Musibah
Kawan saya, seorang Abang terlibat dalam kemalangan. Serius.
Akhi saya itu, berjalan malam untuk menghantar anak tiga orang ke stesen keretapi kerana bersekolah di Kelantan.
Pada malam yang malang itu, Akhi sekeluarga menaiki kereta bersama isteri dan enam orang anak.
Akhi saya, bukan orang yang minat pada kereta. Juga bukan berani memandu kereta dengan laju. Paling maksima 80 km/j. Di tengah jalan, ada kerbau merentangi. Demi untuk keselamatan haiwan, Akhi saya mengilas stereng untuk mengelak. Kerana kilasan tersebut tidak disangka mengenai punggung kerbau lalu membuat kereta akhi saya terbabas ke gaung. Akhi saya bersama isteri dan anak-anaknya terbang 5 meter dari permukaan tanah. Terhempas masuk ke dalam gaung. Kereta mengiring ke kiri menyebabkan isteri tersepit. Anak kecil yang belum umur 2 tahun terpelanting ke belakang. Anak perempuan yang paling kecil juga terselamat.
Akhi saya cedera tulang belakang. Tulang belakangnya termampat disebabkan hentakan kuat.
Isterinya terhantuk di dahi menyebabkan benjol besar dan darah beku mengalir turun ke wajah dan menjadikan matanya seperti mata beruang panda.
Anak yang seorang patah tiga di tangan.
Anak yang lain patah tulang di rahang.
Yang satu lagi patah tulang peha.
Akhi saya, ketika kami mengunjungi beliau terlantar di perbaringan tidak mampu untuk duduk lama.
Isteri akhi saya masih benjol besar di dahi.
Tetapi, ada rakan saya yang lain berkomentar. Akhi ditimpa musibah kerana akhi tidak berjujur dalam pekerjaannya. Rakan saya itu kata, akhi curi tulang. Kerana itu rezekinya tidak berkat. Kerana itu rezeki yang diperolehi perlu dibayar lain. Bayarannya kepada kemalangan yang menimpa mereka sekeluarga. Bayaran kepada kerosakan yang berlaku pada kereta. Duit dari rezeki yang kata kawan saya itu tidak berkat, perlu dibayar kepada pembedahan anak-anak yang patah riuk.
Saya hilang kata. Tidak tahu berkomentar apa.
Akhi saya, orangnya zuhud. Dirumahnya tidak ada perabot, melainkan rak-rak buku yang disusun kemas untuk menyimpan khazanah keilmuan. Sama seperti koleksi buku, begitulah Akhi yang menyanjung tinggi ilmu.
Akhi saya, orangnya paling pendiam. Dia tidak akan bercakap melainkan perkara-perkara yang mengingati Allah dan Akhi akan menjauhi dari perbuatan yang lagha.
Akhi saya, orang yang solat tepat waktu. Tiada yang akan menghalangi Akhi dari solat berjemaah bila bilal melaungkan azan.
Akhi saya, orang yang istiqamah berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Yang tidak pernah putus zikir. Yang tidak meninggalkan kopiah.
Akhi saya, seorang haji. Yang saya percaya, telah putih sukma dan batinnya suci.
Rakan saya masih meneruskan kata celanya. Mencela orang yang mempamerkan identiti putih, tetapi di dalam dada penuh cerita lain.
Saya hilang kata. Masih tidak tahu berkomentar apa.
Saya mengenang Akhi. Dalam keadaannya yang parah berbaring, dia masih menasihati. Ikhlas dari hati seorang Abang. Menasihati saya agar jangan memandu terlalu laju. Tetapi di mulutnya masih senyum. Tiada sedikitpun keluhan dan menyesali apa yang terjadi. Tidak pernah sekali menyalahi haiwan yang merentangi jalannya malam itu. Tidak pernah mengeluh kerisauan terhadap anak-anak, meski di hatinya kami tahu sedang rusuh. Di wajahnya tetap tenang, meski berbaring, seperti wajahnya ketika sihat. Putih, tenang dan tunduk.
Anaknya masih di hospital. Menunggu giliran untuk pembedahan.
Saya hilang kata. Masih tidak tahu berkomentar apa.
Dalam cepu, saya tahu "Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit, keletihan, kepedihan, kesedihan hingga kecemasan yang di rasakan-nya, melainkan dengan-nya Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan-nya." (Muslim , no. 5573)
Seperti Nabi, yang sering diuji kerana syarat untuk dekat dengan Tuhan, hamba mengikhlaskan diri meski dalam apa bentuk keadaan dirinya diuji.
Ya Allah, sembuhkan Akhi dan keluarganya, kerana Engkau Maha Penyembuh.
Comments