Sunday, March 28, 2010

Pernah dengar Pulut Himpit?


Saya pun baru je dengar, walaupun mungkin dah banyak kali makan tanpa menyedari apa nama kuihnya. Ianya pulut biasa yang dimasak, kemudian dihimpit. Sama macam nasi himpit cuma diganti dengan pulut. Dan dimakan bersama sos manis seperti sekaya.



Saya berjumpa secara dekat makanan tradisi di kampung sewaktu meraikan hari perkahwinan sepupu. Kampung saya dokek yo, kek Somonyih (Semenyih). Pulut himpit ini dimasukkan dalam acuan kayu, seperti di atas. Dipadat-padatkan, kemudian ditutup sebelum dihimpit dengan benda berat seperti beras, etc. Gambar di atas pulut himpit dalam acuan kayu empat segi tepat berukuran 2 kaki panjang (anggaran).

Ibu saudara sedang membuka daun pisang yang melapisi bahagian atas pulut himpit. Yang warna putih itu adalah pulut himpit yang telah dipadatkan dengan sempurna. Cantik segi empat yang terbentuk.



Setelah dibuka daun pisang yang melapisi bahagian atas, terselah pulut himpit yang telah dipadatkan. Makan masa dua hari juga untuk dapatkan makanan ini.

Kemudian potong kecil-kecil yang dapat memuatkan mulut dan dihidangkan kepada pengunjung maksud saya tetamu. Saya mengambil bahagian memotong pulut ini. Susah juga sebab pulut melekat pada pisau, dan pulut itu sendiri yang padat dan keras. Hasilnya seperti di bawah. Dihidangkan ketika makan pagi kepada penanggah. Dan juga dihidangkan pada waktu petang. Dengar khabar, adik saya yang agak skeptik pada makanan tradisi macam ni yang menghabiskan potongan yang terakhir ketika dihidangkan untuk makan petang tempoh hari.

Rupanya, orang kampung masak makanan ini untuk majlis-majlis yang istimewa seperti perkahwinan dan bertunang. Sedap? Sedap. Terutama bila dicicah dengan sos manis dan juga air kopi hangat. Lebih sedap kerana tahu ia dimasak secara gotong royong.

Bila saya minta sepupu sepupu saya untuk ambil gambar, semuanya buat muka pelik, "Aik, takkan tak pernah tengok?"

Nampak sangat saya ni pakar makan je tak ambil tahu tentang cara membuatnya. Terima kasih pada Uda (ibu saudara) yang berusaha menerangkan kaedah membuatnya sampai terpaksa juga bertanya pada orang kampung yang sedang memasak di dapur.

Thursday, March 25, 2010

Air: Mula dan Akhir 3

Beliau: "De, hang tak baca Quran ke hapa, manusia kan asal dari tanah, awat hang kata dari ayaq?"

Saya: "Assalamualaikum, awat?"

Beliau: "Waalaikumussalam, tak dak la, aku baca blog hang dok kata segala hidupan asal dari ayaq. Termasuk la orang boleh faham yang manusia pun asal dari ayaq. Nanti ada orang salah faham ni de."

Saya merenung skrin. Berfikir. Teguran kawan saya ini betul. Tetapi kalau pun orang lain faham manusia asal dari air, ia tidak bersalahan dengan kenyataan (statement) manusia berasal dari tanah. Jika saya menaip membalas, mahu berlanjutan sampai ke pagi tanya jawab beliau.

Dalam disiplin kejuruteraan, tanah dikaji dengan sangat terperinci. Sehinggakan mereka melihat tanah dalam bentuk paling seni. Dengan maksud, tanah itu diperiksa dengan mengunakan mikroskop.

Apa yang ada di dalamnya?

Jurutera menyimpulkan bahawa tanah itu terdiri kepada 3 komponen. Iaitu: tanah (dalam bentuk partikel), udara dan air. Air! Saya tidak silap bukan. Model tanah yang mempunyai 3 komponen ini telah digunapakai jurutera profesional berabad lama. Mereka menggunakan model ini untuk merekabentuk asas bangunan (foundation).

Air!

"De, air de..." (saya akan menulis begitu pada beliau nanti).

Ya, tanah itu tidak kering. Tanah itu mengandungi air. Dengan maksud, tanah berupaya menyerap lembapan dari persekitaran. Menyerap air. Kerana itulah tanah dikenali sebagai elemen hidup, malah menghidupkan. Semua tumbuhan memerlukan nutrien dari tanah. Mereka hidup dan tumbuh dari tanah. Tumbuhan tidak menyerap air secara langsung, sebaliknya menyerap dari akar. Jika tanah tidak berupaya menyerap air, maka tumbuhan tidak ada. Haiwan ternakan tidak ada. Kita juga mungkin tidak ada.

Nanti, rakan saya akan mempersoalkan semula, takkanlah kita hendak menerima praktis bidang kejuruteraan sebagai kebenaran mutlak? Betul juga. Bagi kita orang muslim, kebenaran umum bukanlah tiket sebagai kebenaran hakiki.

Provokasi kawan saya benar. Manusia memang dicipta dari tanah. Takkanlah saya mahu mempertahankan ego saya untuk mengatakan lain dari apa yang umum percaya. Malah bukankah perihal kejadian manusia ini disebut dengan jelas dalam 7 fasa kejadian, yang ditulis dalam Al Quran:

1. Ar Rahman:14 "Dia (Allah) menjadikan manusia dari 'sal sal' (tanah kering) seperti tembikar 'fakhar' (tanah yang dibakar)."

2. Al Hijir:28 "Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya aku (Allah) hendak membuat seorang manusia (Adam) daripada 'sal sal' dan 'hamaain' (lumpur hitam) yang berbentuk (berupa)."

3. As Sajadah:7 "...Dia (Allah) ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia dari 'thien' (tanah)."

4. As Saffat:11 "Sesungguhnya Aku (Allah) menjadikan manusia daripada 'lazib' (tanah liat)."

5. Ali Imran:59 "Allah menciptakan Adam dari 'turab' (tanah)...kemudian Allah berfirman kepadanya: Jadilah, maka jadilah ia."

6. Al Hijir:29 "Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalam roh (ciptaan) Ku.

7 fasa: sal sal - fakkhar - hamaain - thien - lazib - turab - roh

Bukankah semuanya tanah?

Soalan, kalau semuanya ditafsirkan sebagai tanah, kenapa Allah menggunakan terma-terma yang berbeza? Jika kita menekuni, Al Quran sebenarnya ditulis dengan penuh ilmiah, baik dari sudut susunan ayat malah pemilihan kosa kata. Ada sebab mengapa ianya ditulis begitu. Berikut adalah penjelasannya:

Sal sal diertikan sebagai tanah kering atau setengah kering dalam terma saintifik dikenal sebagai zat pembakar (oksigen).

Fakkhar tanah yang dibakar dalam sains ialah zat arang atau carbonium.

Hamaain ialah lumpur hitam ialah zat lemas atau netrogenium.

Thien atau tanah ialah atom zat air (hydrogenium).

Lazib iaitu tanah liat atau zat besi (ferrum).

Turab, tanah juga dikenali sebagai unsur-unsur zat ali dinamai sebagai zat-zat anorganis. (Baru saya faham kenapa Ali juga dipanggil sebagai Abu Turab.)

Kemudian ditiupkan roh. Jadilah, maka jadilah ia.

Maka saya tidak salah. Kebenaran umum dalam praktis jurutera tidak bersalahan dengan kebenaran mutlak yang telah dirakamkan dalam Al Quran. Kenapa, tidak percaya ke de?

Dalam ayat yang disebut di atas, ada sal sal (oksigen) dan thien (hydrogen). Bukankah bila digabungkan hydrogen dan oksigen kita boleh mendapatkan H2O dalam kata lain AIR?

Perbincangan ini ada 3 kebenaran. 1. kebenaran praktis kejuruteraan, 2. kebenaran sains 3. kebenaran dari Al Quran.

Well...saya tidak ada apa hendak dikatakan lagi. Bukankah Al Quran itu mukjizat, yang tiada bersalahan (contradict) antara ayat-ayatnya. Yang membataskan kita adalah kita sendiri. Kerana kita belum berupaya memahami makna setiap patah perkataan yang tertulis di dalamnya.

rujukan:

1. K.D Bahaudin Mudhary. Mencari Kebenaran Suatu Dialog Islam-Kristian

2. Whitlow, R. Soil Mechanics. Wiley.

3. Zainal Abidin, D. 2007. Quran Saintifik Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains. PTS Millenia.

Friday, March 19, 2010

Air: Mula dan Akhir 2

Mendengar dan menonton berita di tv sudah semacam menjadi menonton drama yang ditayangkan di slot waktu petang pula. Hari-hari ada berita jenayah. Rompakan, pembunuhan, mengedar dadah sintetik, malah di parlimen semakin ramai drama king mencari publisiti.

Tetapi semalam, berita amat mengejutkan belaku di Sarawak dan di Kedah, perbuatan seks haram dilakukan secara terbuka. Di Sarawak modus operandinya, pelacur akan membawa akhbar dan keluar sejak dari jam 7 malam lagi. Mereka akan berpeleseran di hadapan kedai untuk mencari pelanggan. Setelah belaku tawar menawar, mereka akan menggunakan suratkhabar tadi sebagai alas untuk, ya anda tahu untuk apa. Di Kedah pula, begitu juga. Tawar menawar malah belaku di hadapan kawasan perumahan yang penuh semak samun. Sekumpulan lelaki yang menunggang motorsikal sedang berbincang dengan 2 orang wanita dalam keadaan tidak sedar perbuatan mereka dirakam jurugambar. Setelah disiasat, dalam belukar yang penuh semak samun ada tilam dan khemah. Dan di sekitarnya, bersepah kondom yang baru digunakan.

Nauzubillah.

Kemudian berita melanjutkan lagi. Beberapa kawasan di tanah air kita ini kesempitan air. Di Sarawak dan Kedah terutamanya. Trak-trak tentera mula digunakan untuk menghantar bekalan di kawasan-kawasan yang mengalami kemarau kontang ekstrim sehingga menyebabkan loji air kering, malah sungai juga tidak ada airnya lagi. Sungai di Malaysia tidak ada air? Luarbiasa. Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang beriklim khatulistiwa dengan hutan hujan tropika, kita biasa menerima air hujan sehingga 3000 mm setahun (jumlah ini adalah 2 kali ganda dari jumlah hujan tahunan di semua negara lain di dunia). Malah kita, kesempitan air?

Kebetulankah?

Kami di Pahang, sudah berbulan-bulan mengalami panas ekstrim yang melampau. Tanda-tanda hujan itu ada dengan awan hitam berat yang bersedia untuk membasahkan bumi. Tetapi khabar berita bumi disirami air itu tidak datang. Sehingga berita mencatat sesetengah kawasan di Pahang mengalami suhu kedua paling panas di Malaysia, dibelakang Kedah. Hari-hari begitu sehinggakan tanam-tanaman mula mengering dan mati. Majoriti kami dalam hati sudah pun berkata-kata, "Wah, bala apa yang menimpa bumi ini?" Dan kerana itu usai solat, dan ketika melihat kelibat awan, kami berdoa agar Tuhan mengasihani tanaman dan mergastua menyedekahkan kami dengan hujan dan angin yang mendamaikan.


Air dan rahmat Tuhan, adakah ia perkara yang ada kaitan?

Ermm, boleh difikir-fikir dan direnung-renungkan. Seorang ibu, ketika melahirkan bayi, perkara pertama yang terjadi pada si ibu ialah dadanya dipenuhi air. Ia tidak ada ketika mengandungkan bayi selama 9 bulan 10 hari. Ia tidak ada ketika seorang wanita itu selamat diijab kabulkan. Dan air itu bukan sebarang air, ia adalah air susu yang mengandungi pelbagai kebaikkan dan ianya rezeki khusus untuk bayi. Luar biasa, air ini akan berhenti keluar dari kantung ibu, setelah bayi itu menginjak usia dua tahun. Kadang-kadang kurang dari itu. Ajaib bukan? Seorang manusia telah ditentukan rezekinya ketika dia tidak boleh berbuat apa kecuali menangis, dan rezeki itu berupa air yang mengalir dari dada seorang manusia lainnya. Air.

Ketika sebuah rumah ibadat tertua di dunia akan didirikan di lembah Bakkah (seperti tertulis dalam Al Quran, Makkah seperti yang umum kenal), Allah menentukan lokasinya itu mestilah terjamin dengan sumber air yang melimpah ruah dahulu, sebelum binaan boleh didirikan di atasnya. Sebelum hati-hati pengunjung dan penziarah tertarik kepadanya. Air itu magnet? Dan jika benar, maksudnya air zam-zam adalah air yang mempunyai kuasa magnetik paling kuat di dunia kerana ia berjaya menghimpunkan berjuta-juta orang datang pada satu-satu masa. Ok, ok, saya tahu, ia bukan kerana air zam-zam, ia adalah kerana pangilan haji dan seruannya adakah kewajipan kepada umat Islam, Quran 3:97 'Dan kewajiban manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Barang siapa mengingkari haji, maka ketahuilah bahawa Allah Mahakaya dari seluruh alam'.

Tetapi akan tertarikkah hati manusia, jika air tidak ada? Jika meneliti penderitaan Siti Hajar, kita akan segera kesani betapa perit penanggungan, tetapi Allah itu Mahakaya, di lembah yang sekelilingnya tanah dan batu yang kering tanpa tanda-tanda hujan, tanpa ada kelibat air sungai mahupun laut, Allah menakdirkan rezeki di bawah hentakkan lemah kaki si kecil Ismail. Harapan itu ada, walaupun ketika pada zahir pandangan manusia seperti mustahil belaku, jika Allah berkata kun, fayakun. Tiada kebetulan, kejadian Allah telah tentukan seperti itu. Makkah dan air zam-zam tidak boleh dipisahkan. Ia telah ditulis cantik, air zam-zam itu dulu keluar, kemudian Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membina rumahNya, dan kemudian Rasulullahlah mengembalikan kiblat dari Jurusalem mengadap rumah yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam, Baitullahi Haram, Makkah Al Mukarram.
Adakah air itu magnet? Boleh jadi juga. Jika diteliti sejarah dunia (ermm patut merujuk dulu pada pakar sejarah domestik saya Aderi Aryasu), setiap tamadun yang wujud ribuan tahun dahulu, di Babylon, di Rom, di Mesir, semuanya akan bermula di kawasan paling dekat dengan air. Babylon dengan sungai Euphrates dan Tigris, Mesir dengan Sungai Nil, dan Rom, saya tidak pasti. Tetapi Rom adalah tamadun paling hebat dalam mengendalikan sumber air, paling hebat dalam menyediakan sistem perparitan dan saliran. Di China juga, yang mengalir di tengah-tengah negara yang besar dan hebat itu, adalah sungai-sungai (Sungai Yangtze?) yang mengangkut sekali baja asli hasil dari mendapan yang digunakan sebagai baja untuk menyuburkan tanah dan tumbuhan. Barangkali pakar sejarah domestik saya boleh jelaskan hal ini nanti. Mungkin itu juga menjadi sebab, Kuala Lumpur sebuah bandaraya yang makmur. Bukankah KL mempunyai satu tempat yang menemukan dua sungai, iaitu Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Dan di sungai KL satu ketika dahulu mempunyai bijih yang berharga, bijih timah.
Kemudian saya berfikir, Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak pernah ketandusan air, masakan boleh keputusan bekalan?
Saya masih ingat lagi dulu, sewaktu arwah ayah masih ada, kami duduk di Kuala Lumpur bersempadan dengan Selangor. Ayah sudah pencen. Kami bertiga duduk di rumah. Seingat saya, ibu saya waktu itu tidak berapa sihat. Hujan turun mencurah-curah. Jam 5 petang, kelihatannya seperti malam. Beberapa minggu begitu. Hujan turun bukan sedikit, jika tiada saliran yang baik, kejiranan kami sudah banjir. Tetapi pelik bin ajaibnya, paip kami kering. Setitis air pun segan keluar. Lori tangki air datang selang sehari untuk membekalkan perumahan kami dengan air bersih untuk menyediakan makanan dan ambil wuduk. Tetapi hari tetap hujan, paip air tetap kering tidak mengeluarkan air. Kerana itu, arwah ayah merangka sistem salirannya sendiri, meletak satu tangki air di halaman rumah, dan paip besar dipasang supaya air hujan yang turun masuk terus ke dalam tangki air tersebut. Saya masih ingat, kerana saya bersama-sama arwah ayah mengangkut berbaldi-baldi air untuk dimasukkan ke dalam tangki. Jika lori air datang, sayalah yang bekejar mengangkat air untuk kegunaan rumah. Mengangkat baldi yang penuh dan berat untuk diisi dalam tangki dan kolam bilik mandi. Supaya mak yang tidak sihat, dapat membersihkan diri dengan sempurna. Ironi bukan, hujan, tetapi empangan kurang air. Akibatnya loji air tidak dapat beroperasi untuk membekalkan air pada penghuninya. Ya, tuan-tuan dan puan-puan, kami tinggal di Kuala Lumpur, bandar metropolitan yang gah serba serbi. Tetapi tiada bekalan air yang mencukupi. Kami tinggal di Kuala Lumpur, yang bila sahaja keluar dari pagar rumah, perkara pertama yang kelihatan di mata ialah menara Kuala Lumpur dan KLCC. Ironi? Memang ironi.

