Ketupat Ayah

“Aisar tau buat ketupat?”
Seketika itu juga ruang pejabat berubah. Di suatu sudut antara ruang tamu dan dinding menuju dapur, Ayah yang berkopiah sedang menyukat beras tiga perempat perlu dimasukkan ke dalam kelongsong hijau yang telah di anyam sejak 5 hari yang lalu. Jarang Ayah yang sudah miskin rambut di tengah-tengah kepala itu berkopiah di dalam rumah. Kalau nampak pun, tandanya hendak ke masjid. Tapi ketupat ini untuk Aidilfitri, jangan pula ada rambut, tidak berselera orang makan. Beras itu sebelumnya Ayah telah cuci bersih-bersih. Yakin Ayah bulat, sebab pada air penghabisan Ayah telah merangkumkan dengan selawat atas Rasulullah dengan selawat yang sempurna. Kemudiannya Ayah memindahkan pada penapis untuk menyaring air agar beras tidak terlalu basah. Agak-agak sudah sesuai, Ayah akan mengumpulkan semuanya di sudut itu bersama seratus kelongsong hijau yang dianyam berbentuk ketupat sate. Semuanya Ayah buat sendiri, kerana Mak sibuk di dapur menyediakan lauk untuk Aidilfitri.
Pagi Ayah pulang dari pasar hari itu terlalu menggembirakan hati. Seikat daun kelapa berwarna hijau muda yang segar, pelepah yang lebar, daun yang panjang, melihatnya sahaja hati jadi riang. Hari raya sudah dekat. Ayah berjanji memberi RM30 untuk puasa 30 hari penuh tanpa ponteng-ponteng. Kemudian Ayah akan meletakkan dalam baldi di bilik mandi untuk menjamin kesegaran. Ditempatkan di kawasan yang tidak akan terpercik air jika orang lain menggunakan bilik mandi itu. Kemudian, dalam masa-masa tidak sibuk, Ayah akan beransur-ansur mengambil segenggam segenggam daun kelapa. Kadang-kadang di buat di dalam bilik. Kadang-kadang sambil menonton televisyen. Ayah sangat suka menonton tayangan cerita bersiri Cina waktu petang, dan minat Ayah itu terus jadi dekat dengan anaknya yang sorang ini. Tidak yang lain.
Petang itu, saya meminta Ayah mengajari saya menganyam ketupat. Ayah yang tidak selalu kedengaran suara itu, memberi saya sehelai daun ketupat hijau muda yang segar. Daun sudah bertukar tangan. Ayah mengambil daun yang baru. Mula-mula Ayah ambil pisau lipat yang kecil. Dibuatnya satu garisan sedikit bersebelahan dengan lidi daun kelapa. Koyakkan yang sedikit membolehkan lidi dan daun terpisah sekata. Sehingga ke hujung daun, dan akhirnya menjadikannya sepasang. Saya menurut Ayah. Satu daun di letak di tapak tangan kanan. Satu daun diletak di tapak tangan kiri. Kemudian Ayah membalut tangan dengan daun tiga kali pusingan. Kiri dan kanan. Anak yang baik ini pun menurutlah. Ayah menunjukkan satu gerakan tidak terlalu pantas untuk membentuk rangka pertama ketupat dengan terbentuk empat petak. Terkial-kial saya menurut. Salah, Ayah ulangi lagi semula, juga tanpa suara. Dua beranak duduk sebelah menyebelah. Dua beranak kelahiran bulan Julai. Tanpa suara. Beberapa jam kemudian, siaplah ketupat saya yang pertama.
Sejak hari itu saya akan selalu membututi Ayah. Ayah mengambil daun kelapa segenggam dari bilik mandi. Saya juga mengambil segengam dengan tapak tangan yang jauh lebih kecil dari Ayah. Saya akan menunggu giliran menggunakan pisau lipat yang hanya satu itu. Dan Ayah akan mempercepatkan menggunakan pisau untuk saya menggunakannya pula. Ayah tengok televisyen cerita bersiri Cina sambil menganyam ketupat sate. Saya menonton juga tapi lebih banyak mata tertumpu ke kelongsong hijau. Saya masih belum mahir. Ayah sudah ada 10 biji kelongsong, saya baru menyiapkan satu setengah. Kami berdua jadi suka pada anyaman, kelongsong hijau, daun kelapa yang segar, pisau lipat yang kecil. Sedang abang-abang berkeliaran keluar masuk entah apa kerja mereka. Seikat daun kelapa dalam bilik mandi menyusut begitu cepat. Tahun-tahun berikut Ayah tidak membeli daun 5 hari sebelum raya, tapi 3 hari sebelum. Ayah tahu dia sudah ada pembantu yang begitu kemaruk menganyam daun kelapa.
Tahun kemudian-kemudian, Ayah mengajar pula membuat ketupat bawang. Saya sangat suka! Ketupat bawang lebih cantik. Ia seperti loceng, bawahnya melebar, atasnya lebih runcing. Nasi yang terbentuk akan lebih padat dan banyak. Tapi warna hijau muda segar daun kelapa lebih cantik dengan kelongsong ketupat bawang. Lebih cantik bila Ayah kumpulkan sepuluh kelongsong bersama kemudian menyimpulkan dengan ekor daun yang panjang. Kemudian Ayah sangkut di birai besi air pancut di bilik air kemudian membasahkan semuanya dengan air. Gelembung air terbentuk di atas kelongsong hijau muda yang segar, sangat cantik. Tahun itu kami beraya dengan ketupat berbentuk bawang. Saya tidak berapa suka bila ketupat masak, kerana daunnya menjadi coklat dan kering. Tapi bila bergantungan di penyidai dapur, saya tahu esok pasti raya. Tidak cantik pun tidak mengapa, kerana esok saya akan dapat RM30!
Tahun berikutnya kami ada dua ketupat. Bentuk bawang dan sate. Bila mana saya terlalu suka dengan ketupat bawang, Ayah akan membuat ketupat sate. Mungkin untuk mengisi beras ke ketupat sate lebih mudah, sedang saya tidak dibenarkan untuk mengisi beras bersama-sama Ayah yang berkopiah di sudut itu. Tangan saya yang kecil ini mungkin dikuatiri tidak begitu bersih. Saya juga belum tahu tiga perempat beras itu bagaimana. Tapi tetap, kelongsong hijau menjadi ketupat berwarna coklat memberi warna dalam Aidilfitri saya. Tapi saya sekarang cuma dapat melihat hijau daun pokok, bukan hijau daun kelapa di atas petak segiempat tepat di buat dari campuran simen dan batu, bernisan 2 di kiri dan kanan. Juga warna coklat dari daun pokok puding.
“Aisar, Aisar tahu buat ketupat?”
“Saya dah lupa Kak Maz”, dengan mata yang berkaca-kaca.
Asal Sulaiman

Comments

Anonymous said…
the legacy leaved by the loved ones is sometimes hurts so much, but ...the glees are significantly unforgettable.

ada bahagia di dalam nyer.

tabah lah orang yang lahir di bulan 7,
kerana janji Tuhan
tidak pernah di mungkiri

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK