Monday, November 08, 2010

Ujian itu...

Kadang-kadang saya terfikir betapa tidak logik paparan drama dalam TV saban hari. Tentang tragedi dan kehidupan. Dinukilkan oleh pengarah dengan cara berlebih-lebihan, sadis dan menusuk.

Tapi, sekarang saya tahu, kehidupan itu seperti itulah. Sebuah tragedi. Walau tragedi, ia penuh keindahan. Kerana tanpa ujian yang keras, tentang sakit hati dan kepahitan, bila yang manis tiba kita tidak akan tahu bagaimana menghargainya.

Saya boleh menulis tentang sakit hati dan kepedihan. Saya boleh menulisnya secara berlebih-lebih. Tetapi yang nyata, yang merasalah yang menanggung. Yang hadir dalam sukma yang seni, jika dilihat orang seperti tiada apa-apa, tetapi ia lebih hakiki dari apa yang boleh dicapai indera. Ada, sangat dekat. Dalam tidak hilang.

Ujian seperti itulah. Ia datang bukan untuk menggugah fizikal. Tetapi naluri. Dalam diri. Yang memberi nilai pada seorang manusia adalah roh. Kerana itulah sebenarnya kita. Ujian bila datang, ia adalah perhatian. Khusus. Dari tempat yang paling tinggi.

Meski apa jua bentuknya. Kepahitan dan kemanisan. Dua-dua datang untuk tujuan yang sama. Menguji. Dan seperti dalam Al Quran, 'adakah kamu menyangka kamu sudah beriman, sedang kamu belum diuji.'

Kawan, bila ia datang, hadapilah. Dengan berani. Apa-apa pun Dia Tahu kamu mampu menghadapinya. Bila ia datang, raikan dengan tenang. Akhir nanti roh kamu akan jadi semakin kaya. Dan Dia akan menambah dari jalan yang tidak kamu duga. Kerana Allah itu Maha Adil, dan itulah ciri kesempurnaanNya.

2 comments:

tepianmuara said...

'Ada, sangat dekat. Dalam tidak hilang.'



Sungguh.

kadang kita memegangnya, kadang ia memegang kita.

ASaL said...

kita rupanya dalam segala hal, tidak berdaya.

tetapi Dia menganugerahkan upaya.