Kentut Bau Blume
3
“Kalau nasihat
itu benda, ianya adalah kentut.”
Fai
menyemburkan sebahagian air yang dalam mulut tepat ke muka Jaja. Jaja menjeling
Fai jengkel sambil memaki hamun dalam Bahasa Jerman.
“Maaf Jaja.
Aku yakin hidup kau diberkati kerana mendapat blessing dari aku,” Fai mengambil tisu sambil mengelap air-air yang
terpercik. Basah dua tisu. Mujur air kosong.
5 minit Fai
dan Jaja gelak tanpa peduli orang keliling. Kedai makan itu penuh. Sekali
sekala mereka dapat melihat orang menjeling. Menyampah mungkin. Jaja tidak
peduli. Lagilah bila melihat yang menjeling ada rokok di celah dua jari, tidak
segan silu menyembur asap ke ruang awam. Bagi Jaja itu lebih menjengkelkan dan memualkan.
“Entschuldigung
Jaja. Dalam hal serius kita bincang bila kau cakap macam tu aku tak dapat nak
tahan gelak. Timing kau salah sebab
aku baru teguk air.”
“Ah so. Sukahati kau je Fai. Berapa kali
dah orang dapat restu dari mulut kau ni?”
“Selain kau,
Aran. Masa kami main bowling kelab. Salah dia sebab buat lawak masa aku tengah
minum. Basah lenjun. Tapi dia bernasib malang sebab aku tak boleh tolong lap. Lelaki
kan. Haram. Tak penting pun semua ni. Kenapa kau cakap nasihat tu kentut?”
“Gila kau, depan lelaki pun tak boleh nak
kawal. Kentut macam semburan kau la Fai. Kita suka je sedekah bau atau bunyi
kat orang. Tapi kalau sendiri yang dapat memang seribu tahun kau sumpah
seranah.”
“Yelah, BAU
TELUR!” Jaja meniru lagak Johan dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. “Tapi
sumpah, aku tak kentut depan orang. Aku duduk jauh-jauh masuk tandas kalau
berhajat.”
“Tahu pula
bersopan. Naluri perempuan dalam diri kau, aku rasa dah pupus.”
“Biarkan. Aku
lagi suka nak dengar cerita kentut nasihat kau, atau lagi tepat kentut nasihat.
Apa-apa jelah.”
Jaja ambil
masa sendiri. Menyuap mee goreng yang tinggal sesudu dalam pinggan. “Aku cerita
pasal diri sendiri je. Dalam banyak keadaan bila orang bagi nasihat, ada
sesuatu yang menggelegak dalam badan. Ego aku cepat mendidih. Selalu aku akan
menjawab, atau memotong sebelum orang habis cakap. Tapi akhir-akhir ini aku
cuba untuk diam, dan memujuk ego aku untuk tenang.”
“Nasihat
memang senang kita bagi orang. Lebih-lebih lagi kalau kau ada sedikit lebih.”
Jaja menyambung selepas menghirup air sirap air ditambah biji chia sendiri.
Senang nak buang air katanya.
“Sedikit lebih
apa? Anuar Zain?”
“Itu sedetik
lebih la. Sedikit lebih dalam apa-apa sahaja. Mungkin ilmu, duit, kekayaan,
harta, pangkat, kedudukan, pendek kata lebih dari orang. Contoh kau akan senang
je nak kongsi ceramah pasal jaga ibu bapa bila mereka sudah tua. Gunakan
Facebook dan Whatsapp yang ada ahli keluarga dalam tu. Bila kau teliti yang
empunya beri nasihat, seminggu sekali nak tengok dia telefon mak atau ayah dia
pun tak ada. Apatah lagi kalau nak jenguk sekali sekala di hujung minggu
walaupun rumah cukup dekat. Akhirnya, mak yang telefon sebab rindu suara anak.
Rindu nak ada orang teman makan.”
Jaja kalau
serius dia boleh bina kapal terbang. Itu yang terdetik di hati Fai. Projek
tahun dua mereka di Jerman sudah buktikan betapa serius Jaja. Memang sunguh Jaja
buat drone yang lebih mudah diterbangkan
dan mempunyai kualiti video yang lebih baik. Siap boleh mengesan pergerakkan
dan haba. Mungkin Fai mengesan haba keikhlasan dalam pemerhatiannya terhadap
masyarakat.
“Bagi akulah
Jaja, itu lebih baik, berkongsi-kongsi pesan macam tu.” Fai cuba membela hal,
walaupun tidak tahu Fai memaksudkan siapa.
“Aku nak minta
kau bayangkan. Memang aku setuju pesan kebaikkan itu bagus. Tapi cuba bayangkan
kalau nasihat itu dapat pada adik-beradik yang betul-betul jaga mak ayah.
Bukankah itu bikin panas. Di mata orang lain orang akan nampak betapa tulus
suci yang kongsi ceramah Ustaz pasal jaga ibu bapa. Mujur adik yang jaga mak
ayah tu jenis pendiam tak bising-bising. Kalau dibuka pekung, boleh malu
sekampung.”
Fai diam. Cuba
menyelami. Memang ada rasa panas dalam dada. “Apa yang lebih baik? Kalau
berpesan nasihat pun macam tak kena pada kau.”
“Dalam Quran
dah pesan, kita patut buat apa yang kita cakap. Mungkin tafsiran aku tidak ikut
konteks, tapi aku rasa tindakan ini yang paling tepat. Nilai yang kau nak
sampaikan melalui lidah kau, mesti sejalan dengan tindakan fizikal kau.” Jaja
tidak minta izin bangun. Dia terus bergerak ke sinki untuk membasuh tangan.
Fai juga bangun
menuju ke kaunter berdekatan pintu hadapan kedai. Makan tengahari dibayarkan
semua. Fai tidak kembali ke meja. Dari jauh dilihatnya Jaja tercari-cari. Fai
mengangkat tangan untuk dapat dilihat Jaja.
“Danke schon. Untung makan dengan kau ni,
pemurah.” Jaja berbahasa yang tidak perlu. Itu sudah amalan mereka, bergilir
bayar.
“Aku tak pernah
nampak sendiri depan mata contoh yang kau bagi. Tapi kalau nampak pun mungkin
tak dapat nak rasa. Kita hidup di zaman serba serbi cepat. Tambah lagi ramai
pentingkan diri berbanding ibu bapa. Bila dewasa serba boleh kita nak putuskan
tali pusat dari orang tua. Terutama bila sudah berkerjaya. Bila duit ibu bapa
tidak lagi diperlukan sebab kau sudah boleh berdikari sendiri.” Fai menambah
ketika bergerak menuju ke kereta.
“Tapi bila ada
hal menyangkut harta, kau akan lihat mereka ini akan berbaik-baik dengan ibu
bapa. Atau dalam keadaan terdesak, ibu bapa akan jadi bank tanpa interest. Yang tak akan dituntut untuk
dipulangkan setiap bulan. Selalu buat-buat lupa.”
Fai sudah
tidak ada benda untuk menyampuk. Contoh Jaja berat difikirannya. Nasihat itu
sebenarnya masuk dalam dada. Fai menimbang semula layanannya kepada ibu bapa
sendiri. Terus teringat ceramah Ustaz Nouman Ali Khan. Ibu bapa meninggalkan
semuanya untuk menghidupkan anak-anak. Lebih dari itu menghidupkan cita-cita
dan impian anak-anak sehingga menguburkan cita-cita dan perancangan mereka
sendiri. Sebelum lahir mereka telah mengimpikan sesuatu, tetapi selepas lahir
anak, impian itu semua dileburkan. Anak-anak itu telah menjadi nombor satu
mereka. Seluruh kasih sayang tertumpah pada mereka. Mereka mengingat setiap
satu yang berlaku ketika bayi, termasuk menyalin lampin dan membasuh berak
kencing. Walaupun anak itu sudah besar dan berumur 60 tahun sekalipun. Mereka
masih ingat. Walau anak itu tidak pernah akan ingat ingat.
“Kenapa Tuhan
menghilangkan memori kita ketika kita kecil? Contoh memori setiap perbuatan
baik yang ibu bapa buat untuk anak-anak? Aku rasa kalau kita ada memori mesti
mudah untuk setiap anak ingat jasa.” Fai bertanya Jaja yang sudah pun duduk di
kerusi penumpang.
“Aku rasa
supaya kau balas jasa itu sepenuh kesedaran kau. Seikhlas hati. Tuhan mahu kau
berfikir sendiri. Bila kau ambil masa berfikir, memori itu akan datang. Kau
akan kecil semula, dan kau akan lihat senyum mak kau yang masih muda dan bertenaga,
menyuapkan nasi ke mulut kecil kau dengan senyum ikhlas sepanjang masa.”
Fai merasakan pada masa hadapan Jaja boleh mencipta alat yang boleh mengesan keikhlasan. Kereta
itu bising dengan bunyi enjin yang cuba dihidupkan. Kepala Fai sarat dengan
macam-macam fikiran. Seperti mahu menangis pun ada. Tetapi Jaja ada di sebelah, ditahankan. Tiba-tiba memori ibu yang
selalu memimpinnya ke masjid datang bertalu-talu seperti tayangan filem yang
dicepatkan.
Fai meletakkan
gear ke kotak D. Fai memandang Jaja, “kau tahu tak, kentut kau hari ni bau blume.”
“Harap kau tak
ketagih.”
Mereka ketawa
seperti orang gila.
Comments