Dia

Masih di konvensyen Aku Cinta Allah dan Rasul. Untuk saya, ia adalah aktiviti yang perlu untuk membasahi kembali hati, mengingat perkara yang terlupa, menjumpai rakan-rakan yang selalu berpesan kepada kebaikkan, menghargai hidup dan kehidupan.

Tidak disangsikan lagi, pengisiannya akan kembali menghantar saya di hadapan kubah hijau. Mengingati kembali kata-kata rindu yang terluah dan air mata yang membajiri pipi hingga menitik ke lantai Masjid Nubuwwah.

Dalam satu pengisian, apabila senandung qasidahnya panjang-panjang dan bersambung, rakan saya mula bertanya tentang banyak perkara. Mengenai polemik antara golongan salafi dan sufi, amalan bernasyid sambil berekspresi menepuk tangan dan melambai-lambai itu selalu yang asing di mata, ada penolakkan dalam jiwa. Saya faham soalan rakan apa maksudnya. Kemudian rakan membandingkan pondok di Kelantan dan Kedah yang berbeza dari segi amalan ini. Di Kelantan, berqasidah, bernasyid begitu hampir tidak dikenal di pondok, berbanding pondok-pondok di sebelah Utara yang meraikan sungguh-sungguh acara seperti ini.

Saya neutral, mungkin ada banyak keadaan sedikit berlapang dada dengan apa sahaja yang terbentang di mata. Malah saya tidak punya masalah mengekspresi, kegembiraan dan kesedihan. Bagi saya kita punya hak untuk ekspresi, hanya itu yang menunjuk kesungguhan. Gembira dengan kelahiran Nabi, sungguh kita perlu mengekspresinya sepenuh jiwa. Sedih Nabi meninggalkan kita? Sungguh kita juga perlu tunjukkan dengan air mata, dengan jiwa lara. Malah di majlis tersebut, saya bereya menepuk tangan mengikut alunan qasidah yang dinyanyikan oleh pelajar pondok yang tertib berserban, berjubah rapi dan memiliki suara lunak yang memukau. Semua ini yang saya lihat adalah keindahan dan kasih sayang.

Akhirnya dalam perbincangan yang panjang itu, saya sebut kepada rakan, kita terlalu teknikal dalam mengikut sunnah Rasulullah. Yang kita highlight ialah pakaian, serban, jubah, berjanggut dan sambung kawan, "kahwin empat." Tawa kami pecah walau dalam majlis yang perlukan kami bersopan.

Tetapi ada perkara penting tentang sunnah Rasulullah yang kita sepi untuk meraikannya. Tanya kawan, "apa dia?"

"Kemanusiaan."

Sekurang-kurangnya saya mendengar cerita mengenai Rasulullah melayani orang Yahudi buta dari dua orang Ustaz yang berlainan. Yahudi ini begitu buruk akhlaknya kerana akan mencaci maki Rasulullah kepada sesiapa pun juga. Meski beliau adalah seorang buta yang perlu mendapat bantuan orang, si Yahudi buta ini tetap memaki hamun.

Apa yang Rasulullah buat? Baginda tetap melayani si buta ini dengan sabar. Memberi makan dan melayan sebaiknya. Malah si buta ini tidak tahu pun, manusia baik yang melayani adalah seorang Nabi yang mendapat makian darinya.

Bila si buta tahu selama ini Rasulullah yang melayani? Bila Nabi sudah wafat. Abu Bakar mahu menyambung kerja-kerja Nabi, salah satunya ialah dengan melayani si buta ini. Ketika Abu Bakar menyuapnya makan, si buta bertanya, "mana orang yang selalu beri aku makan."

Abu Bakar menjawab, "dialah." Tetapi si buta kata bukan. Kerana yang memberiku makan akan memastikan makanan itu halus dan mudah untuk dikunyah. Cara suapan pun berlainan kerana dia sangat berlemah lembut.

Akhirnya Abu Bakar menjawab, "yang memberimu makan selama ini sudah pun meninggal dunia. Beliau ialah Rasulullah sawa."

Si buta tergamam menyesal. Menangis, menggogoi. Keinsafan kepada kemanusiaan yang ditunjukkan Rasulullah lah membawanya kembali mengucap syahadah. 

Saya percaya tiada manusia yang lebih manusiawi dari Rasulullah. Dalam sirah dan sunnah merata menyebut tentang kemanusian, rasa belas, toleransi, pemurah senyum, kelembutan, selalu peduli kepada anak yatim, mereka yang kelaparan, miskin. Mereka yang tertindas dan ditindas.

Dia, yang menyebut namanya mendapat pahala. Dia yang kita ingati akan membolehkan kita mendapat rahmat. Dia yang menjaga telaga Kautsar dan pemberi syafaat. Dia yang mengajarkan bahawa Ramadhan itu lebih baik dari 1000 bulan.

Kawan tanya, mengapa begitu buruk nasib kita sebagai umat Islam walaupun kita punya sebaik-baik Nabi, yang terpilih dari yang terpilih, nurrul Al Anwar, cahaya dari segala cahaya.

Saya tidak ada jawapan konkrit, tetapi saya mendapat jawapannya dari bait-bait lirik Sami Yusuf dari nasyid Al Muallim.

We once had a Teacher 
The Teacher of teachers,
He changed the world for the better 
And made us better creatures,
Oh Allah we’ve shamed ourselves
We’ve strayed from Al-Mu'allim,
Surely we’ve wronged ourselves
What will we say in front him?
Oh Mu'allim...



Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK