Aku Perempuan - 1
Perempuan, perkataannya sahaja ada nilai negatif pada telinga yang mendengar. Sejak dulu, cerita banyak memperihalkan unsur jahat dan pengaruh jahat yang boleh diberikan oleh seorang perempuan. Naratif ini tidak berlangsung kepada cerita rakyat sahaja, malah boleh dijumpai sejak awal melalui cerita-cerita agama.
Perempuan adalah pemikat dan seducer (penggoda) yang licik. Pengaruhnya boleh menyebabkan lelaki jatuh dari kemuliaan 'syurga' ke kehinaan 'dunia'. Itu cerita yang ada dalam kepala, dalam masyarakat, dalam minda tidak sedar semua orang. Hal ini yang mempengaruhi setiap orang, baik dia lelaki mahupun dia seorang perempuan.
Perempuan, merasa dirinya dilingkari benda hitam sejak lahir.
Perempuan, dengan tanda lahir yang tidak terlihat oleh kasad mata, tapi sangat terzahir dalam pemikiran semua manusia.
Aku, disebalik momokan ini tidak mahu percaya bahawa cerita yang begitu merendahkan perempuan itu benar. Kerana begitu ramai orang meriwayatkan terutama dari mereka yang berautoriti, cerita ini diimani oleh majoriti orang. Kerana cerita-cerita ini, perempuan sejak dari azali dipandang bias kerana mempunyai naluri untuk menggoda ke arah pengingkaran kepada suruhan Tuhan.
Aku tidak punya naluri menggoda. Apatah lagi untuk ingkar pada suruhan Sang Pencipta. Sekurang-kurangnya sewaktu pemikiranku sihat dan berada dalam landasan.
Aku tidak mungkin boleh menerima bahawa fitrah kejadian seorang perempuan itu begitu negatif. Malah, pemikiran negatif ini tidak pernah berubah jernih walau berapa kurun sudah berlalu. Atau lebih adil cakap, sejak dunia mengenal manusia. Sejak manusia berupaya menjaja-jaja cerita tradisi yang berlaku di alam 'syurga'. Gossip paling agung sejak zaman berzaman yang menyebabkan perempuan memiliki dua benjolan di dada dan lelaki satu benjolan di lehernya.
Aku, dalam segala kesulitan tradisi dan periwayatan berzaman ini tidak mahu percaya. Kerana wanita itu indah dari setiap inci kejadiannya. Wanita itu sangat indah kerana punya rahim (yang mengambil dari nama Tuhan, Ar Rahman Ar Rahim), menempatkan makhluk terindah iaitu bayi yang akhir nanti menjadi manusia berakal.
Cukup berakal untuk menjadi penurut, juga cukup berakal untuk jadi penderhaka.
Tiada yang lebih indah dari seorang bayi. Baunya, bau syurga. Senyumnya penawar dan luka, tangisnya juga penawar dan luka. Dan disebalik semua yang bayi lakukan atas ketidakberdayaan dia, perempuan tetap juga menumpahkan cinta sepenuh-penuhnya. Sayang yang melimpah. Mahu melindungi walau jasad berkalang tanah.
Perempuan yang punya rahim dan sangat penyayang itu tidak mungkin punya tanda lahir yang hitam. Kecuali ada manusia lain yang mencucuhkan putung atau bara api di tubuhnya, sehingga menjadi tanda yang tidak dapat di cuci massa.
Aku, mencari seorang pelindung dan pencerah yang mencuci bersih palit hitam ditubuh perempuan. Aku mencari dalam terang dan diam. Dalam dendam dan penuh harapan. Aku tetap sahaja mencari.
Kerana ibuku seorang perempuan. Kerana kakak dan adikku perempuan. Kerana garis legasiku perempuan.
Aku mencari pencerah dari wajah pencerah. Nabi. Muhammad. Yang terpuji.
Aku mencari perempuan dicerah wajah Nabi. Perempuan-perempuan yang membuat hati Nabi penuh dan dilimpahi kegembiraan cinta. Yang galau kerana kehilangan. Yang terus merindu meski berkalang tanah. Yang air mata masih tumpah kerana rindu menjentik rasa. Wanita-wanita itu, seperti Khadijah dan Siti Fatimah.
Aku mahu memahami wanita-wanita Nabi. Kedudukan mereka dijamin syurga. Kehebatan dan pengesahan tempat mereka di syurga begitu mengujakan. Malah mereka adalah yang ulung, yang terutama, penghulu wanita di sana.
Tetapi, sebalik tinggi martabat, sejarah mereka tidak dibicarakan. Malah ada yang ditutup-tutup supaya umum tidak tahu. Entah kenapa. Sejarah yang mahu dibicarakan juga dipilih-pilih. Menjadikan kita terfikir, Fatimah dan Khadijah cuma berfungsi sekitar keperluan domestik, tidak untuk menjungkar balik tradisi yang bias (memihak) kepada dominasi maskulin lelaki.
Ini bukan bicara feminis, tetapi bicara tentang pelanggaran hak-hak wanita. Sebelum mula bicara pun, wanita sudah menerima tempias bias atas dari cerita zaman berzaman yang tidak dikaji kesahihannya. Iaitu perempuan adalah unsur hitam yang boleh merendahkan kemuliaan martabat seorang lelaki.
Sejarah pernah mencatat bahawa wanita itu punya potensi lebih dari fungsi asas dalam hal rumahtangga. Di Acheh, ada 4 orang Sultan perempuan yang pernah memerintah negerinya. Zaman yang penuh kegemilangan itu adalah zaman di mana penghayatan terhadap Islam begitu di tahap puncak dan asli. Tidak hanya Sultan, malah jawatan tinggi seperti Admiral perang juga pernah dijawat oleh perempuan.
Aku hampir tidak percaya fakta sejarah ini. Tetapi sejarah tidak menipu. Perempuan itu dalam wujud fitrahnya sama seperti orang lain. Seperti kain putih tanpa calit dosa dan warna. Punya potensi besar tiada had.
Aku mencari hakikat perempuan di lipatan sejarah.
Perempuan yang layak dikasihi dan dicintai.
Seperti perempuan di cerah wajah Nabi. Seperti perempuan yang wujud refleksi dirinya di mata cinta Nabi.
Comments