Adrenalin Unjuk Rasa - Revolusi Mesir
Melihat gelombang kebangkitan rakyat begitu mengujakan. Video YouTube di atas adalah salah satu acara pendemonstrasi menguasi jambatan Qasr Al Nil. Siapa berada di sana pasti merasai gesaan adrenalin menguasai diri. Semangat yang dilaungkan, kebebasan untuk bercakap tentang penderitaan, perkongsian mengenai satu agenda perubahan, itu, yang mendorong mereka keluar beramai-ramai, berpadu, bersatu.
Siapa yang tidak takut kepada water canon dan juga gas pemedih mata. Pasti, mereka yang pernah berada di dalam asap yang menguasai udara, merasa seksa bernafas. Dan air mata yang tidak boleh ditahan, mengalir deras seperti kita sedang menderitai dan berkabung dengan sesungguhnya.
Kata saya pada rakan, panduan untuk unjuk rasa ialah pertama, keberanian. Kedua, tujuan dan niat yang betul. Ketiga, sebotol air mineral bersaiz besar. Keempat, tuala untuk menutup mulut dan mata. Kelima, wasiat.
Saya bercerita pada rakan betapa pedih menahan sakit di kerongkong kerana tertelan asap tebal. Dan begitu busuk air pedih dan gatal, seolah-olah sedang menciumi bau kencing yang hancing. Kata dia, untuk apa berada di sana. Sebab itu tidak ada sebab untuk unjuk rasa.
Kata saya di situ salahnya kita. Unjuk rasa tidak pernah terjadi untuk golongan penguasa. Ia adalah suara hati rakyat. Yang tidak dapat dibaca oleh para wakil mereka di Parlimen. Atau sibuk membaca agenda dan dasar yang akan lebih menguntungkan para kroni, tetapi bukan rakyat secara massa. Sekiranya, rakyat diwakili dengan suara yang sebenar di dalam Parlimen, mereka tidak perlu menunjuk rasa. Mengorbankan keselesaan yang sikit milik mereka untuk menempuh kezaliman para penguasa. Bukankah ini sunnah?
Kita melihat berbondong-bondong umat Nabi Musa keluar dari Mesir untuk mendapat keadilan untuk mereka. Kita melihat rombongan Rasulullah keluar secara aman untuk sampai ke Makkah.
Unjuk rasa tidak pernah akan jadi ganas jika tiada puak memprovokasi ia untuk menjadi ganas. Tiada manusia cukup gila untuk menolak keamanan. Mereka cuma mahu suara mereka didengar, penderitaan untuk mencari sesuap nasi juga dirasai oleh wakil mereka yang hanya duduk di dalam kereta mewah yang menjalar-jalar, tanpa perlu mengeluar duit sendiri untuk minyak, untuk bayar tol, malah diiringi lagi oleh pegawai-pegawai keselamatan kerajaan.
Ya, wakil kita tidak merasai bagaimana bahan jajaan kita untuk sesuap nasi dirampas dan kemudian tidak dikembalikan. Keperitan yang mendorong anak-anak kecil menjadi pencopet, yang menghindar mereka dari sekolah kerana kemiskinan, pada kita yang sukar mendapatkan minyak masak walau ladang kelapa sawit kita lebih besar dari negeri Perlis, pada barang yang semakin mahal sehingga yang mampu dibeli kita hanyalah ikan pecah perut yang tidak layak dimakan.
Mereka tidak rasa kerana hidangan mereka khas dimasak oleh tukang masak hotel bertaraf 5 bintang.
Saya tidak perlu mengajar kamu tentang adrenalin kiranya kamu peminat tegar peminat mesin roller coaster. Yang adrenalin yang mengalir seperti itu, ketika kamu menghadapi bahaya, ketakutan, dan ancaman. Ia mencucuk-cucuk ke urat saraf, menegang, dan membuat jantung berdegup lebih kencang. Ketika ia tenang, kita akan merasai keselesaan luar biasa. Tenang dan aman.
Adrenalin seperti itu. Tetapi merasainya di dalam mesin roller coaster tidak membawa makna apa-apa kecuali jerit racau yang disambut ketawa yang dirasai sendiri-sendiri.
Adrenalin ketika unjuk rasa ada harganya. Sekurang-kurangnya ia menjadikan kamu sebagai salah seorang saksi sejarah!
Comments