Tetapi musim kemarau begini, apakah petunjuk dan petandanya?
Alhamdulillah, dalam minggu ini hujan sudah mulai keluar membasahi bumi Pahang. Suasana pagi kelam kerana diliputi awan berat, kemudian air turun memenuhi ruang atmosfera renyai-renyai adalah nikmat Allah paling damai saya rasakan. Meski wap panas mengapung (kerana tanah yang panas menukarkan rintik hujan menjadi wap air), ia tetap perasaan yang menggembirakan.

Hujan turun, air sudah datang. InsyaAllah, ia datang bersama rahmat. Kata orang, permulaan hujan turun, adalah saat dan waktu doa dimakbulkan. Mahu berdoa bersama saya?

(gambar-gambar adalah hiasan. Kesian dekat bear, sudah tidak ada ais untuk mereka di kutub utara. Di mana mereka akan tinggal?)





Wednesday, March 17, 2010

Air: Mula dan Akhir

Air adalah elemen paling sentral dalam kehidupan manusia. Ia malah, hidupan itu sendiri. Seperti yang dimaktub dalam Al Quran melalui ayat 30 surah Al Anbiya’
“Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah satu yang padu kemudian kami pisahkan antara keduanya. Daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup.”

Ayat ini keseluruhannya menceritakan tentang penciptaan melalui dua fasa. Fasa pertama tentang kewujudan bumi, planet, galaksi dan segala yang ada diangkasaraya melalui proses yang dikenali sebagai Big Bang. Penjelasan secara tepat melalui ayat “Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah satu yang padu kemudian kami pisahkan antara keduanya.” Proses belakunya pemisahan itulah masyarakat saintifik namakan sebagai Big Bang.

Fasa kedua ialah mengenai permulaan semua hidupan, termasuk manusia. Ia dijelaskan melalui ayat “Daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup.”

Gambar 1: Embrio manusia dengan masih ada sisa sperma

Perdebatan mengenai ayat di atas melalui prinsip saintifiknya sangat panjang. Untuk penjelasan paling ringkas dan mudah iaitu dengan menjelaskan tentang permulaan bayi. Bayi adalah hasil senyawa sperma dan ovum. Untuk membolehkan sperma berjumpa ovum, air mani diperlukan. Seterusnya bayi berkembang dalam rahim ibu dengan medium air. Pendek kata segala-galanya air dan juga air adalah segala-galanya. Jika dikaji melalui zarah manusia paling seni iaitu sel, kita menemukan pembentukan sel juga 75% daripada jisimnya adalah air.

Saya suka melihat kepentingan air melalui sudut sejarah. Dalam senarai sekian banyak cerita para Nabi, air memainkan peranan untuk menceritakan tentang penyelamatan, mukjizat, berita gembira dan peringatan. Paling besar ialah cerita Nabi Nuh dan banjir besar yang pernah meliputi bumi. Kemudian Nabi Ismail melalui hentakan kakinya menemukan telaga zam-zam. Nabi Ayub menemukan air menyembuhkan sakit. Nabi Musa dengan hentakan tongkatnya mengeluarkan air dari 12 saluran untuk Bani Israel. Maryam yang dalam kesakitan melahirkan Nabi Isa juga diberi khabar gembira dengan air untuk membersihkan diri dan juga menghilangkan haus dan dahaga.

Saya selalu rasa bertuah kerana sebagai seorang Muslim kita dianugerahkan dengan air zam-zam. Bagi saya ialah mata air yang keluar di tempat paling ajaib di dunia. Sekiranya kita meneliti gambaran Ka’abah satu masa dahulu, terletaknya di lembah yang dikelilingi oleh padang pasir dan bukit bukau yang kontang dengan hidupan. Terpancarnya air dari tanah kering yang merekah adalah bukti keredhaan dan rahmat Allah. Terutama bila kisahnya berkait rapat dengan pengorbanan seorang isteri yang ditinggalkan, seorang ibu yang masih perlu menguatkan kudrat dan usaha demi untuk menghidupkan anak yang masih bayi. Ditinggalkan seorang di kawasan tanpa orang. Dan lebih buruk tanpa air. Ia adalah ujian yang tidak tertanggungkan. Tetapi Allah itu dengan Kebijaksanaan dan Hikmah, menerangkan sebagaimana buruk sekalipun ujian yang ditimpakan pada para hambaNya, sekiranya dia redha dan menyerahkan segalanya kerana mahu mencari keredhaan, Allah akan membalasnya dengan rezeki yang tidak disangka. Rezeki itu keluar dari hentakan kaki Nabi Ismail. Di lembah panas, kering, kontang, Allah mengurniakan air yang mencurah-curah. Yang diberitakan orang, sekiranya Siti Hajar tidak mengempang air zam-zam, airnya dapat meliputi seluruh dunia. Redha Siti Hajar mendapat tempat di dunia bermula untuk membasah tekak Nabi Ismail yang kehausan sehinggalah sekarang yang memberi kelegaan pada para penziarah dan para Haji. Zamannya sudah berkurun, para penziarah pula saban tahun kini mencapai jutaan pada satu-satu musim, tetapi sekembalinya mereka ke tanah air kita juga akan dapat mencicip air ajaib, dari tanah ajaib, kurniaan Allah Yang Maha Ajaib. Malah Dr Emoto, pakar kristal air dari Jepun juga mengesahkan bahawa air zam-zam mempunyai bentuk kristal paling cantik di dunia.

Siti Hajar diuji. Malah dia redha. Keikhlasannya sampai di langit, kemudian Allah manifestasi redhaNya pada Siti Hajar dan Nabi Ismail dengan air yang mencurah-curah. Yang tidak akan keputusan sehingga ke akhir zaman, InsyaAllah.

Begitulah kisah gembira yang dikaitkan dengan air.

Tetapi malang kita selalu lupa, bahawa air yang membawa berita gembira juga adalah elemen yang memberi kita tanda tentang pengakhiran dan penamatan. Jika bermula hidup dengan air, tamatnya juga ditandai dengan air. Seperti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Hudhayfah ibn Usayd Ghifari,

“Allah’s Messenger came to us all of a sudden as we were (busy in a discussion). He asked: What are you discussing? They replied: We are discussing the Last Hour. Thereupon he said: It will not come until you see ten signs. And he made a mention of the smoke, Dajjal, the beast, the rising of the sun from the west, the descent of Jesus son of Mary, Gog and Magog, sinking of the earth in three places, one in the east, one in the west and one in Arabia, at the end of which fire would burn forth from Yemen, and would drive people to the place of their assembly’.

Tiga tempat akan ditenggelami air di akhir zaman ini. Seperti yang dituliskan di atas.

Kata alim pandai, the sinking of earth at east ialah kejadian tsunami Asia Tenggara 6 tahun yang lalu (wallahu a'lam). Yang memakan nyawa hampir 300,000 ribu orang. Mengenang peristiwanya cukup membuat hati tergoncang, apatah lagi mereka yang mengalami sendiri dan kehilangan orang tersayang. Ketika melihat rakaman dari You Tube peristiwa tsunami, yang ombak menggila datang menenggelamkan pantai, air mencurah datang membanjiri jalan-jalan di Banda Acheh, mayat yang bergelimpangan bersama sampah sarap, air yang naik seolah-olahnya tidak mahu surut, kita akan terus menerus mengucapkan syukur kerana Allah tidak menurunkan bala ini di bumi Malaysia. Bala ini adalah bala yang perlu diratap saban tahun. Ia peringatan jelas tentang kemunculan hari akhir boleh jadi dari pelbagai cara. Ada dalam bentuk goncangan, dan tidak mustahil air yang membuatkan kita hidup ia juga akan mengakibatkan kematian kita sendiri. Bila saya mengulangi cerita tsunami Acheh ini, saya selalu mengingatkan pada mereka yang hidup ketika peristiwa ini belaku sebagai orang yang dipilih oleh Allah sebagai saksi sejarah. Kitalah yang melihat goncangan dan bagaimana air boleh melimpah dari laut sehingga menenggelamkan dataran dari peta dunia. Subhanallah.

Tapi malang, orang Islam sendiri butir bicara kebelakangan ini sudah semaki dirasuki fahaman atheis. Bila mana kita bicara tentang bala dan peringatan, mereka mengeluarkan hujah bahawa ia adalah proses semulajadi perubahan bumi. Untuk stabil bumi perlu ada gempa bumi, dan ia perlu berulangan. Sedangkan ayat Allah bukankah telah ditulis dalam Al Quran yang kita letak di rak, dan sekiranya rajin cuba buka pada Surah ke 17 ayat 59 ia masih di situ dan ditulis dengan jelas,

"And We sent not the signs except to warn"

Dan juga seperti dari peringatan Rasulullah sawa dalam buku hadith Al-Bukhari, 2/17 no. 146

"The Hour (Last Day) will not be established until (religious) knowledge will be taken away (by the death of religious learned men), earthquakes will be very frequent, time will pass quickly, afflictions will appear, murders will increase and money will overflow amongst you."

Meski, setiap orang sendiri yang akan menentukan keyakinan mereka di mana. Samada menyakini bahawa goncangan adalah proses natural seperti diceritakan oleh ahli geologi atau goncangan, air bah, letusan gunung berapi, semua tanda-tanda alam adalah peringatan. Kita yang memilih, kitalah yang akan mendapat ‘akibat’ dari ‘sebab’ pilihan kita.

Tuesday, March 09, 2010

kerana kamu
bulan dizahirkan
kita nampak jalan
satu hari
tenaga dihabisi
yang tinggal hanyalah
nisbi
saat itu
kau aku
akan tahu

Monday, March 08, 2010

Tak Faham 2

Malaysia menerima cahaya matahari yang terang hampir 12 jam sehari. Tetapi kenapa, setiap kali masuk ke pejabat atau ke kelas, atau kebanyakkan premis yang ada, kita tetap melihat lampu di buka di siang-siang hari.

Bukankah cahaya matahari cukup terang untuk membantu kita melihat?

Salah siapa? Adakah arkitek bangunan kita tidak cukup ikhtiar untuk mengoptimakan penggunaan matahari sebagai sumber tenaga?

Thursday, March 04, 2010

Tak Faham

Saya ada satu perkara yang saya tak faham.
Setiap tahun kita perlu membayar insuran kereta untuk membolehkan kita memperbaharui cukai jalan. Dan harga yang dibayar itu bukanlah sedikit.
Katalah, untuk tahun 2009 pemilik kereta tidak terlibat langsung dalam kemalangan. Maknanya dia tidak akan membuat apa-apa tuntutan terhadap harga insuran yang dibayar kepada syarikat insuran.
Soalan saya:
1. Kenapa bila pemilik kereta tidak membuat tuntutan, wang insuran yang dibayar (pada 2009) mahal-mahal itu tidak dikembalikan?
2. Kalau begitu, kita membayar apa kepada syarikat insuran? (bayar untuk khidmat apa sebenarnya?)
3. Tak boleh ke duit tu dibayar semula kepada pemilik kereta untuk membolehkan dia memodalkan duit untuk insuran 2010 pula?
Sekian, kemusyikilan saya.