Nilai Baik yang boleh Membeli

9.

Tadi, masa makan dengan Adik dan Anak-anak Buah, seorang promoter perempuan datang dekat dan memperkenalkan satu judul buku. Buku yang dijual berkulit keras, kelihatan menarik jika dibuat koleksi. Ya, saya peminat buku.

Sebagaimana promoter yang lain, paling sukar adalah untuk mendapat perhatian pelanggan untuk mendengar apa yang ditawarkan. Pembeli dibiasakan untuk pergi ke kedai atau tawaran atas talian jika mahu sesuatu. Bukan beli dari penjual yang datang.

Saya lihat remaja perempuan ini dengan kagum. Keberanian dan keyakinan untuk memperkenalkan sebuah buku kepada pelanggan yang memikat hati saya. Siapa yang mahu membeli di zaman gawat begini? Jika tugas ini diberikan kepada saya, belum tentu boleh saya laksanakan.

Tidak sampai lima minit, saya sudah bersetuju untuk membeli buku dan juga DVD yang ditawarkan.

Pertama, remaja perempuan itu bertemu dengan orang yang tepat. Buku punya tempat istimewa di hati saya.

Dua, saya ingin membuat kebaikkan kepada remaja tersebut dengan meminjamkan sokongan dan perhatian.

Ketiga, remaja tersebut menjual produk, bukan memohon simpati, sumbangan.

Empat, di hadapan saya dua anak kecil yang belum tahu apa-apa. Saya cuma mahu nyatakan kepada anak-anak kecil ini bahawa melabur buku tidak pernah sia-sia. Boleh dibaca, disimpan, dikongsi dan nanti diwariskan.

Setelah memberikan duit, remaja tersebut mencari sesuatu dalam dompet. Tiada duit baki yang boleh dipulangkan kepada saya. Dia meninggalkan semua barang jualan di kerusi berhampiran, minta izin untuk mencari baki di kedai-kedai.

Adik ipar saya memandang hairan. Macamana dia boleh meninggalkan semua barang, yakin yang kami tidak akan khianat. Tapi bagi saya, adalah lagi hairan lagi kalau dia mengambil duit tanpa memberi jaminan yang dia akan kembali.

Setelah beberapa lama, dia kembali. Dengan wajah berseri. Pulangan RM5 disertai dengan doa-doa kebaikkan, manfaat yang banyak dari buku, dan semoga anak-anak kecil diberikan kebaikkan ilmu.

Saya tidak bersimpati kepada remaja tersebut. Hanya kagum. Yang sedang dibuat sekarang ini adalah membina keyakinan berhadapan dengan orang. Memperkukuhkan hati dengan mendengar dan menerima penolakan. Terbuka dengan orang asing. Amanah terhadap tugas. Melancarkan tutur kata dengan komunikasi berkesan. Belajar menyelesaikan masalah apabila berhadapan dengan kemungkinan tidak dijangka, seperti tidak ada baki di dompet.

Nampak seperti norma (common sense). Sungguhpun norma, tetapi ramai juga tidak dapat menghadapi jika tidak pernah mengalami. Kena ada praktis langsung.

Semua kemahiran yang saya lihat depan mata dalam waktu beberapa detik itu perlu kepada remaja, dan yang paling penting kemahuan diri untuk berdikari.

Ini mengingatkan saya kepada satu cerita.

Satu hari seorang abang membawa adik berjalan di kedai. Satu ketika adik tertinggal di belakang. Adik dengan penuh khusyuk merenung patung mainan di sebuah kedai. Abang tersebut mungkin berumur 9 atau 10 tahun melihat adik dengan penuh prihatin. Kemudian bertanya sekiranya adiknya memerlukan sesuatu.

Adik dengan penuh harapan mengatakan dia suka kepada anak patung tersebut. Si Abang, walaupun masih kecil namun matang membawa adik masuk ke kedai. Adik mengambil anak patung dengan suka hati. Di kejauhan, pemilik kedai yang bermurah hati melihat segala-galanya penuh minat. Di sebelah pemilik adalah pekerjanya.

Si Abang bertanya kepada pemilik kedai berapa harga anak patung tersebut. Pemilik kedai dengan bijak membalas, “berapa yang awak ada untuk membayarnya?”

Si Abang dengan penuh yakin mengeluarkan sesuatu dari poket seluar. Ada 8 buah kulit kerang yang dikutip di pantai diletakkan atas kaunter.

Si Abang bertanya, “Adakah masih kurang jika saya memberikan semua ini?”

Pemilik kedai menjawab, “sebenarnya sudah lebih. Ambil yang semula yang empat ini, saya akan ambil empat sahaja.”

Wajah Abang penuh cahaya. Keluar dari kedai bersama Adik dengan girang.

Pekerja memandang pemilik kedai penuh hairan. “Kenapa Tuan menjualkan anak patung yang mahal dengan kulit kerang?”

“Bagi kebanyakkan kita, ini hanyalah kulit kerang. Tetapi bagi Abang tu, kulit kerang ini adalah benda berharga. Kerana itu dia penuh yakin menyerahkan kepada saya.”

“Tuan sungguh baik hati.”

“Saya mahu menerapkan nilai kebaikkan, itu sahaja. Entah bila lagi saya akan berjumpa dia. Tetapi saya percaya bila Abang besar nanti, dia akan teringat peristiwa ini. Peristiwa yang dia pernah membeli anak patung dengan adiknya dengan kulit kerang atas dasar prihatin seorang pekedai. Dan ini akan mendorongnya untuk menjadi baik. Dan boleh jadi dari Abang akan muncul sumber kebaikkan yang lainnya untuk masyarakat pula. Bukankah sejak mula niat Abang itu baik kerana mahu menggembirakan adiknya?”

Kerang itu bukan nilai patung mainan, tetapi nilainya terletak pada kebaikkan dan perjuangan untuk menggembirakan adik semampu usaha yang boleh dilakukan Abang.

Juga mengingatkan rakan saya di Rumah Warga Prihatin (RWP) Kajang. RWP mengajarkan anak-anak mereka secara praktis semua kemahiran ini, berterusan. Mereka mengajarkan anak-anak bagaimana menyambut tetamu di rumah keraian pengantin, seperti memayungi tetamu dan membesarkan hati mereka dengan senyuman yang ikhlas. Dari gambar, kelihatan mereka tidak canggung, malah gembira tidak selindung.

Kebaikkan tiada nilaian wang.

Dari kebaikkan itu akan datang keberkatan.

Keberkatan datang dalam bentuk misteri dan ghaib.

Boleh jadi kita tidak akan pernah melihat keberkatan muncul dalam bentuk fizikal di depan mata, ia cuma dapat dirasai dengan jiwa, dan buah dari semua itu adalah ketenangan sukma.




AA
Pengumpul batuan dan cerita

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK