Pelampung, Bot dan Helikopter

Kesempatan menyertai diskusi ilmiah satu masa dahulu, antara wakil gereja (tidak ingat gereja mana) bersama sekumpulan Muslim yang berminat telah meninggalkan beberapa kesan penting dan pengajaran berhikmah sesuai dijadikan pedoman masa mendatang (Eika mungkin dapat agak buat kat mana). Topik diskusi berkisar mengenai sejarah Bible, mengenai Bible itu sendiri dan beberapa perkara menyentuh doktrin Kristianisasi cukup akademik. Tempat diskusi tersebut memberi ruang kepada rombongan gereja terdiri dari 6-7 orang, selebihnya orang-orang Islam berlainan latar dan bangsa cukup mengujakan. Tidak terhad kepada warga Malaysia terdiri dari kaum Cina dan India, majlis dikongsi dengan bangsa-bangsa lain, seperti berada di persidangan antarabangsa. Bagi blok muslim, mereka kelihatan tidak sabar-sabar untuk menunggu sesi soal jawab, lebih-lebih lagi MENJ ada di sana.
Tidak berniat untuk memanjangkan mengenai diskusi, satu pengajaran yang saya rasakan penting yang dikutip dari moderator diskusi tersebut masih terngiang-ngiang hingga sekarang. Moderator seorang tokoh, cukup akademik meski beliau seorang Muslim mengendali majlis dengan suasana harmonis tanpa bias kepada mana-mana pihak.
Kata beliau dalam sidang penutup, baik Muslim atan Kristian, masing-masing mengharapkan redha Tuhan dan pertolongan dariNya. Dengan membawa kisah bercerita tentang tsunami (tidak pasti cerita benar atau cuma cerita dengan menggunakan latar bencana yang masih baru ketika itu), beliau mengisahkan mengenai seorang mangsa yang berada di atas bumbung rumah dengan dikelilingi air bah yang makin naik. Si mangsa bersungguh-sungguh berdoa dengan ikhlas dan pengharapan yang penuh agar dia diselamatkan Tuhan. Tidak berapa lama kemudian, dia terlihat mangsa lain menaiki sampan dan mencampakkan pelampung yang diikat ke sampan kepadanya. Berkali-kali yang di dalam sampan menggesa dia mengambil pelampung supaya diselamatkan. Beliau menolak kerana dia percaya dia akan diselamatkan Tuhan. Kali kedua, si mangsa ditemui pihak berwajib dalam bot berenjin melewati bumbung rumah yang semakin hendak tenggelam. Diperintahkan si mangsa untuk melompat masuk ke dalam bot. Sekali lagi dia menolak, dengan alasan yang sama. Dia menunggu pertolongan Tuhan! Kali ketiga, tiba-tiba sebuah helikopter penyelamat sampai dan menurunkan tangga betul-betul di hadapannya. Ketika itu hanya tinggal beberapa inci untuk bumbung tersebut ditenggelami air sepenuhnya. Masih lagi dengan alasan sama, si mangsa menyuruh penyelamat pergi kerana dia yakin dia akan diselamatkan Tuhan. Makin lama, air makin naik, si mangsa tidak punya platform lagi untuk berpaut, dia sedar dia akan dihanyutkan. Seketika sebelum hanyut, dia mengadu "Tuhan, mengapa Kau tidak menyelamatkanku?". Moderator berkomentar, "Tuhan telah memberikan pertolongan dalam cara yang pelbagai, hanya sahaja manusia buta hati untuk melihat bentuk pertolongan Tuhan".
Ini cerita yang saya panjangkan pada rakan-rakan dan sangat bermotivasi untuk diri saya sendiri. Nasihat saya, bila mana anda ternampak pelampung, maka berpaut sahaja kerana kita sendiri tidak tahu samada bot atau helikopter akan melewati. Walaupun kita sendiri tidak tahu samada pelampung tersebut cukup kukuh untuk menyelamatkan (Ija, tak payahlah kita kira Modulus of Elasticity atau Modulus of Rigidity pelampung tu dan kira dia punya tekanan atm), tapi yakinlah itu jalan yang Tuhan berikan. Setelah ada pelampung di tangan, berusaha berenang ke tempat selamat, berdoa dan bertawakallah. Itu bahagian kita, usaha, ikhtiar, doa dan tawakal. Selebihnya barulah apa yang akan terjadi, biarlah ia terjadi. Sekurang-kurangnya kita telah melaksanakan bahagian yang Tuhan peruntukkan untuk kita, di akhir cerita - saya pasti kita tidak akan menyesal. Memang menakutkan, tapi sebagai manusia, kita harus berani bukan? Berani? Cubalah........
Imam Ali (Najh Al Balaghah)
"Sungguh Allah Yang Mahasuci dan Mahatinggi telah membuat ingatan kepada-Nya, cahaya bagi hati yang mendengar pertolongannya walaupun tuli, melihat dengan pertolonganNya walaupun buta, dan menjadi patuh dengan pertolonganNya, walaupun ada pertentangan".
"Dalam semua masa dan waktu, ketika tidak ada Nabi, Allah yang nikmat-nikmatNya tidak ternilai berbisik-bisk dengan para hamba dalam fikiran mereka, dan berbicara dengan mereka yang berakal".
Allahu A'lam.
(p/s: cik wadaah, sudahkah anda berpaut pada pelampung, atau haruskah kita menunggu bot dan helikopter?)

Comments

Anonymous said…
bukan setakat perpaut tp dh...cik asal tahu hehe...

"yg baik tu susah nak nampak, yg jahat susah nak dikesan"...hanya berdoa dan bertawakkal kepadaNya.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang