Memahami Adam - 1 (Sempena Tahun Baru)
Memahami Adam, adakah akan
membawa kita memahami Hawa? Atau Adam dan Hawa itu sebenarnya sama dari segi
sifat kemanusiaan dan potensi mereka?
Linkungan saya setahun dua ini
aneh sekali. Sangat ke hadapan untuk kerja-kerja sosial, malah mencintai ilmu mana
mereka pergi. Dalam beg pasti ada buku. Ketika bertemu rakan yang lain,
buku-buku akan bertukar tangan untuk sesi pinjam meminjam. Di mulut mereka
adalah pertanyaan bila kita akan mengembara untuk mengutip catatan-catatan
sejarah.
Lingkungan aneh saya ini suka
berranya soalan. Ada beberapa soalan adik yang bertanya tentang Adam. Bila
tarikh Nabi Adam diturunkan ke bumi? Adakah Adam adalah penghuni gua seperti
yang kita visualkan apabila pergi melawat muzium? Adakah manusia dihantar ke
bumi kerana dihukum buat salah atas dosa makan buah larangan?
Sebetulnya saya tidak mempunyai
kelayakan sijil agama, tetapi tetap mereka mahukan pendapat dari saya.
Kerana lingkungan aneh ini, saya
perlu belajar lebih untuk memahami Adam. Menjawab persoalan-persoalan sekitar
Adam, dan membina Adam masa depan seperti yang disyaratkan Tuhan.
Adakah percubaan ini akan
berjaya?
Saya tidak tahu, tetapi kita
boleh mencuba dan berkongsi.
Apabila bercerita tentang Adam,
dalam fikiran kita macam-macam. Imaginasi kita bercampur baur termasuk apa yang
pernah kita dengar dari sumber-sumber agama lain. Bahawa Adam itu telah berdosa
dengan Hawa ketika berada di syurga. Kerana dosa-dosa mereka itu manusia
dicampakkan ke dunia.
Persepsi seperti ini ada ketika
kita membaca cerita-cerita sejarah agama. Atau ketika berbual dengan
rakan-rakan beragama lain. Lalu kita pun jadi terfikir, adakah betul sejarah
Adam begitu?
Apa yang boleh kita jawabkan
kalau ada anak-anak bertanya soalan yang sama? Kita akan melarikan diri dari
menjawab persoalan? Bercerita setakat apa yang kita tahu, atau menyuruh mereka
bertanyakan Ustaz Ustazah di sekolah.
Menanggapi sejarah Adam dari
persepsi bahawa Nabi Adam itu berbuat salah makan buah larangan lalu
dicampakkan ke dunia. Cerita ini bukan dari tradisi Islam, tetapi tetap sampai
ke telinga kita. Sekiranya sampai ke telinga anak-anak, mereka akan membentuk
kepercayaan bahawa asal usul manusia itu berdosa. Manusia pertama Nabi Adam
mewariskan potensi berada dalam keadaan berdosa ini turun temurun. Dalam
tradisi Israeliyat cerita ini disinonimkan dengan dosa warisan. Dosa paling
berat yang pernah terjadi dalam kejadian penciptaan manusia.
Ada bahaya cerita ini
diulang-ulang tanpa menceritakan keseluruhan kisah pohon larangan yang ada
dalam surah Al Baqarah ayat 30 – 39. Kerana manusia Adam itu diciptakan sepenuh
kemuliaan. Kemuliaannyalah yang tidak diceritakan orang lalu kita membentuk
kepercayaan negatif. Kita juga sampai satu tahap meyakini suka atau tidak,
manusia berkecenderungan untuk membuat kesalahan.
Dalam ayat 30 – 39 ada penerangan
tentang
1. Tujuan
Adam diciptakan
2. Apakah
alat yang Tuhan berikan kepada Adam untuk sesuai hidup di muka bumi?
3. Dan
adakah selepas Adam turun, Adam ditinggalkan tanpa petunjuk?
Saya dibesarkan tanpa dikisahkan
oleh ibu dan Ayah tentang Adam dan peranannya sebagai khalifah. Untuk anak-anak
masa depan, saya akan ceritakan begini:
Satu hari Tuhan berkata di
kerajaan langit, satu persidangan yang luar biasa hebatnya. Dihadiri oleh
malaikat-malaikat
“Sesungguhnya AKU akan jadikan
seorang khalifah di muka bumi.”
Ayat ini membawa makna besar.
Tidak ada tanda-tanda bahawa manusia itu dihukum kemudian diturunkan ke bumi.
Kejadian Adam itu sendiri sudah ditentukan tugasannya yang mulia, hebat dan
positif sebagai seorang khalifah. Tidak ada bentuk dosa yang dipalitkan kepada
Adam. Bahawa sungguh-sungguh Adam itu telah ditentukan akan turun ke bumi untuk
menjalankan tugasnya sebagai khaifah.
“Tetapi kenapa ada orang cerita
yang Adam itu ada kecenderungan buat jahat?” Mungkin ada anak-anak yang
bertanya begitu.
Pertanyaan anak-anak tidak salah.
Ramai juga yang menyangka begitu, dan bukan anak-anak sahaja yang bertanya,
malah MALAIKAT pun bertanya. Anak-anak membulatkan mata seolah tidak percaya.
Dalam ayat seterusnya malaikat
bertanyakan, “Mengapa Engkau mahu menjadikan makhluk yang saling berbuat kerosakan
dan bunuh membunuh. Sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji Engkau dan menyucikan
Engkau.”
Lihat betapa benar Malaikat telah
mengenal Adam dengan kecenderungan untuk berbuat kerosakan. Malaikat lebih
dahulu menanyakan dalam bentuk protes bahawa kecenderungan Adam itu merbahaya.
Malah Malaikat juga menyatakan bahawa merekalah makhluk yang aman, akan
sentiasa memuji dan mensucikan Tuhan Yang Menjadikan.
Tetapi dalam potensi Adam yang
negatif ini yang sudah / telah dihidu Malaikat di kerajaan langit, ada yang
membela Adam. Kata Tuhan, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kau tidak
ketahui.”
Dengan maksud, Tuhan Yang
Menjadikan itu tahu apa yang Dia lakukan. Malah pengetahuanNya melebihi apa
yang diketahui sekalian makhluk yang hadir di persidangan langit itu. Sekiranya
seorang makhluk yang akan diciptakan dikenal dengan sifat-sifat yang merosakkan,
kenapa Tuhan masih lagi mempertahankan makhluk ini?
Barangkali itu juga soalan yang
ada di fikiran anak-anak. Malah sebenarnya saya selalu memikirkan benda yang
sama.
Bahawa yang menjadi rahsia itu
adalah, kebaikkan manusia Adam itu sebenarnya lebih besar. Bahawa
manusia-manusia seperti Adam ada waktunya membuat pengorbanan luar biasa. Sifat
pemurah mereka mengatasi apa yang dijangkau pemikiran rasional. Ada manusia
yang miskin kerana pendapatan dari mengayuh beca, tetapi masih tetap sanggup untuk
menderma setiap kali mendapat upah untuk diberikan kepada anak-anak miskin
untuk mereka bisa terus sekolah. Ada yang sudah mempunyai anak yang ramai,
tetapi tetap juga menerima anak-anak tak sah taraf dan yang dibuang, untuk
dijaga dan dipelihara. Supaya mereka tumbuh besar menjadi manusia yang
sempurna.
Dan apabila mengenang sejarah
keNabian dan keluarga mereka, pengorbanan-pengorbanan mereka untuk kebaikkan
manusia dan ummat begitu mencengangkan. Malah mengundang air mata kerana betapa
sanggup mereka meninggalkan segala kesenangan, untuk membolehkan manusia masa
depan menerima syahadah, menjumpai juga jalan kebenaran.
Saya sudah menyaksikan
kebaikkan-kebaikkan manusia yang pada awalnya diragui malaikat ini. Mereka ada
di sekeliling saya, waktu ini, sekarang ini, yang melakukan kebaikkan dan
kemurahan setiap hari walau mereka sendiri kesempitan kewangan, masa, kesihatan
dan kesempatan.
Mereka rakan-rakan saya yang
mengalirkan air mata bila mengenangkan ada anak yatim yang tidak ke sekolah
kerana tidak mempunyai surat beranak kerana ibu mereka juga tidak mempunyai surat
beranak dan sijil nikah. Mereka yang tidak lena tidur kerana sedih kepada
golongan gelandangan yang tidak punya rumah, tidak punya keluarga, tidak punya
bumbung untuk berteduh, merehatkan diri dan membersihkan diri. Mereka yang
tidak tentu makan minum mereka sehari hari.
Di celah-celah kerosakkan ini,
muncul manusia-manusia malaikat yang melayani mereka yang kesempitan tanpa
mengira apa pun. Walau dalam beg duit mereka hanya tinggal beberapa keping nota
satu ringgit.
Barangkali banyak rahsia lain di
sebalik ayat “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kau tidak ketahui.” Rahsia
tentang kebaikkan manusia. Rahsia tentang pengorbanan manusia. Rahsia tentang
pemurah manusia. Yang jarang sekali orang mahu ceritakan di atas kertas dan
suratkhabar, sedangkan mereka ramai di sekeliling kita, malah kita juga
berpontensi menjadi seperti itu juga.
Itu baru memahami Adam dalam ayat
yang satu, Al Baqarah: 30.
Comments