Tuesday, December 31, 2013

Memahami Adam - 1 (Sempena Tahun Baru)


Memahami Adam, adakah akan membawa kita memahami Hawa? Atau Adam dan Hawa itu sebenarnya sama dari segi sifat kemanusiaan dan potensi mereka?

Linkungan saya setahun dua ini aneh sekali. Sangat ke hadapan untuk kerja-kerja sosial, malah mencintai ilmu mana mereka pergi. Dalam beg pasti ada buku. Ketika bertemu rakan yang lain, buku-buku akan bertukar tangan untuk sesi pinjam meminjam. Di mulut mereka adalah pertanyaan bila kita akan mengembara untuk mengutip catatan-catatan sejarah.

Lingkungan aneh saya ini suka berranya soalan. Ada beberapa soalan adik yang bertanya tentang Adam. Bila tarikh Nabi Adam diturunkan ke bumi? Adakah Adam adalah penghuni gua seperti yang kita visualkan apabila pergi melawat muzium? Adakah manusia dihantar ke bumi kerana dihukum buat salah atas dosa makan buah larangan?

Sebetulnya saya tidak mempunyai kelayakan sijil agama, tetapi tetap mereka mahukan pendapat dari saya.

Kerana lingkungan aneh ini, saya perlu belajar lebih untuk memahami Adam. Menjawab persoalan-persoalan sekitar Adam, dan membina Adam masa depan seperti yang disyaratkan Tuhan.

Adakah percubaan ini akan berjaya?

Saya tidak tahu, tetapi kita boleh mencuba dan berkongsi.

Apabila bercerita tentang Adam, dalam fikiran kita macam-macam. Imaginasi kita bercampur baur termasuk apa yang pernah kita dengar dari sumber-sumber agama lain. Bahawa Adam itu telah berdosa dengan Hawa ketika berada di syurga. Kerana dosa-dosa mereka itu manusia dicampakkan ke dunia.

Persepsi seperti ini ada ketika kita membaca cerita-cerita sejarah agama. Atau ketika berbual dengan rakan-rakan beragama lain. Lalu kita pun jadi terfikir, adakah betul sejarah Adam begitu?

Apa yang boleh kita jawabkan kalau ada anak-anak bertanya soalan yang sama? Kita akan melarikan diri dari menjawab persoalan? Bercerita setakat apa yang kita tahu, atau menyuruh mereka bertanyakan Ustaz Ustazah di sekolah.

Menanggapi sejarah Adam dari persepsi bahawa Nabi Adam itu berbuat salah makan buah larangan lalu dicampakkan ke dunia. Cerita ini bukan dari tradisi Islam, tetapi tetap sampai ke telinga kita. Sekiranya sampai ke telinga anak-anak, mereka akan membentuk kepercayaan bahawa asal usul manusia itu berdosa. Manusia pertama Nabi Adam mewariskan potensi berada dalam keadaan berdosa ini turun temurun. Dalam tradisi Israeliyat cerita ini disinonimkan dengan dosa warisan. Dosa paling berat yang pernah terjadi dalam kejadian penciptaan manusia.  

Ada bahaya cerita ini diulang-ulang tanpa menceritakan keseluruhan kisah pohon larangan yang ada dalam surah Al Baqarah ayat 30 – 39. Kerana manusia Adam itu diciptakan sepenuh kemuliaan. Kemuliaannyalah yang tidak diceritakan orang lalu kita membentuk kepercayaan negatif. Kita juga sampai satu tahap meyakini suka atau tidak, manusia berkecenderungan untuk membuat kesalahan.

Dalam ayat 30 – 39 ada penerangan tentang

1.       Tujuan Adam diciptakan

2.       Apakah alat yang Tuhan berikan kepada Adam untuk sesuai hidup di muka bumi?

3.       Dan adakah selepas Adam turun, Adam ditinggalkan tanpa petunjuk?

Saya dibesarkan tanpa dikisahkan oleh ibu dan Ayah tentang Adam dan peranannya sebagai khalifah. Untuk anak-anak masa depan, saya akan ceritakan begini:

Satu hari Tuhan berkata di kerajaan langit, satu persidangan yang luar biasa hebatnya. Dihadiri oleh malaikat-malaikat

“Sesungguhnya AKU akan jadikan seorang khalifah di muka bumi.”   

Ayat ini membawa makna besar. Tidak ada tanda-tanda bahawa manusia itu dihukum kemudian diturunkan ke bumi. Kejadian Adam itu sendiri sudah ditentukan tugasannya yang mulia, hebat dan positif sebagai seorang khalifah. Tidak ada bentuk dosa yang dipalitkan kepada Adam. Bahawa sungguh-sungguh Adam itu telah ditentukan akan turun ke bumi untuk menjalankan tugasnya sebagai khaifah.

“Tetapi kenapa ada orang cerita yang Adam itu ada kecenderungan buat jahat?” Mungkin ada anak-anak yang bertanya begitu.

Pertanyaan anak-anak tidak salah. Ramai juga yang menyangka begitu, dan bukan anak-anak sahaja yang bertanya, malah MALAIKAT pun bertanya. Anak-anak membulatkan mata seolah tidak percaya.

Dalam ayat seterusnya malaikat bertanyakan, “Mengapa Engkau mahu menjadikan makhluk yang saling berbuat kerosakan dan bunuh membunuh. Sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji Engkau dan menyucikan Engkau.”

Lihat betapa benar Malaikat telah mengenal Adam dengan kecenderungan untuk berbuat kerosakan. Malaikat lebih dahulu menanyakan dalam bentuk protes bahawa kecenderungan Adam itu merbahaya. Malah Malaikat juga menyatakan bahawa merekalah makhluk yang aman, akan sentiasa memuji dan mensucikan Tuhan Yang Menjadikan. 

Tetapi dalam potensi Adam yang negatif ini yang sudah / telah dihidu Malaikat di kerajaan langit, ada yang membela Adam. Kata Tuhan, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kau tidak ketahui.”

Dengan maksud, Tuhan Yang Menjadikan itu tahu apa yang Dia lakukan. Malah pengetahuanNya melebihi apa yang diketahui sekalian makhluk yang hadir di persidangan langit itu. Sekiranya seorang makhluk yang akan diciptakan dikenal dengan sifat-sifat yang merosakkan, kenapa Tuhan masih lagi mempertahankan makhluk ini?

Barangkali itu juga soalan yang ada di fikiran anak-anak. Malah sebenarnya saya selalu memikirkan benda yang sama.

Bahawa yang menjadi rahsia itu adalah, kebaikkan manusia Adam itu sebenarnya lebih besar. Bahawa manusia-manusia seperti Adam ada waktunya membuat pengorbanan luar biasa. Sifat pemurah mereka mengatasi apa yang dijangkau pemikiran rasional. Ada manusia yang miskin kerana pendapatan dari mengayuh beca, tetapi masih tetap sanggup untuk menderma setiap kali mendapat upah untuk diberikan kepada anak-anak miskin untuk mereka bisa terus sekolah. Ada yang sudah mempunyai anak yang ramai, tetapi tetap juga menerima anak-anak tak sah taraf dan yang dibuang, untuk dijaga dan dipelihara. Supaya mereka tumbuh besar menjadi manusia yang sempurna.

Dan apabila mengenang sejarah keNabian dan keluarga mereka, pengorbanan-pengorbanan mereka untuk kebaikkan manusia dan ummat begitu mencengangkan. Malah mengundang air mata kerana betapa sanggup mereka meninggalkan segala kesenangan, untuk membolehkan manusia masa depan menerima syahadah, menjumpai juga jalan kebenaran.

Saya sudah menyaksikan kebaikkan-kebaikkan manusia yang pada awalnya diragui malaikat ini. Mereka ada di sekeliling saya, waktu ini, sekarang ini, yang melakukan kebaikkan dan kemurahan setiap hari walau mereka sendiri kesempitan kewangan, masa, kesihatan dan kesempatan.

Mereka rakan-rakan saya yang mengalirkan air mata bila mengenangkan ada anak yatim yang tidak ke sekolah kerana tidak mempunyai surat beranak kerana ibu mereka juga tidak mempunyai surat beranak dan sijil nikah. Mereka yang tidak lena tidur kerana sedih kepada golongan gelandangan yang tidak punya rumah, tidak punya keluarga, tidak punya bumbung untuk berteduh, merehatkan diri dan membersihkan diri. Mereka yang tidak tentu makan minum mereka sehari hari.

Di celah-celah kerosakkan ini, muncul manusia-manusia malaikat yang melayani mereka yang kesempitan tanpa mengira apa pun. Walau dalam beg duit mereka hanya tinggal beberapa keping nota satu ringgit.

Barangkali banyak rahsia lain di sebalik ayat “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kau tidak ketahui.” Rahsia tentang kebaikkan manusia. Rahsia tentang pengorbanan manusia. Rahsia tentang pemurah manusia. Yang jarang sekali orang mahu ceritakan di atas kertas dan suratkhabar, sedangkan mereka ramai di sekeliling kita, malah kita juga berpontensi menjadi seperti itu juga.

Itu baru memahami Adam dalam ayat yang satu, Al Baqarah: 30.

Thursday, December 12, 2013

Tanpa Agama

“Apa perlunya saya beragama sedangkan saya juga boleh buat baik tanpa agama?” 

Soalan ini sudah banyak ditanyakan oleh ramai orang. Malah pada mereka yang muslim, yang lahir dalam keluarga muslim. Juga ditanyakan oleh mereka yang punya pegangan agama yang lain-lain. Seperti Kristian, Budhha, Hindu dan sebagainya. Sekiranya mereka tidak punya jawapan, mereka akan memilih menjadi atheist.

Atheist itu adalah satu keadaan yang menolak adanya Tuhan yang menjadikan alam, yang mentadbir, yang menjadikan manusia.

Kenapa mereka sampai ke tahap keyakinan seperti itu, adalah kerana mereka tidak nampak peranan Tuhan itu secara langsung dalam hidup. Keadaan atheist ini kita boleh lihat pada mereka yang super intelektual. Yang pandai-pandai belaka. Separuh dari mereka adalah tahap profesor dan saintis.

Kenapa orang pandai boleh sampai menjadi atheist?

Saya cuba terangkan serba sedikit bagaimana mereka menjadi atheist (dari perspektif bekas atheist yang saya baca buku dan ikuti syarahannya di Youtube). 

Dunia fizikal kita ini sebenarnya boleh dijangka. Contohnya, kenapa kita baling barang ke udara barang itu boleh jatuh balik? Sebab ada tarikan graviti. Bagaimana kita boleh membina empangan? Sebab saintis boleh mengira beban air dan jurutera boleh membina struktur yang boleh menanggung beban air itu.

Kita boleh bagi banyak contoh lain lagi. Bagaimana kita boleh apungkan sampan? Sebab kita tahu prinsip ketumpatan. Bahan yang kurang tumpat dari air boleh timbul, yang lebih tumpat akan tenggelam.

Pendek kata, semua benda dalam dunia ini kita boleh predict apa akan jadi sekarang, dan apa akan jadi pada masa-masa akan datang. Sekurang-kurangnya pada perkara yang melibatkan bahan, atau benda, atau fizikal. Seperti barang yang kita baling ke udara, dan air.

Kata orang-orang pandai ini, sekiranya kita boleh menjangkakan semua benda, apa yang boleh berlaku sekarang dan apa yang boleh berlaku pada masa akan datang, "kenapa kita perlukan Tuhan?" Dan itu antara sebab mereka menjadi atheist kerana telah mendapat kesimpulan bahawa kehidupan ini, dunia dan sistem suria boleh jadi terjadi by chance, secara tiba-tiba, ataupun secara natural.

Sebab peranan Tuhan itu dilihat tidak ada. Tidak secara langsung. Lebih-lebih lagi Tuhan itu tidak dapat dilihat dan dibuktikan dalam makmal. Kesimpulan inilah yang menjadikan mereka atheist. Tetapi walaupun atheist mereka tidak berhenti berbuat baik. Kerana bagi mereka, buat baik itu adalah tanggungjawab sosial. Buat baik itu perlu untuk membolehkan dunia ini kekal dalam keadaan harmoni. 

Kemudian seorang rakan pembaca kongsikan ayat Al Quran ini untuk menjawab soalan, “Apa perlunya saya beragama sedangkan saya juga boleh buat baik tanpa agama?” 

Ayat 39 Surah Annur, 

Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkakannya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkakannya) dan ia tetapi mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalas nya) dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Saya suka ayat ini kerana mengingatkan kita untuk berbuat amal, amal kita itu punya tujuan dan diberi balasan pula.

Satu masalahnya ialah bagaimana menceritakan tentang ayat ini yang tidak percaya pun Al Quran? Ataupun meragui tentang Al Quran?

Apa yang saya tahu tentang atheist ialah mereka ini sangat ego tentang hal ketuhanan. Kerana mereka tiada Tuhan, mereka menjadikan diri sendiri Tuhan. Bukan maksud menyembah diri sendiri. Maksudnya ialah, apa pun masalah yang mereka hadapi, mereka akan selesaikan berdasarkan apa yang ada di sekeliling, dan juga apa yang mereka ada dalam diri mereka sendiri.

Oleh kerana mereka ini super pandai, dalam banyak keadaan mereka boleh keluar dari masalah. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Kalau Profesor lagi bagus sebab mereka ada banyak sumber tenaga, duit, bantuan untuk menolong selesai masalah. Sama juga dengan saintis.

Tetapi sebenarnya, hidup mereka sunyi. Ada masanya mereka seolah tidak larat kerana setiap perkara pun kena bergantung pada diri sendiri. Kalau pun ada isteri/suami, mereka tidak boleh bergantung 24 jam. Ada masa-masa mereka betul-betul sendiri, kekosongan dan kesunyian. Ada bekas atheist mengatakan bahawa, kadang-kadang hidup ini begitu perit sehingga mereka memikirkan untuk ada dahan untuk berpaut. Tetapi ego mereka menghalang mereka untuk memanggil, merayu dan memohon bantuan lebih-lebih lagi kepada Tuhan.

Itulah agaknya ayat yang mengatakan, "Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkakannya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu."

Saya setuju juga dengan ayat rakan pembaca, "orang kafir walaupun berbuat kebaikan, kebaikan mereka tidak akan mendapat balasan Allah kerana tidak didasarkan iman. Kalau bukan kerana Allah, apakah tujuan hidup kita? hidup, buat kebaikan dan kemudian mati?" 

Atheist ada banyak masa mengatakan dia tidak perlu balasan untuk setiap kebaikkan yang dilakukan. Kata atheist, "what for? Saya tak perlu benda-benda itu semua."

Tetapi mereka akan segera mengakui bahawa tidak ada manusia yang sanggup maintain buat baik, tetapi tidak tahu adakah mereka mendapat reward (balasan) atas kebaikkan itu. Memandangkan untuk jadi baik itu lebih susah dari jadi jahat, lebih baik mereka jadi jahat. Tetapi kalau kita tahu bahawa akhir nanti Tuhan akan membalas kebaikkan yang dibuat, manusia akan lebih terdorong berada dalam kebaikkan, walaupun jalannya pahit dan susah. Kerana mereka tidak mencari redha manusia, mereka mencari redha Tuhan.

Yang atheist ni dah tentu boleh maintain buat baik sebab mereka kaya dan pandai. Mereka tidak ada masalah dari sudut kewangan dan harta benda. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang miskin merempat? Sudah tentu menjadi baik itu bukan opsyen, lebih baik mereka mencuri. Benda senang. 

Tetapi ramai sahaja orang susah kekal dalam kebaikkan kerana mereka percaya akan mendapat balasan di akhirnya, balasan yang baik tentunya "ia tetapi mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalas nya) dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya."

Seorang atheist (bekas) menceritakan, sebenarnya menjadi atheist itu perit. Dalam banyak keadaan mereka merasa tersepit. Dalam banyak keadaan mereka mahu berpaut pada "sesuatu". Tetapi mereka tidak mahu berpaut pada Tuhan kerana meruntuhkan ego mereka. Dan mereka letih berbuat baik tanpa tahu dimana pengakhiran buat baik mereka itu. Mereka letih kerana berbuat baik, tetapi persekitaran tidak membantu untuk kekal dalam keadaan baik. Sebab mereka tidak jumpa motivasi dan tujuan untuk itu. Amal baik mereka seperti fatamorgana di panas terik mentari. Bila mereka mendekat, benda yang disangkakan air itu bukan air bahkan bayangan sahaja.

Meskipun berbuat baik akan diberi balasan kebaikkan oleh Tuhan, satu perkara yang selalu kita terlepas pandang. Tuhan tidak perlukan pun kebaikkan yang kita buat itu. Dengan maksud, samada kita solat atau tidak, tidak akan memberi kesan apa-apa pun pada Tuhan. Sama juga samada kita buat baik, kebaikkan itu sedikit pun tidak effect kepada Tuhan.

Tetapi Tuhan kata, kebaikkan yang kita buat itu nantinya akan dikembalikan kepada si pembuatnya. Kebaikkan itu adalah untuk diri kita sendiri. Tetapi kenapa Tuhan tetap kata berbuat baiklah kerana Dia, kerana Tuhan Yang Maha Pengasih itu mahu, "menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya)".

Berbuat baik itu perlu kerana Tuhan, kerana agama, kerana di situlah letaknya kesempurnaan.

Saya belajar semua perkara ini dari dua bekas atheist yang sudah kembali ke jalan Allah. Pada satu masa ketika mereka membaca Al Quran, mereka merasakan Al Quran itu betul-betul bercakap dengan mereka. Menelanjangkan setiap ego dan salah mereka terhadap Tuhan. Meruntuhkan apa yang mereka yakin tentang kebenaran, sedangkan Tuhan itulah Kebenaran. Dalam banyak tempat mereka teresak-esak menangis kerana sedih dan sayu. Kerana mereka telah meninggalkan Tuhan tempat 'berpaut' yang mereka tuju.

Tetapi setelah mereka kembali setiap ayat Al Quran yang dilantunkan dengan bacaan yang indah, mereka mengatakan "seolah-olah mendengar kembali mendengar suara ibu yang lama mereka rindu".


Wednesday, December 11, 2013

AC yang Mencari

Adik Comel (AC) sebelum ini pernah bermusafir bersama saya. Berdua, dalam kereta untuk jarak perjalanan selama 2 jam. Saya suka perjalanan seperti ini kerana dengan ruang terhad kita akan belajar menghargai siapa yang berada di sebelah.  Ruang terhad juga akan menyebabkan kita tergerak berkomunikasi. Bercakap itu penting, kerana kita dijadikan oleh Tuhan sebagai makhluk yang boleh berkata-kata. Separuh orang cakap, haiwan yang boleh bercakap-cakap.

Dilema AC ni dah lama. Rupanya dia mempunyai tabiat yang suka bertanya. Pemikirannya menjangkaui dan selalu mempunyai bayangan yang real dalam kepalanya. Kata AC akibat perangainya itu, dia selalu kena warning. “Jangan banyak-banyak sangat tanya. Kalau banyak tanya boleh murtad tau.”

Itu yang AC cakap pada saya. Dan dia mendapat ancaman itu banyak kali. Sejak dari kecil. Kata AC yang kasihan ni, “kadang-kadang Kak saya sendiri rasa adakah saya ni dah murtad. Sebab banyak kali orang cakap macam tu.”

Kalau awak menghadapi situasi seperti ini, bagaimana kita mahu bereaksi? Ini adalah generasi sekarang. Mereka sudah tidak mahu terima bulat-bulat dan buta-buta. Mereka ada banyak soalan untuk memuaskan hati mereka. Jelas, mereka tidak mahu iman yang buta, mereka mahu iman yang bercahaya.

Saya kita jika saya berpeluang mempunyai zuriat, mereka juga akan mempunyai sifat ingin tahu seperti ini. Sebab dunia sudah berubah secara drastic. Kalau saya tidak ada di sisi anak-anak, mereka ada seribu satu cara lain untuk tahu. Terutama dari sumber internet, Google lah apa lagi.

Luar dari jangkaan AC, saya memujinya kerana ada sifat ingin tahu. Ia satu sifat yang sangat baik. “Kerana awak selalu bertanya, awak akan mencari. Hanya itu sahaja jalan untuk awak melegakan perasaan ingin tahu dalam diri.”

Saya mengajar AC beberapa perkara.

1. Menghargai akal yang Tuhan berikan untuknya. Akal yang bertanya itu, perlu cari jawapan.
2. Sentiasa membaca, dan bacaan yang paling sempurna ialah Al Quran. Jawapan yang dia mahu itu boleh jadi sangat dekat jawapannya, dalam Al Quran.
3. Bahawa setiap manusia mempunyai kuasa yang paling kuat. Iaitu free will. Kebebasan memilih. Kalau AC mahu jadi baik, AC boleh jadi baik. Dan sebaliknya.

Saya membimbing dengan apa yang saya tahu. Mencadangkan kepada AC beberapa buah buku. Juga YouTube yang baik untuk AC jadikan panduan.

Saya juga seperti AC. Banyak soalan. Tapi saya tidak seberani AC untuk bertanya out loud. Saya bertanya dan bergema dalam hati. Kalau ada orang tahu apa yang saya tanya, adakah saya akan mendapat ancaman yang sama seperti yang AC selalu dengar? Saya tidak tahu.

Tetapi sekarang saya menyedari peranan. Oleh kerana saya sudah diberi kesempatan membaca beberapa bacaan yang baik, saya boleh berkongsi.

Percaya tidak, kesempatan-kesempatan sedikit yang ada dengan AC selalu menyebabkan kami mengalirkan air mata. Sebab kami berbicara dengan hati. Saya merasai kesusahan AC.

AC adalah anak bijak yang tidak menjumpai pembimbing yang boleh memuaskan setiap persoalan yang ada dalam dada dan otaknya. Jelas sekali AC adalah anak yang genius, yang mahu mencari iman yang diterangi cahaya.

Saya suka bercakap dengan AC. Setiap kali saya bercakap dengannya, saya perlu mengeluarkan Al Quran. Membacakannya tafsir-tafsir. Selalu juga mengeluarkan buku-buku. Membacakan tentang salah faham kita terhadap ilmu yang membuta tuli yang kita terima dari nenek moyang.

AC hairan dengan saya. Semua orang marah dia bertanya, sebaliknya saya menggalakkan AC untuk terus bertanya. Kata saya pada AC, “kalau awak tak tanya, awak takkan mencari.”

Benda yang AC tak tahu, saya menjalani pencarian yang panjang dalam hidup. Dalam laluan jalan itu, Tuhan menjumpai saya. Saya percaya, kalau kita selalu bersih fikiran untuk cari kebenaran dan jalan yang lurus, walau kisah kita terpalit dosa dan noda yang banyak sekalipun, Tuhan tetap akan mahu menjumpai diri kita. Dengan syarat kita ikhlas, dan tiba masanya kita akan sanggup berserah.

Mungkin akan datang AC bertanya, “apa makna iman pada diri akak? Apa perlunya saya beragama sedangkan saya juga boleh buat baik tanpa agama?”

Atau mungkin paling ekstrem


“Tunjukkan saya jalan yang lurus itu.” Harapnya, pada waktu itu, saya dapat memberikan jawapan yang baik.

Tetapi sampai saat ini, siapa yang punya jawapan untuk saya berikan pada AC?

Monday, December 09, 2013

Apa Akan Kita Jawab?

Semalam sela masa mendengar ceramah, Adik yang comel menghampiri.

"Saya ada banyak soalan untuk penceramah, tapi saya takut nak tanya, takut penceramah nanti ingat saya ni liberal. Takut juga kalau rakan-rakan peserta anggap saya ni macam-macam."

"OK. Apa yang Adik nak tanya, cuba tanya saya."

"Macamana kalau Al Quran yang kita dapat ni tipu? Maksudnya, ada orang yang tulis Al Quran atau tafsiran dalam Al Quran, tapi dia tak tulis benda yang betul. Sela masa dari ribu tahun tu, ada tafsiran yang tidak betul." Dia bertanya dengan muka yang sangat serius.

Apa akan kita jawab jika berlaku situasi seperti ini? Dan benda ini betul berlaku pada saya minggu lepas.

Ada orang memandang Adik yang comel jadi tidak comel bila soalan seperti itu diajukan. Ada yang buat muka tidak senang. Ada yang bermuka takut. Takut Adik ini sudah terpesong.

Saya juga jadi tidak tentu arah. Kalau dia tanya tentang tafsiran Al Quran, rasa macam ada jawapan. Tapi tanya tentang Al Quran sendiri jadi macam goyah sikit nak jawab.

Tapi saya cuba menjawab juga.

"Mula-mula Adik kena cari reason yang kukuh untuk percaya Al Quran yang ada kat tangan itu benda benar. 100% benar. Tidak ada yang tidak benar."

"Macamana?"

"Saya tidak akan masuk keyakinan dalam fikiran Adik. Adik kena cari reason sendiri. Tapi kalau Adik tanya reason kenapa saya percaya, saya akan jawab macam ini. Pertama, Al Quran sendiri ada tulis, "jika Al Quran ini datang dari selain Allah, kamu akan dapati perselisihan yang banyak.Yang kedua, Al Quran ini dari dulu dan sekarang contentnya sama, tidak berubah. Boleh cari Al Quran di mana-mana tempat sekalipun, kamu akan jumpa Al Quran yang identik. Sama. Cover to cover. Yang ketiga, saya belajar dari atheist dan misionaris yang masuk Islam cara mereka baca Al Quran. Akhirnya mereka sendiri kata Al Quran itu "it must be words from God itself."

"Siapa?"

"Saya baca dan belajar dari YouTube. Missionaries seperti Dr Gary Muller. Atheist dari Jeffrey Lang, Prof Al Mahdi (saya tak ingat namanya semasa atheist). Juga orang seperti Shuhaib Webb, Cat Steven." 

