Hari Raya-Hari Membesarkan Tuhan
Apakah hari raya? Memori mengingatkan tentang pakaian baru, juadah istimewa, rumah yang perlu dihias, kuih muih dan ziarah menziarahi.
Hari Raya adalah mercu tanda, sebuah perjalanan ibadah yang agung demi Tuhan. 2 hari raya, Eid Fitri dan Eid Adha, kedua-duanya hanya akan disambut dalam menifestasi kemenangan, seorang hamba mematuhi perintah TuhanNya. Yang pertama, penyempurnaan ibadah puasa di bulan Ramadhan selama sebulan, dan yang kedua melaksanakan korban agung demiNya.
Mungkin tiada ramai yang tahu atau tidak perasaan, menyambut Raya sebenarnya bererti membesarkan Tuhan Yang Maha Agung. Takbir raya itulah pertama, sebagai zinaat (perhiasan) yang menandakan bahawa hari ini hari yang lain. Hari ini hari kemenangan. Hari ini hari berdemonstrasi secara terbuka. Demonstrasi bahawa Allah tujuan hidup dan mati, Allah tujuan penciptaan, Allah yang memenangkan, menolong hamba-hambaNya.
Dari makna takbir raya, dengan terang-terang mengumumkan pada khalayak dunia, bahawa:
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar segala puji hanya untuk Allah, Allah Maha Besar dan Maha Agong, segala puji sebanyak-banyaknya untuk Allah, Maha Suci Allah untuk pagi dan petang, Tiada Tuhan Melainkan Allah, Tiada yang kami sembah melainkan Allah, Kami mengikhlaskan diri untukNya agamaNya, Walau orang-orang kafir membenci, Tiada Tuhan melainkan Allah yang Satu, Yang benar janjiNya, Dan mengurniakan kemenangan kepada hambaNya, Dan mengusir tentera musuhNya dan hazam al ahzab , Tiada Tuhan melainkan Allah Maha Besar, Segala Puji hanya untuk Allah.
Ya ini hari kemenangan. Di saat melantunkan takbir, musuh Allah sedang bergelut dalam keruntuhan ekonomi kapitalis yang mereka cipta. Bailout USD700 billion diperlukan. Angka itu di Malaysia mencapai bacaan sehingga trillion ringgit Malaysia. Jika dikumpulkan harta 400 orang terkaya di dalam dunia, juga tidak mampu untuk menyediakan jumlah USD700 billion itu. Kegagalan ini sangat memalukan Amerika. Negara yang punya banyak pemenang anugerah Nobel dalam ekonomi juga tumbang, dan tumbangnya di atas batu yang keras pejal terus masuk terperosok ke teras bumi. Ideologi yang sangka mereka kebal kekal sepanjang zaman dengan tidak disangka-sangka menyembah bumi.
Lama sebelum itu komunis juga telah gugur. Imperialisme juga telah berakhir. Lantas tidakkah benar Takbir Hari Raya yang diucapkan berulang-ulang menyambut Eidulfitri ini?
Meski Allah telah mengalahkan musuhNya dengan keadaan paling magis iaitu runtuhnya ekonomi kapitalis, akan ada apakah dengan kita?
Masihkah kita tetap berkiblat bahawa hanya ideologi ciptaan manusia yang boleh menggerakkan? Sosialis, revolusi, demokrasi, nasionalisme, faham kebangsaan, perkauman segalanya akan menyembah jatuh satu persatu terperosok ke dalam bumi. Jika kita sangka ideologi manusia yang membawa kita keluar sehingga dapat mengecapi kemodenan dan kemajuan, timbang-timbangkanlah sendiri.
Kemajuan yang kita capai cuma dapat memudahkan sarana. Seperti manusia zaman batu, menjumpai kaedah untuk mengasah batu lalu dapat dijadikan senjata. Seperti zaman kita sekarang, tidak perlu lagi memerah santan, beli sahaja yang siap diperah menggunakan mesin. Tetapi meski ada santan yang diperolehi secara mudah, ibu-ibu zaman sekarang ini tetap juga tidak memasak. Lebih mudah mengkontrakkan secara borang kepada kedai dan penjaja, kalau lebih tinggi tarafnya dengan menggaji tukang masak. Untuk hari raya dan kenduri catering sahaja. Maka kalimah orang dapur, orang yang menyediakan rezeki untuk seisi rumah tidak relevan lagi. Dan lebih malang meski ada segala kemudahan, ibu-ibu tetap juga tidak berkesempatan menyempurna terawih di malam Ramadhan yang akhir dan kadangkala tidak juga bersolat Eid bersama-sama.
Teknologi tercipta hanya memudahkan kehidupan sebagai manusia. Tetapi tidak menjadikan manusia itu lebih manusia. Tidak menjadikan ibu itu lebih ibu. Tidak menjadikan lelaki lebih lelaki. Tidak menjadikan anak-anak lebih hormat orang tua. Malah dengan kemudahan lebih menjauhkan dari tujuan ciptaan, sehingga mereka lupa bahawa mereka itu diciptakan bertujuan, bukan dihidupkan tanpa tujuan. Kerana teknologi yang tercipta dan diterima bulat-bulat, tidak natural sifatnya. Ia didalangi oleh pencipta ideologi seperti kapitalis dan materialis untuk segelintir orang bijak mendapat untung atas kejahilan majoriti orang. Pencipta ideologi ini terang-terangan menolak Tuhan, apatah lagi mengharap mereka mempercayai bahawa hukum Tuhan yang paling baik dan melestari kehidupan. Kerana mereka tidak pernah tahu tentang ayat yang termaktub dalam Quran;
Andai kita tidak pernah belajar dengan apa yang pernah menimpa dunia melalui sejarahnya, kita juga sedang merintis jalan yang sama. Jalan untuk menjunam masuk ke dalam gaung.
Ummat ini sejarahnya Takbir, Membesarkan Allah. Kerana itu Nabi berhijrah. Tiada kompromi. Allah diAgungkan mutlak kerana keAgunganNya tanpa sekutu. Allah diAgungkan tanpa sepincing rasa ragu pada syariat yang ditetapkan, juga tanpa sekutu. Segala-galanya Dialah yang Ahad, Sa, tanpa sekutu. Yang menggerakkan dan menjamin survival dunia dan akhirat, hanyalah tauhid. Dengan iman dan Islam, dengan membesarkan Tuhan. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Segala Pujian hanya untuk Allah.
Sudahkah kita belajar dari Takbir Hari Raya?
Comments