Monday, October 11, 2010

Hati-hati di jalan raya

Semasa entri ini ditulis, saya masih lagi merasakan debarannya. Moga Allah melindungi perjalanan orang (berkenderaan atau tidak) selagi ia menetapkan langkah kakinya untuk kebaikkan.

Jika slogan hati-hati di jalan raya adalah merujuk kepada sikap pemandu untuk tidak memandu laju, saya hari ini telah menjadi sebaliknya. Bukan mahu laju tetapi terpaksa laju.

Ketika berada di lebuhraya pantai timur, beberapa puluh kilometer lagi untuk melewati simpang ke Temerloh, saya melihat sebuah kereta sedang dipandu sangat santai. Waktu itu keadaan jalan lengang dan berkabus berat. Jarak penglihatan hanya beberapa meter. Untuk langkah keselamatan saya memasang lampu rendah. Pemandu kenderaan tersebut, seingat saya Tiara warna biru membuka cermin dan mengeluarkan tangan (hitam dan berbulu) sambil mengetuk-ngetuk pintu. Mungkin sedang menikmati irama lagu. Oleh kerana saya perlu sampai ke pejabat sebelum jam 9, saya memotong kenderaan tersebut. Tidak mengesyaki apa-apa saya memandu dengan kelajuan 100km/j -110km/j, tidak mahu melanggar had laju, nanti kena saman ekor lagi.

Mengejutkan, Tiara yang dipandu santai itu tiba-tiba berada di belakang saya. Walau pun masih agak jauh tetapi menyebabkan hati saya berdebar kencang. Jalan masih lagi lengang (kedua-dua arah) dan berkabus berat. Dalam hati saya berdoa agar berpapasan dengan kenderaan lain. Tetapi kereta yang ada hanyalah sebuah-sebuah dan jarak yang agak jauh.

Saya mengambil keputusan untuk meningkatkan kelajuan. Manalah tahu jika keraguan yang terdetik dalam hati saya tidak berasas. Laju ditingkatkan kepada 120km/j – 130km/j. Terkejut, Tiara tersebut masih lagi dapat mengekalkan jarak konsisten dengan kenderaan saya. Subhanallah. Saya membayangkan segala hal yang buruk pernah terbaca dalam internet dan email rakan-rakan. Beberapa meter lagi akan sampai ke exit Temerloh dan saya tahu beberapa kilometer dari situ akan ada R&R Temerloh untuk pemandu berhenti merawat diri.

Saya perlu berfikir pantas. Sekiranya kenderaan tersebut hanya berniat untuk bermain kejar mengejar di lebuh raya, pasti dia tidak akan ikut berhenti di R&R. Jika memang Tiara tersebut berhasrat untuk mengekori dan membuat benda yang tidak baik, dia akan turut mengikut kemana saya pergi.

Saya menyalakan signal ke kiri untuk masuk ke kawasan R&R Temerloh. Di cermin belakang, saya melihat Tiara tersebut turut membelok mengikut kenderaan saya tanpa signal. Berderau darah saya tidak keruan. Jika benar dia mahu berhenti rehat, dia akan berhenti di kawasan makan R&R. Jadi saya menukar keputusan untuk memperlahankan kenderaan, sambil melihat ke arah mana Tiara itu pergi. Tidak ada tanda Tiara itu akan masuk ke kawasan R&R sebaliknya masih tegar mengikut kenderaan saya. Saya terus memandu ke arah stesen minyak seolah-olah untuk mengisi minyak di sana. Di cermin belakang saya lihat Tiara itu terus mengikut, tetapi bila mahu masuk ke stesen minyak saya nampak kenderaan itu seperti teragak-agak. Barangkali pemandu Tiara itu sendiri dapat mengagak saya sendang mengesyaki sesuatu. Tetapi masih mengekor. Saya perlu membuat keputusan lagi. Tidak berhenti di stesen minyak takut-takut ada yang lebih buruk berlaku, saya menutup lampu, menekan minyak dan keluar dari situ.

Saya melihat cermin belakang. Ada kenderaan mengikut. Tetapi jarak itu jauh. Jika saya mengekalkan kelajuan pada 130km/j mungkin ia tidak dapat ikut. Dari hentian R&R Temerloh ke exit Chenor, kenderaan lebih banyak, lega. Tetapi jalan masih berkabus, lebih berat ketika masuk ke exit Chenor. Pada masa itu saya rasakan sudah selamat kerana tidak nampak kelibat Tiara dengan pemandu yang tangannya hitam dan berbulu mengikut saya. Alhamdulillah. Sampai ke pejabat hati masih berdebar-debar, pantas dan menyeramkan.

Sepanjang perjalanan saya membaca ayat Kursi dan selawat berulang-ulang. Moga Allah melindungi dari yang buruk terhadap keselamatan diri dan kenderaan. Sampai pejabat, saya masih lagi mengulang doa yang sama, keselamatan untuk orang lain juga yang mengerakkan kaki untuk tujuan baik moga tidak dikhianati oleh orang yang hitam hatinya.

Di jalan raya kini, telah menjadikan kita lebih banyak sebab untuk hati-hati. Mungkin kelajuan mengikut had itu penting untuk keselamatan, tetapi untuk satu-satu masa yang cemas seperti yang berlaku hari ini had itu menjadi tidak munasabah. Dan jika disabitkan kesalahan memandu laju, adakah pihak berwajib akan mempertimbangkan alasan ini?

Saya tidak tahu langkah keselamatan yang lain selain dari menutup lampu (walau keadaaan berkabus) dan memandu laju untuk memastikan kenderaan tersebut tidak mengekor saya lagi. Andai ada balai polis berdekatan di tepi jalan, barangkali saya sudah singgah dan melaporkan. Tetapi tiada. Apa lagi yang boleh saya lakukan?

Moga Allah melindungi perjalanan orang (berkenderaan atau tidak) selagi ia menetapkan langkah kakinya untuk kebaikkan. InsyaAllah.

5 comments:

ieka said...

agak seram juga baca cerita ni... moga selamat semuanya utk awak.. yer, memang perlu berhati2 sgt :)

Norziati Mohd Rosman said...

Alhamdulillah selamat. Perlu buat begitu rasanya, kena berani. Saya pun pernah mengalami di Masjid Negara. Seriau juga bila dikenangkan kembali

ASaL said...

ieka: pengalaman yang menyeramkan. masih rasa debar sehingga sekarang. paling ngeri, bila kita bergerak ke lorong kanan untuk memotong, dia juga bergerak ke lorong kanan. bila kita masuk kembali ke lorong kiri, dia juga turut masuk ke lorong kiri. dan ultimat kengerian, bila jarak semakin dekat, takut-takut dia sengaja melanggar belakang atau memintas arah depan dengan mengejut. nauzubillah.

zati: seriau, betul. seriau.

zaza said...

errmm..mmg menakutkan. Aku pon pernah alami hal yang sama. Pembuli jalan raya. kadag2 kita sedia tok stop bila lmpu kuning..tapi yang bkang kita menonong2 laju..dan dia terpaksa break emergency..ngeri..tak pasal2 aku yg kena marah.. mmg menakutkan bila berhadapan dgn org yg jiwanya kacau ni...btw.. ko keje mana ni? bukan SA lagi eh..

asal said...

salam zaza

aku kat pahang lagi.
belum beralih angin.