Siri Beijing: Bahasa


Satu halangan besar pada mereka yang ingin belajar di China adalah bahasa. Bukan di peringkat pengajian tinggi mereka tidak fleksibel dengan penggunaan bahasa, tetapi untuk urusan seharian. Seperti untuk menggunakan pengangkutan awam, teksi dan bas, membeli belah dan membaca papan tanda. Tetapi Beijing sekarang sudah begitu terbuka dengan banyak papan tanda yang menggunakan bahasa Inggeris dan ada juga yang bertulisan dan bahasa Arab. Tidak percaya?

Kami hampir sesat di kota Beijing kerana masalah bahasa. Kerana bahasa juga kami terpaksa berlari macam orang gila di jalan besar Medan Tian An Men. Dan itu berlaku di waktu malam. (Haha, akibat mahu sangat membeli belah di pasar murah).

Kami di bawa menaiki teksi untuk ke pasar Tian An Men. Dalam kumpulan kami tiada seorang yang pandai berbahasa Mandarin. Cuma beberapa patah perkataan yang di belajar sewaktu di universiti semasa matapelajaran Bahasa Ketiga.

Dan sudah tentu orang itu bukan saya. Oleh kerana tatabahasa yang begitu minima, kawan kami selalu tidak faham kehendak pemandu teksi. Akhirnya, kami berbahasa isyarat sahaja dengan gelak ketawa yang tidak tahu pangkal hujung. Seperti ayam dan itik bercakap, dalam kelam malam kami menebak sahaja maksud.

Namun sebenar ia pengalaman yang menakutkan. Pemandu sangat teruja bila kami menyebut Malaysia China pengyou. Menyebabkan dia bertepuk tangan dan gelak ketawa yang tiada henti. Lebih menakutkan bila pemandu memandang ke belakang memandang kami satu persatu beberapa kali. Guardian (bodyguard - kawan lelaki) yang sepatutnya menjaga keselamatan kami (yang duduk di sebelah pemandu) juga takut, sambil menjerit-jerit "Nak balik Malaysia". Kerana begitu gementar kami menjadi kalut. Sehingga ditinggalkan di tepi jalan tidak tahu mana hala dan tujuan, di tengah-tengah bandaraya mega Beijing!

Dalam satu aspek saya menyanjung China kerana majoriti penduduknya hanya bertutur menggunakan bahasa Mandarin. Tidak tahu jika mereka menggunakan dialek lain kerana saya tidak berkemampuan untuk membeza dialek. Namun, meski Beijing dikunjungi ribuan mungkin jutaan pelancong setiap tahun, mereka tetap sahaja tegar tidak berubah. Kecuali peniaga di pasar-pasar yang tahu menggunakan sedikit bahasa Inggeris, Rusia dan Bahasa Melayu. Di tempat lain, mereka semua bertutur mandarin. Kita yang menaiki teksi ini pula terpaksa bertutur bahasa yang sama meski sekadar Ni Hao Ma, Wa cu na li, Xie xie. Lalu bagaimana dengan mengekal bahasa Ibunda, mereka dapat mendaki takhta nombor satu pacuan ekonomi dunia?

(tulisan Arab: Al Mat'am Al Islami - maksud - tempat makan Islam)

Bahasa.

Saya mempelajari kepentingannya dari guru kejuruteraan bukan dari guru bahasa. Kata beliau, untuk membolehkan kita menjadi pendidik yang baik, bukan ilmu yang menggunung dalam dada. Atau bahan bacaan kita yang mencecah ribuan naskah. Atau banyaknya penyelidikan yang telah kita lengkapkan. Kata beliau, ia sebenarnya bermula dari bahasa.

Saya sendiri hairan mendengar.

Analoginya begini.

Awal manusia belajar melalui bahasa. Beliau memberi bayangan edik pertama yang diturun kepada Rasulullah melalui perantara Jibrail dengan kalam Iqra’. Yang, diturunkan dengan perantara bahasa.

Kemudian baharu manusia belajar tulisan. Seperti yang kita lihat melalui dinding gua. Seperti yang tercatat dalam monumen Mesir Purba.

Lepas dari itu baharu manusia belajar mengenai nombor, numerical expression.

Akhir sekali melalui graf, gambarajah. Dan ini kami kenali dengan perantaraan simbol.

Begitu.

Lama sekali saya menghayati dan cuba memahami. Mencari kebenaran di balik penyampaian. Jauh dari sudut hati, tidak sukar untuk saya bersetuju. Pengalaman di Beijing menyuntik nubari sedar saya.

Ya, untuk membolehkan kita saling mempelajari dan memahami, adalah kemahiran berbahasa. Bukan perlu mempunyai lenggok bahasa yang begitu halus. Cukup sekadar kita menyampai dengan bahasa mudah, kerana tujuannya untuk membuat orang faham. Kerana tujuan bahasa tidak lain adalah untuk menyampai, supaya yang mendengar faham sehingga dapat beramal untuk dimanfaatkan.

Saya? Masih terkial-kial dalam penguasaan. Baik Inggeris mahupun Bahasa Malaysia sendiri. Apatah lagi Arab. Mandarin? Huh, ke laut.

Tapi saya mahu mendalami. Moga Allah menunjuk jalan untuk saya, awak juga, untuk memperkasa penguasaan bahasa. Moga-moga nanti kita juga mampu untuk berkomunikasi dan menulis dengan baik, memahami nombor-nombor dan berdaya mentafsir simbol-simbol.

Kerana saya tahu, Allah juga menjelmakan diriNya melalui bahasa, tulisan, angka. Ultimatnya, bila kita dapat mentafsir segala simbol kejadian Tuhan dalam alam dan semesta, dan akhirnya berkata…

“di mana-mana, Kamu ada.”


Comments

RIZZNA said…
Selamat belajar bahasa mandarin...
Adik saya sdg menuntut di BFSU, Beijing, ambil Sarjana Bahasa Mandarin. Masa ditawarkan ke sana, dia sgt berbelah bagi sbb mmg sepatah haram pun tak tau bahasa cina. Tapi dia bertekad, bahawa dia pasti boleh. Skang Alhamdulillah, bila balik M'sia dia boleh berbual dgn apek kedai sebelah rumah. hehehehe...
ASaL said…
terima kasih datang singgah. untungnya belajar, kemudian tahu, kemudian dapat diamalkan.

:)
t1ket said…
kadang2 pergi beijing singgah kejap jumpa budak BFSU, si Sheikh, ketua pelajar(pendek2), dan ramai lagi dkt dgn Haidian.Bahasa mandarin di Beijing sangat unik, sampai sekarang saya masih mempelajarinya, banyak dah buku beli dari sana. dan buku disana murah2.Saya ada kawan cina malaysia, dia org ckp org beijing ckp mandarin kelakar, saya tanya kawan beijing pula, orang cina malaysia atau cina selatan ckp cina kelakar. Tapi paling asli dan standard semestinya beijing. beijing hua atau dialek beijng ialah asas kepada bahasa mandarin. jadi dari situ la dia mula. cuma bahasa di beijing banyak guna bunyi 'er'. kdg2 keliru, tapi senang je sebenarnya. apa2 pun kena amalkan supaya tak lupa. bahasa apa2 pun.
ASaL said…
indahnya bahasa jika ia menjadi penghubung antara bangsa :)

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK