Cahaya 7 Ramadhan

Buat permulaan marilah kita berdoa agar kita sentiasa dalam kebaikan.

Saya dikayakan dengan banyak perkara di bulan di Ramadhan. Ia membuat saya perlu diam sejenak, berfikir apakah pelajaran yang Tuhan mahu ajarkan pada saya. Semua orang pun tahu, bulan Ramadhan ialah madrasah. Tetapi kita selalu menghadkan, madrasah Ramadhan ini hanya berlaku kepada orang Islam terkecuali non muslim.

7 Ramadhan yang lalu, saya mendapat pengesahan bahawa anggapan saya salah. Dalam berapa tahun usia saya dihidupkan, hari ini baru saya belajar. Dalam jiwa saya banyak sesal, tetapi nasihat adik-adik saya yang penuh hikmah semuanya mengatakan, "it is never too late to change."

Ramadhan ini bukan sekolah untuk orang Islam sahaja. Ia juga sekolah mereka yang Allah aktifkan mata, telinga, hati dan menggunakan akal mereka untuk berfikir.

Lama sebelum 7 Ramadhan tetapi masih dalam bulan Ramadhan, saya berdoa agar Allah sentiasa kekalkan dalam keadaan kebaikan dan kebajikan. Doa itu makbul. 

7 Ramadhan membuka ceritanya. Saya berpeluang berbuka puasa di rumah agamawan terkemuka Dr Maszlee Malik. Beliau juga menjemput beberapa lagi tetamu untuk kami saling berkenal. Tiga di antara mereka ialah sahabat Cina yang belum Islam. Ajaibnya ada di antara mereka turut berpuasa dan solat terawikh!

Mereka diminta untuk berkongsi pengalaman, apa laluan mereka ketika mahu belajar mengenali Islam. Saya terkejut kerana mereka mengalami pengalaman yang tidak membina, dan ia datang dari kaum sama warna kulit dengan saya. 

Jazzy bercerita, "bila saya cuba belajar tentang Islam dari kawan-kawan saya, mereka memandang saya dengan satu pandangan yang sangat aneh. Saya rasa kecil dan kerdil, menyebabkan saya tidak mahu ambil tahu lagi mengenai Islam."

Mrs. Middleton yang sudah pun berusia 66 tahun, wanita bijak dengan sejuta pengalaman memberi komen tentang realiti yang dihadapi Jazzy, "mereka melihat awak begitu bukan kerana mahu merendah-rendahkan awak, tetapi mereka sendiri tidak tahu tetapi tidak mahu dilihat sebagai jahil dengan agama sendiri."

Dusshh. Dua kali saya disepak dalam satu sessi perkongsian. Begitu lemah sekali majoriti orang Melayu dalam fahaman agama. Saya bertanya diri, "saya juga begitukah?"

Jazzy, Joey dan Alex baru berusia 20an, tetapi mereka sudah memulakan langkah untuk mencari kebenaran. Sekurang-kurangnya kita tahu mereka sedang menggunakan akal yang dikurniakan Allah untuk berfikir. Bahawa jalan kebenaran itu sangat dekat, dengan syarat mereka punya keazaman dan keinginan yang kuat. Azam dan keinginan mereka terpancar dengan sangat jelas. Bukti, mereka tidak takut berada di kalangan kami yang hampir semuanya bertudung sempurna. Joey malah selesa dengan skirt pendek walau dikeliling kami yang berjubah segala. Malah datang bersama teman lelaki. Bukti, mereka berpuasa. Bukti, mereka solat terawikh. Bukti, mereka tidak prejudis setelah mereka tahu Islam itu terlalu banyak keindahannya meski pengalaman pertama yang pahit dan tidak mahu diulang.

Apa yang menggerakkan Jazzy, Joey dan Alex? Soalan yang mahu saya tanyakan adalah, apa yang menyebabkan kita membelenggu tangan dan kaki untuk bergerak sama seperti mereka? Adakah kita telah yakin tiket syurga sudah berada ditangan?

Ramadhan ini bulan pendidikan, saya diajar dengan kehadiran Jazzy, Joey dan Alex. Madrasah Ramadhan bukan khusus untuk orang Islam, malah untuk semua orang di bawah naungan alam semesta. 

Mereka mencari jalan kebenaran dengan cahaya. Iaitu dengan ilmu. Ilmu yang mereka dapat bukan setakat dalam buku, tetapi bertanya mereka yang tahu. Ilmu bukan dicari dari memencil diri, tetapi berada bersama komuniti yang dapat memberikan mereka gambaran sebenar bahawa Islam itu agama perdamaian dan kasih saya. Ilmu bukan didapat puas dengan teori, tetapi dengan amal. Untuk memuaskan diri merasai pengalaman bagaimana puasa, solat dan terawikh. Bagi saya mereka sudah Islam, dan dalam hati kuat berdoa agar Allah melimpahkan hidayahNya dalam dada mereka hingga sampai mereka mengucap syahadah.

Akhir perjumpaan, kami bersalaman dan sambil berkucupan pipi kiri dan kanan. Saya merasa cahaya dalam dada mereka meresap dalam dada. Saya tahu saya perlu perbaharui ikrar jika saya mensyukuri nikmat Islam yang Allah takdirkan untuk saya semenjak lahir. Perbaharui janji jika mahu Ramadhan ini benar-benar akan menyekolahkan saya. 

Ya Allah, kami merasai manisnya berada di bawah naugan pembelaanMu. Ya Allah, kami puas merasai kasih sayang Nabi dan mencintai baginda. Maka Allah, di bawah langit bulan pilihanMu, berilah kami semua cahaya. Jadikanlah cahaya dalam diri kami dapat menunjukkan jalan yang terang untuk orang lain. Kekalkan kami dalam amal dan kebajikan. Dengan kasih sayangMu Ya Allah, limpahkan hidayah pada Jazzy, Joey dan Alex serta kepada semua pencinta kebenaran sehingga syahadatain itu turut menjadi milik mereka.

Balik rumah, saya melihat bulan separuh bersinar terang di kelam langit malam. Lampu di KLCC juga masih belum padam. Malam yang indah, sehingga masuk ke dalam rumah, saya dilimpahi cahaya. Di tangan beg kertas hadiah dari kawan-kawan hebat sempena harijadi. Di dalamnya Al Quran, Cahaya atas cahaya. Dada saya sebak.

Sungguh saya dilimpahi cahaya melimpah ruah di malam 7 Ramadhan.

Allah, nikmat yang mana akan kudustakan? 

Comments

erni said…
:)perkongsian yg sangat bermakna
ASaL said…
jazakallah. marilah turut berkongsi pengalaman :)
ieka said…
salah satu rahmat dari Allah adalah kefahaman tentang agama kita sendiri :-). Awak bertuah dikelilingi oleh ramai orang2 baik dan orang2 yang ingin menjadi baik; juga org2 yang berilmu, memahami ilmu dengan baik dan menterjemahkan ilmu mereka melalui perbuatan. awak sungguh beruntung selalu dalam rahmatNya :-)
ASaL said…
Jazakallahu khairan for you kind words.

Sesungguhnya Allah bekerja penuh rahsia.

Manusia sentiasa dikelilingi dengan keberuntungan cuma mata kita kadang-kadang tidak dapat melihat dan mensyukuri.

Mencari keberuntungan dalam kekurangan, mencari keberuntungan ketika berkecukupan, mencari keberuntungan dalam susah dan senang, mencari keberuntungan dalam ramai dan ketika ditinggalkan. Akhirnya yang akan kita jumpa hanya Dia Yang Esa. Yang mejelmakan DiriNya dalam diri kita, dan membisikkan, "Sesungguhnya Aku, sangat dekat!"

Dan Dia sesungguhnya ada di mana-mana, termasuk dalam kata-kata yang baik.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang