Pengaduan

Ini bulan Allah membuka pintu langit seluas-luasnya. Untuk pengampunan, untuk rahmat, untuk pembebasan dari api neraka.


Dari mulut orang yang menahan lapar dan dahaga ikhlas demiNya, yang menahan perit mentari dengan kesabaran bahawa benar sesungguhnya dia sabar dan taqwa pada TuhanNya.


Ini bulan diturunkan Al Quran.


Dalamnya malam kuasa penuh rahsia dan pemakbulan doa.


Bulan yang roh orang-orang maksum diterima langit dengan redha. Yang siang dan malam penuh zikir, pengaduan dan rasa cinta. Mereka tidak mati, bahkan terus hidup menebarkan budi sepanjang zaman, sehingga Allah menutup cerita kita, cerita umat manusia.


Namun yang nyata ia tidak akan dapat mentarbiah semua. Kerana masih ada manusia yang tidak takut. Menafsir mengikut nafsu sendiri-sendiri. Melepaskan tanggungjawab. Yang menyangka bahawa yang diperbuat dalam pekerjaan adalah hal dunia yang tidak menyangkut dengan hal akhirat mereka. Bahawa tiada guna menabur keringat untuk hal dunia, sedang inilah dunia satu-satunya yang mereka ada untuk membawa bekal ke akhirat sana.


Kerana bulan tarbiyyah ini belum tentu dapat mendidik semua. Maka mereka tidak segan berlaku aniaya. Kerana yang malang itu bukan diri mereka, bahkan diri orang lain yang tidak menyangkut dengan kehidupan mereka.


Tetapi mereka lupa, bahawa orang-orang kecil ini punya doa. Yang dirasakan tidak menyangkut kehidupan, mereka inilah yang menyambung kehidupan. Hanya kerana mereka berada di bawah. Sedang tanah yang berada di bawah itulah yang membolehkan manusia berjalan mencari rezeki.


Hati mereka ikhlas sepenuhnya putih untuk Allah. Dan tidak bernafas melainkan Allah di hujung hembusan dan setiap tarikan. Bila melihat, yang muncul hanya keagungan dan kebesaran. Sukma mereka tidak pernah kering, kerana sentiasa meminum air dari basahan zikir kerana cinta padaNya.


Mereka tidak pernah sedar bahawa orang-orang kecil ini punya doa. Dan mereka orang teraniaya. Dan ini bulan Ramadhan yang langit seluas mata dan saujana galaksi yang tidak terjangkau dari pengamatan terbuka luas tanpa hijab.


Ya Allah, saksikanlah Engkau Ya Allah. Tuhan Yang Maha segala, dan ditanganMulah neraca pengadilan yang tidak pernah sedikitpun akan berubah. Pandanglah orang-orang kecil yang dizalami kerana nafsu, ego, dan jiwa zalim mereka yang tidak pernah sepincing pernah kalah. Bersaksilah Ya Allah, Engkau di bulanMu, bahawa kami dizalimi. Adili kami dengan keadilanMu yang sedikit kami tidak pernah ragu.


Ya Allah, kami berdoa. Dan seperti yang Kau janjikan pada kami, "Berdoalah kepadaKu, nescaya dimakbulkan untukmu".


Kamilah umat yang berbaiah denganMu. Tiada kekuasaan lain selain dari kekuasaanMu. Hukumlah mereka yang zalim sesuai dengan sifat dan zatMu.


Ini bulan Ramadhan. Langit-langit tidak pernah tertutup. Dan kepadaMu, tempat segala pengaduan.




Comments

ASaL said…
dan Allah itu Maha Mendengar dan Memakbulkan.

Subhanallah.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang