Masih di Singapura

Saya tidak berpeluang pun menaiki bot bergentian kaca seperti gambar semasa ke Singapura. Tetapi saya membayangkan dalam cerpen Jerap Agung seperti berikut:
"Dalam perhimpunan agung H2O terbesar pernah diadakan, tempatnya di Kota Singa, betul-betul di bawah Read Bridge. Kalau dari udara, Read Bridge menghubung aliran Sungai Singapura seperti huruf V. Dalam kesibukan pelancong menikmati keindahan panorama dengan menaiki bot berbumbung kaca, bot tradisional mahupun menaiki kapal persiaran, tidak ada seorang manusia pun tahu bangsa H2O telah berkumpul untuk misi yang boleh mengubah peta dunia secara drastik". (cerita untuk mengebom kuasa besar dunia, :) )
Saya tidak akan bercerita mengenai Read Bridge, tetapi saya akan bercerita mengenai Geylang Serai.
(klik pada gambar untuk lihat lambang apa di bangunan tersebut. Untuk yang biasa membaca mengenai Freemason, itu bukan lambang yang asing).
Ada satu aktiviti menarik sebelum kami pulang semula ke Johor Bharu. Di malam terakhir di Singapura, kami di bawa melawat Geylang Serai. Bukan malam sangat pun, jam di tangan menunjuk pukul 8 - 8.15 pm. Saya sendiri tidak pernah tahu apakah Geylang Serai. Sangka saya satu lagi tempat untuk bershopping. Tetapi memang betul, ia tempat bershopping untuk 'ayam hidup' yang original juga yang tidak original. Jadi, penjualan 'ayam hidup' amat terbuka di sini. Ini pengalaman pertama saya, untuk melihat sisi gelap di Singapura. Singapura yang sekitarnya amat bersih di siang hari, rupanya diselubungi cerita lain bila waktu malam.
Jangan salah sangka, kami tidak turun pun dari bas. Seolah-olah sedang menikmati 'night safari' tetapi tiada haiwan liar, yang ada cuma 'ayam' yang berkeliaran sahaja. :) (tetapi suasana di dalam bas sudah jadi liar juga, :) )
Ia satu jalan yang agak panjang. Pemandu bas kami juga membawa bas perlahan mungkin. Kata pemandu pelancong kami, ia adalah satu senario yang perlu ditunjuk. Ini realiti di Singapura. Terbuka. Sangat terbuka. Tiada sensorship. Datang sahaja ke Geylang Serai. Majoriti yang membuka perniagaan malam ini adalah imigran yang berkerja kontrak di Singapura.
Komentar pemandu pelancong kami, "Kesian mereka ini. Keluarga jauh, kampung jauh. Jadi kenalah bantu". Bas sudah pecah dengan tawa. Saya cuma melihat kiri dan kanan jalan. Jumlah mereka tidak terkira.
Satu fakta menarik. Sepanjang-panjang jalan kami sedang melihat paparan yang sangat asing tetapi begitu terbuka. Tiada penguat kuasa. Berpakaian semenarik mungkin (seksi), mereka sedang melakukan bargain untuk transaksi yang akan berlangsung nanti.
Komentar pemandu pelancong kami lagi, "Ini adalah aktiviti yang tidak dibenarkan pemerintah, tetapi mereka biarkan sahaja. Jadi memang tiada penguatkuasa untuk menghalang. Tetapi pemerintah menetapkan satu syarat sahaja, jangan buat kacau. Kalau ada masalah selesai sendiri".
Saya memerhati lagi. Jumlah mereka bertambah ramai, kiri dan kanan jalan. Dan ia mengumpulkan sejumlah orang dari pelbagai raut wajah yang berbeza. Raut wajah dari seluruh dunia. Yang seperti Cina ada, Bangladesh ada, Filipina, Indonesia, wajah-wajah Melayu, India, dan ramai lagi. Orang Putih ada. Boleh dikatakan hub "perniagaan malam" taraf internasional.
Sepanjang-panjang jalan penuh mereka. Cuma yang ajaib, bila berada di hadapan perkarangan masjid, keadaan jadi lengang. Baik di masjid sebelah kiri jalan, atau di sebelah kanan jalan. Lengang, memang lengang. Kosong, tiada orang. Tetapi jauh sedikit dari sempadan masjid, ia akan jadi lagi. Bersusun-susun orang. Seperti di pasar malam. Ramai seperti itu.
Kemudian tourist guide kami menokok "At the place of worship, ia akan jadi kawasan aman. Mereka tidak akan membuat bargain di situ".
Kawan saya kata, mereka sudah mencapai tahap kesedaran tinggi kerana tahu menghormati masjid dan tempat ibadah.
Saya? Saya masih cari ayat yang sesuai. Tidak tahu hendak kata apa.
Jalan itu memang agak panjang. Saya menunggu saat akhirnya. Pemandangan ini sangat asing. Tetapi mereka-mereka yang nakal tetap mengambil peluang mencuci mata (saya? sampah saya tidak nakal). Akhirnya bas menjadi riuh rendah bila melihat di hadapan sebuah restoren, di satu meja bulat, sekumpulan 'ayam hidup' tidak ori, dengan berpakaian perempuan dan make up ala-ala malatop gitu sedang menunggu pelanggan.
Saya senyum. Entah untuk apa.
Jika kemajuan perlu harga, adakah ini harganya? Dan soalan lain, adakah kita mahu membayarnya?

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK