…dan musim semi juga meninggal pergi

Hati yang tersayat tidak mampu menghalang. Air mata berjuntaian jatuh tidak putus dan sedu sedan juga tidak berbekas. Dia melangkah bersahaja, meski masih ramai memaut-maut keras dan berpekik keharuan, “Jangan pergi, jangan pergi”.
Bukan seperti musim semi yang lain, ini yang paling istimewa.
Sepanjang masa ia menghangatkan, memberi nyaman, rasa selesa dan lapang dada.
Beburung berlagu merdu irama yang tidak dapat disimfoni.
Dan tidak menghidu melainkan wangian rindu dan keinsafan.
Segera sahaja bisa terbuai keasyikan maha dalam, hingga memberi satu petalian tanpa nama, tidak punya definisi.
Asyik! Sungguh.
Ia musim yang mengjungkir balik kenangan yang tinggal. Di waktu cuaca membeku. Sejuk melampau. Pada waktu daun-daun gugur kering, kesat dan tidak bernyawa berputar jelas dihadapan mata.
Maka sinar yang menyinggah terasa sangat bererti, sangat dinanti, tepat masanya. Maka harapan memetik bunga-bunga segar, mekar, paling indah harus bergantung pada semi ini. Ya! Semi yang ini.
“Mungkinkah ia yang terakhir, lantas kehilangan memedih di hulu hati, berakar pada tempat paling seni?”
“Semi, oh semi. Tidak kau mengerti harapan yang dicurahkan. Masih belum puas aku merenggut rahsia bersama, engkau sudah mahu melambai”.
Semi harus pergi. Pasti. Itu sunnahnya alam. Tawakal pada segala benih yang ditanam semusim ini bakal menjelma keindahan alam yang memukau itu.
“Jika kau begitu mencintai putaran musim panas, engkau perlu selalu membajai dan menyiram. Jangan putus asa! Ia bukan tempat orang tidak mengenal raja’.
Benih-benih di bulan keramat, keramat juga sifatnya, asal sahaja kau tidak lupa, jangan lupa dan berpaut”.
“Kalau kau tahu sebesar mana kecintaan ini, kau patut tahu aku perlu di bawa pergi. Sekali. Bersama-sama. Tapi jika bukan suratan, rintihku jangan lupakan. Moga lewat sekali lagi, kau bisa mengenalku yang semakin dewasa”.
Alangkah bagusnya aku di bawa pergi bersama.
Tapi depan menjanji sejuta hikmah yang tersingkap.
Jika telah belajar mencintai semi, cintailah dia setulusnya.
Ia pergi dengan janji, akan muncul kembali.
Cuma jodoh pertemuan tetap di tangan Pangeran.
“Semi, aku tidak punya puisi cinta
Tapi engkau tentu telah lama mengerti
Tanpa kata, engkau mengerti”.
Sehingga bertemu kembali, aku menunggu dengan sabar.

Comments

Anonymous said…
Salam...
Semoga Ramadhan ini bukan yang terakhir untuk kita....
Eid Mubaarak.

Sahabat lama yang merindu,
Umi.
ASaL said…
ya, jika bukan terakhir
biarlah 11 bulan lagi tidak menjadi ranjau yg menjarakkan kita dengan Tuhan

moga rindu kita bakal terubat nanti,
asal sulaiman

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK