Gema

Gema

Ayah, adalah ikon yang sukar difahami. Dalam banyak keadaan, dia senyap sahaja. Tetapi bila berbicara, yang keluar adalah hikmah. Untuk ramai orang, kata-kata Ayah adalah untuk didengar.

Sewaktu kecil dan nakal, Ayah masih tetap begitu. Pendiam, walau perangai kami terlalu menyakitkan hati. Kecuali bila ditahap melampau, Ayah akan cepat memainkan peranan. Dia tidak pernah teragak-agak untuk menghukum dengan fizikal, supaya tidak mengulangi perkara salah dan sentiasa beringat.

Namun jarang sekali ketika memberi pengajaran, Ayah bersuara.

Sehinggalah satu masa bila kami membuat salah, Ayah menghukum kami dengan hukuman cukup mudah. Cuma dengan tiga patah perkataan. Tanpa rotan, tanpa denda, tanpa apa-apa, kecuali dengan...

Tiga patah sahaja. Noktah.

Tiga patah yang cukup membuat kami ingat sampai sekarang. Mungkin sampai bila-bila sekalipun selagi diizinkan.

Sekarang kami sudah cukup dewasa untuk merenung apa yang berlaku. Mengapa Ayah mengambil tindakan menghukum dengan fizikal ketimbang dari kata-kata. Bukankah Ayah itu orangnya sangat hikmah? Maka tindakan juga terzahir dengan cirinya yang khas itu. Mungkin Ayah telah lama tahu, bahawa kata-kata itu lebih tajam dari mata pedang. Malah lebih tajam dari itu.

Mata pedang bila melukakan sekalipun, paling tidak 2-3 bulan akan sembuh. Yang berdarah akan kering, yang ditakik akan bertaut semula. Yang terkoyak boleh dijahit. Yang sakit menusuk sembilu hingga ke hujung rasa, sampai masa akan hilang juga. Pendek kata, luka tetap akan sembuh. Ini hukum alam. Bila mana bebas dari kesakitan, manusia lupa. Kesakitan itu nanti cuma satu sejarah yang jarang benar kita akan ingat.

Mungkin sebab itu Ayah diam. Kerana Ayah tahu bila dia bersuara, gemanya akan terus ada, ditelinga, dekat dan diulang-ulang. Ia mustahil akan hilang walau Ayah telah lama pergi meninggalkan fana.

Ayah ialah manusia hikmah. Bagi kami dia adalah manusia sakti. Dia lama tahu, sometimes... words is better left unsaid.

Suara, meski tidak dapat didengar lagi, ia tetap bergema. Di situ, tidak kemana-mana.

Comments

Aderi Aryasu said…
saya pernah kne lempang dan juga rotan bertubi2... cammane ek? sume tu umur mase kurang 7 tahun.... he3

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang