Sebelah Sayap - Matluthfi
Tahniah kepada Matluthfi yang telah mengarah drama pendek ini dengan sinematografi yang cemerlang, lebih dari itu mesej yang sangat cemerlang. Juga kepada rakan-rakan yang begitu berkesan seni lakon mereka. Saya percaya, muvie ini dibuat sepenuh hati kerana ia sampai ke dalam hati. Di petang-petang yang redup dan sejuk ini, saya menghayati. Satu rakaman realiti yang dibuat dengan bentuk drama. Alangkah bagusnya kalau drama-drama kita menyiarkan sesuatu seperti ini, penuh nilai, penghayatan, dan memberikan kita harapan. Tidak perlu cerita berjela berpuluh-puluh episod dengan sentimen, keganasan, pesimisme, segala yang buruk-buruk sedangkan episod pengajarannya dibuat di hujung untuk cuma satu episod ringkas dan klise. Jauh dari drama ini, saya memandang diri, sekeliling, dan persekitaran. Kita tidak jauh dari drama ini, barangkali ada yang terimbas di fikiran ketika menghayati lakonan, dialog dan aksi yang ditayangkan. Kita mungkin salah seorang dari watak-watak dalamnya...