"Kenapa belajar dari mereka?"

"Kerana mereka akan baca Al Quran lain dari cara kita baca Al Quran. Mereka baca kerana tidak percaya. Mereka baca kerana mahu merendahkan. Mereka baca kerana mencari salah. Akhirnya mereka menemui kebenaran. Mereka-mereka ini orang yang pandai dari sudut akal fikiran mereka. Bila mereka akhirnya menyerah, satu tahu sebahagian besar yang mereka jumpai itu adalah benda yang sama saya mahu jumpai juga untuk keyakinan sendiri."

"Jadi sejauh mana yakin itu?"

Apa akan kita jawab jika soalan itu pula ditanya.

"Yakin sehingga ke tahap, worth to die for!"

*adik yang bertanya hanya berumur 22 tahun.

Thursday, December 05, 2013

FiZi Kir

Baru perasan untuk Fikir dan Zikir berkongsi hujung yang sama. Yang beza hadapannya, iaitu Fi dan juga Zi.

Bagaimana fikir itu boleh menjadi zikir?

Agak susah juga menjawab soalan ini. Tapi saya cuba. Zikir mempunyai maksud yang khas iaitu mengingati. Tetapi kita selalu menghadkan pengertiannya dalam bentuk ibadah. Lepas solat misal kata. Bila kita dapat duduk 10-15 minit menghitung ruas jari atau butir tasbih.  Sambil menyebut-nyebut nama Tuhan Yang Husna, atau lafaz-lafaz memohon ampun dan puji-pujian.

Itu yang sekurang-kurangnya muncul dalam kepala. Tidak dinafikan ia memberikan makna mengingati (zikir) dengan tepat sekali.

Bagaimana fikir boleh menjadi zikir?

Ini bukan soalan khas untuk kita orang yang sudah beragama, tetapi juga untuk mereka yang belum.

Tak susah pun. Zikir maksudnya mengingati. Sebab guna Bahasa Arab kita mengkait hubung dengan soal agama. Fikir bukan soal agama sangat, ia adalah soal kesedaran. Kalau semua orang boleh buat ni, dunia boleh aman.

Fikir yang digalakkan sangat adalah benda paling asas je pun.

Fikir itu boleh jadi benda semudah kita merenung langit yang biru dengan burung-burung melintasi awan dengan gembira.

Boleh jadi melihat banjaran gunung-ganang saujana mata memandang.

Boleh jadi melihat bunga yang begitu ungu warnanya.

Boleh jadi ketika mencicipi manis rasa madu.
Boleh jadi ketika merasa takjub bagaimana banjir di Kuantan dan Kemaman boleh berlaku dalam keadaan yang sangat dahsyat.

Boleh jadi ketika kita memerhatikan bintang-bintang di angkasa.

Boleh jadi ketika mendengar ketawa anak-anak.

Boleh jadi ketika kita merenung mata orang yang kita sayang, sambil berfikir dari mana datangnya rasa kasih yang penuh ini dalam hati?

Senang cerita boleh tengok YouTube lagu Maher Zain, Open Your Eyes.

Boleh jadi ketika menyebut sebutan nama Tuhan dalam zikir sambil guna tasbih kita lalai. Sebab larut dalam khayalan, walau tangan sibuk menghitung butir manik tasbih.

Tapi sekiranya kita ambil masa, merenung langit, melihat haiwan terbang berkumpulan, melihat gunung ganang tersergam, mendengar air hujan turun, melihat pemandangan air terjun dan persekitaran yang luar biasa cantik, melihat matahari terbit dan menerangi alam, melihat bintang-bintang yang begitu banyaknya di angkasa, melihat pelangi yang 7 warnanya….

Kemudian hati kita terdetik, Maha Suci Tuhan yang Menjadikan. Tidaklah Kau jadikan semua ini sia-sia. Itu adalah tanda fikir sudah menjadi zikir.

Apa sahaja yang kita lakukan, fikirkan, selagi ianya membuatkan kita ingat pada Dia, itu sudah menjadi FiZiKir.
Ketika saya cuba menyelesaikan entri ini, sepupu saya yang sedang berada atas kapal menitipkan ini:
"Zikir itu ialah jalan yang tinggi pada mendampingi Allah. Tetapi zikir sukar membawa khasiatnya jika manusia BERZIKIR TANPA BERFIKIR."
"Tidak keterlaluan saya katakan bahawa FIKIR itulah yang membawa Barat datang kepada Islam. Manakala orang Timur pula berbondong-bondong meninggalkan Islam kerana mereka tidak BERFIKIR."

Monday, December 02, 2013

Peristiwa Lewat Malam

Saya selalu rasa teruja bila hari-hari saya diinsprasi. Boleh sahaja datang dari anak-anak muda seawal usia 19, 20 tahun. Usia Usamah bin Zaid yang ditunjuk Rasulullah untuk menjadi Jenderal perang. Posisi dalam ketenteraan yang paling hadapan, seorang ketua untuk semua.

