Prof Haron dan Ramadhan 2
Lewat di dalam kelas saya bertanya pada rakan-rakan. Andai mereka mendapat makalah yang sama dari Prof. Hakikat, yang lain tidak dapat. Dan kemudian baru tahu ia untuk diedar di kalangan pensyarah dan kakitangan di pejabat. Bukan untuk pelajar pun. Mungkin sebagai ganti kad raya. Itu cukup menjadikan dada saya kembang macam belon helium.
Penghormatan. Benar ia satu penghormatan untuk saya, namun saya tidak membalas penghormatan itu dengan membaca. Dulu saya menganggap ia hanya kebetulan. Kebetulan saya lalu di situ, kebetulan Prof lalu jalan yang sama, kebetulan di tangan Prof ada makalah itu, kebetulan saya bermuka takut tidak cukup darah, kebetulan Prof kehilangan kata, kebetulan saya memang tiada kata-kata, dan kerana semua-semuanya, Prof breaking the ice dengan memberi.
Tapi dalam kejadian Allah Maha Sempurna, tidak sewajar mengaitkan dengan kebetulan. Ia telah ditentukan. Allah menetapkan peristiwa itu berlaku begitu, supaya saya ingat. Bahawa seorang Prof telah menebarkan kebaikkan yang banyak untuk diri saya. Tanpa bercakap pun, dia meninggalkan impak besar.
Hari Jumaat saya sudah berada di KL sampai lewat petang dari Pahang. Telefon dari pensyarah lain masuk dan bertanya samada saya sudah tahu atau tidak. Saya kata sudah maklum. Menunggu rakan dari Johor. Dalam hati, saya mahu menderma darah meski itu pengalaman pertama. Hari Sabtu pagi rakan masih belum sampai. Sehinggalah lewat tengahari, telefon lain masuk mengatakan Prof sudah pergi.
Kesal. Ya kerana tidak berkuat untuk pergi sendiri. Saya tidak pernah menyangka keadaan Prof sebenarnya begitu buruk. Yang saya sangka Prof kemalangan seperti orang-orang lain, Prof akan sembuh semula. Tetapi itu hari terakhir Prof, beliau pergi ketika berkhidmat di tempat perjuangannya. Saya jadi tidak kuat untuk menziarah. Sebahagian diri saya hilang hari itu.
Besar. Untuk kami yang mengenali, jabatan kami, intitusi kami, dunia akademik, industri kejuruteraan mengaggap kepulangan Prof sebagai kehilangan paling besar dan tiada galang ganti. Untuk saya, terlalu besar kerana saya tidak sempat untuk benar-benar menyembahkan ucap terima kasih penuh takzim padanya. Kerana mengajar saya dengan sabar, kerana melihat saya sebagai orang muda yang perlu dididik gigih dengan harapan menjadi penerus generasi masa depan, kerana tetap percaya walau dengan kelemahan yang pelbagai. Kerana saya kehilangan peluang untuk mengucapkan terima kasih kerana menanamkan saya nilai, menunjuk jalan faham, memberi contoh mudah dan memudahkan, mendidik dengan ikhlas. Saya terlepas semua itu.
Comments
mengimbau balik kenangan 10 thn yg lalu, aku mmg ingat sgt detik hari pemergian prof. aku baru sahaja habis 2 minggu bercuti kerana majlis perkahwinanku. ahad esoknya aku akan pulang ke pahang. jadinya aku sempat melawat prof di icu SMC pd pagi sabtu tu. secara fizikalnya kalau dilihat mmg tidak ada kecederaan langsung di luarannya tp dalamannya cedera parah... sempat juga aku bertemu dgn isteri prof yg kelihatan cukup sedih dan bimbang, prof hawa pun ada ketika itu yg selalu memberi semangat pada isterinya... namun Allah lebih sayangkan prof...
-ns49-
batch aku memang tak ramai yg dapat buku tu kot.
siapa yang tidak sedih, bapa mertua meninggal di kampung, suami terlantar koma.
ujian, Allah benar2 menguji hamba-hamba pilihanNya kan untuk ditingkatkan lagi kemuliaan, dan diampunkan dosa-dosa.
Subhanallah.