Peristiwa Lewat Malam
Saya selalu rasa teruja bila
hari-hari saya diinsprasi. Boleh sahaja datang dari anak-anak muda seawal usia
19, 20 tahun. Usia Usamah bin Zaid yang ditunjuk Rasulullah untuk menjadi
Jenderal perang. Posisi dalam ketenteraan yang paling hadapan, seorang ketua
untuk semua.
Zaman ini saya melihat segalanya
kembali. Anak muda yang menyedari bahawa usia muda bukan halangan untuk
berbakti.
Minggu ini saya dikunjungi
anak-anak muda yang mahu mendefinisikan makna hidup itu adalah memberi. Itu
menjadikan saya begitu ketinggalan tetapi pada masa yang menyuntik diri saya
untuk tidak terus tertinggal.
Malam yang sepatutnya mereka
berehat kerana berada dalam perjalanan yang jauh dan panjang, mereka memutuskan
untuk berbual-bual. Barangkali saya menjangkakan perbualan santai yang
mengundang tawa. Tetapi saya silap kerana mereka bertanyakan, “apa tujuan hidup
kita ini sebenarnya?”
Satu dua detik berlalu. Muka saya
penuh tanda soal dan mulut ternganga tercengang dalam tempoh itu. Gelas-gelas
di hadapan diambil seorang satu. Tetamu-tetamu saya dahagakan air dan minum. Mereka
memerhatikan saya tidak berkelip mata. Mereka dahagakan jawapan dan saya hanya
mampu duduk diam.
Saya membetulkan duduk lebih
selesa. Perjalanan panjang tersekat dalam kesesakan lalu lintas, malam yang
semakin larut tidak memberikan mereka kesan penat. Saya yang sudah berusia.
Dalam hati mengulang-ulang bismillah, agar saya dapat memberikan perbincangan
bermakna. Padahal esok kami perlu bergerak ke Kuantan awal-awal pagi.
“Saya juga tidak tahu, barangkali
kita perlu kenal diri kita siapa dan kemudian mencari tugas kita atas dunia ini
sebagai apa?”
“Saya banyak kali dengar mengenai
hal tu. Nak kenal Tuhan kena kenal diri sendiri dulu. Tapi saya tidak berapa
faham,” sahabat muda saya memecahkan kebuntuan.
“Man arafa nafsah faqad arafa
rabbah, sesiapa yang mengenal dirinya maka dia akan mengenal Tuhannya,” itu
jawapan pembukaan yang boleh saya berikan.
“Manusia harus mengenal dirinya.
Mungkin kita boleh explore dari awal penciptaan lagi. Manusia yang mempunyai
dua jenis ‘bahan’. Yang pertama adalah tanah liat.”
Rakan-rakan muda memusatkan
pandang ke arah saya. Kami duduk dalam bulatan. Saya sedar malam itu kami sedang
berada dalam bulatan ilmu dan mereka datang dari jauh.
“Tanah liat itu adalah bahan yang
paling rendah. Kalau kita berdiri, tanah liat adalah bahan yang kita pijak.
Sangat hinakan?”
Mereka mengangguk.
“Kita dibentuk dengan jasad
kesempurnaan manusia. Dalam konteks sejarah yang kita tahu sebagai Adam. Dan
perempuan sebagai Hawa. Itu adalah asal kejadian manusia dari tanah yang
dipijak-pijak.”
Mereka meneguk air lagi. Tidak
mengganggu bicara.
“Tetapi kemudian kita diberi
nyawa. Tapi tengok di sini, Tuhan bukan menjadikan kita dari ‘tulang’ atau
‘daging’ Tuhan, saya cuma memberikan gambaran untuk tujuan kita dapat terus
berfikir dan relate. Kemudian manusia itu diberikan nyawa dengan ruhNya. Ini
adalah bahan kedua kejadian kita sebagai manusia.”
Tiba-tiba rakan saya mencelah,
“sebab itu kita tidak boleh melihat cawan sebagai cawan.” Saya sendiri tersentak
dengan ujaan itu. “Boleh terangkan, saya macam tidak faham.”
“Akak tentu masih ingat cerita
dalam Al Quran. Bagaimana Iblis menolak untuk sujud pada Adam. Sebab Iblis
memandang Adam sebagai benda. Sebagai tanah liat yang layak dihinakan. Iblis
tidak melihat Adam dengan satu lagi unsur, iaitu ruh, ruh dari Tuhan.”
“Apa kena mengena dengan cawan.”
Kawan muda itu menyambung, “tidak
kira apa pun bahan, kita perlu melihatnya sepenuh hormat. Dan walaupun
benda-benda tidak bernyawa macam cawan sekalipun, ia tetap dapat membawa kita
mendekati Tuhan.”
Kawan mengangkat cawan, “contoh
cawan ini dalamnya ada air. Air ini dapat menghilangkan dahaga. Kita minum kemudian
kita bertenaga. Dengan tenaga kita boleh solat untuk ingat Tuhan.”
Saya memandang mereka berdua dan
tersenyum. Umur semuda ini saya dapat berbincang dengan dalam dan tanpa jemu.
Berbanding rakan-rakan sepejabat yang berbicara seputar naik pangkat dan mahu
tukar kereta baru.
“Tapi akak, saya masih tidak tahu
apa tujuan tujuan hidup kita ini,” kawan muda seorang lagi pula bersuara.
Suaranya separuh merengek. Tetapi rengekan ini rengekan mahu ilmu.
“Saya pun tak tahu. Tapi
akhir-akhir ini bila menonton ceramah dalam YouTube saya rasa saya boleh beri
jawapan. Mungkin. Tapi jawapan ini mungkin juga boleh dibincangkan.”
Mereka pula membetulkan duduk.