Zaman ini saya melihat segalanya kembali. Anak muda yang menyedari bahawa usia muda bukan halangan untuk berbakti.
Minggu ini saya dikunjungi anak-anak muda yang mahu mendefinisikan makna hidup itu adalah memberi. Itu menjadikan saya begitu ketinggalan tetapi pada masa yang menyuntik diri saya untuk tidak terus tertinggal.
Malam yang sepatutnya mereka berehat kerana berada dalam perjalanan yang jauh dan panjang, mereka memutuskan untuk berbual-bual. Barangkali saya menjangkakan perbualan santai yang mengundang tawa. Tetapi saya silap kerana mereka bertanyakan, “apa tujuan hidup kita ini sebenarnya?”
Satu dua detik berlalu. Muka saya penuh tanda soal dan mulut ternganga tercengang dalam tempoh itu. Gelas-gelas di hadapan diambil seorang satu. Tetamu-tetamu saya dahagakan air dan minum. Mereka memerhatikan saya tidak berkelip mata. Mereka dahagakan jawapan dan saya hanya mampu duduk diam.
Saya membetulkan duduk lebih selesa. Perjalanan panjang tersekat dalam kesesakan lalu lintas, malam yang semakin larut tidak memberikan mereka kesan penat. Saya yang sudah berusia. Dalam hati mengulang-ulang bismillah, agar saya dapat memberikan perbincangan bermakna. Padahal esok kami perlu bergerak ke Kuantan awal-awal pagi.
“Saya juga tidak tahu, barangkali kita perlu kenal diri kita siapa dan kemudian mencari tugas kita atas dunia ini sebagai apa?”
“Saya banyak kali dengar mengenai hal tu. Nak kenal Tuhan kena kenal diri sendiri dulu. Tapi saya tidak berapa faham,” sahabat muda saya memecahkan kebuntuan.
“Man arafa nafsah faqad arafa rabbah, sesiapa yang mengenal dirinya maka dia akan mengenal Tuhannya,” itu jawapan pembukaan yang boleh saya berikan.
“Manusia harus mengenal dirinya. Mungkin kita boleh explore dari awal penciptaan lagi. Manusia yang mempunyai dua jenis ‘bahan’. Yang pertama adalah tanah liat.”
Rakan-rakan muda memusatkan pandang ke arah saya. Kami duduk dalam bulatan. Saya sedar malam itu kami sedang berada dalam bulatan ilmu dan mereka datang dari jauh.
“Tanah liat itu adalah bahan yang paling rendah. Kalau kita berdiri, tanah liat adalah bahan yang kita pijak. Sangat hinakan?”
Mereka mengangguk.
“Kita dibentuk dengan jasad kesempurnaan manusia. Dalam konteks sejarah yang kita tahu sebagai Adam. Dan perempuan sebagai Hawa. Itu adalah asal kejadian manusia dari tanah yang dipijak-pijak.”
Mereka meneguk air lagi. Tidak mengganggu bicara.
“Tetapi kemudian kita diberi nyawa. Tapi tengok di sini, Tuhan bukan menjadikan kita dari ‘tulang’ atau ‘daging’ Tuhan, saya cuma memberikan gambaran untuk tujuan kita dapat terus berfikir dan relate. Kemudian manusia itu diberikan nyawa dengan ruhNya. Ini adalah bahan kedua kejadian kita sebagai manusia.”
Tiba-tiba rakan saya mencelah, “sebab itu kita tidak boleh melihat cawan sebagai cawan.” Saya sendiri tersentak dengan ujaan itu. “Boleh terangkan, saya macam tidak faham.”
“Akak tentu masih ingat cerita dalam Al Quran. Bagaimana Iblis menolak untuk sujud pada Adam. Sebab Iblis memandang Adam sebagai benda. Sebagai tanah liat yang layak dihinakan. Iblis tidak melihat Adam dengan satu lagi unsur, iaitu ruh, ruh dari Tuhan.”
“Apa kena mengena dengan cawan.”
Kawan muda itu menyambung, “tidak kira apa pun bahan, kita perlu melihatnya sepenuh hormat. Dan walaupun benda-benda tidak bernyawa macam cawan sekalipun, ia tetap dapat membawa kita mendekati Tuhan.”
Kawan mengangkat cawan, “contoh cawan ini dalamnya ada air. Air ini dapat menghilangkan dahaga. Kita minum kemudian kita bertenaga. Dengan tenaga kita boleh solat untuk ingat Tuhan.”  
Saya memandang mereka berdua dan tersenyum. Umur semuda ini saya dapat berbincang dengan dalam dan tanpa jemu. Berbanding rakan-rakan sepejabat yang berbicara seputar naik pangkat dan mahu tukar kereta baru.
“Tapi akak, saya masih tidak tahu apa tujuan tujuan hidup kita ini,” kawan muda seorang lagi pula bersuara. Suaranya separuh merengek. Tetapi rengekan ini rengekan mahu ilmu.
“Saya pun tak tahu. Tapi akhir-akhir ini bila menonton ceramah dalam YouTube saya rasa saya boleh beri jawapan. Mungkin. Tapi jawapan ini mungkin juga boleh dibincangkan.”
Mereka pula membetulkan duduk.
“Itu perlu kembali kepada soalan seterusnya. Apa tanggungjawab kita kat dunia ini. Secara jelas dalam surah yang kedua Tuhan sudah beritahu. Iaitu sebagai khalifah. Kalau tak faham, sebagai wakil. Sebagai apa lagi ya kalau nak lebih faham. Sebagai representative. Sebagai wakil lah. Contoh bos panggil kita minta kita jadi wakil ke majlis. Jadi kita sebenarnya membawa nama, pangkat, syarikat bos kita ke majlis tersebut. Sebagai wakil kita kena jadi apa?”
“Tentulah jadi yang terbaik kerana mahu menjaga nama bos.” Seorang rakan menjawab.
“Tapi sebelum itu saya tanya, kenapa bos kita pilih kita sedangkan kita ada ramai lagi rakan sepejabat. Lebih-lebih lagi kalau syarikat itu besar.”
“Tentulah kerana kita adalah yang terbaik dan terpercaya. Berbanding dengan orang lain.” Seorang lagi pula mengemukakan pendapat.
“Kita kena buka mata besar-besar. Kita dipilih dari segala makhluk yang Allah cipta, termasuk malaikat, dan lain-lain lagi. Kita inilah manusia yang dicipta dari tanah dan ruhNya yang Allah lantik sebagai wakil.”
Adik-adik saya itu terdiam dan ada yang mengangguk. Saya sedar, saya dan dua orang adik itu berkongsi ruh yang sama. Tetapi saya tidak pasti adakah mereka juga sedar tentang itu. Kami boleh menjadi rapat dan sedekat ini kerana kami sedang kembali mengingat asal usul kejadian kami.
“Jadi, sekejap. Saya faham, tapi masih saya belum dapat jawapan.”
“Tentang apa?” tanya saya kembali.
“Tujuan kita hidup dalam dunia ini.”
Saya mencapai handbag. Dalamnya ada buku 99 nama Tuhan. Saya buka di hadapan mereka.
“Saya tak tahu samada jawapan ini betul atau tidak. Ini adalah nama-nama Tuhan yang melambangkan attribute Nya. Attribute itu apa? Sifat kan? Di awal kita kenal Tuhan dengan namaNya Yang Maha Penyayang. Kerana itu kita sebagai wakilnya juga perlu bersifat penyayang.”
Saya selak lagi beberapa muka surat kemudian berhenti. “Di sini nama Tuhan Yang Maha Adil, maka kita sebagai wakilnya perlu bertindak dengan adil seadil-adilnya dalam apa juga keadaan. Ini nama Tuhan Yang Maha Pengasih, kerana itu kita perlu bersifat pengasih terutama kepada mereka yang tidak berdaya, miskin, tertindas dan memerlukan. Sama seperti apa yang korang buat hari ini, yang datang dari jauh kerana hati korang penuh dengan cinta kasih kepada adik-adik, anak yatim yang memerlukan.”
Mata saya menjadi berkaca. Suara pun menjadi putus-putus. Tidak sangka perbualan ilmiah begini juga boleh menjadi begitu beremosi. Saya pandang mereka, mata mereka juga sudah berkaca.
Saya memandang mereka jauh tembus menuju ruh-ruh yang ada dalam badan. Seperti mana saya yang mempunyai ruh yang sama. Ia adalah ruh keindahan, rugi saya kerana menyedarinya lewat. Tetapi tidak terlalu lewat sebelum saya menutup mata. Saya lega kerana telah sampaikan ini kepada adik-adik yang akan mewarisi Negara dan dunia ini.
“Kita akan diukur sejauh mana kita berfungsi sebagai Khalifah di akhir nanti kan Kak? Bukan apa yang kita kumpul sebagai harta dan kebanggaan?”
Saya senyap. Ada benda yang saya juga tidak tahu dan perlukan masa untuk faham dan menghayati. Tetapi saya akui apa yang adik saya katakan itu ada banyak benarnya.
“Ya, ramai dan banyak orang telah lupa. Perhatian kita dialihkan dengan banyak benda. Kerja, anak-anak dan isteri, kejar kuasa, pangkat, gelar. Sedangkan keluarga juga boleh jadi unsur paling kuat yang akan dapat melalaikan, tidak masuk yang lain-lain lagi.”
Kami diam. Kawan seorang itu sudah lama diam. Saya kenal mereka. Diam itu tanda mereka sedang berfikir, dan mereka berfikir dengan panjang dan dalam.
Semoga Tuhan merahmati bulatan kecil kami sehingga larut malam. Semoga itu juga dinilai sebagai majlis untuk ingat kepada Bos kami, yang meminjamkan ruh yang ada dalam badan. Semoga perbincangan itu juga adalah doa untuk kami terus hidup sebagai wakilNya yang berada dalam jalan lurus yang diredhai.

******************
Itu apa yang saya dapat ketika mereka berkunjung hanya dalam beberapa tempoh beberapa jam. Tidak sampai pun 24 jam. Begitu banyak. Ketika saya menulis ini saya sudah berada di KL.
Kesimpulan yang dapat iaitu untuk menjadi wakil. Dengan mencerminkan sifat-sifat keindahan seperti yang ada pada nama-namaNya. Semua itu hanya boleh kita buat dengan memberi. Sifat-sifat itu menganjurkan kita untuk menjadi orang yang memberi, memberi dengan sebanyak-banyaknya. Bukan menjadi penerima.
Apa maksudnya? Ia menunjukkan kita perlu menjadi penggerak, sang pelaku. Hari itu kami hanya masuk tidur jam 4 pagi.