Bukankah kamu rakanku?


Bukankah kamu rakanku? Yang tahu tentang mimpi-mimpi. Yang berlari bersama. Dalam hujan, tika kemarau, dalam rintik, dalam nyaman. Waktu dilanda badai, ketika lara. Bukankah kamu yang sudi meminjam telinga, ketika semua orang jadi tuli. Menjadi mataku ketika buta. Bukankah kamu yang melonjakku tinggi, sewaktu aku jatuh. Dan melihat aku terbang, tika gembira.
Kawan, mimpi-mimpiku pecah berserakan. Masih ada, tapi aku telah lupa bagaimana mahu menyusunnya semula. Dalam tidur, aku membawa suluh. Harap-harap keping-keping yang hilang dapat kucari. Kemudian akan ku kumpul. Bangun nanti, aku pasti menyusunnya semula.
Mengapa engkau tiada? Disisiku, seperti selalunya. Menjadi telinga, menjadi mata. Melonjak tinggi, melihatku terbang. Menolongku menyusun mimpi-mimpi. Menasihati agar aku selalu menjadi yang terbaik.
Mimpi-mimpiku masih ada. Disini, disemat dalam dada. Disimpan kukuh dalam kotak mindaku yang kecil, tapi besar harapannya. Dan kawan, aku masih tetap berdoa. Tapi aku mahu bermimpi yang lain. Lebih besar. Sebesar-besarnya. Seluas galaksi. Dan akanku tinggalkan tidur. Akan ku tinggalkan lampu suluh. Aku tidak mahu lagi mengutip keping-keping yang hilang, kumpul dan susun semula.
Lewat kehilangan mimpi, aku ketemu mimpi yang lain. Lebih besar. Sebesar-besarnya. Lebih besar dari galaksi. Ini destinasiku. Bagaimana mahu sampai, aku belum punya cara. Bukankah kau rakanku? Yang meminjamkan telinga, yang menjadi mata, yang melonjak tinggi, melihatku terbang. Tidak bolehkah kau nasihatkanku sekarang? Arah mana harus ditempuh, jalan mana perlu dirintis, di mana cerita perlu bermula.
Mimpi-mimpiku jadi sunyi. Aku tidak dapat mendengar. Mata jadi buta. Aku jatuh tidak mampu bangun. Aku mahu terbang, tapi angin tidak mahu mengapung. Tiada yang sudi memberiku suluh.
Aku ketemu mimpi yang lain. Ini mimpi yang sunyi. Yang ramai tidak mahu faham. Engkau juga tidak pasti akan sanggup berkongsi. Jalan ini sunyi benar, meski dalam ramai. Jalan ini sunyi, tapi belum tentu selamat. Tapi aku aman. Aku hidup. Aku rusuh. Rindu dan cinta. Bukankah kau rakanku?
Satu hari kau lihatku dalam wajah yang lain, percayalah aku masih itu, itu juga. Rakanmu. Yang berkongsi mimpi. Yang berlari dalam hujan, kemarau, rintik, nyaman. Dalam badai, ketika lara. Tapi aku memilih mimpi ini. Yang bagiku bukan mimpi. Ia telah menjadi hakikat dalam diri, dalam hati, dalam rasa. Tenggelam dalam zuuq. Benar jalan ini terlalu sunyi, meski ramai. Aku mahu kejap kakiku bertunjang dalam. Menjadi akar, menjadi pohon tempat berlindung, menjadi taufan yang menerpa. Dalam aman, hidup, rusuh, rindu dan cinta.
Bukankah kau rakanku? Aku harap aku boleh berjanji, dalam mimpi ini aku tidak tuli, tidak juga buta. Kau akan melihatku melonjak tinggi dan terbang laju di awan.

Comments

ieka said…
ramainya cerita pasal mimpi ni.. :) saya pun mcm baru mendapat mimpi2.. aneh kembali, yang dah lama tak muncul. mimpi2 aneh kdg2 secara anehnya di nanti2.. ahhahaha

tiba2 teringat (takde kena mengena dgn cerita mimpi awak) perihal membaca sebaris ayat alQuran tentang mimpi, bilamana Nabi Yaakub beritahu kepada Nabi Yusuf supaya 'janganlah kamu menceritakan perihal mimpi kamu kepada saudara2 mu'. uhuks, kisah mimpi..dan kisah kenabian : )
ASaL said…
aneh ni, menunggu mimpi yang aneh...
mmm....
Anonymous said…
sapa ya rakan mu?

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK