2012

2012, sebuah filem yang dihentam agak keterlaluan di Hollywood dari segi jalan cerita, namun aneh, saya amat suka filem ini. Dengan tagline, we we’re warned, ia merupakan filem skala besar mengenai kemusnahan dunia. Kita tidak perlu lagi memperkenalkan pengarah Roland Emerich yang sinonim dengan kemusnahan alam melalui filem The Day After Tomorrow, Independence Day dsb.

Ada banyak sebab saya menyukai 2012, antaranya ialah:
1. Saya pernah belajar geologi
2. Yellowstone, letupan kawah (caldera) gunung berapi terbesar dunia
3. Saya seorang Muslim dan ia adalah kisah penyelamatan.

Seperti mana-mana reviu, 2012 adalah sebuah filem tentang kemusnahan alam. Bukan setakat alam dimusnahkan, segala tamadun kemanusian turut musnah dengan pelbagai bentuk amarah alam; gempa bumi, letusan gunung berapi, banjir besar, dan pergerakkan tanah dalam skala yang tidak terjangkau difikiran manusia. Pendek kata ia gambaran akhir zaman yang jauh dari apa yang boleh saya bayangkan. Secara jujurnya, saya berterima kasih dengan Emerich kerana menolong dari segi visual tentang hari kiamat. Ya sudah tentu, ia mustahil menyamai dengan hari kiamat sebenar, tetapi untuk rasa insaf 2012 boleh membantu. Atau sebetulnya banyak membantu. Ini adalah cerita kemusnahan alam terbesar pernah saya saksikan. Dan tidak rugi menontonnya.

Permulaan cerita, Emerich menyorot kita kepada seorang pakar geologi muda yang sedang membuat kajian tentang perubahan yang sedang berlaku di teras bumi pada tahun 2009. Suhu yang meningkat naik secara mendadak disebabkan oleh radiasi dari matahari telah menjadikan bumi tidak stabil, Jika suhu terus naik, segala bentuk bencana alam akan bermula. Seperti kita jangkakan, maklumat penting ini hanya akan sampai ke White House dan pemimpin-pemimpin dunia. Maklumat ini diklasifikasikan sebagai maha sulit dan tidak boleh dikongsi dengan masyarakat awam untuk mengelakkan dari kekacauan dan huru hara. Disebalik itu, masyarakat elit dunia (presiden-presiden, billionair, saintis-saintis terpilih) telah merencana pakatan untuk menyelamatkan diri tanpa memberi peluang yang sama kepada marhain (golongan rakyat biasa). Dalam krisis sangat mencemaskan ini, manusia masih lagi bersikap kasta mengkasta, dikotonomi antara miskin dan kaya.

Meski demikian, menjelang 2012, siri gempa bumi telah berlaku dan segala visual mengenai amarah alam ini dilihat melalui kacamata Jackson (John Cusack) seorang marhain yang cuba menyelamatkan keluarga dari kemusnahan alam.

Begitu ceritanya, boleh ditebak tetapi saya masih suka.

Disebalik kritik, 2012 boleh sahaja cermin apa yang sedang berlaku sekarang. Pada Disember nanti pemimpin dunia akan berhimpun di Copenhagen untuk membincangkan mengenai protokol Kyoto samada memperbaharui atau membuat polisi baru untuk penjagaan alam sekitar secara bersama. Tahunnya 2009, mungkin sengaja dibuat secara sedar oleh Emerich untuk membayangkan berapa seriusnya krisis pemanasan global masa ini. Saya tidak pasti awak, tetapi bukan sukar untuk mengesan bahawa alam ini sudah makin tidak tentu kitaran cuaca dan yang aneh-aneh banyak belaku sejak kebelakangan ini. Bermula 2004 tsunami yang mencengangkan dan rentetan gempa bumi yang menelan banyak nyawa, melihat apa yang kita buat untuk alam sebenarnya kita masih lagi belum insaf dan beringat. Jika awak pernah menonton DVD Unconvinient Truth oleh Al Gore, awak tentu faham apa yang kita bicarakan.

Dalam 2012, begitulah Roland Emerich mengambarkan. Menggambarkan kita yang tidak peduli. Meski begitu banyak amaran alam, kita masih menganggapnya remeh. Masih lagi mengejar kekayaan dunia, bukan sekadar mengejar malah berlumba-lumba. Saya menyeru awak untuk peka dengan perubahan alam yang sedang berlaku. Yang saya perasan, waktu siang semakin awal sekarang. Dulu, 7.00 pagi saya masih lagi dapat merasai suasana sejuk hening untuk berakhir subuh, sekarang 7.00 pagi ialah seperti jam 8.00 pagi. Musim banjir kali ini, cuacanya menjadi makin sejuk kerana saya terpaksa mengenakan baju panas di waktu siang buta. Bagaimana kita boleh tidak peka, kerana berita di akhbar dan TV mengatakan ia adalah lumrah. Perubahan cuaca ini adalah kejadian semulajadi, natural.

Dalam filem 2012, begitulah juga digambarkan. Media memainkan peranan mengatakan apa yang berlaku adalah natural, tidak perlu kecoh dan ripuh. Sedangkan hakikat yang sebenar jauh lebih buruk. Dan banyak lagi insiden yang di dalam filem mengambarkan ketidakpedulian kita, tentang kita mengejar sesuatu yang boleh hilang sekelip mata, tentang pengkhianatan dan banyak lagi.

Banyak lagi yang saya mahu cerita, tetapi lebih baik awak melihat sendiri cerita ini. Banyak keadaan saya meruap muka kerana begitu cemas dengan situasi yang digambarkan dengan begitu nyata. Memang menakutkan, memang membuatkan dada berombak kuat.

Satu babak semasa letusan kawah berapi di Yellowstone memang mengujakan. Ia membantu saya melihat visual yang diceritakan dalam novel Bila Tuhan Berbicara. Melihat kemusnahan akibat darinya, ia membuatkan saya banyak berfikir.

Ya saya setuju 2012 bukanlah kiamat. Tetapi ia menolong kita menvisual bagaimanakah kemusnahan bumi itu boleh berlaku. Ia membuat saya terus berfikir, seperti mana tagline we we’re warned, tentang bagaimanakah kita seharusnya bersikap. Kerana kita lebih lama diberi amaran melalui Al Quran.
Inilah kali pertama saya menonton, yang saya tidak peduli tentang ceritanya, sebaliknya menahan debar dada melihat kemusnahan satu persatu. Di akhir cerita, teman menonton saya bertanya, "Dimana hendak lari? (jika kemusnahan seperti ini)".

Dalam hati saya mengulang-ulang, "Ya benar, dimana hendak lari."

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK