Monday, March 26, 2012

Aleph


Allahumma solli ala Muhammad, wa ala ali Muhammad.

i.

Makluman awal, saya bukan mahu bercerita tentang Novel Aleph, Poelo Coelho walau ia jadi gambar yang melatari entri kali ini.


ii.

Ketika baru masuk kerja dahulu, selepas selesai belajar saya mengalami dilema. Usia kerja saya belum masuk setahun, tapi saya mengalami resah. Saya tidak tahu apa yang saya lakukan. Bukan tidak tahu membuat kerja, tugas selesai tetapi saya rasa kosong. Sehingga kawan datang dan memberi nasihat, “apa yang kita lakukan ini adalah pekerjaan mulia. Kita berkhidmat untuk anak bangsa.”

Saya memandang dia. Resah saya masih tidak surut. Saya kembali bertanya, “khidmat apa kalau kita dibayar untuk melakukannya.”

Saya tidak tahu kalau kawan kecil hati. Namun itu rasa saya. Saya sudah bertanya dengan mereka yang berpengalaman dan jauh senior dari saya. Mereka dari lain-lain institusi juga menyatakan perkara yang sama. Mereka tidak mendapat kepuasan dari apa yang dilakukan.
Saya tegar percaya, jika kita memberi harga kepada apa yang dilakukan, ia semata kerja. Kita mencari rezeki kerana itu kita buat mengikut bidang tugas. Saya mencari kemuliaan dari apa yang dilakukan. Tapi nihil. Nol. Nil. Tiada.

Meski banyak kali kawan berpesan dan meyakinkan, tiada salah dengan jalan ini. Ia satu pekerjaan yang mulia. Saya tahu, tapi hati berat mahu percaya saya sudah melakukan sehabis baik.

iii.

Ketika saya pelajar dulu, kami bukan berduit. Waktu itu pinjaman terhad dan tidak mewah. Untuk berjimat kami menyewa di seksyen 24. Kelas pula pelbagai. Ada yang di UiTM Shah Alam, ada di seksyen 17, ada di bangunan Umno. Mungkin juga ada di stadium Shah Alam. Pengangkutan utama kami hanyalah bas mini warna pink. Ia sudah tidak ada lagi.
Bila duduk jauh begitu dari kampus, kami dikelilingi oleh latar berbeza. Latar ini latar sebenar masyarakat perdana. Kebanyakkan yang menyewa di apartmen seksyen 24 adalah pekerja kilang. Juga pekerja di sektor-sektor yang lain, yang jarang kami dapat beramah mesra untuk mengetahui kisah hidup mereka.

Saya bukan orang yang suka keluar. Bidang pengajian saya begitu membebankan, jadi pilihan adalah untuk tinggal sahaja di apartmen jika tidak keluar ke kelas. Kami tinggal di tingkat 4, sewanya lebih murah. Waktu kami berada di dalam rumah sewa ialah dari petang sehingga subuh esoknya.

Saya tidak tahu bagaimana mulanya, satu masa ada dua orang kanak-kanak sering datang bertandang. Yang tua kakak, yang kecilnya lelaki. Saya masih ingat namanya Nizam. Mereka anak dari pasangan pekerja kilang. Mungkin ketika itu kami suka berbual di waktu lapang, sehinggalah kami mencadangkan agar Nizam dan kakak datang waktu malam dan membawa bersama Muqaddam.

Saya dan kawan satu lagi dengan sukarela menjadi guru mengaji. Tanpa bayaran tentunya. Jadi pertemuan Nizam, kakak dan kami selepas itu berisi. Meski sibuk dengan segala tugasan yang tidak pernah surut. Waktu mengajar pun tidak lama. Satu dengan satu. Jadi masing-masing boleh habis serentak.
MasyaAllah, bukan mudah. Sangka saya ia mudah kerana mak saya guru mengaji. Bagi kawan satu lagi pun sangka begitu. Kerana dia berasal dari Johor, jadi pendidikan agamanya mantap. Yang susah bukan pelajaran mengaji itu, tetapi keupayaan dua beradik ini untuk menerima pelajaran. Nizam sudah berusia 9 tahun rasa saya, kakaknya 10. Tetapi kemampuan untuk mengulang perkataan-perkataan yang kami ajarkan begitu perlahan sekali.

Jadi kami bercadang bermula dari Aleph. Ya, patah demi patah. Dan adakalanya mereka degil dan selalu kami dapati mereka tidak ulangkaji. Kadang-kadang kawan saya menyerahkan tugas seluruhnya pada saya, kerana dia panas hati dan tidak sabar. Takut sehingga terotan anak orang.

Saya cuba memahami mereka. Walau ya, kadang-kadang sabar itu hilang juga. Tapi Tuhan memberi saya kekuatan untuk memerhati. Saya memerhati kekurangan mereka. Kadang-kadang keluar bau tidak enak dari badan mereka. Kuku juga jarang terurus rapi, ada hitam-hitam di hujung kuku. Baju juga bukan baju yang elok, kadang-kadang mereka memakai baju yang sama.

Kami tinggal cuma 6 bulan di seksyen 24. Tapi dalam tempoh singkat itu kami menyaksi Nizam dan kakak berpindah rumah. Saya tidak tahu apa sebabnya, adakah sewa naik atau mereka tidak mampu membayar, kami tidak tahu. Tapi itulah satu kes kecil dalam latar perdana yang tidak selalu dipedulikan.

Seingat saya Nizam dan kakak dapat belajar sehingga mampu mengeja. Saya tidak pasti kalau kami sempat mengajar surah-surah pendek. Waktu yang sama juga kami juga mendapat anak-anak murid baru. Faiz dan kakaknya. Faiz baru berumur 3 atau 4 tahun, dan kakak baru masuk sekolah. Yang mana kawan saya suka mengajar mereka kerana mereka cerdik dan cepat belajar. Saya seperti biasa akan ditugaskan mengajar Nizam dan kakak.
Yang saya kesani mereka mempunyai kebolehan berbeza kerana latar keluarga mereka berbeza. Nizam mempunyai ibu dan ayah yang hanya bekerja di kilang. Tidak ada salahnya bekerja di kilang tinggal lagi ibu bapa mereka tidak punya waktu untuk ambil berat tentang mereka. Pernah kami bertanya, kata kakak Nizam mereka perlu membasuh pakaian sendiri. Perlu mengurus diri sendiri. Serba serbi sendiri.

Berbanding Faiz dan kakak yang mempunyai ibu bapa yang bekerja di sektor swasta (saya tidak berapa ingat) dengan pekerjaan lebih stabil, dan punya waktu mengurus keluarga. Jadi mereka dijaga dengan sempurna. Kami dapat lihat dari cara mereka berpakaian. Faiz yang comel akan datang dengan bersongkok, dan kakak dengan bertudung rapi dan kemas. Mereka sentiasa datang berbedak dan wangi.

Sekarang jika saya berfikir panjang, luruh air mata saya. Kerana sewaktu kecil saya tidak pernah fikir apa-apa pun tentang keperluan diri kecuali bermain dan perut lapar. Itu pun belum pun saya meminta, pinggan saya sudah diisi nasi. Minum pun dilayan. Kuku pun dirapi emak. Kasut juga sehingga darjah berapa tidak ingat, baru saya ditugaskan untuk basuh sendiri. Begitu, pengalaman kecil saya.

Ketika di seksyen 24 saya rasa sangat diisi. Meski saya dibeban dengan banyak tugas. Termasuk tugasan dalam rumah sewa. Untuk membersih dan memasak. Tapi dengan tidak sedar jiwa saya disuburi. Ketika mengajar mereka Aleph, dan mereka menyambut juga dengan Aleph. Sehingga mereka boleh mengeja dan mengungkap beberapa patah kata ayat-ayat Al Quran.

Tetapi kemudian kami berpindah ke Seksyen 2. Lebih dekat dengan kuliah. Namun dengan dekat seperti itu, saya kehilangan anak-anak murid untuk diajar mengaji. Kami secara tutas hilang waktu kerana disibukkan dengan segala tuntutan pengajian dan kuliah.

Entah apa khabar Nizam dan kakak. Kami tidak sempat mengajar mereka sehingga tamat muqaddam sekalipun. Saya tidak perlu risau pada Faiz dan kakak, insyaAllah mereka pasti mendapat kehidupan yang baik.

iv.

Rakan-rakan saya yang berada di luar dari institusi tempat saya bekerja satu hari mengajak saya untuk melakukan sesuatu. Zul seorang guru sekolah sang pencetus idea. Kata dia, di sekolah banyak anak-anak murid kelas bawah yang masih tidak boleh membaca.

“Apa? You can be serious.”

Tapi Zul serius. “Satu hari saya sedang memerhati mereka melakukan senaman. Ada seorang anak murid berusaha dengan sungguh-sungguh untuk lari berhalangan. Tetapi tidak pernah berjaya. Tetapi sangat bersungguh dan tidak putus asa mencuba. Akhirnya berjaya juga. Kemudian saya selepas itu saya terpanggil untuk mendekati dia. Kerana anak itu begitu bersungguh.”
Zul tanya kelas anak murid tersebut. Dia berada di kelas hujung. Darjah enam. Tanya Zul dia pergi tidak ke kelas tusyen. Ada peperiksaan besar menanti di hujung tahun. Lagi pula yuran hanya RM150 setahun.

Anak kecil menggeleng kepala, “Ayah kata Abang saya akan kahwin bulan 6 ini.”

Ya, kita boleh tafsirkan sendiri maksud sang Ayah pada anak. Duit tidak ada walau yuran kelas tambahan cukup murah. RM150 setahun hanya kurang lebih RM20 sebulan.

Yang RM20 sebulan itu pun tidak ada. Untuk keluarga yang dominan melatari masyarakat kita hari ini. Ini kes sekolah di bandar besar, belum kita lihat kes di pendalaman. Kata kawan-kawan saya mereka ada yang masih tidak boleh membaca. Apatah lagi mengira dan lemah menulis.

Begitu kisah yang kita tidak tahu.

v.

Saya petik sedikit cerita dari Novel Aleph, Paola Coelho dengan ulasan sendiri. Ya, saya ubah fikiran dan memberi sedikit cerita dari novel ini. Kata Paolo kita selalu terfikir untuk mencapai impian masa depan. Juga pada masa yang sama kita mahu menebus silam yang kita kesali.

Dua-dua tidak pernah akan kita kecapi. Kecuali…

Apa yang kita mahu pada masa akan datang dan yang mahu kita tebus tentang masa silam, adalah apa yang diusahakan bersungguh hari ini. Ya, hanya hari ini! Masa sekarang bukan pada waktu-waktu yang lain.

vi.

Ketika melalui sekolah untuk bergerak ke tempat kerja, saya melihat anak-anak sekolah. Berseragam putih. Saya lihat kelibat Nizam dan kakaknya. Saya tahu saya hanya berilusi. Mereka tentu sudah dewasa, bukan anak-anak lagi. Doa saya agar Allah mengasihi dan melindungi, memberi mereka hidup yang lebih bahagia dan sempurna.


Satu masa yang jika boleh diputar semula, kami mendapat peluang mengajar Nizam dan kakak sehingga tamat muqaddam. Sehingga boleh membaca beberapa surah dari Al Quran. Dan lebih dari itu, mengajar juga pelajaran di sekolah. Sehingga terang hati mereka belajar ilmu.

Jika itu kami dapat sediakan sebelum kami berpindah, tentu tidak akan ada sesalan di hati kami.

vii.

Kata Paolo masa silam dan masa depan hanya ruang waktu. Ia ada dalam persepsi manusia kerana kita punya memori. Sedang dalam hakikat mutlak sebenar, kita sedang hidup dalam waktu sekarang, waktu silam dan masa depan. Kita hidup dalam ruang dan waktu yang selari.

Saya tidak faham.

Tetapi saya mahu percaya, jika silam boleh ditebus dengan berusaha hari ini, dan itu sahaja yang kita ada di akhirnya, ya untuk apa kita tunggu lagi.

Saya teringat Nizam dan kakaknya, tentu dalam hati, masih dan tetap ada kamu.


Thursday, March 22, 2012

Saling berbagi

Oh indahnya
saling berbagi
Saling memberi
Kerana Allah

Fakhzan itu teman haji saya. Ia punya hati philanthropy atau bahasa mudahnya, orang yang suka bersedekah. Saya tidak pernah tahu sedekah itu mudah dalam tiga langkah. Satu hanya perlu punya hati, dua sedikit lebih dari rezeki dan tiga kemudian saling berbagi.

Di waktu-waktu awal kedatangan kami ke tanah Haram, hanya saya boleh berulang ke masjid untuk menunaikan kewajipan. Dua rakan saya hanya menjadi tetamu bilik kerana tetamu bulanan sedang datang. Jadi mereka sedikit hampa. Dalam hati yang menggunung untuk melihat Kaabah yang agung, mereka hanya boleh mendiami kamar kecil kami di Hotel Taibah.

Hari-hari mereka hanya melihat jemaah yang lalu lalang dari tingkat atas seperti semut-semut yang sedang mencari gula. Waktu azan bergema, semut-semut akan bergerak ke masjid. Usai waktu solat, semut-semut akan bertebaran pulang ke kamar masing-masing. Kami tinggal di tingkat empat belas. Jadi kami hanya boleh melihat manusia seperti semut yang bergerak ke sana kemari.


Foto 1: Semut-semut yang pulang dan pergi ke Masjidil Haram

Oleh kerana begitu bosan berada dalam bilik mereka merancang sesuatu yang tidak pernah saya duga. Fakhzan dan rakan mahu menghantar saya setiap waktu solat. Kata mereka dalam perjalanan pergi mereka boleh membeli roti. Perlu apa roti? Kami cukup makan 3 kali malah ada roti percuma yang dibuka 24 jam di dewan makan. Kata Fakhzan, roti ini untuk orang-orang gelandangan. Gelandangan?

Lepas dari itu saya mula mengaktifkan indera. Ya benar, bukan semua jemaah haji ini punya muassasah seperti Tabung Haji Malaysia. Barangkali mereka memohon visa terhad dengan belanja paling minimum untuk turut bersama di musim haji. Jemaah-jemaah gelandangan ini saya lihat wajah mereka seperti dari sebelah India, Pakistan, Afghanistan dan juga Afrika.

Hari-hari berikutnya saya belajar dari Fakhzan untuk mempunyai hati seorang philanthropy. Setiap hari, dalam waktu-waktu solat yang berlainan, kadang-kadang subuh, zohor, asar atau maghrib isya’ rakan-rakan saya akan pergi ke kedai untuk membeli makanan. Biasanya kek dan roti. Dan ada waktunya mereka memberi nasi. Juga membeli air kotak. Oleh kerana saya juga mahu menumpang untuk mendapat pahala musim haji, saya cuma mampu menghulur riyal Saudi. Sepanjang mereka beroperasi saya berada di dalam masjid untuk solat waktu. Juga dalam waktu terluang untuk sekadar memandang Kaabah. Juga bila rasa semangat dan disampuk rindu, turut bergabung dengan jemaah yang ramai untuk tawaf sunat di musim haji, dari 3 juta orang.

Saya tidak tahu bagaimana mereka lakukan. Rupanya ia tugas yang berat juga. Jika mereka membeli roti dan kek, jumlahnya agak banyak. Berplastik-plastik. Jika di masa mereka membeli air kotak, mereka perlu mengangkut dengan beban yang agak berat. Saya tidak ada di situ untuk membantu.

Foto 2: KFC ini dulunya tapak rumah Saidina Abu Bakar (r.a)


Ketika selesai solat waktu, saya akan jumpa mereka di tempat yang dijanji. Biasanya di depan KFC. Bukan untuk makan, tapi untuk saing pulang ke hotel. Dalam perjalanan mereka bercerita modus operandinya bagaimana. Mereka akan bersabar untuk orang surut di dataran dan melihat mereka yang benar-benar gelandangan. Kemudian mereka akan mengagihkan pada mereka yang mahu. Kata Fakhzan, wajah mereka berubah bersinar kesukaan. Mereka mendapat rezeki yang tidak disangka. Mungkin baru sebentar tadi mereka berdoa supaya Allah memberi mereka rezeki berupa makanan.

Bila Fakhzan berkata begitu, pipi saya serta merta merah. Saya tidak tahu kalau saya yang perlu mengagihkan makanan. Kerana begitu ramai lelaki di situ. Kata kawan saya begitu pemalu, tetapi sungguh benar saya memang seorang pemalu. Tetapi tugas itu tidak pernah diberikan pada saya.

Setiap hari di hari mereka mendapat pelepasan cuti, mereka akan lakukan hal yang sama. Cuma makanan yang berbeza-beza. Kata Fakhzan di hari mereka membeli nasi, berlaku perkara yang tidak disangka. Kerana terlalu ramai mahukan nasi sedang yang ada sedikit sahaja. Takut sahaja mereka berebutan sehingga kawan saya pula yang tercedera. Tetapi Allah memudahkan pekerjaan mereka yang ikhlas untuk berkongsi. Itu saya pasti.

Satu hari kawan-kawan saya mengenakan saya. Mereka mengajak saya mengagihkan makanan. Baru mereka usulkan pipi saya sudah diserbu haba panas. Kawan saya seorang lagi memang menyuruh saya lakukan juga untuk rasai pengalamannya bagaimana. Saya begitu teragak mendatangi sekumpulan lelaki sedang berdiskusi. Saya memberi mereka satu persatu, tetapi ada juga yang minta lebih dari satu. Oleh kerana saya tidak tahan kalau-kalau merah pipi saya dapat dilihat orang, saya hanya memberi pada mereka yang tidur sahaja. Saya letakkan di sisi mereka. Kadang-kadang saya letakkan sampai dua. Cepat sikit habis (haha, mengelat).

Tapi sifat suka berbagi Fakhzan ini tidak pernah berkurang. Hari-hari akan memberi meski kadang-kadang kami minta cuti. Fakhzan akan tegar pergi seorang-seorang. Begitu. Saya kagum dan berdoa saya juga akan mempunyai hati yang sama.

Tetapi ada satu keajaiban yang berlaku. Saya kira ia adalah balasan Allah untuk Fakhzan untuk jiwa suka memberi. Kami kerana berkawan juga mendapat tempiasnya. Kata Opick dalam lagu sedekah menyebut seperti berikut:
Allah Maha Kaya
Yang Maha Pemurah
Yang akan mengganti
Dan membalasnya

Saya tahu satu hari Allah akan membalas. Tetapi saya tidak pernah menyangka Allah mahu kami melihat dengan mata sendiri bagaimana kasih sayang Allah itu meluas dan ganjarannya tidak pernah berbatas waktu dan ruang.

Satu hari kami diminta untuk pergi berziarah dalaman di Masjid Haraam. Walaupun sudah lama kami berada di tanah Haraam, ziarah itu lewat dibuat kerana waktu musim Haji orang terlalu ramai. Ziarah tidak begitu sesuai. Bila jemaah sudah tidak begitu ramai baru diadakan ziarah dalaman semula.


Foto 3: Ustaz Razak yang punya banyak cerita sejarah Nabi dan Sahabat di Mekah & Madinah

Kami bergabung dengan tiga buah hotel jemaah haji Malaysia. Jadi kami beramai-ramai mengikut Ustaz Razak melawat tempat-tempat yang bersejarah. Tapi tinggal sejarah sahajalah yang perlu dicerita dari mulut ke mulut kerana Pak Arab Saudi (Salafi) tidak suka kekalkan sejarah. KFC yang kami sering tunggu menunggu itu rupanya dahulu ialah rumah Abu Bakar (ra).

Pendek cerita kami dibawa ke halaman lapang di depan Safa’ dan Marwah. Di sebelah tanah lapang itu bukit tempat Nabi belah bulan tetapi sudah dibuat istana untuk orang-orang penting negarawan untuk menginap. Jadi Ustaz Razak mengajak kami berhimpun di situ sambil dia bercerita tentang sejarah Nabi. Bukit tempat Nabi belah bulan itu adalah latar yang ada dalam cerpen saya yang telah membuatkan saya menang sastera perdana. Allah, begitu Allah mahu menemukan.


Foto 4: Keluarga Pakcik Afghanistan (?) sedang menikmati sarapan pagi

Kebetulan tempat kami berhenti adalah bersama satu keluarga mungkin dari Afghanistan sedang enak menikmati sarapan pagi. Sarapan yang ringkas sahaja, seperti roti dan cream cheese. Juga air teh. Oleh kerana tidak ada tempat lain untuk duduk, kami tebalkan muka sahaja duduk di sisi mereka.

Foto 5: Rezeki bagi orang yang selalu saling berbagi


Di sinilah magisnya terjadi. Sebaik sahaja Fakhzan duduk, Pakcik Afghan (mungkin ketua keluarga) telah mempelawa Fakhzan untuk sama-sama makan. Kami hanya memandang dari jauh. Tiba-tiba saya lihat Fakhzan mencapai roti Pakcik Afghan dan makan. Mata saya bulat memandang. Mereka lebih memerlukan roti itu dari kami yang sudah kenyang makan nasi lemak di hotel. Fakhzan senyum senyum seperti mahu berbual. Muka saya sudah merah menahan.

Tiba-tiba Pakcik Afghan menunjuk kami pula dan Fakhzan menghulurkan pula roti pada kami. Oleh kerana Fakhzan itu kawan kami, saya pun menjamah secubit roti sekadar berbasa basi (walau ada juga terlintas di hati untuk buat-buat tidak kenal Fakhzan, huhu). Saya cuma tidak mahu menolak rezeki. Tiba-tiba Pakcik Afghan menyuruh isterinya menuang teh panas untuk kami minum. Saya rasa muka saya belum surut merahnya.

Rombongan kami yang sedang khusyuk mendengar Ustaz Razak memberi ceramah semua memandang kami dengan pandangan begitu pelik sekali. Macamana kami boleh menerima makanan dari orang yang lebih memerlukan? Tapi untuk menolak tidak manis pula. Yang magis, Pakcik Afghan dan keluarga tidak pula mengajak yang lain. Seramai-ramai ahli rombongan kami yang bergabung tiga hotel, mereka tidak dipelawa. Hanya Fakhzan dan kami.

Bila Pakcik Afghan menghulurkan dua cawan berisi teh panas, kami sudahpun duduk bersila gembira makan roti sambil mencecah teh. Kami makan sambil kusyuk dengar ceramah Ustaz Razak. Rombongan lain memandang dengan wajah yang aneh-aneh.

Sebenarnya saya sangat malu. Kepada Pakcik Afghan dan keluarga, juga pada rombongan yang sedang memandang. Tetapi roti yang diberi di tangan saya sangat banyak. Saya perlu habiskan untuk menghormati. Itu pun Pakcik Afghan mahu menambah lagi. Saya mengisyaratkan tangan sebagai cukup. Bas, bas.

