Jelajah

Dahlia tidak bercadang mahu aktif dalam perbualan Paksu dan Makcik Hafsah. Dahlia hanya mahu tekun mendengar. Dia tidak tahu berapa umur Paksu, mungkin sudah menghampiri 70 tahun. Paksu yang sudah tua. Ketika mudanya segak, tampan dan pandai berbahasa Inggeris. Ketika tua masih juga segak walau mempunyai sedikit masalah pendengaran.

Bukan sesuatu yang menghairankan untuk Paksu pandai banyak bahasa asing. Malahan beliau pernah bekerja di pejabat pegawai tadbir diplomat. Pernah bermukim di banyak negara, UK, Amerika Syarikat, Mauritius, Korea. Entah berapa banyak lagi negara yang dijelajah Paksu.

Paksu mengangkat cawan yang berisi coffe late yang dibancuh Mak Usu. "Awak nak tahu cerita cawan Starbucks ni. Cawan ini dibeli di Seattle Washington, kedai pertama untuk franchaise kedai Starbucks. Masa di State, Mak Usu bereya mengajak ke sini bila tahu kedai pertama dibuka. Di sanalah barangan kenang-kenangan dijual. Ada banyak barangan cenderahati dijual. Bukan cawan ini sahaja, tetapi banyak lagi barangan lain. Tapi untuk minum kopi di sana kena beratur panjang." Paksu mengakhiri bicaranya dengan ketawa kecil.

Cerita itu Dahlia tahu lebih ditujukan kepada Makcik Hafsah sekeluarga. Mereka jelas menagih mahu mendengar cerita pertualang Paksu dan Mak Usu di negeri Uncle Sam. Sekali sekala Paksu menoleh untuk mengajak Dahlia turut sama dalam perbualan. Dahlia hanya mampu senyum.

Perjumpaan keluarga itu adalah rutin bulanan. Tujuannya untuk membawa Mak merapatkan talian bersama adik-beradik arwah Ayah yang masih tinggal. Dari lapan orang adik-beradik, hanya empat yang tinggal. Dahlia berada di sana kerana mengambil giliran kerana Abang-abang dan Adik tidak berkelapangan untuk bawa Mak.

"You pergi mana lagi masa di State?" tanya Makcik Hafsah berminat.


"Kami pergi ke Alaska. Tempat yang sangat cantik." Paksu memandang Dahlia, "awak belajar tentang Geologi dan Geografi kan?" Dahlia senyum segaris. Pengetahuannya cuma setakat belajar serba sedikit bukan arif atau ahli.

"Di sana segala tanda kejadian pembentukan bumi boleh dilihat." Paksu bersemangat. Dahlia masih senyum.

Paksu bercerita panjang lebar tentang pergerakkan plat tektonik yang menjadikan gunung ganang, rabung, batuan terlipat bermacam jenis, tsunami, gempa bumi, semuanya. Setiap kali Paksu bercerita, di kepala Dahlia sudah divisualkan secara jelas dalam kotak kepala Dahlia. Seperti dokumentari National Geographic. Tinggal lagi hanya Dahlia yang melihat, orang lain tidak.

Makcik Hafsah yang lembut itu menegur, "You pergilah travel, boleh tengok negara orang. Pergi travel, banyak boleh belajar."

Dahlia angguk-angguk. 

"Makcik yang dah tua ni pun teringin nak pergi. Kalau ada kesempatan, Makcik nak jelajah sampai ke Alaska." Dahlia senyum ikhlas kepada Makcik Hafsah. Makcik Hafsah juga mungkin sudah mahu masuk 70 tahun. Tapi Dahlia masih tidak bernafsu. Bukan dia tidak suka untuk melihat persekitaran lain, memahami budaya lain, mengenali orang lain, paling penting melihat rahsia alam dengan mata kepala sendiri.

Balik rumah, Mak terbaring sepanjang petang. Kekenyangan makan hidangan lazat, serta berjalan keluar mengambil tenaga Mak dengan banyak. Walau aktiviti luar adalah aktiviti yang ditunggu dan menggembirakan hati Mak.

Dahlia menekan siaran 801 HyppTV. Adik telah membeli filem The Secret Life of Walter Mitty. Masa tayangan hanya selama 48 jam. Rugi jika tidak menonton. Aneh sekali. Filem Walter Mitty juga adalah tentang perjalanan, jelajah, menghirup udara lain dari tempat sendiri. Kebetulan? Dahlia tidak percaya kebetulan.

Dahlia meneka-meneka dalam benak. Apa perlunya pergi berpetualang ke negeri orang? Apa pencarian yang dicari dari aktiviti yang memakan masa, tenaga, wang dan banyak lagi? Seperti Walter Mitty, kerana terdesak baru dia tergerak untuk melihat dunia yang lebih besar dari jabatan kerjanya di Majalah Life. Malah itu yang diimpikan sejak kecil. Hanya kerana ayah Walter Mitty meninggal awal, dia terpaksa bekerja demi untuk kesenangan ibu dan adik perempuan.

Ada satu perkara lebih besar di fikiran Dahlia. Telah lama Dahlia mendengar tentang Paksu, tentang kritikal pemikiran Paksu terhadap hadith. Mungkin Paksu orang yang menyokong Kassim Ahmad, Dahlia pernah mendengar kata-kata orang sampai ke tahap itu. Juga beberapa penilaian Dahlia terhadap Paksu, seperti Paksu tidak akan memberi salam ketika mengetuk pintu rumahnya melainkan dengan sapaan, hello.

Tapi jauh di sudut hati, Dahlia memang iri apabila Paksu bercerita tentang Alaska. Tentang alam sekelilingnya yang memukau. Tentang setiap sudut inci Alaska adalah cerita tentang pembentukan bumi. Tentang bukti sejarah zaman sebelum Jurassic, tetang zaman ber'aeon' lampau yang menghampiri titik pertama bumi mengambil bentuknya sebagai sebuah sfera yang terapung di galaksi Bima Sakti. Seperti boleh melihat alam dan memikirkannya di titik pertama 'Big Bang' bermula. 

Dahlia cemburu benar.

Ketika Paksu bercerita, di kotak fikir Dahlia sudah terbentuk setiap lapis gunung ganang yang berlapis-lapis dan berlainan warna. Tebalnya juga berbeza. Garis lapisnya juga berbeza. Ada yang melintang. Ada yang beralun-alun. Malah alun-alun itu juga mempunyai kecondongan berbesa-beza. Ada yang garis bersimpang-simpang. Rabung yang cantik seperti Grand Canyon, pemandangan banjaran gunung berapi saujana mata memandang gunung-gunung yang dihiasi tanah rata lembah yang cantik dan subur seperti di Iceland, di kawasan Eyjafjallajokul.


Semua itu terbentuk ketika Paksu mula bercerita. Jelas di kotak kepala. Jelas sehingga Dahlia boleh mengira jumlah tenaga yang terbebas sekiranya hanya satu gerakan pertemuan plat tektonik berlaku di atas muka bumi. Jelas sehingga Dahlia boleh mengagak jenis batuan yang terbentuk sekiranya gunung ganang di angkat ke permukaan. Jelas sehingga Dahlia tahu jenis tumbuhan apa yang boleh hidup di balik rekahan gunung berapi di Hawaii. 

Tetapi untuk waktu terdekat ini, walau seluruh sukmanya mendesak untuk menyandang beg backpack 50 liter yang dibelinya 3 bulan lalu dan menggesa berjalan melihat dunia, Dahlia akan tahan. 

Dunia Dahlia kini adalah Mak yang juga sudah masuk 70 tahun. Mak yang tidak sesegak Paksu atau sekurang-kurangnya sesihat Makcik Hafsah. Mak yang sudah menjalani 3 kali pembedahan di tulang belakang, di kedua-dua lutut kiri dan kanan. Mak yang begitu mudah hilang tenaga sekiranya digunakan untuk membuat kerja-kerja ringan di rumah. Dunia Dahlia kini Mak. Yang Dahlia rasa sangat gembira walau hanya dapat memasak makanan ringkas yang buat Mak kenyang dan boleh menunaikan ibadah.

Selesai menonton Walter Mitty Dahlia teringat seorang kawan yang bertanya dalam Facebook, "kenapa galaksi ini terlalu besar sehingga kita tak tahu di mana penghujungnya?"

Jawab Dahlia penuh kesedaran, "supaya mereka yang tidak menjumpai Tuhan dalam Al Quran, boleh menjumpaiNya dengan memerhatikan alam."

Dahlia cemburu Paksu dan jauh dari sudut hatinya ada juga doa dan simpati. Harapnya satu hari, Paksu juga menjumpai Kebesaran dari petualang di pelbagai negera yang Tuhan tunjukkan bukti kejadian, yang telah Paksu jejaki.

Dahlia teringat Surah Labah-labah ayat 20. Tuhan juga menyuruh kita berpetualang. Bagi mereka yang belum percaya, bagi mereka yang masih tidak yakin, bumi ini ada Tuan Pembuatnya.


Comments

Fahmi Kashfi said…
Nice! Nafsu nak travel dah hilang sebab duit takda :(
ASaL said…
Ok, kena formualate. ada duit tak de nafsu berjalan pun susah juga. Kena cari motip yang mantap untuk memulakan semula kembara. hohoho.

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?