Tanpa Agama

“Apa perlunya saya beragama sedangkan saya juga boleh buat baik tanpa agama?” 

Soalan ini sudah banyak ditanyakan oleh ramai orang. Malah pada mereka yang muslim, yang lahir dalam keluarga muslim. Juga ditanyakan oleh mereka yang punya pegangan agama yang lain-lain. Seperti Kristian, Budhha, Hindu dan sebagainya. Sekiranya mereka tidak punya jawapan, mereka akan memilih menjadi atheist.

Atheist itu adalah satu keadaan yang menolak adanya Tuhan yang menjadikan alam, yang mentadbir, yang menjadikan manusia.

Kenapa mereka sampai ke tahap keyakinan seperti itu, adalah kerana mereka tidak nampak peranan Tuhan itu secara langsung dalam hidup. Keadaan atheist ini kita boleh lihat pada mereka yang super intelektual. Yang pandai-pandai belaka. Separuh dari mereka adalah tahap profesor dan saintis.

Kenapa orang pandai boleh sampai menjadi atheist?

Saya cuba terangkan serba sedikit bagaimana mereka menjadi atheist (dari perspektif bekas atheist yang saya baca buku dan ikuti syarahannya di Youtube). 

Dunia fizikal kita ini sebenarnya boleh dijangka. Contohnya, kenapa kita baling barang ke udara barang itu boleh jatuh balik? Sebab ada tarikan graviti. Bagaimana kita boleh membina empangan? Sebab saintis boleh mengira beban air dan jurutera boleh membina struktur yang boleh menanggung beban air itu.

Kita boleh bagi banyak contoh lain lagi. Bagaimana kita boleh apungkan sampan? Sebab kita tahu prinsip ketumpatan. Bahan yang kurang tumpat dari air boleh timbul, yang lebih tumpat akan tenggelam.

Pendek kata, semua benda dalam dunia ini kita boleh predict apa akan jadi sekarang, dan apa akan jadi pada masa-masa akan datang. Sekurang-kurangnya pada perkara yang melibatkan bahan, atau benda, atau fizikal. Seperti barang yang kita baling ke udara, dan air.

Kata orang-orang pandai ini, sekiranya kita boleh menjangkakan semua benda, apa yang boleh berlaku sekarang dan apa yang boleh berlaku pada masa akan datang, "kenapa kita perlukan Tuhan?" Dan itu antara sebab mereka menjadi atheist kerana telah mendapat kesimpulan bahawa kehidupan ini, dunia dan sistem suria boleh jadi terjadi by chance, secara tiba-tiba, ataupun secara natural.

Sebab peranan Tuhan itu dilihat tidak ada. Tidak secara langsung. Lebih-lebih lagi Tuhan itu tidak dapat dilihat dan dibuktikan dalam makmal. Kesimpulan inilah yang menjadikan mereka atheist. Tetapi walaupun atheist mereka tidak berhenti berbuat baik. Kerana bagi mereka, buat baik itu adalah tanggungjawab sosial. Buat baik itu perlu untuk membolehkan dunia ini kekal dalam keadaan harmoni. 

Kemudian seorang rakan pembaca kongsikan ayat Al Quran ini untuk menjawab soalan, “Apa perlunya saya beragama sedangkan saya juga boleh buat baik tanpa agama?” 

Ayat 39 Surah Annur, 

Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkakannya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkakannya) dan ia tetapi mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalas nya) dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Saya suka ayat ini kerana mengingatkan kita untuk berbuat amal, amal kita itu punya tujuan dan diberi balasan pula.

Satu masalahnya ialah bagaimana menceritakan tentang ayat ini yang tidak percaya pun Al Quran? Ataupun meragui tentang Al Quran?

Apa yang saya tahu tentang atheist ialah mereka ini sangat ego tentang hal ketuhanan. Kerana mereka tiada Tuhan, mereka menjadikan diri sendiri Tuhan. Bukan maksud menyembah diri sendiri. Maksudnya ialah, apa pun masalah yang mereka hadapi, mereka akan selesaikan berdasarkan apa yang ada di sekeliling, dan juga apa yang mereka ada dalam diri mereka sendiri.

Oleh kerana mereka ini super pandai, dalam banyak keadaan mereka boleh keluar dari masalah. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Kalau Profesor lagi bagus sebab mereka ada banyak sumber tenaga, duit, bantuan untuk menolong selesai masalah. Sama juga dengan saintis.

Tetapi sebenarnya, hidup mereka sunyi. Ada masanya mereka seolah tidak larat kerana setiap perkara pun kena bergantung pada diri sendiri. Kalau pun ada isteri/suami, mereka tidak boleh bergantung 24 jam. Ada masa-masa mereka betul-betul sendiri, kekosongan dan kesunyian. Ada bekas atheist mengatakan bahawa, kadang-kadang hidup ini begitu perit sehingga mereka memikirkan untuk ada dahan untuk berpaut. Tetapi ego mereka menghalang mereka untuk memanggil, merayu dan memohon bantuan lebih-lebih lagi kepada Tuhan.

Itulah agaknya ayat yang mengatakan, "Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkakannya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu."

Saya setuju juga dengan ayat rakan pembaca, "orang kafir walaupun berbuat kebaikan, kebaikan mereka tidak akan mendapat balasan Allah kerana tidak didasarkan iman. Kalau bukan kerana Allah, apakah tujuan hidup kita? hidup, buat kebaikan dan kemudian mati?" 

Atheist ada banyak masa mengatakan dia tidak perlu balasan untuk setiap kebaikkan yang dilakukan. Kata atheist, "what for? Saya tak perlu benda-benda itu semua."

Tetapi mereka akan segera mengakui bahawa tidak ada manusia yang sanggup maintain buat baik, tetapi tidak tahu adakah mereka mendapat reward (balasan) atas kebaikkan itu. Memandangkan untuk jadi baik itu lebih susah dari jadi jahat, lebih baik mereka jadi jahat. Tetapi kalau kita tahu bahawa akhir nanti Tuhan akan membalas kebaikkan yang dibuat, manusia akan lebih terdorong berada dalam kebaikkan, walaupun jalannya pahit dan susah. Kerana mereka tidak mencari redha manusia, mereka mencari redha Tuhan.

Yang atheist ni dah tentu boleh maintain buat baik sebab mereka kaya dan pandai. Mereka tidak ada masalah dari sudut kewangan dan harta benda. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang miskin merempat? Sudah tentu menjadi baik itu bukan opsyen, lebih baik mereka mencuri. Benda senang. 

Tetapi ramai sahaja orang susah kekal dalam kebaikkan kerana mereka percaya akan mendapat balasan di akhirnya, balasan yang baik tentunya "ia tetapi mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalas nya) dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya."

Seorang atheist (bekas) menceritakan, sebenarnya menjadi atheist itu perit. Dalam banyak keadaan mereka merasa tersepit. Dalam banyak keadaan mereka mahu berpaut pada "sesuatu". Tetapi mereka tidak mahu berpaut pada Tuhan kerana meruntuhkan ego mereka. Dan mereka letih berbuat baik tanpa tahu dimana pengakhiran buat baik mereka itu. Mereka letih kerana berbuat baik, tetapi persekitaran tidak membantu untuk kekal dalam keadaan baik. Sebab mereka tidak jumpa motivasi dan tujuan untuk itu. Amal baik mereka seperti fatamorgana di panas terik mentari. Bila mereka mendekat, benda yang disangkakan air itu bukan air bahkan bayangan sahaja.

Meskipun berbuat baik akan diberi balasan kebaikkan oleh Tuhan, satu perkara yang selalu kita terlepas pandang. Tuhan tidak perlukan pun kebaikkan yang kita buat itu. Dengan maksud, samada kita solat atau tidak, tidak akan memberi kesan apa-apa pun pada Tuhan. Sama juga samada kita buat baik, kebaikkan itu sedikit pun tidak effect kepada Tuhan.

Tetapi Tuhan kata, kebaikkan yang kita buat itu nantinya akan dikembalikan kepada si pembuatnya. Kebaikkan itu adalah untuk diri kita sendiri. Tetapi kenapa Tuhan tetap kata berbuat baiklah kerana Dia, kerana Tuhan Yang Maha Pengasih itu mahu, "menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya)".

Berbuat baik itu perlu kerana Tuhan, kerana agama, kerana di situlah letaknya kesempurnaan.

Saya belajar semua perkara ini dari dua bekas atheist yang sudah kembali ke jalan Allah. Pada satu masa ketika mereka membaca Al Quran, mereka merasakan Al Quran itu betul-betul bercakap dengan mereka. Menelanjangkan setiap ego dan salah mereka terhadap Tuhan. Meruntuhkan apa yang mereka yakin tentang kebenaran, sedangkan Tuhan itulah Kebenaran. Dalam banyak tempat mereka teresak-esak menangis kerana sedih dan sayu. Kerana mereka telah meninggalkan Tuhan tempat 'berpaut' yang mereka tuju.

Tetapi setelah mereka kembali setiap ayat Al Quran yang dilantunkan dengan bacaan yang indah, mereka mengatakan "seolah-olah mendengar kembali mendengar suara ibu yang lama mereka rindu".


Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK