Tuhan Berimu Cahaya
Kalau ilmu itu benar diertikan
sebagai kedatangan makna, gred-gred yang ada dalam transkrip saya sebelum ini
adalah petunjuk yang salah!
1 Ramadhan 1433 Hijrah (21 Julai
2012), saya berkesempatan untuk bersama rombongan ahli admin Teach for the
Needs (TfTN), Malaysia & UK ke rumah anak-anak yatim Dahikmah yang terletak
di Gopeng Perak. Lawatan ini adalah untuk meraikan Pengarah Projek TfTN
Dahikmah saudara Anas Hakimi dan kawan-kawan (pelatih perguruan IPG) yang telah
memulakan program memberi tuisyen percuma kepada anak-anak Dahikmah sejak 3
bulan lalu.
Dahikmah menempatkan seramai 52
anak yatim yang terdiri dari pelbagai peringkat umur, sekolah rendah dan
menengah. Fokus kumpulan TfTN Dahikmah ialah 30 orang pelajar anak-anak di
sekolah rendah untuk memantapkan kemahiran asas membaca, mengira, menulis dan
Bahasa Inggeris. Ada yang masih tidak boleh membaca dan menulis walaupun sudah
berada di Tahun 6.
Dahikmah Gopeng terletak
berhampiran dengan exit Gopeng. Hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai,
namun lokasi terletak jauh dari jalan utama. Kami dihidangkan dengan hijau
saujana pokok kelapa sawit, suasana permai kampung dan latar belakang
bukit-bukau yang biru memagari bumi Gopeng. Blok bangunan tersusun dengan
kemudahan lengkap untuk keselesaan anak-anak yatim ini, juga surau untuk
beribadat. Di hadapan dewan ada kolam yang boleh diadakan aktiviti memancing.
Pasukan admin TfTN kali turut membawa
sumbangan dari kawan-kawan dan saudara mara yang mahu turut serta, tetapi
mempunyai kekangan masa, jarak dan kesempatan. Ada yang menganggap TfTN sebagai
jambatan untuk menyampaikan tangan-tangan mereka yang jauh. Alhamdulillah,
semalam ketika kami usap kepala dan wajah anak-anak ini, ia juga adalah tangan-tangan
mereka yang membelai.
Kutipan wang hadiah telah
membolehkan kami membelikan kamus dwi-bahasa untuk kemudahan pembelajaran bagi
setiap anak-anak yang bersekolah. Semoga dapat dimanfaat sehingga ke akhir
hayat. Program mewakafkan kamus ini paling popular dan moga dapat diteruskan
untuk program TfTN yang akan datang. Rezeki anak-anak yang disayangi Nabi ini
juga murah. Setiap dari mereka mendapat goody bag dan angpau Ramadan
disumbangkan oleh dermawan yang berhati suci. Didalamnya ada marker, frame gambar, gula-gula
dan kami tambah dengan majalah Jom, biskut, kismis dan sekotak air, pen,
keychain serta button TfTN. Pihak pengurusan pula kami sumbangan peralatan dan kelengkapan untuk kegunaan harian.
Sesi penyerahan hadiah buat jiwa
saya tersentuh. Ketika menyiapkan goody bag untuk diserahkan kepada co-founder
TfTN Cikgu Zamir, seorang anak memandang saya dan berkata, “Kak, yang budak ni
tak payah bagi kamus.”
Saya melihat anak yang bersuara
dengan rasa tidak percaya. Kemudian melihat anak yang ditunjuki yang sedang
tercengang-cengang seperti tidak tahu apa-apa.
“Kak, tak payah bagi. Dia ni OKU
kak, accident.”
Saya melihat anak yang
dimaksudkan. Ya, dia cuma mengikut apa yang kawan dia buat. Allah. Allah sahaja
yang menahan air mata supaya tidak mengalir di situ. Tapi kami serahkan juga
kamus, jika dia tidak mampu membaca sekalipun, ia akan jadi tanda kasih sayang
dari ramai yang masih lagi peduli.
Petikan dari Facebook TfTN, “Bukan
kerja kita untuk menilai atau menentukan samada mereka mahu atau mampu guna
kamus tersebut. Yang penting kita menyediakan situasi pendidikan sama rata
sebagaimana anak-anak di luar sana menikmatinya.”
Mereka ada seribu macam cerita,
masing-masing boleh mengajar kita erti kehidupan. Balik KL dengan hanya
menyempatkan diri berbuka dengan biskut dan kismis dalam kereta, dada saya
sarat dengan pengalaman. Anak-anak muda sukarelawan ini lebih dulu faham makna
pelajaran yang diterima mereka di sekolah, maktab dan universiti. Sedang saya malu
memandang usia saya jauh ke belakang yang seperti tidak pernah belajar apa-apa!
Hakimi bercerita, ada seorang dua
pelajar UPSR berpotensi dan kami harapkan dia berjaya. “Sekiranya kita dapat
jadikan seorang dua anak-anak ini berjaya, adik-adik mereka akan mengikut.” Di
usia muda pun beliau sudah tahu untuk berbudi.
Sekiranya ilmu itu benar
diertikan sebagai kedatangan makna, maksudnya saya perlu belajar banyak lagi. Tetapi
saya tidak kisah dan gembira belajar dengan rakan-rakan dan adik-adik yang
menjadikan ikhlas sebagai perisai dalam senyum dan amalan mereka.
Hanya Allah yang dapat melimpahkan
rezeki dan keberkatan untuk mereka, dunia dan akhirat.
Ilmu itu cahaya dan hari ini saya
faham;
Tuhan memberikan cahaya supaya
kita dapat membiasnya menjadi pelangi!
TfTN – Dahikmah
21 Julai 2012 / 1 Ramadhan 1433H
(Foto ihsan Saudagar Permata (Facebook))
Comments
Terima kasih
Kita temui dia, kita mengerti derita dan kita beri joran supaya dia tahu memancing. Itulah TfTN!
saya Amir Aizzat, pelajar KPM Seri Iskandar, Perak.
Boleh tak saya dapatkan details ttg rumah Dahikmah, Gopeng tersebut?
insyaAllah, saya bercadang utk mengadakan jamuan berbuka puasa bersama anak2 di sana.
ini email saya,
i_zzat93@yahoo.com
Terima kasih respon, dan juga berbesar hati untuk menggembirakan anak-anak ini.
Rakan saya akan menghubungi Amir dalam masa terdekat, untuk arragement jamuan berbuka puasa.
Jazakallahu khairan.
Sedang merancang juga satu aktiviti untuk anak2 ini...moga dapat dilaksanakan dgn jaya
email: cattiah39@gmail.com