Perarakan Maut Sandakan ke Ranau & Muharam

Bulan 12, bulan terakhir 2010 memberi kesempatan tidak terduga dan rezeki tersendiri. Alhamdulillah. Mesyuarat yang sepatutnya berlangsung di Pejabat Persekutuan Kota Kinabalu ditunda, sedang tiket kapal terbang sudah ditempah awal. Mahu tidak mahu, kesempatan emas ini digunakan sepenuhnya. Saya sudah menyimpan angan untuk ke Sabah lebih 5 tahun, dan Allah, bukankah Dia pengabul doa? Saya semakin yakin, setiap apa yang kita panjatkan tulus ikhlas, Dia memberi perhatian sewajarnya. Jika sudah rezeki, kun (jadi) maka fayakun (jadilah ia).


Saya ke Sabah 5 hari (3 hari sahaja jika mengambil kira hari sampai dan hari terbang kembali ke KLIA) untuk bercuti. Kesempatan yang jarang ada, tetapi tetap direzekikan. Daerah yang menjadi tempat lawatan Kota Kinabalu - Tamparuli - Kundasang - Ranau. Sikit? Nampak begitu, tetapi percayalah Sabah cukup besar untuk dinikmati dalam masa 3 hari. Keindahan alam yang dikurnia di bumi muda ini tidak terbatas. Sabah bukan hanya gah dengan Gunung Kinabalu, tetapi beribu-ribu tarikan mengamit dari keunikan muka bumi yang begitu bervariasi. Dari kawasan pantai, tanah tinggi, tempat membeli belah, sejarah, budaya, demi Allah, ia bumi kaya. Allah menganugerahkan negeri ini dengan kekayaan natural yang begitu unik. Ia ada Gunung Kinabalu. Dan saya percaya, Gunung Kinabalu yang paling tinggi di Asia Tenggara bukan perlu diagungkan semata ia paling tinggi, tetapi peranannya sebagai pasak. Yang memegang bumi Borneo kekal di situ dan tidak dihanyutkan ke tempat lain.

Namun yang paling terkesan bagi saya bila kami melawat Kundasang. Boleh dikatakan Kundasang adalah gateaway untuk masuk ke Gunung Kinabalu. Sinonim Kundasang sebagai tanah tinggi, seperti yang kita boleh nikmati ketika berada di Cameron Highland kalau di Semenanjung. Jadi sayuran segar banyak di sini. Jalan akses tidak secantik kebanyakkan jalan di Semenanjung. Untuk selesa pacuan 4 roda paling sesuai, tetapi ongkosnya tidak cocok dengan percutian bajet kami. Jadi Waja sahaja yang boleh membantu kami sampai. Kami memilih Perkasa Hotel, di sana ada platform yang membolehkan kita melihat Gunung Kinabalu yang agam. Platform ini dibuka untuk semua, yang menginap atau tidak.


Seberang jalan dengan lokasi hotel, adalah pekan Kundasang. Lecak dengan air hujan dan tanah berlopak yang tidak sekata kesan dari aktiviti pembinaan yang sangat giat berjalan. Memang susah untuk memandu di sini kerana jalannya tidak berturap. Garisan jalan untuk memisahkan kereta dari laluan berbeza pun tidak ada. Jadi kena agak-agak sendiri dan tentu, perlu hati-hati, sangat hati-hati. Tetapi di pekan inilah letaknya Kundasang Memorial Park. Sebuah taman yang dibangun untuk memperingati satu peristiwa semasa Perang Dunia ke 2 yang terpencil. Setelah 20 tahun, baharulah peristiwa ini dibongkar.

Ia sebuah kisah perang antara Jepun dan tentera British ketika perang di Singapura sewaktu WWII. Anggota tentera British, Australia yang ditawan dipaksa ke Sandakan untuk membina lapangan terbang tentera Jepun. Kemudian mereka dipaksa berjalan dari Sandakan ke Ranau (Sandakan Ranau lebih kurang 5-6 jam menaiki kereta dengan kelajuan purata 60km/j). Dengan keadaan kesihatan yang teruk dan bekalan makanan yang tidak mencukupi, satu persatu tentera Australia dan British mati. Ada yang ditembak kerana tidak mampu untuk meneruskan perjalanan, ada yang dibiarkan mati kelaparan di jalanan. Menurut catatan, hanya 6 orang terselamat melarikan diri ke hutan. Dijumpai rakyat tempatan yang merawat dan memberi makan. Kerana itu Memorial Park dibina. Mengenang yang pergi, dan menghargai rakyat tempatan yang menolong meski diugut bunuh tentera Jepun.


Saya terkesan dengan komitmen Australia dan Britain. Tiada kisah tragedi perang mereka anggap terpencil. Meski jauh nun dikepong kehijauan hutan Ranau dan Sandakan. Meski hanya 6 orang terselamat untuk menyampaikan cerita, mereka kekalkan untuk tatapan generasi hari ini. Motto yang tertera "Lest we forget" memang bermakna. Ditulis untuk menyatakan janji bahawa mereka akan dikenang sentiasa. Tiada perjuangan yang dibuat sia-sia. Mereka mendapat tempat dihati generasi, dan sebagai pejuang negara. Dengan keadaan taman yang dijaga begitu rapi, bersih dan penuh bunga-bungaan. Dengan senarai nama yang terkorban satu persatu. Generasi hari ini dapat mengenal mereka by names. Mereka yang dipaksa berkawad, perarakan maut penuh penyiksaan.

Saya mendapat pengalaman mempelajari hal menghargai perjuangan tentera Australia dan British ini di bulan Muharam.

Kata Ustaz di corong suara Masjid Al Ansar (setelah kembali menghirup udara KL), orang Melayu dan Muharam sinonimnya hanya satu, BUBUR Asyura. Yang mengembalikan ingatan kita pada Nabi Nuh dan kapalnya. Bila mana makanan tidak cukup, Nabi Nuh memerintah agar segala kekacang dimasak sekali dalam periuk. Disitulah sejarah BUBUR Asyura.

Saya terkesima. Muharam bukan bubur. Muharam adalah satu-satunya bulan paling bermakna untuk mentadabbur. Kakak saya menemui ajalnya pada 1 Muharam. Kerana itu Muharam bagi kami ialah bulan paling dikenang. Muharam bulan Hijrah. Kakak saya berhijrah alam fizikal ke roh di bulan ini. Ketika orang berkumpul di stadium untuk berarak, kakak saya menghembuskan nafas terakhir. Namun tragedi ini sinonim untuk kami, bukan untuk kamu.

Namun kita lupa, di bulan Muharam inilah berlaku satu peristiwa tragedi pembantaian keluarga Rasulullah di tanah Karbala. Yang tidak ditanda, tiada taman, tiada bunga-bunga. Perarakan mereka dengan kuda untuk mendaulat agama tidak dikenang. Tiada kata Lest We Forget, tiada senarai nama. Begitu.

Seorang sahaja kehilangan ahli keluarga menyebabkan kami begitu terseksa. Bagaimana jika keseluruhan keluarga dihabisi?

Muharam orang Melayu ditanda dengan bubur. Muharam kami ditanda dengan kubur.

Comments

Cikli said…
salam,
nostalgia pulak bila baca catatan di sabah ni.
saya dulu semasa berulang-alik tawau-kk, sandakan-kk, lahad datu-kk, sering juga terbayangkan tentera-tentera yang dipaksa berjalan ni.

di pulau labuan ada perkuburan agak besar tentera-tentera australia ni. saya terfikir, apa yang depa nak jajah di situ.
ASaL said…
salam :)

mungkin banyak lagi kenangan yang disimpan.

ketika di jalan raya KK, menyusuri Sutera Harbour, saya berkata pada rakan, saya sudah sampai di situ dan menyaksikan gerhana matahari di salah satu pantainya.

Kawan saya (yang pernah berkhidmat di Sabah 8 tahun lalu) memandang dengan muka mengejek 'Buyuk saja kau ni' (tipu saja kau ni). Sebab dia memang tahu saya belum pernah sekali pun menjejak kaki di Sabah.

Saya cakap saya tidak tipu. Betul saya sudah berada di sana. Buktinya saya sudah pun menghasilkan satu cerpen tentang gerhana matahari di Sutera Harbour (tapi belum publish).

Saya sendiri hairan, bagaimana saya boleh rasa saya pernah berada di situ.

Kemudian baru saya teringat, saya sebenarnya sedang mengulang pengalaman Cikli (yang saya baca dalam blog). Begitulah nama Cikli keluar dalam fikiran saya ketika berada di Sabah.

Hebat kan. Cuma membayangkan sahaja dalam imaginasi. Mungkin imaginasi itu sudah menjadi doa. Allah mendengar, kemudian memakbul. Tahu-tahu saya sudah berada di Sabah, dan sudah kembali semula di Semenanjung.

by the way, wow, jauh tu berulang tawau-kk, sandakan-kk, lahad datu-kk.
Cikli said…
wow...seakan dejavu tu.

karya-karya yang dah diterbitkan, apa nama pena nya?
ASaL said…
dejavu...betul kot.

tiada nama pena, guna nama sebenar, nama asal.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah