Kepala (bukan kepala lembu!)

Satu
Kisah berlaku bertahun-tahun dahulu. Ketika itu kami masih belajar. Duduk di rumah sewa (apartment) di tingkat 4, tingkat paling tinggi. Bila duduk di balkoni depan, kami boleh memerhati jiran-jiran di bawah. Terutama jiran tingkat dua yang mempunyai dua orang anak yang comel. Anak yang besar kami sudah tidak ingat namanya, yang kecil sekali Amir. Amir adalah anak yang lincah, berusia lingkungan 3-4 tahun seharusnya dia anak yang sedang galak menakal. Selalu kami duduk sahaja di balkoni memanggil-manggil namanya. Dia melayan sahaja dan tersenyum. Waktu itu apartment dilengkapi dengan dua pintu. Paling hadapan gril besi kotak-kotak segiempat. Dan untuk masuk pintu kayu. Amir paling suka bergayutan di gril besi. Dipijak gril kemudian dihayunkan seolah-olah sedang bermain buaian. Begitulah dia setiap hari. Sehinggalah satu hari, dia telah cuba memasukkan kepalanya ke petak segiempat gril besi tersebut. Malangnya kepala Amir tersangkut tidak boleh keluar. Bila keadaan itu berlaku, kamu boleh lihat dengan jelas dari tingkat kami keadaan Amir yang sedang panik. Hati kami berderau melihat Amir menangis tidak berhenti sambil terjerit-jerit meminta ibunya tolong. Sehinggalah Ayah Amir pulang ke rumah cuba untuk mengeluarkan kepala Amir terlekat juga disitu. Amir terus menangis sepenuh hati. Air liurnya berjujuran ke lantai, tetapi kepalanya masih utuh di gril. Sehinggalah pihak bomba datang dengan satu trak bomba. Kehadiran bomba telah menarik minat ramai untuk datang dekat dan memerhati. Bila bomba datang, Amir jadi lagi tidak tentu arah. Tangisnya, tangis kanak-kanak kecil yang sangat ketakutan. Tidak tahu bagaimana Amir rasa, kami ingat itu mungkin hari paling menakutkan bagi dia. Bomba datang memujuk Amir untuk tenang. Amir tambah galak menangis. Bomba datang membawa pemotong besi untuk memotong besi. Kami lihat Amir menjerit putus harapan. Dipanggil Ayah dan Ibu kenapa membiarkan dia begitu, sambil bomba keliling dia. Ada bomba yang menenangkan Amir, ada bomba berusaha memotong besi. Bapa Amir yang panik, tetapi harus bertindak rasional memarahi Amir supaya bertenang. Kami melihat dengan sayu. Agaknya Amir fikir bomba akan memotong kepala dia, bukannya gril besi itu. Apalah yang boleh difikir oleh anak tiga tahun, kerana itu dia menagis terkekar sebegitu rupa sehingga hilang suara. Jiran-jiran di blok lain sudah pun berhimpun di blok kami sambil memandang peristiwa itu penuh minat. Akhirnya proses menyelamat berjaya. Amir dipeluk ibu dan ayah. Kemudian didukung bomba. Akhirnya bomba membawa Amir turun ke bawah menaiki kereta bomba menghiburkan hatinya yang trauma dalan insiden tidak terduga itu.

Dua
Tadi kami ke pusat membeli belah, membeli belah saat akhir untuk keperluan raya. Sebetulnya keperluan untuk rumah untuk urusan memudahkan lagi proses kemas-mengemas, masak memasak. Setelah selesai, kami mencari keperluan diri pula. Kami bergerak dari satu kedai ke kedai lain. Tiba-tiba ada jeritan histeris di kawasan travelator yang sangat mengejutkan. Mendengar sahaja hati bergoncang bagai tiada haluan. Sangka kami, takut-takut ada orang amuk di dalam shopping complex. Zaman ini apa-apa boleh jadi. Dalam berkira-kira tidak tahu buat apa, sedang ramai orang telah berlari ke arah travelator untuk melihat apakah yang berlaku saya mempercepatkan langkah untuk ke sana juga. Dalam hati debar menjadi makin kuat bila berpapasan dengan orang dia menyebut ‘kepala, kepala tersepit’ dengan muka cemas. Kami dalam takut-takut, dalam cepu berfikir adakah kepala sudah tersepit dan mengakibatkan peristiwa yang sangat menakutkan berlaku di shopping complex. Kami membayangkan ada kes berlumuran darah di saat akhir persediaan menyambut lebaran. Kami kemudian sampai juga ke tempat kejadian memerhatikan travelator tetapi tiada apa yang berlaku. Seorang lelaki yang dari arah bawah travelator ke tingkat kami sedang berdiri memberi tahu khalayak, ada budak merapatkan kepalanya ke dinding sedang dia menaiki travelator yang sedang bergerak. Bila tiba satu tempat, keadaan jadi sempit dan mengakibatkan kepala tersepit di situ. Kami berkira, mungkin saat itu mereka yang memerhatikan kejadian menjerit bagai histeria yang menakutkan siapa sahaja yang mendengar. Saya memandang atas bawah, sudah tidak ada. Barangkali budak itu sudah diselamatkan, Alhamdulillah. Saya kemudian teruskan membeli. Bila sudah dapat memilih barang yang berkenan di hati saya ingin membayar jumlah wang, pekedai sedang menangis tidak henti. Saya jadi takut hendak membayar. Pembeli lain menenangkannya. Sedang dia terus-terusan menangis. Rupanya dia menangisi kejadian ngeri budak tersepit kepada di travelator. Mungkin dia saksi yang paling dekat dengan kepala mangsa pada waktu kejadian (kedai beliau terletak disebelah travelator). Saya di kedai sebelah dalam setengah jam, pekedai masih lagi menangis tidak bersisa.

Tiga

Nota: Dua-dua kejadian menggetarkan hati kami disudut paling dalam. Kedua-duanya sehingga dapat menggigilkan tubuh badan kerana seram dan ngeri. Kedua-dua kejadian meninggalkan kesan trauma yang bukan sedikit. Buktinya kisah pertama masih lagi segar diingatan dan boleh diputar seperti pemain DVD. Jelas.
Kami membayangkan, bagaimana agaknya perasaan Nabi Ibrahim bila membaringkan kepala satu-satunya anak yang baru diperolehi setelah bertahun-tahun kahwin, zuriat tunggalnya di atas batu demi untuk menyebelih anak itu kerana ikhlas dirinya berkorban pada Allah atas arahannya. Bagaimana ya?
Kalau berlaku di depan mata tentu histeris tidak mampu diucap.
Bezanya, Ismail tidak meronta memanggil nama ayah dan ibu untuk diselamatkan.
Hajar rela sepenuh jiwa.
Ibrahim tidak gugah iman untuk tidak melaksanakan tuntutan.
Penyerahan mereka ditingkatan paling tinggi tidak mampu difahami fikiran kami yang rendah ilmu.
Dalam ayat di dalam surah Al Kahfi menyebut: Segala apa yang ada dalam dunia adalah zinaat (perhiasan) untuk menguji kamu siapakah yang paling baik amalannya.
Harta kamu dimanakah kamu gunakan untuk dinilai sebagai baik amalan di akhir nanti? Anak dan isteri kamu bagaimanakah mereka di bawah amanah dan pemeliharaan kamu untuk dinilai sebagai amalan baik di akhir kelak?
Nabi Ibrahim as Al Khalil dan keluarga telah menunjukkan jalan bagaimanakah perhiasan itu harus diselenggarakan. Al Khalil adalah dikalangan hamba-hambaNya yang terbaik. Kerana itu namanya dan keluarganya diabdi dalam solat lima waktu sehari semalam. Kerana Ibrahim adalah Imam terpilih. Sama seperti Rasulullah dan keluarganya diabdi dalam selawat tahiyat awal dan akhir dalam solat lima waktu sehari semalam. Kerana Rasulullah adalah warisan Ibrahim, tergolong dalam keluarga Ibrahim melalui jalur sang korban Nabi Ismail, kerana itu Rasulullah juga diangkat Allah dengan tingkatan sebagai Imam, seperti mana yang didoakan oleh Nabi Ibrahim.
Nabi Ibrahim pemilik tanah suci Al Quds. Siapakah yang akan menjadi pewaris yang akan memulangkan tanahnya pada Imam? Menjelang hari Al Quds, sudahkah kamu bersolat pada Nabi?
Allahumma solli ala Muhammad wa ala a'li Muhammad
Kama sollai ta a'la Ibrahim wa a'la ali Ibrahim

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK