Thursday, August 16, 2007

Kota Teks, Puncak Ketamadunan

Oleh Asmidar binti Alias

Bayangkan dunia tanpa teks, apa alternatif kita? Fantasi yang indah tetapi tidak mungkin menjadi realiti. Hakikatnya kita dihidangkan dengan era modenisasi, teks bersangkutan di setiap aspek kehidupan. Tanpanya, hidup adalah mati.
Teks adalah ciri utama semua peradaban kota terkemuka dunia. Seawal penggunaan piktograf, beralih ke ideograf, fonogram dan akhirnya kepada penggunaan abjad, teks adalah mercu tanda terpenting memperkenalkan kejayaan bangsa kepada dunia. Piktograf ditemui di tamadun Sumeria dalam bentuk kuneiform. Ideograf diguna oleh tamadun Mesir dan China. Penemuan abjad adalah kemuncak kesempurnaan kaedah perantara sehingga menyaksikan perkembangan dunia hari ini yang diledak dengan fenomena globalisasi.
Tidak ada satu tamadun bangsa yang meninggalkan budaya memperkembangkan ilmu. Tiada individu yang berjaya menafikan kepentingan teks. Untuk itu teks perlu ditemukan dengan jodohnya yang sepadan, iaitu budaya membaca. Apalah teks tanpa pembaca. Apalah pembaca, jika tidak dapat membuka kegiatan intelektual dalam pelbagai dimensi dan menjana potensi diri.
Sejarah membuktikan, kemuduran orang Eropah dicatat apabila mereka memilih untuk memusnahkan khutub khanah di Alexandria dan membunuh ramai ahli ilmu seperti Hypatia, Bruno dan Galileo. Pada masa yang sama orang Islam menyusun senarai ilmuwannya yang diiktiraf zaman termasuk Al-Zahrawi, Al-Haitham, Ibn Sina, Jabir bin Haiyan, al-Khawarizmi, Taqi al-Din, Al Jazari dan ramai lagi. Setelah Eropah tersentak dari kesilapan, barulah Eropah mengorak langkah untuk berubah sehingga mencapai kegemilangan hari ini dengan mengasimilasi budaya keilmuan dari peradaban Islam.
Tidak perlu dibuktikan lagi, peradaban Islam diasaskan melalui edik yang pertama, iaitu membaca. Membaca perlu disertai dengan disiplin yang terbentuk dalam konteksnya: menjana fakulti akal dengan perantara potensi otak yang tidak terbatas. Dirumuskan dari kajian yang dijalankan oleh Dr. Ivan Yefremov, otak mampu mempelajari 40 bahasa, mampu menghafaz satu set ensiklopedia daripada A hingga Z dan mampu mengikuti dan menamatkan kursus-kursus yang dianjurkan oleh puluhan kolej. Fenomena ini bukanlah sesuatu yang mengagumkan sekiranya menyedari hakikat pertumbuhan otak. Lebih kurang 2.5 juta sel otak atau neuron baru tumbuh pada setiap minit, dan pada setiap kelahiran seorang bayi dilengkapi dengan 100 bilion neuron!
Membaca adalah ideal dikotomi dalam kehidupan – jahil dan intelektual, emosi dan akal, sains dan seni, kebebasan dan terpenjara. Hidup dalam kota teks, menghayati dan membudaya, hanya akan memberikan satu perlambangan, kecemerlangan peradaban. Memilih atau mengasingkan, pilihan terletak di tangan anda!

3 comments:

anis sarah said...

assalamualaikum kak asmidar.
saja tumpang lalu, jumpa blog ni dlm list blog zamir. saya letak link ke blog akak dalam laman blog saya, bolehkan? dah baca cerpen akak 'bila bulan terbelah dua' yg re-edit tu, tapi yg keluar dalam dsastera tcipta tu yg akak hantar utk bengkel penulisan cerpen tu kan? lebih suka baca yg belum edit tu :)

zf_zamir said...

hidup tanpa teks, bagaikan melayu moden tanpa Af..

eh, sesuaikah analogi itu?

haha..

saya kasihan sangat, sudahlah membaca tidak dijadikan budaya, bahasa kita sendiri kita sepak terajang sesuka hati, oleh bangsa kita sendiri..

bagaimana kini?

Asal Turabiy said...

kalau begitu saya bukan melayu moden, sebab saya anti AF?
akhirnya kita sendiri tidak tahu anjakan paradigma mana yang mahu diturut, sbb tidak punya jati diri.
Atau kita sendiri ragu dengan keupayaan bangsa sendiri?