Parenting MJ #1

Ini salah satu buku yang disarankan oleh seorang rakan yang pernah menjadi warden asrama dan juga membuat kerja sukarelawan di rumah kebajikan. Oleh kerana zaman ini cabaran pelbagai, dalam menangani anak zaman berlainan generasi pun perlu ilmu, perlu seninya. 

Saya memilih buku ini yang ditulis oleh Adele Faber & Elaine Mazlish, diterjemahkan oleh Penerbit PTS dalam Bahasa Melayu untuk diamalkan ketika bersama anak-anak saudara, remaja dan juga pelajar-pelajar. Buku ini juga boleh membantu dalam banyak segi, terutama komunikasi dan menangani konflik kanak-kanak.


Jangan salah faham, bila saya menulis tentang buku kuning ini (senang sembang dengan kawan bila sebut buku kuning), bukan bermaksud buku ini paling bagus. Buku 'parenting' memang banyak di pasaran, pilihlah mana satu pasti memberi manfaat dengan syarat baca, latih dan amalkan.

Kenapa buku kuning ini?

Buku ini menawarkan solusi dari sudut pratikal dengan bahasa mudah. Kata kuncinya: praktikal. 'How to.' Berbanding teori dan konsep, penulis menganjurkan kita untuk memperbaiki teknik komunikasi yang boleh diaplikasi terus selepas membaca.

Pernah berhadapan dengan situasi anak tak habis meminta sesuatu, selagi tidak dapat anak akan merengek dan meminta-minta. Contohnya mainan yang disukai, gelas berwarna hijau yang menjadi kegemaran, baju kegemaran, aiskrim dan sebagainya. 

Puas pujuk tapi mereka masih lagi menuntut. Pernah?

Husaini, anak saudara berusia 3 tahun pernah minta untuk pergi ke taman permainan di waktu malam. Dia mahu main buaian. Ketika bersiar-siar dalam kereta, Husaini menunjuk ke arah taman permainan. Asal sahaja lewat 'playground' Husaini menuntut nak main buaian.

Dalam kereta, saya memujuk Husaini dengan mengatakan bahawa hari telah malam. Tiada orang yang bermain di waktu malam di 'playground'. Sampai rumah, Husaini masih lagi teringat tentang buaian.

Dalam buku ini ada satu teknik iaitu memberi bayangan untuk menghilangkan keinginan (yang teramat sangat) anak-anak. 

Saya mula mengeluarkan buku kecil dalam beg dan melukis. Mula-mula lukis buaian, kemudian melukis budak di atas buaian. Lepas lukis buaian saya tanyakan Husaini,


MJ: What is this?
Husaini: Swing

Lepas siap budak duduk di atas buaian, saya tanya lagi

MJ: Who is this? Is this Abang?

Husaini melihat gambar tersebut sambil tersenyum.

Husaini: (sambil menunjuk kepada dirinya sendiri), Abang.

Saya pun mula mengangkat gambar dan mengoyang-goyang seperti buaian bergerak. Husaini kemudian mengambil gambar tersebut kemudian Husaini pula mengoyangkan seperti gerakan buaian. Selepas beberapa minit, Husaini sudah boleh tersenyum dan mengalihkan perhatian untuk bermain dengan permainan lain yang banyak dalam kotak mainannya. 

Husaini sudah tidak menuntut untuk bermain buaian di taman permainan lagi. (Malam sudah anak oiii.)

OK. Teknik ini berkesan juga. Terima kasih penulis buku kuning. Ilmu baru yang senang diamal.

Ingin mempelajari lagi? Boleh beli buku ini dan baca.

Ada masa dan rezeki saya tulis lagi.





#Nota penulis:

Ada satu hal yang membuatkan saya percaya teknik ini berkesan. Ini juga berlaku kepada individu dewasa seperti kita. Ada banyak benda yang kita mahu, tetapi selalu juga tidak dapat di alam realiti. Atas banyak kekangan, mungkin kewangan, mungkin sebab musibah. Keinginan itu kadang-kadang bersangatan, menjadikan kita resah dan terlalu berfikir tentangnya. 

Sehinggalah satu hari, Tuhan mendatangkan mimpi yang kita telah mendapatkannya. Contohnya, keinginan untuk berziarah ke Mekah, keinginan untuk melepaskan rindu kepada arwah Ayah dan lain-lain lagi.

Bangun dari tidur setelah mengalami mimpi yang seperti kenyataan itu, selalunya kita akan tersenyum. Rasa rindu terubat, rasa puas hati dan kelegaan yang tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Seperti benar berlaku. Seperti benar kita melewati jalan-jalan di Mekah dan betul-betul berada di hadapan Kaabah. Seperti Ayah benar-benar hadir menghadiahkan senyum untuk kita walaupun dalam mimpi Ayah tidak berkata-kata. 

Tentang mimpi telah pun dikupas secara ilmiah oleh Imran Nazar Hosein, dalam bukunya Dream in Islam. Salah satu fungsi dalam mimpi ialah anugerah Tuhan untuk meredakan keinginan hambaNya.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK