I HAVE A DREAM
I have a dream, a fantasy
To help me through, reality
And my destination makes it worth a while
Pushing to the darkness still another mile
(ABBA : I have a dream)
Saya mengajak beberapa rakan baik lawan bicara mengenai hakikat mimpi. Dua soalan, adakah ia permainan tidur, atau memang berlaku di kerajaan langit yang tidak diketahui lapis ke berapa dan jika kita berpapasan dengan orang yang kita kenal, adakah kita menemuinya secara nyata?. Salah seorang kawan saya menjawab, ianya bergantung. Tapi tidaklah diterangkan lebih lanjut. Seorang lagi tidak pasti.
Sama seperti lirik lagu Abba, yang selamanya hijau (evergreen), akhir-akhir ini entah mengapa saya mahu menganggap mimpi itu sangat penting. Baik mimpi dalam difinisinya yang sebenar iaitu mimpi yang dialami ketika tidur, atau mimpi yang sering juga difahami sebagai impian.
Untuk menjelaskan yang pertama, amati ayat Quran ini, “Allah memegang jiwa ketika matinya dan jiwa yang belum mati di waktu tidurnya. Maka Dia tahanlah jiwa yang telah dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir”. (Az-Zumar:42).
Saya percaya kita tidak mampu untuk mengingat semua mimpi yang berlaku dalam tidur saban malam. Berapa kali kita mimpi pun kita tidak mampu untuk menentukannya. Sebab itu hakikat mimpi ini masih lagi menjadi misteri dan tidak hairan manusia berhasrat untuk dapat merakam mimpi seperti yang digambarkan dalam filem Final Fantasy: The Spirit Within dan juga Star Wars: Revenge of the Sith. Kenapa saya mahu menganggapnya penting? Lebih-lebih lagi jika mimpi yang menggembirakan. Kerana saya percaya ianya bertujuan. Dan mengetahui ayat Quran yang hebat ini, membuatkan hati saya lebih gembira. Kerana waktu tidur, fizik saya di atas katil tapi jiwa saya bersama Tuhan. Mengetahui sahaja membuat saya merasa terlalu kerdil dan hina, tapi pada masa yang sama sangat gembira. Walau saya tidak pasti mengenai hakikat sebenar, tapi sudut spiritual saya selalu mahu percaya bahawa tidur adalah peralihan ke kerajaan langit. Mungkin sahaja ketika berpapas-papasan di alam mimpi, sebenarnya kita bertemu secara hakikat. Bukankah seronok seperti itu? Mungkin terjawab misteri mengapa kita rasa terlalu penat jika bermimpi berlari atau melakukan kerja-kerja berat. Begitu juga jatuh, sesungguhnya kita benar-benar percaya bahawa kita telah terjatuh. Dalam sekian banyak impian, saya selalu mahu terbang. Rupa-rupanya dalam tidak sedar saya sudah pun terbang. Mimpi-mimpi saya yang menggembirakan, telah menjadi azimat tidak terbanding.
Untuk menjelaskan yang kedua, dengan impian sahaja manusia punya rasa hidup terpandu dan bertujuan. Memberi makna pada hari-harinya. Sama seperti ritual yang dibuat setiap awal tahun Masihi, tahun Hijrah, menanam impian dan azam. Dengan hasrat, agar segalanya terpenuhi sebelum tahun baru menjengah lagi. Mungkin ada benarnya juga lirik lagu Abba.
Tapi sekarang, cukup sahaja dengan hakikat mimpi yang diceritakan Quran, saya menunggu malam dengan mimpi yang indah-indah.
Rindukan saya, tapi kita berjauhan? Saya menunggu kamu di kerajaan langit. Eh,bukan! Tunggu sahaja di situ, saya akan terbang menemanimu, kerana, saya juga rindu.
Comments