“Itu perlu kembali kepada soalan
seterusnya. Apa tanggungjawab kita kat dunia ini. Secara jelas dalam surah yang
kedua Tuhan sudah beritahu. Iaitu sebagai khalifah. Kalau tak faham, sebagai
wakil. Sebagai apa lagi ya kalau nak lebih faham. Sebagai representative.
Sebagai wakil lah. Contoh bos panggil kita minta kita jadi wakil ke majlis.
Jadi kita sebenarnya membawa nama, pangkat, syarikat bos kita ke majlis
tersebut. Sebagai wakil kita kena jadi apa?”
“Tentulah jadi yang terbaik
kerana mahu menjaga nama bos.” Seorang rakan menjawab.
“Tapi sebelum itu saya tanya,
kenapa bos kita pilih kita sedangkan kita ada ramai lagi rakan sepejabat.
Lebih-lebih lagi kalau syarikat itu besar.”
“Tentulah kerana kita adalah yang
terbaik dan terpercaya. Berbanding dengan orang lain.” Seorang lagi pula
mengemukakan pendapat.
“Kita kena buka mata besar-besar.
Kita dipilih dari segala makhluk yang Allah cipta, termasuk malaikat, dan
lain-lain lagi. Kita inilah manusia yang dicipta dari tanah dan ruhNya yang
Allah lantik sebagai wakil.”
Adik-adik saya itu terdiam dan
ada yang mengangguk. Saya sedar, saya dan dua orang adik itu berkongsi ruh yang
sama. Tetapi saya tidak pasti adakah mereka juga sedar tentang itu. Kami boleh
menjadi rapat dan sedekat ini kerana kami sedang kembali mengingat asal usul
kejadian kami.
“Jadi, sekejap. Saya faham, tapi
masih saya belum dapat jawapan.”
“Tentang apa?” tanya saya
kembali.
“Tujuan kita hidup dalam dunia
ini.”
Saya mencapai handbag. Dalamnya ada
buku 99 nama Tuhan. Saya buka di hadapan mereka.
“Saya tak tahu samada jawapan ini
betul atau tidak. Ini adalah nama-nama Tuhan yang melambangkan attribute Nya.
Attribute itu apa? Sifat kan? Di awal kita kenal Tuhan dengan namaNya Yang Maha
Penyayang. Kerana itu kita sebagai wakilnya juga perlu bersifat penyayang.”
Saya selak lagi beberapa muka
surat kemudian berhenti. “Di sini nama Tuhan Yang Maha Adil, maka kita sebagai
wakilnya perlu bertindak dengan adil seadil-adilnya dalam apa juga keadaan. Ini
nama Tuhan Yang Maha Pengasih, kerana itu kita perlu bersifat pengasih terutama
kepada mereka yang tidak berdaya, miskin, tertindas dan memerlukan. Sama
seperti apa yang korang buat hari ini, yang datang dari jauh kerana hati korang
penuh dengan cinta kasih kepada adik-adik, anak yatim yang memerlukan.”
Mata saya menjadi berkaca. Suara
pun menjadi putus-putus. Tidak sangka perbualan ilmiah begini juga boleh
menjadi begitu beremosi. Saya pandang mereka, mata mereka juga sudah berkaca.
Saya memandang mereka jauh tembus
menuju ruh-ruh yang ada dalam badan. Seperti mana saya yang mempunyai ruh yang
sama. Ia adalah ruh keindahan, rugi saya kerana menyedarinya lewat. Tetapi
tidak terlalu lewat sebelum saya menutup mata. Saya lega kerana telah sampaikan
ini kepada adik-adik yang akan mewarisi Negara dan dunia ini.
“Kita akan diukur sejauh mana
kita berfungsi sebagai Khalifah di akhir nanti kan Kak? Bukan apa yang kita
kumpul sebagai harta dan kebanggaan?”
Saya senyap. Ada benda yang saya
juga tidak tahu dan perlukan masa untuk faham dan menghayati. Tetapi saya akui
apa yang adik saya katakan itu ada banyak benarnya.
“Ya, ramai dan banyak orang telah
lupa. Perhatian kita dialihkan dengan banyak benda. Kerja, anak-anak dan
isteri, kejar kuasa, pangkat, gelar. Sedangkan keluarga juga boleh jadi unsur
paling kuat yang akan dapat melalaikan, tidak masuk yang lain-lain lagi.”
Kami diam. Kawan seorang itu
sudah lama diam. Saya kenal mereka. Diam itu tanda mereka sedang berfikir, dan
mereka berfikir dengan panjang dan dalam.
Semoga Tuhan merahmati bulatan
kecil kami sehingga larut malam. Semoga itu juga dinilai sebagai majlis untuk
ingat kepada Bos kami, yang meminjamkan ruh yang ada dalam badan. Semoga
perbincangan itu juga adalah doa untuk kami terus hidup sebagai wakilNya yang
berada dalam jalan lurus yang diredhai.
******************
Itu apa yang saya dapat ketika
mereka berkunjung hanya dalam beberapa tempoh beberapa jam. Tidak sampai pun 24
jam. Begitu banyak. Ketika saya menulis ini saya sudah berada di KL.
Kesimpulan yang dapat iaitu untuk
menjadi wakil. Dengan mencerminkan sifat-sifat keindahan seperti yang ada pada
nama-namaNya. Semua itu hanya boleh kita buat dengan memberi. Sifat-sifat itu
menganjurkan kita untuk menjadi orang yang memberi, memberi dengan sebanyak-banyaknya.
Bukan menjadi penerima.
Apa maksudnya? Ia menunjukkan
kita perlu menjadi penggerak, sang pelaku. Hari itu kami hanya masuk tidur jam 4 pagi.
Comments