Aleph


Allahumma solli ala Muhammad, wa ala ali Muhammad.

i.

Makluman awal, saya bukan mahu bercerita tentang Novel Aleph, Poelo Coelho walau ia jadi gambar yang melatari entri kali ini.


ii.

Ketika baru masuk kerja dahulu, selepas selesai belajar saya mengalami dilema. Usia kerja saya belum masuk setahun, tapi saya mengalami resah. Saya tidak tahu apa yang saya lakukan. Bukan tidak tahu membuat kerja, tugas selesai tetapi saya rasa kosong. Sehingga kawan datang dan memberi nasihat, “apa yang kita lakukan ini adalah pekerjaan mulia. Kita berkhidmat untuk anak bangsa.”

Saya memandang dia. Resah saya masih tidak surut. Saya kembali bertanya, “khidmat apa kalau kita dibayar untuk melakukannya.”

Saya tidak tahu kalau kawan kecil hati. Namun itu rasa saya. Saya sudah bertanya dengan mereka yang berpengalaman dan jauh senior dari saya. Mereka dari lain-lain institusi juga menyatakan perkara yang sama. Mereka tidak mendapat kepuasan dari apa yang dilakukan.
Saya tegar percaya, jika kita memberi harga kepada apa yang dilakukan, ia semata kerja. Kita mencari rezeki kerana itu kita buat mengikut bidang tugas. Saya mencari kemuliaan dari apa yang dilakukan. Tapi nihil. Nol. Nil. Tiada.

Meski banyak kali kawan berpesan dan meyakinkan, tiada salah dengan jalan ini. Ia satu pekerjaan yang mulia. Saya tahu, tapi hati berat mahu percaya saya sudah melakukan sehabis baik.

iii.

Ketika saya pelajar dulu, kami bukan berduit. Waktu itu pinjaman terhad dan tidak mewah. Untuk berjimat kami menyewa di seksyen 24. Kelas pula pelbagai. Ada yang di UiTM Shah Alam, ada di seksyen 17, ada di bangunan Umno. Mungkin juga ada di stadium Shah Alam. Pengangkutan utama kami hanyalah bas mini warna pink. Ia sudah tidak ada lagi.
Bila duduk jauh begitu dari kampus, kami dikelilingi oleh latar berbeza. Latar ini latar sebenar masyarakat perdana. Kebanyakkan yang menyewa di apartmen seksyen 24 adalah pekerja kilang. Juga pekerja di sektor-sektor yang lain, yang jarang kami dapat beramah mesra untuk mengetahui kisah hidup mereka.

Saya bukan orang yang suka keluar. Bidang pengajian saya begitu membebankan, jadi pilihan adalah untuk tinggal sahaja di apartmen jika tidak keluar ke kelas. Kami tinggal di tingkat 4, sewanya lebih murah. Waktu kami berada di dalam rumah sewa ialah dari petang sehingga subuh esoknya.

Saya tidak tahu bagaimana mulanya, satu masa ada dua orang kanak-kanak sering datang bertandang. Yang tua kakak, yang kecilnya lelaki. Saya masih ingat namanya Nizam. Mereka anak dari pasangan pekerja kilang. Mungkin ketika itu kami suka berbual di waktu lapang, sehinggalah kami mencadangkan agar Nizam dan kakak datang waktu malam dan membawa bersama Muqaddam.

Saya dan kawan satu lagi dengan sukarela menjadi guru mengaji. Tanpa bayaran tentunya. Jadi pertemuan Nizam, kakak dan kami selepas itu berisi. Meski sibuk dengan segala tugasan yang tidak pernah surut. Waktu mengajar pun tidak lama. Satu dengan satu. Jadi masing-masing boleh habis serentak.
MasyaAllah, bukan mudah. Sangka saya ia mudah kerana mak saya guru mengaji. Bagi kawan satu lagi pun sangka begitu. Kerana dia berasal dari Johor, jadi pendidikan agamanya mantap. Yang susah bukan pelajaran mengaji itu, tetapi keupayaan dua beradik ini untuk menerima pelajaran. Nizam sudah berusia 9 tahun rasa saya, kakaknya 10. Tetapi kemampuan untuk mengulang perkataan-perkataan yang kami ajarkan begitu perlahan sekali.

Jadi kami bercadang bermula dari Aleph. Ya, patah demi patah. Dan adakalanya mereka degil dan selalu kami dapati mereka tidak ulangkaji. Kadang-kadang kawan saya menyerahkan tugas seluruhnya pada saya, kerana dia panas hati dan tidak sabar. Takut sehingga terotan anak orang.

Saya cuba memahami mereka. Walau ya, kadang-kadang sabar itu hilang juga. Tapi Tuhan memberi saya kekuatan untuk memerhati. Saya memerhati kekurangan mereka. Kadang-kadang keluar bau tidak enak dari badan mereka. Kuku juga jarang terurus rapi, ada hitam-hitam di hujung kuku. Baju juga bukan baju yang elok, kadang-kadang mereka memakai baju yang sama.

Kami tinggal cuma 6 bulan di seksyen 24. Tapi dalam tempoh singkat itu kami menyaksi Nizam dan kakak berpindah rumah. Saya tidak tahu apa sebabnya, adakah sewa naik atau mereka tidak mampu membayar, kami tidak tahu. Tapi itulah satu kes kecil dalam latar perdana yang tidak selalu dipedulikan.

Seingat saya Nizam dan kakak dapat belajar sehingga mampu mengeja. Saya tidak pasti kalau kami sempat mengajar surah-surah pendek. Waktu yang sama juga kami juga mendapat anak-anak murid baru. Faiz dan kakaknya. Faiz baru berumur 3 atau 4 tahun, dan kakak baru masuk sekolah. Yang mana kawan saya suka mengajar mereka kerana mereka cerdik dan cepat belajar. Saya seperti biasa akan ditugaskan mengajar Nizam dan kakak.
Yang saya kesani mereka mempunyai kebolehan berbeza kerana latar keluarga mereka berbeza. Nizam mempunyai ibu dan ayah yang hanya bekerja di kilang. Tidak ada salahnya bekerja di kilang tinggal lagi ibu bapa mereka tidak punya waktu untuk ambil berat tentang mereka. Pernah kami bertanya, kata kakak Nizam mereka perlu membasuh pakaian sendiri. Perlu mengurus diri sendiri. Serba serbi sendiri.

Berbanding Faiz dan kakak yang mempunyai ibu bapa yang bekerja di sektor swasta (saya tidak berapa ingat) dengan pekerjaan lebih stabil, dan punya waktu mengurus keluarga. Jadi mereka dijaga dengan sempurna. Kami dapat lihat dari cara mereka berpakaian. Faiz yang comel akan datang dengan bersongkok, dan kakak dengan bertudung rapi dan kemas. Mereka sentiasa datang berbedak dan wangi.

Sekarang jika saya berfikir panjang, luruh air mata saya. Kerana sewaktu kecil saya tidak pernah fikir apa-apa pun tentang keperluan diri kecuali bermain dan perut lapar. Itu pun belum pun saya meminta, pinggan saya sudah diisi nasi. Minum pun dilayan. Kuku pun dirapi emak. Kasut juga sehingga darjah berapa tidak ingat, baru saya ditugaskan untuk basuh sendiri. Begitu, pengalaman kecil saya.

Ketika di seksyen 24 saya rasa sangat diisi. Meski saya dibeban dengan banyak tugas. Termasuk tugasan dalam rumah sewa. Untuk membersih dan memasak. Tapi dengan tidak sedar jiwa saya disuburi. Ketika mengajar mereka Aleph, dan mereka menyambut juga dengan Aleph. Sehingga mereka boleh mengeja dan mengungkap beberapa patah kata ayat-ayat Al Quran.

Tetapi kemudian kami berpindah ke Seksyen 2. Lebih dekat dengan kuliah. Namun dengan dekat seperti itu, saya kehilangan anak-anak murid untuk diajar mengaji. Kami secara tutas hilang waktu kerana disibukkan dengan segala tuntutan pengajian dan kuliah.

