(Ramadhan Tanpa TV) CikDa: Tarawih dan TV


Mari saya ceritakan kepada anda kisah seorang perempuan yang malas bertarawih. Perempuan ini buta IT, atau dalam bahasa yang lebih lembut mengikut piawaian semasa - kurang keupayaan IT. Dengan Nokia 3310 dia mengutus mesej kepada saya supaya menulis kisahnya. Katanya, saya pandai menulis, dan ini memento istimewa kepada ibunya. Pandai sekali dia menekan punat tepat pada titik kelemahan saya. Lalu, disinilah saya, dengan wajah kemerahan bangga tak terkira, menulis kisah perempuan yang malas bertarawih ini.
Semuanya bermula sewaktu perempuan ini berumur 8 atau 9 tahun. ( heh, umpat saya dalam hati. Manusia mesti akan menyalahkan masa lepas ). Bulan puasa adalah bulan yang paling tidak disukai. Siang hari lapar, malam, letih terpaksa ke masjid mengikut ibu dan ayah menunaikan solat isya’ berjemaah, solat tarawih 20 rakaat, solat witir 3 rakaat. Paling tidak menyeronokkan, tiada peluang menonton TV langsung! Sebelum Ramadan, ada juga peluang menonton Doraemon selepas maghrib pukul 7 petang ( di dunia perempuan ini, maghrib pukul 6 petang ). Kini, diwaktu Ramadan menjelma, TV sejuk dan berhabuk. Waktu petang senggang selepas balik dari sekolah sampai ke Maghrib, tiada rancangan menghiburkan kecuali rancangan masakan yang resepinya terlalu laju untuk ditangkap. Ibu selalu menyuruhnya menyalin resepi untuk ibu - tidak tahukah ibu ini satu rutin yang mengecewakan, membazir kertas dan memusnahkan keyakinan manusia terhadap kebolehan IQ nya? 
Semua ini mendorong budak perempuan membina satu misi menonton Doraemon di bulan Ramadan. Dia mula mencari dan mereka pelbagai sebab musabab lengkap dengan taktik meraih simpati mengalahkan wakil rakyat senja berkempen janji ditepati. Lebih kurang seminggu berpuasa;
“Ibu, boleh tak saya tinggal di rumah, sementara Ibu pergi masjid. Letihlah puasa hari ini ibu. Saya berjanji saya akan basuh semua pinggan dan lipat semua kain.” Budak perempuan melancarkan misi pertamanya sewaktu mereka sekeluarga bersiap-siap hendak ke masjid. Jikalau Ibu membenarkan, bolehlah dia menonton TV sepuas hati.
Ibu merenungnya. “Ibu bimbang, bahaya tinggalkan anak perempuan kecil di rumah malam-malam. Kalau letih, boleh berehat di belakang jemaah.”
Keesokan harinya dia mencuba pelan B. “Ibu, saya sakit perut…”. Ibunya pun lekas-lekas menyapu minyak dan menggosok perutnya dengan tangan Ibu yang sejuk.
“Sakit lagi?”
“Tak sakit dah…” Entah kenapa dia tak sanggup berbohong. Mungkin kerana dia memang manja dan terus mencair bila terkena sentuhan ibu. Pelan gagal, malah peluru berbalik pula.
Misi-misi pada hari-hari seterusnya.
“Ibu, kerja rumah banyak, nanti tak sempat siap…”
“Bawa kerja sekolah ke masjid, duduk di belakang dan siapkan ya. Jangan bising..”
“Ibu, mengantuk…”
“Pergi ambil wudhu. Nanti segar.”
“Ibu, telekung tertinggal di sekolah..”
“Pinjam telekung Ibu.”
“Ibu, tak laratlah nak sembahyang tarawih. Sembahyang sikit saja, boleh?”
Ibunya membenarkan dan berpesan supaya jangan bising. Lambat benar hari berlalu. dia membilang lagi hari bimbang tersilap. Jari-jemarinya berhenti pada angka lima belas hari. Sudah lima belas hari tertinggal siri Doraemon. Bosan, dia duduk memeluk lutut bersandar pada dinding masjid. Di sebelah kirinya ada rak buku. Dia berkeser sikit-sikit ke arah rak buku dengan malas dan menyangkutkan dagunya pada tingkat rak yang sama paras  dengan tulang belakang tubuh kecilnya. Dia membaca tajuk pada tulang - tulang buku yang tersusun rapi. Siri kisah buku nabi-nabi.
“Ibu, boleh tak bawa balik buku ni ke rumah kita?”. Tanyanya pada Ibu, sejurus selesai Tarawikh.
“Buku ni baca di masjid saja, bukan macam perpustakaan.” Terang ibunya.
Mulai hari itu, budak perempuan itu tiba-tiba rajin saja ke masjid. Bukan hendak solat Tarawikh, tapi hendak menghabiskan siri buku-buku tersebut. Dia masih malas bersolat Tarawih, tapi kerana Ibunya telah berpesan, solat juga, kalau tidak terdaya baru berhenti, Dia solat separuh sahaja, 10 rakaat, dan separuh lagi masa membaca buku di belakang masjid. Masa ini, dia sudah terlupa misi menonton Doraemon - Kisah mukjizat para Rasul lebih menarik dari kisah Doraemon dan poketnya. Habis buku-buku tersebut, dia duduk dan memerhati barisan jemaah perempuan yang rukuk dan bersujud, kemudian kembali berdiri. Dia membandingkan ketinggian mereka semua - ibunya yang paling tinggi.
Hari-hari terakhir Ramadan, dia bertanya lagi kepada ibunya. “Ibu, kenapa rajin pergi masjid. Ibu kan dah banyak kali pergi. sudah banyak pahala.”
Jawapan ibunya diingatinya sampai dia dewasa - ” Ibu tak pasti Ibu hidup lagi tahun hadapan untuk dapat peluang Ramadan dan tarawikh…”
Rezeki Allah kepada Ibunya, Ibunya dapat peluang dua puluh Ramadan lagi sesudah Ramadan tahun itu. Dia masih mengikuti Ibu ke masjid. Cuma kini dua puluh rakaat sudah menjadi 8 rakaat Tarawikh. Budak perempuan sudah besar dan matang untuk memahami hikmah disebalik puasa dan Tarawih. Bermula dari belakang jemaah, kini dia bersolat di sisi ibunya. Dan Ibunya bukan lagi jemaah perempuan paling tinggi, kini yang paling rendah kerana terpaksa sembahyang duduk di atas kerusi. Ibunya masih gigih bersolat tarawikh 30 hari Ramadan, kerana prempuan tua itu tidak pasti akan hidup lagi sampai tahun hadapan.
TV di rumah mereka kekal sejuk dan berhabuk sepanjang Ramadan.
Begitulah ceritera yang disampaikan kepada saya. 

Comments

ASaL said…
Oleh kerana Admin memang mahu memberikan 5 hadiah, sesiapa yang menghantar cerita sehingga cukup kuota 5 akan diberi hadiah duit raya.

Siapa cepat dia dapat. Tinggal 3 dirham lagi untuk dimenangi.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK