Bila Masa Berhenti
Strangers (Petronas TVC 2012 - Raya)
Seperti mana iklan raya Petronas ini, seperti itulah kita perlu berperasaan "since I've time to reflects." Rugi sangat kita rasanya jika tidak berhenti di bulan Ramadhan ini. Berhenti dalam ertikata membuat benda-benda biasa dan mula membuat perkara-perkara luar biasa.
Tidak makan selama 12 jam, tidak minum, tidak mengumpat dan menyebarkan fitnah. Berhenti dari pemikiran negatif, berusaha untuk tidak tengok TV, mengenang kesukaran dan pedih bila perut lapar. Berhenti dari kesibukan lain, membuka Al Quran dan baca isi, fikirkan dan menyoal kembali diri "sudahkah aku lakukan apa yang diminta Al Quran." Berhenti mengeluh dengan apa yang telah Tuhan takdirkan untuk kita, dengan segala kekurangan, dengan sepi yang mencengkam, dengan derita ditinggal yang mati dan hidup, berhenti!
Sebaliknya mula mengenang, senang kita berbanding yang lain. Kenyang kita banding kebuluran yang lain. Merdeka kita dengan terkurung mereka yang lain. Punya kereta kita berbanding pejalan kaki yang ditimpa hujan dan disengat mentari.
Kita tidak akan faham jika tidak mengalami. Kerana itu Allah wujudkan Ramadhan supaya kita tidak terus-terusan memenuhkan tembolok sehingga satu waktu kita jadikan nafsu sebagai tuhan, bukan khadam. Kita tidak akan faham jika kita tidak berhenti, kemudian ambil masa melihat. Wajah-wajah anak-anak yatim yang tersenyum memandang ketika kita datang untuk meraikan, padahal ada garis-garis kecil di wajah tanda banyak menangis. Mengenang tidak punya ibu dan ayah, tidak ada rumah, tidak ada tempat mengadu. Jika kita tidak berhenti, fikirkan dalam akal, rasai pedihnya tidak punya apa meski hari esok, masa depan, dan bilakah akan datangnya kegembiraan, ya kita tidak akan tahu. Tidak pernah akan tahu.
Pernah tidak terfikir saban hari, dengan kerja dan keluarga, seolah-olah dunia ini perlumbaan. Tidak ada satu saat pun yang tidak bergegas. Tiada satu saat kita tinggalkan tanpa perancangan untuk buat apa. Esok tugas ini, esok mesyuarat itu, esok itu dan ini?
Dunia ini ada tangan-tangan yang memaksa kita berfikir bahawa masa itu ialah detik saat. Tik tok tik tok, ia bergerak. Persepsi masa kita jadi makin laju walau yang ada 24 jam sehari, dari dulu itu, sekarang itu juga. Di zaman Nabi 24 jam, di zaman kita juga sama. Benarkah waktu telah bergerak lebih laju.
Saya pernah berada di waktu buka puasa sehingga jam 11 malam tetapi saya boleh dapat banyak perkara. Iftar, berkenalan dengan rakan baru, bertukar pengalaman dengan rakan bukan Islam, menyambut hari jadi, berjumpa dengan orang-orang yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, mendengar pembentangan, solat jemaah maghrib, isyak, terawih, tazkirah, berkenalan dengan artis, bersolat jemaah dengan artis, berbincang masalah ummat mengenai sentimen masyarakat, pihak agama dan autoriti, perbezaan antara negara Barat dan Malaysia, beli buku, beli kuih, bergambar, moreh. Kemudian selepas itu berkongsi pengalaman di internet. Malah mendapat berkat untuk dimakan waktu sahur.
Buka puasa jam 7 - 11 malam, 5 jam sahaja dan kami dapat itu semua!
Meminjam kata kawan saya, maybe that time, the time stop ticking.
Masa kita tidak berkurang dan berlebih seminit pun. Kenapa dulu orang kata masa berjalan perlahan. Untuk satu hari boleh buat macam-macam. Tetapi sekarang, cepat sahaja waktu berlalu, tahu-tahu sudah seminggu, sebulan, satu tahun.
Yang berkurang itu keberkatan. Keberkatan pada masa sudah tidak ada, kerana kita membuat kerja yang tidak bermanfaat dunia, tidak bermanfaat untuk akhirat. Juga kerana kita memandang masa sebagai detik saat dan waktu. Sedang Allah sampai bersumpah Demi Masa.
Dialah Masa. Dialah Waktu. Dialah Ruang.
Berhenti! Demi Masa berhentilah berlumba kerana dunia. Sebaliknya, berlumbalah demi Allah, Rasul, demi akhirat yang kita akan disoal dan dipertanggungjawabkan.
Berhentilah di Ramadhan ini untuk refleks kembali, umur kita dimana kita habiskan sebenarnya.
Lagi 10 Ramadhan, ya Allah, janganlah Ramadhan pergi tanpa aku terdidik.
Comments