Air: Mula dan Akhir 3
Saya: "Assalamualaikum, awat?"
Beliau: "Waalaikumussalam, tak dak la, aku baca blog hang dok kata segala hidupan asal dari ayaq. Termasuk la orang boleh faham yang manusia pun asal dari ayaq. Nanti ada orang salah faham ni de."
Saya merenung skrin. Berfikir. Teguran kawan saya ini betul. Tetapi kalau pun orang lain faham manusia asal dari air, ia tidak bersalahan dengan kenyataan (statement) manusia berasal dari tanah. Jika saya menaip membalas, mahu berlanjutan sampai ke pagi tanya jawab beliau.
Dalam disiplin kejuruteraan, tanah dikaji dengan sangat terperinci. Sehinggakan mereka melihat tanah dalam bentuk paling seni. Dengan maksud, tanah itu diperiksa dengan mengunakan mikroskop.
Apa yang ada di dalamnya?
Jurutera menyimpulkan bahawa tanah itu terdiri kepada 3 komponen. Iaitu: tanah (dalam bentuk partikel), udara dan air. Air! Saya tidak silap bukan. Model tanah yang mempunyai 3 komponen ini telah digunapakai jurutera profesional berabad lama. Mereka menggunakan model ini untuk merekabentuk asas bangunan (foundation).
Air!
"De, air de..." (saya akan menulis begitu pada beliau nanti).
Ya, tanah itu tidak kering. Tanah itu mengandungi air. Dengan maksud, tanah berupaya menyerap lembapan dari persekitaran. Menyerap air. Kerana itulah tanah dikenali sebagai elemen hidup, malah menghidupkan. Semua tumbuhan memerlukan nutrien dari tanah. Mereka hidup dan tumbuh dari tanah. Tumbuhan tidak menyerap air secara langsung, sebaliknya menyerap dari akar. Jika tanah tidak berupaya menyerap air, maka tumbuhan tidak ada. Haiwan ternakan tidak ada. Kita juga mungkin tidak ada.
Nanti, rakan saya akan mempersoalkan semula, takkanlah kita hendak menerima praktis bidang kejuruteraan sebagai kebenaran mutlak? Betul juga. Bagi kita orang muslim, kebenaran umum bukanlah tiket sebagai kebenaran hakiki.
Provokasi kawan saya benar. Manusia memang dicipta dari tanah. Takkanlah saya mahu mempertahankan ego saya untuk mengatakan lain dari apa yang umum percaya. Malah bukankah perihal kejadian manusia ini disebut dengan jelas dalam 7 fasa kejadian, yang ditulis dalam Al Quran:1. Ar Rahman:14 "Dia (Allah) menjadikan manusia dari 'sal sal' (tanah kering) seperti tembikar 'fakhar' (tanah yang dibakar)."
2. Al Hijir:28 "Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya aku (Allah) hendak membuat seorang manusia (Adam) daripada 'sal sal' dan 'hamaain' (lumpur hitam) yang berbentuk (berupa)."
3. As Sajadah:7 "...Dia (Allah) ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia dari 'thien' (tanah)."
4. As Saffat:11 "Sesungguhnya Aku (Allah) menjadikan manusia daripada 'lazib' (tanah liat)."
5. Ali Imran:59 "Allah menciptakan Adam dari 'turab' (tanah)...kemudian Allah berfirman kepadanya: Jadilah, maka jadilah ia."
6. Al Hijir:29 "Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalam roh (ciptaan) Ku.
7 fasa: sal sal - fakkhar - hamaain - thien - lazib - turab - roh
Bukankah semuanya tanah?
Soalan, kalau semuanya ditafsirkan sebagai tanah, kenapa Allah menggunakan terma-terma yang berbeza? Jika kita menekuni, Al Quran sebenarnya ditulis dengan penuh ilmiah, baik dari sudut susunan ayat malah pemilihan kosa kata. Ada sebab mengapa ianya ditulis begitu. Berikut adalah penjelasannya:
Sal sal diertikan sebagai tanah kering atau setengah kering dalam terma saintifik dikenal sebagai zat pembakar (oksigen).
Fakkhar tanah yang dibakar dalam sains ialah zat arang atau carbonium.
Hamaain ialah lumpur hitam ialah zat lemas atau netrogenium.
Thien atau tanah ialah atom zat air (hydrogenium).
Lazib iaitu tanah liat atau zat besi (ferrum).
Turab, tanah juga dikenali sebagai unsur-unsur zat ali dinamai sebagai zat-zat anorganis. (Baru saya faham kenapa Ali juga dipanggil sebagai Abu Turab.)
Kemudian ditiupkan roh. Jadilah, maka jadilah ia.
Maka saya tidak salah. Kebenaran umum dalam praktis jurutera tidak bersalahan dengan kebenaran mutlak yang telah dirakamkan dalam Al Quran. Kenapa, tidak percaya ke de?
Dalam ayat yang disebut di atas, ada sal sal (oksigen) dan thien (hydrogen). Bukankah bila digabungkan hydrogen dan oksigen kita boleh mendapatkan H2O dalam kata lain AIR?
Perbincangan ini ada 3 kebenaran. 1. kebenaran praktis kejuruteraan, 2. kebenaran sains 3. kebenaran dari Al Quran.
Well...saya tidak ada apa hendak dikatakan lagi. Bukankah Al Quran itu mukjizat, yang tiada bersalahan (contradict) antara ayat-ayatnya. Yang membataskan kita adalah kita sendiri. Kerana kita belum berupaya memahami makna setiap patah perkataan yang tertulis di dalamnya.
rujukan:
1. K.D Bahaudin Mudhary. Mencari Kebenaran Suatu Dialog Islam-Kristian
2. Whitlow, R. Soil Mechanics. Wiley.
3. Zainal Abidin, D. 2007. Quran Saintifik Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains. PTS Millenia.
Comments