Perbezaan Aliran

Dia anak muda, belum lagi 21 tahun saya rasa. Tetapi selalu datang untuk membicarakan perihal ummah. Katanya tadi, di kalangan orang beragama pun tidak semestinya sama pendapat, malah kadang-kadang berlaga. Tidak sebulu,

Kata saya pada A, anak muda tadi, "sekiranya awak dan saya mempunyai RM1000 ringgit, tetapi berbeza aliran dan pendapat dalam banyak perkara dalam agama, apakah benda yang boleh menyatukan kita?"

A termenung. Mungkin tidak sangka soalan begitu keluar dari mulut. Saya mahu dia menyedari bahawa keadaan ummat waktu ini sudah jadi begitu. Boleh jadi kita duduk dalam kereta dengan kawan-kawan yang tidak sealiran pun dalam mazhab, meski agama sama.

Saya tidak ada punya masa yang banyak, lalu memberikan A cadangan jawapan, "benda yang akan menyatukan kita adalah soal-soal kemanusiaan dan kemasyarakatan."

A memandang saya tepat tidak faham.

"Jelas-jelas kalau kita bincang soal usul fiqh dan aqidah, kita akan terus berbalah. Tetapi katalah kita terpaksa berkawan, kita kena mencari satu perkara yang boleh menyebabkan kita lupa akan perbalahan, tetapi fokus kepada menyelesaikan misi."

"Apa kena mengena dengan RM1000?" tanya A tidak nampak perkaitan.

"Macam inilah, kita memang berbalah, tetapi satu hari kita berjalan dan ternampak satu keluarga tinggal di bawah jambatan. Kita ada lebihan duit RM1000, kita boleh bergabung untuk selesaikan masalah orang yang tinggal bawah jambatan tu. Saya akan cadangkan RM1000 saya boleh bagi duit sewa selama 5 bulan, kalau sewa bilik sebulan RM200. Duit awak A, yang RM1000 tu boleh digunakan untuk makanan harian dan modal untuk keluarga tersebut untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan atau minta pekerjaan."

"Sampai bila kita mesti berbalah, sedangkan berbalah itu tidak memberikan kebaikkan dalam nilai agama dan ketaqwaan. Kerana di antara dua pihak berbalah tersebut, mereka merasakan diri sendiri betul dan lawannya banyak salah."

A mengangguk faham. Saya percaya dia sebagai anak muda yang nampak kepincangan dan cuba menyelesaikan masalah masyarakat. Tetapi saya nasihatkan dia, selagi dia bergantung kepada agamawan yang menunggang agama untuk menjalankan semua aktiviti yang A rancangkan, benda itu akan tinggal di kertas kerja sahaja. Tidak akan jadi apa-apa. Mengharapkan kertas kerja tersebut menjadi kertas recycle pun mungkin tidak berlaku.

"Saya bukan tidak percaya pada orang agama, tetapi orang agama tidak menunjukkan contoh yang menyebabkan saya boleh percaya kepada mereka. Terutama yang memegang kuasa kepada sesuatu jabatan, terutama yang masih tunduk kepada ego untuk buat keputusan."

"A, selagi kita tidak mampu meruntuhkan ego, kita tidak mungkin jadi seperti Rasulullah yang sama-sama mengorek tanah semasa perang Khandak. Seperti Rasulullah yang mengangkat bata untuk membina masjid Madinah. Selagi kita tidak berjaya menundukkan ego merasakan diri lebih mulia dari orang lain, selagi itulah kita akan terus berbalah yang tidak sudah."

Petang itu ditutup dengan A mengisi roti yang diberi ke dalam beg. A mempunyai fikiran yang panjang dan tajam. A juga mengerti erti politik meski dia muda. Tetapi sebagaimana tidak berdayanya saya menjelaskan tentang politik yang kejam kepada diri sendiri, saya juga tidak berdaya menyakinkan A bahawa masa depan dia nanti akan cerah tanpa rasuah dan pengkhiatan. 

Penyatuan kepada perbezaan aliran adalah kemanusiaan. Dan ia mesti bermula dengan meruntuhkan ego.



Comments

http://jejakjauhari.blogspot.my/ said…
Namun orang selalu salah faham antara Islam dan muslim, antara agama dan penganutnya. Agama tidak bersalah, yang bersalah ialah orang yang dalam agama tersebut - tidak kiralah ia benar-benar mengamalkannya atau tidak mengamalkannya. Yang tidak mengamalkan memang benarlah salah. Yang mengamalkan sehingga nampak orang lain salah pun tetap salah. Tetapi kita, selalu memandang agama dan penganutnya dengan pandangan yang salah, sehingga kita menuduh agamalah yang menyebabkan penganutnya salah. Seperti agawan dalam Kristian yang menjadikan Kristian korup dan ditolak oleh agamawannya sendiri.

Mujurlah Islam tiada agamawan. Kita hanya ada orang yang beragama Islam yang mengamalkan Islam. Semoga Allah menetapkan kita dalam jalan Islam yang benar.
ASaL said…
Kita ada agamawan elit tidak boleh diusik. Realiti hodoh yang sedang menjadi penyakit masyarakat.

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?