Kawan-kawan saya memang makan dengan sopan. Minum pun pelan-pelan. Teh itu panas dan hangat. Tapi demi Allah, itulah teh paling sedang pernah saya minum sepanjang masa di Mekah. Teh D Saji Felda yang 4 riyal Saudi itu pun tidak boleh lawan. Kawan saya samada malu untuk minum, atau perut penuh dengan makanan membiarkan sahaja teh di cawan. Oleh kerana tidak mahu mengacau lebih panjang keluarga tersebut, saya menghabiskan air di dua-dua cawan. Walau saya malu untuk minum di cawan kedua, tapi kalau kawan-kawan tidak minum ia akan dibazirkan sahaja. Tidak mungkin mereka akan minum air yang bersisa. Lagipun ia teh paling sedang di dunia, saya tidak mahu menjadi penyaksi kepada pembaziran. Subhanallah, ia memang sedap.

Setelah usai, Pakcik Afghan dan keluarga berpindah tempat membolehkan kami bergabung dengan rombongan dan mendengar ceramah Ustaz Razak dengan lebih fokus.

Allah. Saya rasa sepanjang program ziarah itu saya senyum sahaja. Bila kami dilepaskan untuk pulang sendiri ke hotel kami sangat gembira bercerita. Di hujung perjalanan saya katakan pada kawan satu lagi, kita diberi minum Pakcik Afghan bukan sebab kita, tetapi sebab Fakhzan. Sebab Fakhzan selalu memberi, maka Allah juga mahu memberi pada dia. Roti, cream cheese dan teh paling sedang di dunia. Mungkinkah ia teh dari syurga? Kata Fakhzan, dia cuma mengikut kata teman yang mengatakan kalau orang memberi terimalah. Mereka akan berbesar hati jika kita sudi menerima pemberian mereka dengan ikhlas.

Yang indah, ia diberi oleh orang yang secara fizikalnya kita lihat, kitalah yang perlu memberi.

Betul kata Opick, Allah akan membalasnya.

Pakcik Afghan tentu bersetuju dengan saya, untuk bersedekah hanya perlu tiga langkah. Satu punya hati, dua sedikit lebih dari rezeki dan tiga, saling berbagi.

Salam Jumaat teman-teman. Moga kita dibukakan hati untuk mempunyai jiwa philantrophy :)

Nota: Rangkap-rangkap lagu dari Opick bertajuk 'Sedekah'. Terima kasih teman kerana mendownload lagu-lagu ini untuk saya dapat mendengarnya juga.




Tuesday, March 20, 2012

Keajaiban Mendidik dengan Hati

Saya ini sinikal orangnya. Kata orang, antara sebab saya jadi begini kerana latihan yang saya terima dalam pendidikan sangat keras dan ala-ala dalam rejimen askar komando. Kalau dalam filem mungkin macam dalam kuil Shaolin, untuk melahirkan seorang Jet Li (tapi saya tidak pernah jadi pun). Guru-guru saya mengajar saya mesti selalu objektif dan kritikal.


Satu hari ada orang meminta pendapat tentang kajian yang mereka mahu lakukan. Mereka mahu mencari kaitan solat dengan cemerlang dalam keputusan peperiksaan.

What? Mata saya bulat. Di mana objektif kajian ini? Kalau pun boleh jumpa kaitannya, kita tidak boleh terlalu pasti. Solat itu subjektif. Kualiti solat pun subjektif. Kat mana hendak dicari hubung kaitnya.


Ya, saya tahu anda akan marah-marah dengan pendapat ini. Bukankah dari awal saya sudah beritahu saya sangat sinikal. Dan saya juga konsisten dengan pendapat ini.


Satu hari kawan saya seorang lulusan luar negara bercerita. Kawan saya ini tidak pernah belajar selain dari luar negara. Luar negara itu pula semuanya di negara orang putih. Satu di New Zealand, satu lagi di Eropah, di UK. Beliau belajar ilmu ekonomi.


Dia bercerita, “seorang pelajar datang mengadu. Dia dah ambil dua kuiz, dua-dua dapat kosong. Dia kata saya sudah siang malam belajar berhempas pulas, tetapi kenapa Dr. saya masih dapat kosong.”


Sangka saya beliau akan menunjukkan cara belajar yang konsisten dan teratur. Atau memperkenal beberapa kaedah teknik belajar berkesan, seperti peta minda atau belajar dalam kumpulan.


Dia menyambung, “saya tanya dia satu soalan mudah je, “Awak ni solat tak?”


“Solat Dr. tapi biasalah, ada lompang-lompang.”

“Oklah, awak balik cukupkanlah solat awak.”


Terkejut saya bertanya, “and then?”

“Lepas tu saya balik bilik.”


“Itu sahaja?”

“Ya. Itu sahaja.”


Tapi cerita kawan belum habis, “lepas tu kami ada 2 kali lagi ujian. Ujian yang pertama pelajar itu dapat 70 markah. Ujian yang kedua pelajar itu dapat 90 markah.”

“Dari dua kali 0 dapat 75 dan 90 markah?”

“Ya.” Kawan saya jawab selamba.

“Adakah dia sudah sempurnakan solat?”


“Saya yakin dia tidak lagi pernah tinggalkan solat.”

Saya diam. Sinikal saya rupanya tidak bertempat. Ada bukti solat boleh membantu dalam pencapaian akademik.


Hari yang lain kawan saya bertanya, “kenapa ya pelajar-pelajar ini ingat pesanan saya?”

Jawab, “sebab awak tentu benar mengajar dengan hati. Kerana itu ia sampai di hati, melekat di situ. Mereka tidak akan lupa sampai bila-bila.”


Saya tentu boleh mengajar tentang objektif dan kritikal. Tetapi tidak satu pun ilmu ini boleh menjamin mereka sampai kepada Tuhan. Kawan saya cuma memberi pesan beberapa patah ayat, tetapi pasti telah mendekatkan pada Pencipta.

Monday, March 19, 2012

30 Tahun (1979 – 2009) dan Tetamu dari Syurga

Allahumma solli ala Muhammad, wa ala ali Muhammad.


i. 10 tahun lalu – Cerpen Pertama


10 tahun lalu, saya menunjukkan cerpen pertama saya yang tersiar di majalah. Dada saya kembang, kerana ia bukti sedikit bakat Ayah tertumpah pada saya. Sangka saya Ayah juga punya perasaan yang sama. Kata orang, kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kalau Ayah kuah, saya adalah nasinya.


Tetapi sangka tetap sangka, kadang-kadang tidak menjadi realiti. Tidak. Ayah tidak berbangga pun dengan pencapaian saya. Dalam mesyuarat bersama ahli keluarga yang lain, Ayah berkomentar, “kemahiran menulis kamu perlu dilatih lagi. Adli adik kamu, lebih mempunyai potensi.”


Saya menyimpan kata-kata itu lama tanpa bantahan. Satu masa saya bercerita kepada rakan baik. Kata kawan, saya marah. Saya membela diri. Adik saya pada ketika itu hanya berumur 12 tahun. Cuma 12 tahun! Beza umur kami 10 tahun. Masakan dia lebih baik.


Tetapi mungkin benar saya marah kerana selepas karya tersiar pada tahun 2002, saya tidak lagi menulis. Sampai tahun 2006 baru saya bermula semula.


Dulu saya menulis kerana Ayah. Saya perlu melakukannya sebagai bukti saya layak disebut sebagai anak Ayah. Tetapi bila karya diiktiraf, Ayah masih tidak mengiktiraf kuahnya tertumpah pada saya. Jadi saya tidak punya alasan lagi untuk menulis. Tugas selesai.


Tetapi 2006 saya menjumpai diri dan nyala. Menulis bukan lagi untuk membukti, tetapi tanggungjawab, meneruskan legasi Ayah (saya nasi tempat kuah tumpah), pada keluarga, generasi, masyarakat dan negara. Demi Cinta. Ya, demi kamu.


ii. 4 hari lepas – Tetamu Syurga


Kawan meninggalkan pesanan teks di talian, “Ija jumpa cerpen Ayah akak dalam buku lama-lama.”


“Simpan boleh tak? Nak baca.”


Entah orang akan percaya atau tidak. Kami tidak benar mengenali Ayah. Seorang yang begitu perahsia sehingga kami tidak tahu pencapaian Ayah. Jika ada sebilangan karya yang disebut orang, saya pasti tidak seorang pun dari adik beradik kami pernah membaca. Kalau ada mungkin satu atau dua. Jadi penemuan kawan saya tersebut bagi saya lebih kepada penemuan harta karun.

“Nanti Ija bawa dan kita jumpa Khamis nanti.”


Khamis tiba. Kawan saya datang dengan semua ahli keluarga terdekat. Ada 6 keluarga bersama dia jika saya tidak tersalah kira. Rumah kami sebagai persinggahan sebelum rombongan ini memulakan perjalanan menghantar pengantin (sepupu rakan) ke Terengganu. Saya menganggap mereka tetamu dari syurga.


Mereka bukan setakat membawa makanan yang sedap-sedap, malah membawa makanan jiwa. Juga menyebabkan laman kami yang sebelum ini panjang dengan rumput yang merimbun, rata dengan rumput yang dirapi. Juga membawa bersama kasih sayang tulus ikhlas dan ingatan pada Tuhan. Masakan tidak, dua kali kami berjemaah dan bersama-sama berzikir sebagai tanda bersyukur.


“Ada bawa tak?” tanya saya pada Ija bila kami sempat melayan lelah dan duduk bersama.


“Errrmmm, ada bawa ke tidak?” Ija bertanya balik. Muka saya pucat lesi. Harapan yang ada hampir musnah. Ija mengerutkan dahi berfikir, “ada, ada. Ada bawa.” Ija senyum mengena.


Oh tidak, gurauan yang sangat mendebarkan. Di tangan saya kini hasil Ayah yang disampaikan melalui rakan baik. Hadiah apa yang lebih bermakna di bulan Mac walaupun statusnya hanya pinjaman. Di tangan saya kini antologi pemenang peraduan cerpen berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri 1979 berjudul ‘Mati’. Fakhzan mengambilnya dahulu dari tangan dan membaca serta merta. Saya melayan sembang Ija sambil mengeling sekali sekala pada buku. Saya tahu buku ini akan lama di rumah ini.


Sesudah Subuh tetamu-tetamu ini akan memulakan perjalanan. Tetapi Mak Teh menolak kalau kami sampai membuat air kopi. Cukuplah minum air kosong dan memakan kek-kek yang sedia dihidang di atas meja. Kalau tidak nanti, mereka akan lambat-lambat lagi bertolak. Walau majlis hanya akan bermula hari Sabtu. Mungkin mereka mahu menikmati Terengganu di musim-musim cuti sekolah. Cuma Pak Teh perlahan-lahan mengambil masa bersiap. Dia Ayah kami sementara untuk kurang 24 jam di rumah ini, walau Pak Teh telah lama meraikan kami sebahagian dari dunianya.


Tetamu apa yang sekadar menyinggah kurang 24 jam dapat menukar rumah menjadi istana? Mereka tetamu sebentar yang datang tapi sampai dapat merapikan laman (dengan laman yang layak dikelaskan sebagai hutan simpan), menukar rumah menjadi kediaman selesa, memasak, makan bersama-sama, bersembang dengan cerita-cerita kehidupan, bergurau senda, membawa karya Ayah, solat berjemaah, berzikir panjang, tidur dengan lena tanpa keadaan yang nyaman dapat kami sediakan, memeluk dan mencium kami dengan kasih sayang seperti keluarga sendiri, membuat kami rasa seperti mempunyai Ayah dan Imam kembali. Tetamu apa mereka ini, jika mereka tidak didatangkan dari syurga?


Kami yang sepatutnya merai, malah mereka yang membuat kami rasa dirai!



iii. 1979 – 2009 (30 tahun)

1979 – ‘Udin Ketek’ dilahirkan dan dicetak dalam Antologi Pemenang Peraduan Cerpen Berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri 1979. Antologi ini berjudul ‘Mati’.

2009 – ‘Langit Permulaan’ dicetak dalam Antologi Cerpen Pemenang Sayembara Mengarang Cerpen Sempena 50 Tahun Merdeka. Antologi ini berjudul ‘Istana Cinta Ayah’.


Genap 30 tahun. Ini takdir yang sangat indah.


Ya Ayah sudah lama meninggal dunia. Sudah 8 tahun. Catatan yang terperinci hari Ayah kami direkodkan dalam catatan mendayu adik saya di sini. Sehari sebelum ulangtahun pemergian, Ayah muncul dalam mimpi. Saya memberi Ayah minum air. Ayah meminta saya menunjukkan gambar-gambar di Mekkah. Kata kawan, Ayah saya kembali menziarah. Saya mahu percaya memang Ayah kembali secara nyata meski hanya dalam mimpi. Dan antologi ini di tangan, ia bukti Ayah telah kembali.


Ayah, saya pasti sudah berada di kediaman berupa kebun-kebun syurga. Ayah juga tetamu dari syurga.




iv. Legasi


Kata orang legasi itu mesti turun dari anak lelaki. Kerana itu setiap bapa mengimpikan punya anak lelaki sebagai waris turunan. Tetapi ia tidak semestinya perlu begitu. Darah yang mengalir tetap sama, baik lelaki ataupun perempuan. Kerana walau apa pun berlaku, anak lelaki atau perempuan tetap membawa nama bapanya di mana-mana!

v. Genius


Kata kawan (Fakhzan), Ayah saya genius. Sewaktu Ayah membanding saya tidak lebih baik dari Adik, dia bukan berniat mahu mengecilkan. Fakhzan menjelaskan, Ayah lebih tahu saya siapa berbanding apa yang saya tahu tentang diri sendiri. Saya bukan orang yang akan boleh dimotivasi dengan pujian. Saya ialah nyala yang perlu dipetik hanya dengan api!


Ya, dengan api juga saya dihidupkan semula pada 2006.


Cepu masih lagi ligat berfikir. Adakah semua ayah seperti itu? Mereka mengenal anak-anak, luar dan dalam? Mereka akan membuka dengan kunci yang betul dan berdoa semoga semuanya berada dalam jalan yang lurus.



vi. Imam (2004 – 2012)


Sudah lapan tahun saya kehilangan Imam dan belum bertemu pengganti. Al Fatihah, semoga roh Ayah, roh yang diberi pengampunan. Kuburan seperti taman-taman syurga sebelum bertemu syurga.


Saya berdoa, untuk semua yang bergelar lelaki, jadilah suami dan ayah mirip Imam. Kerana anak-anak menjadikan setiap tingkah laku dan contoh tauladan sebagai kebenaran mutlak. Bukan kata-kata yang diberi nasihat yang akan melekat di ingatan, melainkan apa yang kalian lakukan. Bukankah makmum akan menurut sahaja perbuatan Imam?


Jangan salahkan isteri dan anak-anak merokok, sekiranya anda sendiri seorang perokok.


Jangan salahkan isteri dan anak-anak pemabuk arak, jika anda sendiri menegok botol yang kandungannya air haram.


Jangan salahkan isteri dan anak-anak dalam perlakuan zina, jika anda sendiri tidak mengelak diri darinya.


Jangan kesalkan isteri dan anak-anak tidak menjumpai jalan taubat, kalau anda sendiri tidak pernah bersujud mengalirkan air mata penyesalan tidak terhingga.


Ayah saya bukan Ayah yang bercerita. Suaranya mutiara. Jika kami mendengar, ia mungkin kerana kami membuat salah dan lewat menunaikan solah. Atau ia dialunkan kerana Ayah sedang mendendangkan lagu-lagu. Pernahkah saya bercerita, Ayah saya juga seorang komposer?


Tapi saya selalu ingat Ayah kerana dia pemimpin kami, yang ditunjukinya hanya tauladan. Kerana itu ia tidak menjadi terlalu sukar untuk diikuti.


Semoga Allah mengasihani dan belas terhadap roh Ayah. Moga air yang saya suapkan dalam mimpi menghapus haus sehingga kami bertemu sekali lagi. Al Fatihah. InsyaAllah.



vi. Prolog


I asked my friend Fakhzan, “will my father be proud of me? I’m technically and literally useless.”


“Yes, you are useless!”


I was shocked to heard her sincere comment. I don’t expect that.


“Whatever mountainous achievement, titles, awards that you had brought and will bring home, you’re useless unless, you pray for your father. Then and only then, your father will be proud of you.”


Oh Allah, let me and my siblings be, the children that will consistently pray for my parent here and hereafter.


May this doa is also applicable those who read this entry. May our parent save in the mercy of Allah Azza wa jalla.

Wednesday, March 14, 2012

Biru - wordless Wednesday


Kata kawan, di luar sana banyak warna. Meski kita melihat ke langit, ia tidak semestinya satu warna biru. Ada kalanya di waktu cuaca cerah, langit akan menyerlahkan warna biru menawan. Boleh jadi di waktu mendung, ia adalah biru gelap yang hampir ke hitam. Selalu langit pagi yang aman, ia menyerlahkan biru lembut yang akan menyantuni jiwa yang menghargai keindahan.


Kata kawan, warna biru-biru ini kadangkala akan menjadikan kita mahu jatuh cinta.


Indah.


Katanya lagi, “pergilah ke luar sana, selalu pandang ke atas. Ada terlalu banyak warna biru untuk diteliti. Untuk difahami. Untuk dikasihi. Syaratnya cuma satu, harus berani melangkah ke luar”.


Kata saya, “apa perlunya saya melihat warna-warna itu?”


Kadang-kadang saya berfikir andai saya buta warna. Saya tidak perlu ada alasan untuk keluar. Tiada beza apa-apa. Langit cuma langit. Awan tetap awan. Ia cuma beza pada bentuk dan rupa.

Ya, kadangkala kita tidak mahu, tetapi Tuhan kata yang lain.


Kadang-kadang kita mahu, Tuhan menetapkan sesuatu yang berbeza.


Apa yang perlu, langit tetap satu. Kebenaran ada di mana-mana. Keindahan ada di sekeliling kita. Kata orang, kita paling menghargai, bila kita tidak memiliki.

Saturday, March 10, 2012

Magis

i. Magis RM50




Mak selalu mengulang ketika memberikan nota RM50 untuk membeli barang dapur "dulu-dulu dengan jumlah yang sama dapat beli barang dapur untuk seminggu." Kami akan sabar mendengar benda yang sama. Tetapi bila sampai ke pasar memang begitu jadinya. Untuk belanja seminggu perlu tiga keping nota RM50. Bila tanya penjual mereka akan memberi jawapan yang hampir sama. Semua harga barang naik, kita tidak boleh elak untuk naikkan harga. Ia jadi lebih ketara jika kita berkenan kepada barang berkualiti. Mencanak-canak beza harganya.

Betulkah harga barang naik atau RM50 yang susut nilai?

Sebenarnya dua-dua sama. Ini kita namakan inflasi. Tapi sekurang-kurangnya kita dapat membeli sedikit barang. Tahukah anda pada tahun 2008 untuk membuat panggilan telefon di Zimbabwe memerlukan USD7 kira-kira 10 juta duit Zimbabwe. Dengar macam tidak masuk akal, tetapi kita tidak perlu pergi jauh untuk merasai kesan nilai matawang. Pergi sahaja di Indonesia, kita akan mengira duit dalam jumlah juta-juta rupiah.

2. Magis Kijang



Kijang ini bukan jenis kijang yang melompat-lompat. Tetapi tetap sukar dicari. Orang memanggilnya sebagai kijang emas. Yang dikeluarkan oleh bank negara dan dijual di Maybank. Seseorang membuat demo kepada saya. Dua tahun lalu dia membeli sejenis emas (bukan kijang) dengan harga RM2900. Kemudian berjumpa semula dan mengatakan harga emasnya sudah menjadi RM3700 hari ini. Saya tercengang mendengar.

Tanya saya, "emas yang sama?" "Ya emas yang sama dengan berat yang sama." Hanya dalam masa dua tahun nilainya menjadi lebih berharga. Tadi dia menunjukkan kijangnya. Cantik warna kuning berseri-seri.

3. Mitos/Magis Dinar (duit emas)?

Kata kawan sewaktu pemerintahan Khilafiah kita tidak pernah mengalami rasa susut nilai. Harga seekor kambing zaman Rasulullah sama dengan harga seekor kambing zaman sekarang. 1 dinar sahaja, dulu dan sekarang.

"Siyes"

"Ya serius. Bukan rekaan."

"Dan belum seratus tahun pun kita dipaksakan dengan sistem matawang yang akan secara pasti menyebabkan inflasi".

"Kurang lebih 70-80 tahun yang lalu sahaja."

"Yang magisnya walau kita percaya dan nampak dengan mata kepala kita sendiri dinar emas lebih stabil dijadikan sebagai matawang, kita masih tergila-gila mahu gunakan duit kertas yang saban tahun hilang kuasa membelinya.

"Katalah 5 tahun dulu aku simpan duit dengan menukarkannya dulu kepada emas, kalau sekarang..."

"kalau sekarang simpanan kau tu boleh membolehkan kau pergi Haji dengan harga secara pakej lagi."

"Tapi malangnya kalau kau itu merujuk kepada perkara khayalan tidak pernah jadi pun". Kami ketawa terkekeh-kekeh.

"Bayangkan kalau duit KWSP kita simpan dalam bentuk emas." Saya berangan yang indah-indah. "Kau boleh buat rumah dengan harga tunai."

Wow!

4. Yang Magis

Nilai emas orang secara yakin dan pasti stabil dan akan bertambah nilai saban tahun. Jarang menyusut. Pernah jatuh harga tetapi hanya sekali dua. Tapi untuk sepuluh tahun kebelakangan ini ia konsisten dengan jaminan keuntungan 20-30% setiap tahun jika disandarkan kepada nilai ringgit semasa. Setiap tahun tidak pernah gagal. Emas ini yang lagi hebatnya kalau merentas sempadan pun tetap dicari dan mahu dibeli orang.

Saya pernah ke Beijing untuk membeli barang kemas akhirnya penjual yang tergila-gila melihat seutas gelang emas yang nipis di tangan saya. Dari saya sibuk membeli mereka pula sibuk mahu saya menjualkan emas kepada mereka.

5. Yang magis 2

Walau sudah bereksperimen dan menjadi pemerhati sekian lama, (malah menang pertandingan esei berkenaan emas sebagai simpanan paling menguntungkan) saya masih belum menjebak kijang lagi sebagai tukaran kepada simpanan dalam bank.

Betullah kata orang, iman itu hanya benar bila kita boleh mentafsirkan dalam bentuk amal dan perbuatan.


Thursday, March 08, 2012

Cerdik Pandai = Bijak'sana'

Minggu lepas minggu yang mengujakan. Salah satunya kami berpeluang mendengar ceramah sarjana Islam, terkenal? Saya rasa beliau tidak terkenal kerana ramai juga kawan saya baru pertama kali mendengar nama Imran Nazar Hosein.

Salah satu sebab beliau tidak dikenali kerana subjek dalam bidang pengkajian ialah eschatology. Macam tidak pernah dengar kan bidang ini? Ia adalah bidang mengkaji peristiwa akhir zaman, dalam konteks Imran Nazar Hosein (INH) dikaji melalui sumber Al Quran dan sunnah. Sesuatu yang sangat futuristik, sangat asing dan bagi sesetengah orang jauh dari jangkauan akal.


Yang saya kagumi satu dari cerdik pandai ini ialah beliau selalu menganjurkan dengan sepenuh hati, "jangan terima apa-apa pun pandangan dari saya sehinggalah kamu yakini sepenuh-penuh tentangnya".

Imran kemudian juga menasihatkan bagaimana untuk yakin iaitu "buatlah kajian anda sendiri. Buat analisa kritikal dan reason dengannya". Ini menyebabkan semua pendengar meski dari mazhab mana-mana pun akan selesa untuk menadah telinga mendengar butir ilmu yang keluar darinya (ya tentu terkecuali salafi/wahabbi).

Satu lagi yang saya hormati pada INH, beliau tidak segan untuk mengaku salah atas kesilapan dan kurang kritikal beliau menilai satu-satu isu. Juga menjemput semua cerdik pandai yang mengkritik pandangan INH untuk tampil dengan hujjah (publish work) untuk membetulkan.

Juga tidak lokek untuk memberi kredit pada mereka yang sewajarnya dihargai, cross boundaries, trans mazhab.

Ya beliau juga tidak lari dari mengkritik ahli ilmuwan yang lain. Namun satu sikap yang konsisten yang jarang-jarang ada pada ahli agama kita iaitu apabila beliau menyatakan kritikan dan komen; ia akan disusuli dengan hujjah, analisa kritikal, reasoning dan kesimpulan. Dengan maksud, INH memang mengikut kerangka akademik yang diterima pakai di Universiti.


Kagum. Hujjah harus ditemu dalam gelanggang hujjah. Ini adalah linkungan keilmuwan yang saya cari-cari, tapi sunyi di negeri kita ini.

Kawan tanya best ke dengar?

Jawab saya, "ermmm boleh lah. Semua sessi soal dan jawab takkan kita jumpa di Tanyalah Ustaz TV9. Dan tentu, kena bersedia mendengar dalam Bahasa Inggeris".

INH masih lagi berada di Malaysia dan ceramah di sekitar lembah kelang yang terdekat pada 27 Mac 2012 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Ilmuwan ini, secara peribadi saya lihat sebagai bijak'sana' dan sini. Subhanallah. Moga ada dikalangan cerdik pandai kita mempunyai kemahiran yang serupa dan menjadikan rancangan Tanyalah Ustaz mencelikkan mata.


Wednesday, March 07, 2012

Encore: Jernih Suci (Sempena Musim Exam)

Jernih Suci adalah cerpen yang telah memenangi pertandingan Peraduan Cerpen Kisah Klasik Kita tempat yang ke-4 (pautan di sini).


Jernih Suci di 99 Hari Kisah Klasik di sini.

Jernih Suci encore seperti dikisahkan di bawah. Selamat membaca. Selamat menempuh peperiksaan. Selamat berjaya. Semoga hasil refleks kepada usaha dan diri. Tidak berjaya kita boleh cuba lagi. Tidak apa-apa, it's normal and not end of the world.


Tetapi kalau berjaya dengan jalan yang salah, ingat ini "you will be asked at the end of the world."




SAYA melihat Afwan yang duduk betul-betul di hadapan meja pensyarah. Setiap kali waktu ujian dan peperiksaan, di situlah Afwan duduk. Meski datang awal bersama Afwan, saya akan mencari tempat duduk yang tersorok dari pandangan pengawas peperiksaan. Semua kawan-kawan lain pun begitu. Datang awal untuk mendapat tempat strategik, supaya di masa-masa terdesak dapat juga mengeluarkan senjata untuk menyelamat tengkuk. Senjata haram yang istilah dikenali sebagai toyol. Afwan tidak begitu. Tempatnya paling hadapan terdedah kepada pemerhatian pengawas peperiksaan.

Satu hari ketika minum petang di Kedai Kopi, dalam seronok mengunyah keropok losong dicicah sos, saya bertanya kenapa Afwan selalu duduk di hadapan sedang dia datang paling awal. Bagi saya, Afwan lebih berhak untuk menduduki tempat strategik berbanding orang lain. Tempat yang sukar dikawal selia pengawas peperiksaan.

“Saja.” Itu jawab Afwan, saya tahu dia tidak berjujur.

“Kawan apa kau ni banyak sangat rahsia!” Saya bertanya dengan suara ditinggikan.

Afwan tersengih untuk menutup rasa bersalah, “Aku takut, aku takut tergoda.” Afwan menjawab dengan gaya tersipu malu adik-adik. Lesung pipit berlekuk di kedua-dua belah pipi.

Saya faham maksud Afwan. Dia takut digoda oleh rakan-rakan yang secara sukarela akan menawarkan toyol haram zadeh untuk mereka yang kesempitan. Kalau pun ada yang menolak, mereka akan tetap bereya untuk berkongsi. Kata mereka, “tolong menolong kan amalan mulia.”

“Kau ni Afwan takut sangat. Semua orang buatlah, bukan rahsia pun. Kau tak pernah meniru ke? Jaga sangat macam orang alim.”

Muka Afwan keruh. Saya turut terkesan dengan perubahan itu. Takut-takut saya telah menyentuh hal peribadi yang sensitif.

“Betul Rizqin, aku bukan orang baik dan bukannya tidak pernah meniru.” Safwan membuang pandang ke tempat jauh. Biar betul. Afwan ‘orang suci’ seperti digelar rakan-rakan pernah meniru.

“Maaflah, kalau aku menyinggung perasaan kau. Tapi tentu ada sebab yang buat kau berubah.”

“Kau kenalkan Ir. Haron yang mengajar kita Kejuruteraan Air Sisa masa diploma dulu?” Saya mengangguk. “Dialah yang menyedarkan. Sebelum itu, aku juga sama seperti orang lain.”

Afwan membetulkan duduk. Saya meneguk air kosong. Dari riak muka, ada cerita berat yang disimpan. Afwan mengambil sesuatu dari dalam kocek. Ianya sehelai kertas bersaiz buku nota kecil, tetapi sudah dilamina dengan plastik jernih. “Ir. Haron beri.”

Dengarkan tuan ayahanda berperi
Kepada anakanda muda bistari
Nasihat kebajikan ayahanda beri
Amalkan jangan malas dan ngeri

“Wah, bagusnya, bertuah betul kau. Ni pantun ke puisi?”

“Itu syair. Syair Nasihat ditulis oleh Raja Ali Haji. Ir. Haron hadiahkan di hari akhir kita diploma dulu.” Afwan senyap seketika sebelum kembali bercerita.

“Pernah sekali waktu musim ujian, aku bawa toyol yang dibawa sekali bersama kertas kosong untuk menulis jawapan. Ingat aku Ir. Haron tidak akan memeriksa. Tiba-tiba hari itu dia bergerak dari satu meja ke meja sambil menyelak setiap helai kertas jawapan pelajar sebelum ujian bermula. Dia nampak kertas yang bertulis pensil tetapi dia sekadar menyelak kemudian berlalu pergi. Masa itu aku sudah berpeluh-peluh menahan takut. Sepanjang masa menjawab tangan mengigil-gigil. Segala formula yang diingat pun hilang entah ke mana.”

“Lepas ujian tu apa yang Ir Haron buat? Potong markah atau bagi kosong untuk ujian tu?”

“Tidak ada apa-apa. Aku pun menunggu juga. Tapi memang tidak jadi apa-apa langsung.”

“Lepas tu kau bertaubatlah ye?”

“Tidak juga. Aku ingat aku kebal dan Ir. Haron tidak berani.”

“Habis tu apa yang buat kau berubah.”

“Kau ingat tak masa Ir. Haron bawa kita semua pergi lawatan ke pusat rawatan air sisa di Putrajaya?”

“Mestilah ingat, bukan selalu kita dapat keluar dari kampus untuk dapat belajar dari mereka yang betul-betul ada pengalaman.”

“Masa itulah Ir. Haron sekolahkan aku. Rasa macam kena hempuk batu besar punya betul-betul di kepala.”

“Kau ni cerita jangan berhenti-henti. Tidak sabar aku hendak dengar.” Afwan senyum kemudian meneruskan cerita.

“Selepas penerangan dan sesi melawat setiap kolam rawatan, aku memerhati tidak berkelip dua botol air di atas meja pameran yang disediakan jurutera. Aku ingat lagi, penerangan jurutera loji rawatan air kumbahan. Satu botol tu air mineral, satu lagi ialah air sisa kotoran yang telah dirawat. Bila diletakkan sebelah menyebelah dalam botol yang serupa, kelihatan kedua-dua air sama sahaja. Bersih dan jernih. Memang tidak dapat dibeza.”

“Betul, betul. Aku ingat lagi masa jurutera terangkan pasal benda tu. Air sisa tu macam air kosong dalam gelas ni kan? Jernih je, tiada cela langsung.”

Afwan mengangguk.

“Masa itu aku tidak sedar yang Ir. Haron berada di belakang. Dia memerhatikan aku sebenarnya. Tiba-tiba dia bertanya dan menegur, “Kalau saya cabar awak untuk minum salah satu dari air ni, awak berani?”

“Apa yang kau jawab.”

“Aku kata aku tidak berani. Mana kita tahu yang mana satu air mineral, mana satu air kumbahan. Yelah, air sisa yang masuk ke dalam kolam rawatan itu entah sisa dari mana. Sisa yang keluar semasa kita masuk dalam tandas. Yang akan berbunyi kuat ketika pepejal itu keras dan akan berbau masyaAllah kalau sedang cirit birit. Masalahnya yang terkumpul bukan dari orang Melayu sahaja, dari semua lapis masyarakat. Orang Cina, India, Benggali, orang putih. Orang miskin, orang kaya. Belum campur lagi dengan mayat orang yang mati dalam pembentungan.”

Afwan berkerut dahi, “Ir. Haron gelak sahaja mendengar jawapan aku. Masa itu aku lupa sangat kes bawa toyol dalam ujian. Aku pun selamba tidak malu bersembang dengan Ir. Haron. Aku ingat dia lupa. Kau pun kenal Ir. Haron itu baik, suka beramah tamah.” Afwan menarik nafas. Macam susah benar dia mahu meneruskan cerita.

“Cepatlah, apa jadi seterusnya.”

Afwan masih mengambil masa. Payah sangat butir bicara keluar dari mulutnya.

“Ir. Haron kemudian cakap, macam itulah keputusan peperiksaan kita. Yang dilihat oleh mata pensyarah dan mata ibu bapa ialah apa yang tercetak di atas kertas. Tidak lebih tidak kurang. Semuanya kelihatan bersih, putih dan sempurna. Pelajar itu sendiri yang lebih tahu dari mana datangnya nombor-nombor yang dicetak.” Ada jernih bertakung di mata Afwan.

“Masa itu seolah ada batu besar menghimpit dada. Muka pucat tidak berdarah. Ir. Haron kemudian mengangkat salah satu dari dua botol itu betul-betul dihadapan mata aku. Kemudian dia tanya, “Afwan, agak-agak sanggup tidak awak menawarkan air dalam botol ini untuk diminum atau sebagai air untuk wuduk kepada kedua ibu bapa kamu?”

Saya terdiam. Afwan juga terdiam. Lama kemudian menyambung. “Aku cuma menggeleng pada Ir. Haron. Ir. Haron pula terus berlalu dari situ. Sepanjang perjalanan aku tidak dapat bercakap apa-apa. Lama lepas itu aku ke bilik Ir. Haron meminta maaf. Ir. Haron maafkan dan dia berharap agar aku segera bertaubat dan menyesal. Sejak dari itu hingga hari ini dan selama-lamanya, dari apa yang kau kenal tentang aku Rizqin, benar, aku bertaubat.”

Ada serbuan hebat dalam dada. Segunung rasa bersalah bergumpal. Saya memandang Afwan. Air dalam gelas tidak mampu saya habiskan.

Afwan memandang gelas saya, menarik nafas kemudian kembali bersuara, “air sisa selepas dirawat memang bersih dan jernih. Kualiti kejernihannya sama seperti air mineral yang dibeli di kedai-kedai. Kau pun tahu Rizqin, kita sudah belajar masa diploma lagi. Meski airnya bersih dan jernih, akhirnya tetap dilepaskan kembali ke sungai. Ia tetap akan dibuang. Tidak akan terjadi dalam praktis air sisa yang dirawat digunakan untuk menjadi air minum. Air sisa tetap air sisa. Ia cuma akan jadi kembali jernih bila sudah disucikan secara semulajadi.”

“…bila air yang dilepaskan di sungai naik ke langit sebagai wap air, bergabung dengan awan dan kembali turun sebagai hujan.” Saya menyambung bicara Afwan tanpa disuruh-suruh.

Afwan memandang ke arah lain. Saya melihat dia mengangkat tangan untuk menyeka sesuatu yang keluar dari mata. Ketika dia kembali memandang matanya sudah merah.

“Aku bersyukur Ir. Haron menegur aku Rizqin. Jika tidak sampai bila-bila pun aku tidak sedar. Keputusan peperiksaan yang atas kertas cemerlang, rupanya ia cuma seperti air kumbahan yang telah dirawat. Kita telah menutup kekotorannya dan merahsiakan dari mana ia datang dari mata bakal majikan, malah lebih buruk dari pandangan ibu bapa. Sedangkan ibu bapa sampai berkenduri-kendara bersyukur meraikan kejayaan kita.”

Khali.

“Setiap kali aku mahu meniru aku akan teringatkan Ir. Haron. Lebih lagi akan teringat, aku sebenarnya sedang menawarkan air sisa manusia yang kotor dan jijik untuk ditelan mak ayah sendiri.”

Saya tidak mampu berkomentar. Terasa dalam mata ada air.

“Oh ya, aku teringat apa Ir. Haron cakap sebelum aku keluar dari bilik ketika minta maaf dulu.”

Saya memasang telinga berminat.

“Saya doakan awak akan dapat menawarkan air mineral yang tulen bersih untuk diminum oleh ibu bapa awak nanti.” Lesung pipit di kedua belah pipi Afwan muncul kembali. Saya tahu doa Ir. Haron telah makbul.

Saya memusingkan kertas berlamina tadi. Di belakangnya ada tulisan lain,

Ilmu itu besar faedahnya
Membezakan hak dengan batilnya
Mengetahui rakyat benar dan salahnya
Supaya dihukumkan dengan adilnya.

Saya sudah faham. Hari ini bertekad untuk menjejak langkah Afwan, InsyaAllah.


___________________________________________________________________


Ekstrak kata-kata Ustaz Azhar Idrus (dalam YouTube sudah semestinya): Mereka yang dapat kerja melalui sijil peperiksaan di sekolah dan Universiti hasil dari perbuatan meniru akan menjadikan rezeki dari pekerjaan itu kurang berkat. Itu juga yang diberi kepada anak dan isteri untuk makan dan pakai.


Doa saya untuk semua yang merai kejujuran pada diri, ibu bapa, Tuhan dan masyarakat. InsyaAllah, apa pun keputusan akhirnya, ia tetap mendapat ganjaran pahala dan berkat.


Solawat.


Tuesday, March 06, 2012

life within works

Kata senbei, carilah masa dicelah-celah masa ;) sangat bermakna.

Cari meaningful texts di celah-celah texts (bak kata adik take 5 every 1 hour).