Entah apa khabar Nizam dan kakak. Kami tidak sempat mengajar mereka sehingga tamat muqaddam sekalipun. Saya tidak perlu risau pada Faiz dan kakak, insyaAllah mereka pasti mendapat kehidupan yang baik.

iv.

Rakan-rakan saya yang berada di luar dari institusi tempat saya bekerja satu hari mengajak saya untuk melakukan sesuatu. Zul seorang guru sekolah sang pencetus idea. Kata dia, di sekolah banyak anak-anak murid kelas bawah yang masih tidak boleh membaca.

“Apa? You can be serious.”

Tapi Zul serius. “Satu hari saya sedang memerhati mereka melakukan senaman. Ada seorang anak murid berusaha dengan sungguh-sungguh untuk lari berhalangan. Tetapi tidak pernah berjaya. Tetapi sangat bersungguh dan tidak putus asa mencuba. Akhirnya berjaya juga. Kemudian saya selepas itu saya terpanggil untuk mendekati dia. Kerana anak itu begitu bersungguh.”
Zul tanya kelas anak murid tersebut. Dia berada di kelas hujung. Darjah enam. Tanya Zul dia pergi tidak ke kelas tusyen. Ada peperiksaan besar menanti di hujung tahun. Lagi pula yuran hanya RM150 setahun.

Anak kecil menggeleng kepala, “Ayah kata Abang saya akan kahwin bulan 6 ini.”

Ya, kita boleh tafsirkan sendiri maksud sang Ayah pada anak. Duit tidak ada walau yuran kelas tambahan cukup murah. RM150 setahun hanya kurang lebih RM20 sebulan.

Yang RM20 sebulan itu pun tidak ada. Untuk keluarga yang dominan melatari masyarakat kita hari ini. Ini kes sekolah di bandar besar, belum kita lihat kes di pendalaman. Kata kawan-kawan saya mereka ada yang masih tidak boleh membaca. Apatah lagi mengira dan lemah menulis.

Begitu kisah yang kita tidak tahu.

v.

Saya petik sedikit cerita dari Novel Aleph, Paola Coelho dengan ulasan sendiri. Ya, saya ubah fikiran dan memberi sedikit cerita dari novel ini. Kata Paolo kita selalu terfikir untuk mencapai impian masa depan. Juga pada masa yang sama kita mahu menebus silam yang kita kesali.

Dua-dua tidak pernah akan kita kecapi. Kecuali…

Apa yang kita mahu pada masa akan datang dan yang mahu kita tebus tentang masa silam, adalah apa yang diusahakan bersungguh hari ini. Ya, hanya hari ini! Masa sekarang bukan pada waktu-waktu yang lain.

vi.

Ketika melalui sekolah untuk bergerak ke tempat kerja, saya melihat anak-anak sekolah. Berseragam putih. Saya lihat kelibat Nizam dan kakaknya. Saya tahu saya hanya berilusi. Mereka tentu sudah dewasa, bukan anak-anak lagi. Doa saya agar Allah mengasihi dan melindungi, memberi mereka hidup yang lebih bahagia dan sempurna.


Satu masa yang jika boleh diputar semula, kami mendapat peluang mengajar Nizam dan kakak sehingga tamat muqaddam. Sehingga boleh membaca beberapa surah dari Al Quran. Dan lebih dari itu, mengajar juga pelajaran di sekolah. Sehingga terang hati mereka belajar ilmu.

Jika itu kami dapat sediakan sebelum kami berpindah, tentu tidak akan ada sesalan di hati kami.

vii.

Kata Paolo masa silam dan masa depan hanya ruang waktu. Ia ada dalam persepsi manusia kerana kita punya memori. Sedang dalam hakikat mutlak sebenar, kita sedang hidup dalam waktu sekarang, waktu silam dan masa depan. Kita hidup dalam ruang dan waktu yang selari.

Saya tidak faham.

Tetapi saya mahu percaya, jika silam boleh ditebus dengan berusaha hari ini, dan itu sahaja yang kita ada di akhirnya, ya untuk apa kita tunggu lagi.

Saya teringat Nizam dan kakaknya, tentu dalam hati, masih dan tetap ada kamu.


Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK