Thursday, December 05, 2013

FiZi Kir

Baru perasan untuk Fikir dan Zikir berkongsi hujung yang sama. Yang beza hadapannya, iaitu Fi dan juga Zi.

Bagaimana fikir itu boleh menjadi zikir?

Agak susah juga menjawab soalan ini. Tapi saya cuba. Zikir mempunyai maksud yang khas iaitu mengingati. Tetapi kita selalu menghadkan pengertiannya dalam bentuk ibadah. Lepas solat misal kata. Bila kita dapat duduk 10-15 minit menghitung ruas jari atau butir tasbih.  Sambil menyebut-nyebut nama Tuhan Yang Husna, atau lafaz-lafaz memohon ampun dan puji-pujian.

Itu yang sekurang-kurangnya muncul dalam kepala. Tidak dinafikan ia memberikan makna mengingati (zikir) dengan tepat sekali.

Bagaimana fikir boleh menjadi zikir?

Ini bukan soalan khas untuk kita orang yang sudah beragama, tetapi juga untuk mereka yang belum.

Tak susah pun. Zikir maksudnya mengingati. Sebab guna Bahasa Arab kita mengkait hubung dengan soal agama. Fikir bukan soal agama sangat, ia adalah soal kesedaran. Kalau semua orang boleh buat ni, dunia boleh aman.

Fikir yang digalakkan sangat adalah benda paling asas je pun.

Fikir itu boleh jadi benda semudah kita merenung langit yang biru dengan burung-burung melintasi awan dengan gembira.

Boleh jadi melihat banjaran gunung-ganang saujana mata memandang.

Boleh jadi melihat bunga yang begitu ungu warnanya.

Boleh jadi ketika mencicipi manis rasa madu.
Boleh jadi ketika merasa takjub bagaimana banjir di Kuantan dan Kemaman boleh berlaku dalam keadaan yang sangat dahsyat.

Boleh jadi ketika kita memerhatikan bintang-bintang di angkasa.

Boleh jadi ketika mendengar ketawa anak-anak.

Boleh jadi ketika kita merenung mata orang yang kita sayang, sambil berfikir dari mana datangnya rasa kasih yang penuh ini dalam hati?

Senang cerita boleh tengok YouTube lagu Maher Zain, Open Your Eyes.

Boleh jadi ketika menyebut sebutan nama Tuhan dalam zikir sambil guna tasbih kita lalai. Sebab larut dalam khayalan, walau tangan sibuk menghitung butir manik tasbih.

Tapi sekiranya kita ambil masa, merenung langit, melihat haiwan terbang berkumpulan, melihat gunung ganang tersergam, mendengar air hujan turun, melihat pemandangan air terjun dan persekitaran yang luar biasa cantik, melihat matahari terbit dan menerangi alam, melihat bintang-bintang yang begitu banyaknya di angkasa, melihat pelangi yang 7 warnanya….

Kemudian hati kita terdetik, Maha Suci Tuhan yang Menjadikan. Tidaklah Kau jadikan semua ini sia-sia. Itu adalah tanda fikir sudah menjadi zikir.

Apa sahaja yang kita lakukan, fikirkan, selagi ianya membuatkan kita ingat pada Dia, itu sudah menjadi FiZiKir.
Ketika saya cuba menyelesaikan entri ini, sepupu saya yang sedang berada atas kapal menitipkan ini:
"Zikir itu ialah jalan yang tinggi pada mendampingi Allah. Tetapi zikir sukar membawa khasiatnya jika manusia BERZIKIR TANPA BERFIKIR."
"Tidak keterlaluan saya katakan bahawa FIKIR itulah yang membawa Barat datang kepada Islam. Manakala orang Timur pula berbondong-bondong meninggalkan Islam kerana mereka tidak BERFIKIR."

2 comments:

Cik Da said...

Fikir +Zikir = Fizik!

ASaL said...

Memang la belajo Fizik kena Fikir.