Monday, April 20, 2009

Singapura Tanah Seberang

Jika Merlion (baca: merlayon-patung berkepala Singa dan berbadan ikan) adalah penyambut tetamu, ia bukan penyambut tetamu yang mesra. Dengan mulut yang terbuka dan sepanjang masa mengeluarkan air, ia ikon yang mengerikan sebenarnya. Jika difikir lebih panjang dari mana air itu datang, mungkin kita akan jadi ragu-ragu. Tetapi perjanjian antara Malaysia-Singapura untuk bekalan air termurah kan masih lama, jadi simpan dulu ragu-ragu. InsyaAllah, air yang keluar dari Singa ngeri yang tidak reti tutup mulut itu masih lagi suci. Meski pada saya Merlion ngeri, nilai komersial tetap mengamit pelancong dari seluruh dunia tidak pernah pun pernah berkurang. Apa ada di Kota Singa?



Tiga tahun dulu saya dibekalkan dengan phampalet Singapura untuk satu tugasan. Saya cuma melihat makalah itu seadanya, tidak sangka pula akhirnya saya benar-benar berada di Singapura untuk tugasan yang lain pula.

Barangkali pedih kehilangan Pulau Batu Putih masih terasa, tetapi tidak salah bukan untuk pergi melawat, melihat tempat orang. Ya, Singapura tempat orang meski dari Johor ke Singapura hanya sekadar beberapa kilometer sahaja. Tugasannya mudah, lihat tempat orang, lihat apa yang membuat mereka hebat, apa yang menyebab kita terlalu tertinggal, cari apa yang boleh dipelajari akhirnya meminjam jika sesuai.

Balik dari sana saya berbicara dengan adik, "Singapura adalah sebuah negara kota".

Adik saya memberi respon, "Oh, ia sama seperti negara kota yang wujud sewaktu zaman Greece dan Rom". Saya menggaru kepala, untuk hal-hal sejarah saya angkat tangan tidak reti untuk berlawan hujah.

"Di Greece, setiap satu kota yang wujud adalah satu negara".

"Yolah. Ia sebuah negara kota yang sangat bersih. Sepanjang jalan kita akan diiringi oleh pokok-pokok hijau yang menjulang tinggi. Dirapikan sempurna, seolah-olah pokok-pokok itu dicuci dan dibersihkan setiap hari. Ia pengalaman yang sama kalau kita berjalan masuk ke UPM atau menghala ke lebuhraya Mahameru. Cuma di Malaysia penjagaan landskap tidak begitu kritikal seperti di Singapura".

"Mmm, kalau kita bergerak ke arah Pantai Timur lagi hijau. Semulajadi lagi. Di Karak, di kilometer 39.5, di km 44.4 dan banyak tempat lagi, kan hijau-hijau semuanya".

"Dik, ini saya bercakap tentang kota. Sebuah kota dengan landskap hijau. Ada kat KL?. Kamu hendak kerja di Singapura. Tukang sapu sampah boleh sahaja menjana pendapatan 1800 Sing Dollar sebulan. Mahal tu. Cuba darabkan dengan 2.4 untuk ditukar nilainya kepada RM".

Adik saya bersikap tidak endah. "Tahu tidak Singapura tidak pernah pun jadi milik Malaysia?"

Saya menjegil mata tidak faham. Sejarah lagi. Saya memang tidak reti.

"Sewaktu Malaysia diisytiharkan merdeka, British tidak mahu menyerahkan Singapura kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebab itu Lee Kuan Yew masuk Malaysia untuk membolehkan Singapura di bawah pentadbiran Tanah Melayu. Kemudian selepas itu baru Lee Kuan Yew mohon keluar dari persekutuan untuk merdeka dan mendapat kebebasan penuh."

"Jadi, Singapura memang tidak pernah menjadi milik Malaysia".

Adik saya pakar sejarah tidak rasmi itu mengangguk.

"Yup, Singapura memang tanah seberang".

"Tapi lama dulu, sebelum ada orang luar, Singapura adalah sebahagian dari Kepulauan Melayu. Kita satu pulau yang serumpun. Masih ramai lagi orang Melayu di sana".

"Seperti mana mereka itu?"

Saya diam. Tidak mahu beri respon. Kami di bawa melawat di kawasan Melayu di Kampung Gelam. Di sana ada istana, yang dulu menjadi tempat kediaman keluarga di raja. Tetapi seluruh dunia telah tahu, golongan di raja Melayu ini diberi penempatan lain (atau kita patut baca dihalau dari tanah sendiri). Kawasan Kampung Gelam dan Istana diberi nama lain. The Malay Heritage. Ada masjid, ada gerai-gerai kecil menjual cenderahati, ada kedai-kedai menjual makanan halal, ada Istana yang dijadikan tarikan pelancong. Dalam hati, saya mengandaikan, orang Melayu di Singapura telah menjadi sebagai bahan muzium, mereka dilihat pelancong luar sebagai bahan tarikan. Sebagai produk pelancongan. Itu sebenarnya yang saya rasa dan tidak mahu diceritakan pada adik.

Ah, kebetulan mungkin, saya kemudian membeli novel Rawa yang ditulis oleh Isa Kamari. Seorang Melayu yang tinggal di Singapura. Kita boleh merasai sendiri, rasa pedih kehilangan sesuatu yang kita sayang, yang membuluh dalam darah diambil orang. Kerana silap sendiri, kerana serakah penguasa.

Saya memberi adik. Sebuah globe. Globe itu kecil, dan diruang disebelah Laut China Selatan mereka cop gambar Merlion besar, mungkin 1/4 dari globe kecil itu.

Adik saya merenung globe macam ada yang salah (selain dari sejarah, dia juga pakar geografi) "Padahal, mereka (Singapura) di dalam peta tidak kelihatan langsung. Halus seperti debu. Kenapa di globe ini seolah-oleh dunia ini mereka yang punya".

Khali. Dalam hati, saya ingin berpesan, "Saya bagi kamu globe kecil muat dalam gengaman, agar kamu dapat menyimpan cita. Satu hari nanti, nanti, kamu benar-benar akan menggengam dunia".

Saya berjalan-jalan di KL kemudian dari minggu saya pulang dari Singapura. Siapa kata di KL tiada pohon hijau yang cantik?

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik hujan batu di negeri sendiri.

Ya benar.








5 comments:

Anonymous said...

alah... sama je singapura tu dgn m'sia, brg lebih kurang sama je apa yg ada kt jb.. ramai org s'pore suka shopping brg keperluan kt jb... sbb nilai matawang 2x ganda lebih dr m'sia n kalau nk round kt kota singa byk kali kena tol...nk ke toilet kt s'pore kena bawa botol air... memang la hujan batu kt negri sendiri lg best...ns49

Jernih said...

Salam~

Pembetulan fakta. Singapura tidak pernah memohon untuk keluar dari Malaysia. Cuma Tengku Abdul Rahman dan kabinet Malaysia pada ketika itu tidak lagi boleh bekerjasama dengan Lee Kuan Yew. Dengan lain perkataan, Tuanku sudah muak dan tingkah laku Lee Kuan Yew dan membuat keputusan agar Singapura keluar dari Malaysia.

Cuba baca Memoirs Lee Kuan Yew. LKY sendiri pernah mengatakan bahawa Singapura tidak pernah bersedia untuk menjadi sebuah negara bebas disebabkan saiz dan sumber yang terbatas milik SIngapura.

Sekadar pandangan saya.

as said...

see, i told you i'm not good as both of you in history. TQ for that comment

Isa Kamari said...

Terima kasih kerana membeli dan membaca Rawa. Semoga mencetuskan keinginan untuk menggali sejarah demi kebenaran dan jatidiri. - Isa Kamari

ASaL said...

terima kasih saudara Isa Kamari kerana sudi menyinggah. Satu penghormatan untuk saya. Suka dengan Rawa, saya tidak meninggalkannya walau sekejap sehingga ke noktah terakhir.