MRRAZ: Bersedia untuk Berdemo



(Demo pertama berjaya memaksa TV3 menarik semula iklan raya 2010)

Salam kawan-kawan budiman. Saya bukan penganjur demo meski ada beberapa demonstrasi terbuka yang saya sertai. Perkataan demo yang saya gunakan kali ini bukan provokasi, malah ia adalah saranan keamanan dan untuk menyampai mesej.


2 buku yang diberikan Profesor saya pada 19 Disember 2000, salah satunya bertajuk 'Hari Raya Hari Takbir'. Makalah yang disampaikan oleh Yusuf Al Qaradawi yang diterjemahkan oleh Baharuddin Ayudin. Masih relevan teks ini untuk dikupas.

Secara ringkas buku ini menegaskan bahawa hari kemenangan bagi umat Islam adalah untuk dirai secara massa, beramai-ramai dan dinyatakan secara terus terang. Kita tidak akan nampak perhimpunan secara aman dengan memuji Allah dengan lantang kecuali dari 2 keadaan. Hari Raya Aidulfitri dan Hari Raya Aiduladha. Kedua-duanya disambut selepas selesai ibadah besar yang sangat signifikan bagi semua umat Islam. Kedua-duanya adalah ibadah untuk melekapkan rukun sebagai seorang yang mengaku Islam.

Perhimpunan untuk solat hari raya dan sebelum itu bertakbir beramai-ramai adalah sunnah. Nabi malah menganjurkan agar dilakukan di tempat terbuka, tidak terhad kepada masjid-masjid dan menggalakkan wanita turut keluar merai. Bukan sekadar itu, wanita yang di dalam keadaan haid juga digalakkan hadir untuk bersama-sama bertakbir dan mendengar khutbah.

Saya petik sedikit teks untuk kita renung-renungkan.

'Hari ini adalah hari raya. hari ini adalah hari takbir. Zinat atau perhiasan bagi hari raya kaum Muslimin ialah takbir.

Allahu Akbar adalah syiar kaum Muslimin. Apabila mendirikan salat lima waktu, kaum Muslimin memasukinya dengan kalimat yang agung, Allahu Akbar. Azan dikumandangkan sebanyak lima kali sehari, ia dimulai dengan kalimat, Allahu Akbar. Iqamat untuk salat diserukan setiap hari lima kali, ia dimulai dengan kalimat ini, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Ketika melakukan sembelihan, kaum Muslimin menyebut nama Allah dan bertakbir, Bismillah, walLahu Akbar.

Allahu Akbar adalah syiar kaum Muslimin pada setiap keadaan. Apabila memasuki peperangan, gema suara kaum Muslimin yang menggerun dan menakutkan musuh ialah laungan takbir, Allahu Akbar, Allahu Akbar.'

Indah, mesej besar yang selalu kita lupa. Bukan setakat itu sahaja, saya juga syorkan agar kita semua, membaca teks takbir raya, bukan sekadar melagukan dengan mendayu-dayu. Ada mesej AKBAR (besar) dalam teks takbir raya, yang menyebabkan iklan raya TV3 perlu dibantah! Bantahan ini valid dan signifikan, kalau bukan orang Islam yang menjaga agama sendiri, siapa lagi?

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, dan segala pujian yang banyak untuk Allah, Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang, Tiada Tuhan Melainkan Allah dan kami tidak menyembah melainkan Allah sahaja, dengan mengamalkan agama dengan ikhlas walaupun orang kafir itu benci, Tiada Tuhan Melainkan Allah, Dia menepati janjiNya, yang menolong hambaNya, dan telah memusnahkan musuhNya dengan sendiriNya, Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan kepunyaan Allah segala pujian.

Alhamdulillah, masih lagi ada umat Islam yang prihatin, namun, soalan saya adakah ia perbuatan yang tidak sengaja. Mustahil. Produksi iklan terlalu mahal untuk dibuat secara tidak sengaja. Malah TV3 terlalu berpengaruh dalam masyarakat Malaysia untuk bersikap ignorance (jahil). Test market? Nauzubillahi min zalik.

Alhamdulillah ia sudah ditarik balik dan dimohon maaf secara terbuka. Mohon maaf cukup? Atau kita minta mereka melafazkan syahadah semula.

Ekstrim? Tidak, saya tidak. Bukan itu ajaran yang dianjurkan Rasulullah. Jika tidak masakan Rasulullah membuka Makkah dengan aman tanpa ada pertumpahan darah, malah tidak ada pembalasan semula terhadap apa yang mereka lakukan di Badar, Uhud, Khandak dan lain-lain.

Meski Rasulullah menganjurkan toleransi dan perdamaian, masih ada sempadan. Terutama dalam hal-hal menyangkut akidah dan iman. Tiada toleransi disitu. Kita tidak peduli kalau orang lain nak melungkup, tetapi melungkuplah sorang-sorang. Jangan diajak orang lain. Namun jika ia dipromosi secara massa dengan menggunakan kuasa media, beringatlah.

Kita, anak-anak dan generasi baru sedang didoktrin dengan batas luar sedar. Sanggup? Dengan segala bejat sosial yang kerajaan langsung tidak tertangan dan tiada daya mengawal, bagaimana nanti bila masyarakat sudah tidak nampak hitam dan putih. Yang ada pada mereka hanyalah garis kelabu.

Tepuk dada tanya iman.

Hari raya ialah hari penyataan terus terang (demo terbuka) ke seluruh dunia tentang Allah. Mesejnya satu, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu persuruh Allah. Tiada sekutu, tiada perkongsian. Tunggal. Esa.

Allahumma innaka affuwwun, tuhibu a'ffa, fa'fu anni.

Ya Allah jauhkan kami dari fitnah yang menyesatkan.

Comments

Cikli said…
salam hari raya,

setuju. produksi tu terlalu mahal untuk suatu kesilapan.

selamat balik kampung...baru. maaf zahir batin.
ASaL said…
salam Raya Cikli.

kadangkala rasa pelik juga, takkan buat sesuatu yang sangat mahal dan dengan sengaja abaikan sensitiviti umat.

huh, macam2 ada sekarang ini.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang