu?" dia ingin kepastian.
Aku angguk. Ya Profesor itu.
"Satu hari ketika berada di dewan kuliah, Prof. Harun sedang menyampaikan butiran penting untuk matapelajaran rekabentuk. Ketika dia mencari-cari sesuatu di kocek saku kameja, dia telah menggunakan tekanan yang agak kuat. Saku Prof. Harun koyak. Depan mata kami." Aku bercerita. Dia tidak ada sewaktu kejadian, kerana jarak umur kami beza. Dia junior setahun.
Dia mengangkat kening tidak percaya. "Ada orang gelak?"
"Aku kira ada. Sebab ada suara di belakang. Tapi aku tidak tergamak untuk turut serta. Prof. Harun adalah salah seorang mahaguru yang aku hormat sepenuhnya. Aku bersimpati tapi tidak tahu hendak berbuat apa."
"Lepas tu?"
"Prof. mengambil selotape yang ada di hadapan meja. Depan dewan kuliah yang padat pelajar itu, Prof. Harun menampal sakunya yang robek. Tanpa ada kesalan dan rasa malu. Kemudian meneruskan kuliah," aku bercerita bangga dan menunjukkan hujung tangan baju kurungku yang robek sedikit tergunting kerana tidak berhati-hati.
"Kau tahu, aku kira dalam kehidupan ini, kita perlu contoh-contoh yang prakikal seperti Prof Harun, bukan material seperti ramai pemimpin dan kapitalis yang tamak."
Aku mendengus kesal. Anak-anak kecil yang akan membesar pada masa akan datang melalui zaman yang sukar kerana manusia terus-terusan bersifat tamak. Dunia yang satu ini pun mahu digali sehingga habis dan merah semuanya. Asalkan ada duit melambak dalam akaun bank.
Hujung mataku basah. Anak-anak masa depan yang akan susah. Anak-anakku, anak-anak dia. Anak-anak kita.
"Kau tengok 3 Idiots?" tanya dia.
"Banyak kali. Setiap tahun ulang tengok," filem Hindustan yang sangat banyak nilai dan pengajaran.
"Ingat masa Rancho mainkan tunang Pia? Rancho hilangkan jam Pia yang beribu-ribu rupee nilainya. Kata Racho jamnya yang murah juga menunjukkan waktu yang sama. Tujuan yang sama, tapi akan ada juga manusia yang akan belanja berlebih-lebihan atas nama status dan kedudukan." Dia memang berfikir kritis.
Aku kira masa muda Prof. Harun juga seperti Racho (Phunsuksh), genius kejuruteraan genius juga dalam kehidupan.
Aku memang tidak ingat banyak pelajaran yang diajar, tetapi nilai kehidupan yang arwah tunjukkan masih segar dalam ingatan, hati dan perasaan. Moga Prof. bahagia 'di sana'.
Comments
Tuliskan menulis...saya akan ikuti blog ini.
teruskan menulis...