Keajaiban Tuhan (Miracle)

Membicarakan keajaiban Tuhan dalam konteks doa-doa yang dimakbulkan, merupakan satu perjalanan transendental yang memerlukan keyakinan khusus dari sudut spiritual dan pengalaman ruhaniah individu. Barangkali akan ada yang berpendapat bahawa setiap yang dimakbuli doanya, adalah elemen bersifat metafizik, non materi dan tidak dapat diindera prosesnya kecuali hasil. Dan ianya hanya dapat dicerap setelah segala-galanya telah berlaku dan dizahirkan.

Namun begitu, secara peribadi saya berkeyakinan keajaiban Tuhan dalam konteks manusiawi bisa sahaja mengikut aturan dunia, aturan kasualiti (sebab dan akibat). Jarang sekali keajaiban Tuhan dijelmakan tanpa aturan kosmos ini, seperti yang diibrahkan dalam Al Quran melalui pengalaman para Nabi.

Surah Maryam ayat 25 “Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, niscaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya”.

Al A’raaf ayat 160 “Dan mereka Kami bagi menjadi dua belas suku yang masing-masingnya berjumlah besar dan Kami wahyukan kepada Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”. Maka memancarlah dari padanya dua belas mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku mengetahui tempat minum masing-masing”.

Surah Shaaf ayat 42 “Hentakkanlah kakimu, inilah air yang teguh untuk mandi dan untuk minum”.

Syarat mendapat keajaiban Tuhan melalui perantara doa tetap berlaku dalam linkungan kasualiti. Wilayah yang mudah difahami manusia, kerana doa tidak boleh dijadikan sebagai pengganti usaha. Tujuan doa adalah untuk memperoleh kemampuan. Seperti sarana yang bijaksana Murthada Muthahhari, berdoa pada saat Allah SWT telah memberikan kemampuan kepada manusia untuk mendapatkan yang dicari (mathlub) maka itu termasuk meminta sesuatu yang telah diperoleh (tahsil al-hashil).

Tiga-tiga ayat yang disebutkan merujuk kepada pengalaman insan-insan terpilih. Pertama Maryam ibunda Nabi Isa a.s. Ketika hatinya berduka maka Allah mengisyaratkan agar Maryam menggoyangkan pohon, supaya kurma masak gugur untuk dimakan dan mengembalikan tenaga yang lelah kerana melahirkan.

Kedua, pengalaman Nabi Musa a.s dalam meladeni permohonan kaumnya untuk diberikan air menghilangkan haus. Perintah Tuhan, pukullah batu itu dengan tongkatmu. Dengan pukulan tersebut terhasil 12 mata air yang dinikmati oleh 12 kaum Nabi Musa a.s yang mengungsi Mesir ke Baitul Maqdis.

Ayat ketiga merujuk kepada Nabi Ayyub a.s yang dianugerahi kesihatan selepas bergelut dengan kesakitan maha dahsyat. Dengan hentakan kaki Nabi Ayyub a.s yang mulia ke tanah, maka terpancarlah air yang diguna untuk menyembuh.
Ketiga-tiga ibrah yang diceritakan merujuk kepada fenomena keajaiban yang diluar kemampuan manusia mencerapnya, namun dalam ketiga-tiga kisah ada satu persamaan. Keajaiban tercipta dengan usaha! Menggoyang pohon adalah usaha. Mengetuk batu dan menghentak kaki ke tanah juga usaha. Maryam dan Nabi Ayyub a.s yang dalam kepayahan tidak meninggalkan usaha fizikal ini untuk menikmati keajaiban Tuhan yang Maha.

Rakan-rakan saya yang telah percaya pada keajaiban, yang merasai keajaiban, yang baru bermula untuk mempercayai keajaiban, yang masih ragu-ragu tentang keajaiban, pandanglah dengan mata hati dan ikhlaskanlah penilaian. Bahawa keajaiban telah berlaku, sedang berlaku, akan berlaku, yakinlah dengan pasti, ia mesti berlaku beserta keyakinan dan usaha, dengan doa. Bahawa doa adalah penyempurna usaha, bukanlah pengganti usaha.

Keajaiban telah berlaku pada saya, telah berlaku juga pada anda,
“Yang mana satu nikmatKu yang masih kau (jin dan manusia) nafikan?” Ar Rahman ayat 13.

Comments

ieka said…
Salam buat As.
Lama tak jenguk sini. Apa khabar tuan rumah? thn ni sgt sibuk bagi saya, thn yg paling byk berpindah..

anyway sekadar nak komen on posting kali ini. kalau kite perasan, byk betul cerita keajaiban yang berkaitan dengan air kan.. nampaknya ada misteri tentang air yang takkan habis dirungkai .. :)

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK