Keajaiban di Dunia Kecil Kita

TfTN selalu buat selalu saya senyum untuk banyak perkara. Paling utama ialah kerana insan-insan yang ada dalamnya yang banyak warna dan karakter. Kami berbeza dalam banyak perkara, kadang-kadang bagai kutub utara dan selatan, tetapi selalu temui jalan untuk sepakat dengan keterbukaan dan perbincangan yang membina. Berselisih? Tentu, itulah warna yang mencorakkan. Hanya dengan bersedia untuk mendengar, bertukar hujah, berlapang dada, berkongsi dan akhirnya bersedia menerima yang terbaik memungkinkan apa sahaja perselisihan menjumpai jalan damai.
Saya tidak pernah rasa begitu penuh dan terilham sepanjang masa, melainkan bersama insan-insan hebat ini. Mereka telah mengajari saya bahawa kuasa mengubah itu tidak ada pada siapa-siapa pun kecuali pada diri sendiri, dan tentu dengan seizin Tuhan Yang Maha Kuasa.
Setiap pada mereka punya cerita tersendiri, dan usaha yang dicurahkan bukan sedikit sehingga menjadi elixir dan suntikan semangat pada diri saya yang lama mati. Tuhan telah membuat saya melihat dengan mata hati dari mereka-mereka ini. Sungguh!
Sejauh mana pun saya pergi jauh dalam cuba mencerna tentang hidup dan kehidupan melalui teks dan wacana intelektual, tetapi ia tetap tidak akan dapat mengajar saya sebenar-benarnya. Realiti sebenar itu manusia. Realiti sebenar itu alam. Realiti sebenar itu hanya ada apabila kita betul berada di tengah-tengah masyarakat. Walaupun sedar tentang realiti ini, seterusnya kita harus bertanya satu soalan penting, “apa yang boleh aku lakukan?”
Guru saya mengajar, “bahawa kita tidak akan puas sekadar berteori-teori tanpa memetik buah dari hasil pemikiran.” Bila saya mula mencerna makna dan praktis yang terkandung dalam pesan guru ini, baharu saya dapat benar-benar merasai manisnya. 
Betul manis, seperti gula tebu dan madu.
Rakan-rakan yang baharu sahaja berjumpa empat mata, itu pun di kesempatan-kesempatan yang sibuk yang tidak memungkinkan kami bersembang dan berkenal-kenal. Mereka meletakkan diri sebagai kenalan lama. Seolah-olahnya roh-roh kami pernah bertemu di luh mahfuz, tetapi hanya tahun ini Allah takdirkan bersua secara jasad dan zahir. Nama yang paling tepat untuk hubungan ini ialah ‘keluarga.’ Begitu yang saya rasa.
Merekalah yang menuntun saya dan mengajari apa yang boleh saya buat untuk berbakti. Mengkagumkan dari segi usia mereka relatif muda tetapi mempunyai jiwa pahlawan. Dari mana mereka datang? Kenapa mereka didatangkan kepada saya? Itu persoalan-persoalan muhasabah yang akan selalu mendatangkan keinsafan berakar dari dalam hati.
Saya tiada jawapan, tetapi saya selalu rasa bersyukur. Saya mahu selalu bersyukur atas keajaiban ini. Kerana Allah menemukan saya dengan orang-orang baik yang hebat zahir dan batin. Yang mempunyai impian untuk mencorakkan Malaysia yang lebih baik, seterusnya satu-satunya bumi yang kita diami dalam keadaan aman dan harmoni. Saya tidak berlebih-lebih, kerana mereka seperti itulah, malah lebih hebat lagi.

Saya suka cerita-cerita mukjizat dan keajaiban Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Selalu berharap agar dapat menyaksi dan kemudian tunduk pada kebesaran Maha Pencipta. Nabi dan Rasul adalah manusia. Kita juga manusia.
Kita salah kalau menyangka peristiwa-peristiwa keajaiban tidak boleh berlaku pada diri kita sendiri. Untuk kita, Allah datangkan melalui pelbagai cara dan peristiwa. Ianya mungkin kecil dan berlaku seputar diri sendiri, tetapi ia tetap ajaib andai kata kita dapat melihatnya dengan mata hati!
Mukjizat dan keajaiban itu hanya terkesan pada jiwa-jiwa yang tunduk dan bersaksi. Sebesar mana pun mukjizat yang Allah mahu tunjukkan seperti laut yang dibelah Nabi Musa, bulan yang dibelah Rasulullah, banjir bah besar Nabi Nuh, dibakar tidak hangus seperti Nabi Ibrahim, tetapi jika hati tidak mahu tunduk ia tetap tidak akan memberi makna apa-apa, malah dimurkai.
Peristiwa-peristiwa kecil luar biasa yang berlaku seputar kehidupan kita yang singkat ini, itulah mukjizat dan keajaiban.
Teman-teman TfTN seperti itulah mereka.    


Saya berdoa kebaikan akan mengiringi perjalanan kami, dengan rahmat dan belas ihsan dariNya. Ya, masa depan masih panjang, untuk waktu ini, saya sedang merasai manisnya madu.
Moga semua dapat menyaksi dan merasai, keajaiban di dunia kecil kita.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK